Friday 7 March 2014

Siti Zabedah contoh muslimah yang celaru minda

  1. Ya Allah. Ku mohon pada Mu, berilah hidayah dan keinsafan kepada manusia yang bernama Siti Zabedah Kassim dan rakan-rakannya agar kembali ke pangkal jalan dan bersama-sama mempertahankan kalimah Allah untuk umat Islam sejagat.
  2. Sesungguhnya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sudah bertitah bahawa kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam dan dilarang penggunaannya oleh penganut agama lain.
  3. Seri Paduka bertitah, ketetapan itu sudah jelas dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 dan ia perlu dihormati. Semua penduduk Malaysia faham dengan titah baginda.
  4. Namun Siti Zabedah dan rakan sekongkolnya tidak peduli semua itu. Beliau hadir di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini untuk memberitahu Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia bahawa beliau sesungguhnya percaya kalimah Allah bukan milik eksklusif umat Islam.
  5. Justeru itu, beliau menentang umat Islam dari bangsanya sendiri, sebaliknya memberi sokongan kepada gereja Katholik supaya meneruskan perjuangan menuntut penggunaan kalimah Allah dalam agama mereka.
  6. Itu mesej yang Zabedah nak sampaikan tanpa mempeduli titah Yang di-Pertuan Agong. Yang penting dia dilihat berani. Lihat saja kenyataan Siti Zabedah ini: “Masyarakat Melayu kena berani untuk berdepan dan bercakap. Saya tahu mereka takut digelar murtad atau ditangkap oleh pihak berkuasa atau dituduh bukan-bukan.
  7. "Seperti saya katakan, jika mereka berani bercakap, ini negara kita. Tidak ada sesiapa patut takut, terutamanya orang Melayu. Jika kita bersuara kerana benar, jadi jangan takut. Dan jangan fikir Islam yang mereka pamerkan adalah Islam yang sebenarnya.
  8. "Kalau nak tahu apa itu Islam, kita baca Al-Quran dan cari apa yang kita tak puas hati. Jangan dengar apa yang mereka cakap. Jangan seperti lembu dicucuk hidung, mana ditarik kita ikut. Ini masalah orang Melayu.
  9. "Siapa yang nak hakimi kita sudah terkeluar Islam atau akidah? Itu terpulang kepada Tuhan. Tuhan sahaja yang boleh menghakimi," katanya lagi.
  10. Bila ditanya mengenai kenyataannya berbentuk provokasi, dia menjawab “Kakak berhak menjaga hati dan perasaan hati orang lain (gereja Katholik). Bukan memprovok. Kakak tahu tak berapa ramai yang awak cuba provok sekarang ini?
  11. Siti Zabedah membawa sejambak bunga Kekwa sebagai simbol keamanan sambil berkata beliau hanya mahu menyatakan pegangannya bersabit penggunaan kalimah Allah.
  12. "Jika saya provok awak, saya minta maaf. Saya tidak berniat sedemikian. Saya datang pada hari ini hanya untuk menyatakan bahawa anda di sini bukan mencerminkan diri saya.
  13. "Kami ingin buktikan ini bukan ajaran Islam dan ucapan yang dikeluarkan pagi ini tidak melambangkan semangat Malaysia.
  14. "Lihat kepada baju-T saya hari ini, menunjukkan Allah adalah Tuhan sekalian alam dan bukan eksklusif kepada umat Islam sahaja," katanya.
  15. "Saya datang demi keamanan. Saya mahu beri jambangan bunga ini kepada mereka yang menganjurkan perhimpunan ini, kepada anda (media) juga. Kita tak bawa pembesar suara, kain rentang tetapi kami datang untuk tunjukkan sebahagian lain tentang Malaysia.
  16. “Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya merasa bimbang dengan keadaan yang berlaku sekarang, bagaimana kita lalui semua ini.
  17. Pandangan dan pegangan hidup Siti Zabedah didakwanya bersandarkan al Quran, namun sepanjang berlegar-legar di Mahkamah Persekutuan, wanita moden yang tidak menutup aurat itu tidak memetik sedikitpun mana-mana ayat yang boleh menyokong falsafahnya.
  18. Dalam bahasa lebih mudah, Siti Zabedah bercakap main hentam keromo atau merapu terutama soal hukum mempertahankan kalimah Allah. Bila dihujani pertanyaan, dia menyebut tengoklah dalam al Quran, tapi tidak membantu mendekatkan kita di mana kedudukan firman Allah yang menyokong pegangan hidupnya.
  19. Mari kita tinggalkan dunia fantasi Siti Zabedah dan kembali kepada realiti. Sesungguhnya kita perlu mempertahankan kalimah Allah sebagai milik eksklusif umat Islam. Jika kita tidak pertahankannya, siapa lagi yang akan berbuat demikian? Siti Zabedah? Jauh sekali. 
  20. Bukankah setiap kali berzikir sesudah solat, ada pada tempatnya kita menyebut ‘Innaddina indallahil Islam’? Maksudnya “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi ALLAH ialah Islam” Surah Al Imran, al-Quran 3:19. Jadi bukankah itu bermakna ALLAH tidak menerima agama-agama lain di sisi-Nya selain Islam?
  21. Tuhan bagi umat Islam ialah ALLAH. Tuhan bagi agama lain disebut ‘God’, ertinya tuhan tanpa nama khas. Benar, ALLAH itu nama Tuhan dalam bahasa Arab, tetapi kalimah ini tidak bermaksud kepada semua agama. ALLAH itu Tuhan khusus untuk Muslim yakni manusia yang bersyahadat bahawa ‘Tiada Tuhan disembah selain ALLAH, Muhammad itu Rasulullah”.
  22. Firman ALLAH dalam Surah al-Ikhlas, al-Quran:112, maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad); ‘(Tuhanku) ialah ALLAH Yang Maha Esa (1). ALLAH yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat (2).
  23. Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan (3). Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya (4)”. Pada penulis 4 ayat itu sudah cukup membuktikan bahawa kalimah ALLAH itu hak eksklusif penganut agama Islam.
  24. Agama Kristian meyakini Tuhan, Isa dan Maryam itu dengan konsep triniti. Di sini letaknya persoalan akidah. Bagi orang Islam Nabi Isa a.s itu antara 25 Rasul yang diimani (Rukun Iman), walaupun Nabi Muhammad SAW tidak tergolong dalam keyakinan Kristian dan Yahudi.
  25. Islam itu telah lengkap sempurna tetapi kenapa pula tidak dianuti sesetengah manusia yang juga beragama langit?. Maksud firman ALLAH dalam Surah al-Maidah (al-Quran, 5:3): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. Junjungan besar Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai Rasul untuk seluruh manusia. Sesiapa yang menolak Muhammad, maknanya menolak akan Islam.
  26. Apakah beza ‘God’ dengan ALLAH? Kamus Dwibahasa (DBP: 2001) memaknakan ‘God’ itu benda atau semangat yang disembah dan dianggap mempunyai kuasa atas alam dan urusan manusia: tuhan, dewa, betara, dewata. ‘God’ juga dimaknakan kepada Pencipta Alam, Yang Maha Berkuasa yakni Tuhan ALLAH dalam Islam. Ada simpulan bahasa ‘God willing’ jika diizinkan Tuhan, dalam Islam InsyaAllah; ‘Thank God’ yakni syukurlah atau ‘Alhamdulillah’ dalam Islam. Itulah beza antara berhajatnya umat Islam kepada ALLAH dengan berhajatnya penganut agama lain kepada tuhan mereka.
  27. Dalam kes kecelaruan Siti Zabedah dan konco-konconya, Kerajaan dan umat Islam jangan sekali-kali memandang ringan isu kalimah ‘ALLAH’ ini, lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia.
  28. Memang tindakan tegas boleh diambil terhadap sesiapa yang mencabar kalimah Allah yang sekaligus mencabar status Islam sebagai agama negara Persekutuan Malaysia dan kuat kuasanya di bawah beberapa enakmen negeri. Status Islam di Malaysia berbeza kedudukannya dengan Islam di negara lain.
  29. Orang bukan Islam tidak boleh mencampuri urusan agama Islam. Junjungi Perlembagaan dan hormatilah beberapa enakmen negeri yang sekian lama melindungi Islam sebagai agama negara.
  30. Umat Islam mesti fahami implikasi penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam itu akan mempengaruhi akidah, tradisi ilmu dan kecelaruan terhadap tamadun Islam.
  31. Mendekati contoh kecelaruan terhadap tamadun Islam, ia sudah berlaku di Indonesia apabila kalimah Allah digunapakai oleh Kristian dalam semua aspek termasuk terjemahan FIRMAN ALLAH.
  32. Ada orang “cerdik” bertanya apa masalahnya jika orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, mustahil orang Islam tidak boleh membezakan antara Bible dengan Al-Quran.
  33. Di dalam Al-Quran an Bible, masing-masing ada menceritakan kisah Nabi Adam, Nabi Musa dan kisah-kisah beberapa Nabi lain. Apabila mereka menulis “Firman Allah” lalu membawakan kisah-kisah di dalam Bible, siapa yang dapat membezakannya? Adakah anak-anak kita mampu membezakannya?
  34. Ada banyak lagi contoh kecelaruan yang boleh berlaku jika kalimah Allah diberikan kepada gereja Katholik. Peliknya agama-agama lain seperti Buddha dan Hindu tidak pula teruja mahu berkongsi penggunaan nama Allah dalam terjemahan dan bukan terjemahan. Fikir-fikirkanlah.
  35.  

Perebutan kerusi MB Selangor – Episod 6 dan 7

     
     
     
    Episod 6
     
  • Kuasa boleh mengubah segalanya. Hanya itu harapan yang Anwar Ibrahim ada. Beliau berharap apabila dapat berkuasa sebagai Menteri Besar Selangor, segala masalah perpaduan dalam parti akan selesai.
  • Sesungguhnya yang menyatukan ahli mana-mana parti politik, termasuk PKR, ialah kuasa. Melalui kuasa segala perubahan atau reformasi yang didambakan akan dapat dicapai. Demi kuasa juga setiap pemimpin harus berkorban. Tidak mengapa jika yang harus dikorbankan ialah sahabat dan ahli parti sendiri.
  • Kini Anwar telah terlalu hampir dengan kerusi kuasa. Beliau berharapkan kemenangan yang besar tanpa menghadapi cabaran yang getir untuk menjadi ketua eksekutif negeri paling kaya di Malaysia.
  • Jika ikut perancangan, jalan itu tidaklah sebegitu sukar. Lee Chin Cheh sudahpun memberi laluan dengan mengosongkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang. Khalid Ibrahim pula sudah dengan takzimnya mengumumkan beliau menjadi calon ganti.
  • Keakraban yang diharapkan oleh Anwar untuk membuktikan kepada rakyat betapa kentalnya perpaduan dalam PKR yang wujud untuk menumbangkan Barisan Nasional yang dijadikan simbol rasuah, salahguna kuasa dan kronisme dapat dipamerkan kepada umum.
  • Malangnya, pertunjukan itu tidak kekal lama. Lantaran gelojoh mahu mencipta rekod kemenangan yang besar sekaligus dapat meyakinkan semua pihak, termasuk istana, betapa meluapnya kehendak rakyat mahu reformasi termasuk mengganti Menteri Besar, keretakan perpaduan PKR mula ketara.
  • Sebenarnya, bukan begitu mudah untuk Khalid Ibrahim melepaskan kuasa. Sebelum ini beliau ialah seorang panglima korporat terbilang. Soal untung rugi adalah panduan hidupnya. Namun lima tahun lalu beliau dimandikan dengan kuasa politik pula.
  • Kedudukan sebagai menteri besar memberinya kuasa lebih besar daripada amanah yang perlu digalas seorang ketua sesebuah badan korporat. Kejayaan yang dicapainya dari kerusi seorang menteri besar adalah berganda nikmatnya daripada memimpin entiti korporat.
  • Apabila melihat begitu gesit dan pantasnya juak-juak Anwar menyusun langkah untuk “menekan dan memujuknya” melepaskan kerusi kuasanya itu, Khalid berasa tersinggung beliau dianggap pemimpin “pakai-buang”. Ini mencabar maruahnya.
  • Tidak sukar bagi Khalid mengenalpasti punca konspirasi menjatuhkannya. Sasarannya tentu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Lantas pada 28 Februari lalu, Khalid pun mengumumkan bahawa beliau akan mencabar Azmin untuk jawatan kedua tertinggi dalam parti.
  • Jika Azmin dapat ditewaskan, Khalid menambah satu lagi aura kuasa untuk dirinya – kali ini berkuasa dalam PKR pula. Di medan korporat seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Azmin sudah dapat ditundukkannya. Begitu juga dalam majlis-majlis kerajaan tempatan.
  • Saingan Khalid bukan lagi Azmin tetapi Anwar. Kini dalam parti pula, pengaruh politik Azmin dapat dikembirikan. Namun Khalid sedar apabila beliau mengorak langkah politik ini, saingan sebenarnya bukan lagi Azmin. Kini beliau berhadapan dengan mentor Azmin – Anwar Ibrahim.
  • Khalid insaf bahawa memang sudah sekian lama Anwar cuba menguasainya. Kebolehannya hanya dikotakkan Anwar sebagai masuk dalam kategori ekonomi dan kewangan sahaja.
  • Namun memandangkan Anwar ialah penguasa mutlak dalam PKR, Khalid turutkan juga walaupun Anwar sudah lama menginjak halaman “kuasa”nya apabila beliau mengangkat dirinya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Walhal Khalid yakin ilmu ekonominya lebih tinggi daripada Anwar.
  • Khalid kini dapat membaca bahawa Anwar sudah masuk ke dalam zon kelemahannya. Apabila secara kurang “waras” Anwar tiba-tiba mahu mengambil alih kerusi Menteri Besar yang didudukinya, Khalid tahu bahawa Anwar terdesak.
  • Duta kuasa Anwar, Azmin Ali, ternyata bukan tandingannya. Lantas Khalid mencongak kini adalah masa terbaik untuk mengadu kepintaran siasah dengan Anwar.
  • Langkah pertama pisahkan Azmin daripada Anwar. Azmin mesti disibukkan dengan memasang strategi untuk mempertahankan kedudukannya. Oleh kerana beliau ialah pengarah PRK Kajang, Khalid boleh menentukan sampai tahap mana pembabitan Azmin dalam pilihanraya 23 Mac nanti.
  • Khalid kini atur langkah politik licik sendiri. Khalid sudah menunjukkan tekad tidak mahu berada di bawah telunjuk Anwar. Isu air, beliau selesaikan sendiri. Desakan Anwar dan juak-juaknya supaya beliau menandatangani surat peletakan jawatan menteri besar tanpa tarikh tidak dihiraukannya.
  • Kini mengatur program politiknya sendiri. Lebih 1,000 penyokong yang berhimpun di kediaman rasminya malam Sabtu lalu, pulang ke Cabang masing-masing untuk membisikkan bahawa Khalid sudah bersedia memimpin parti setelah berjaya mentadbir Selangor dengan cemerlang hingga kemenangan besar PRU ke 13.
  • Perpaduan dan keharmonian PKR kini mula berkocak. Anwar tidak mampu menandatangani borang pencalonan PRK Kajang dalam keadaan partinya kucar kacir.
  • Kali ini Anwar kena berbaik dengan Khalid. Sekurang-kurangnya Anwar kena bersetuju tidak menyebelahi Azmin seperti pemilihan PKR 2010.
  • Kata pepatah “Jong pecah, yu kenyang”. Jika PKR pecah yang tentu kenyang ialah Khalid. Sebelum PRK Kajang lagi beliau sudah menerima perakuan PAS akan terus menyokongnya menjadi Menteri Besar.
  • Begitu juga Umno. Khabarnya sudah ada wakil Umno yang mula mengenyit mata pada Khalid. Dengan sokongan PAS dan Umno, Khalid sudah pasti menjadi hero
  • Melayu di Selangor. Aura ini sudah pasti akan semerbak ke seluruh Malaysia. Anwar perlu berhati-hati kali ini. Khalid kini bukan hanya seorang tokoh korporat. Ilmu siasahnya sudah meningkat berlipat ganda. Memang benar kuasa boleh menyatukan.
  • Bagaimana penyatuan dan perpaduan hanya boleh berkisar pada paksi kuasa yang ada di tangan Khalid bukan Anwar.
  •  
  • Episod 7
  •  
  • Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah ibarat harimau yang terluka. Beliau perlu bertindak ganas dan tegas untuk memastikan kepentingan politiknya terpelihara. Reputasi dan maruah dirinya kini tercabar dan beliau perlu segera mengatur strategi balas.
  • Beberapa pihak dalam PKR sering mentohmahnya tidak mesra parti sendiri. Beliau dikatakan sering membuat keputusan yang mempunyai implikasi politik tanpa merujuk kepada parti. Pihak berkenaan menganggap beliau tidak menghormati kedaulatan pimpinan parti.
  • Khalid selama ini tidak mempedulikan pandangan-pandangan sinis begini. Bagi beliau sebagai menteri besar beliau hanya bertanggungjawab kepada sultan dan rakyat. Beliau mahu memberi khidmat terbaik dan yakin ini sudah dilaksanakan dengan berkesan.
  • Di segi pengurusan negeri, Khalid percaya beliau telah berjaya mengurangkan beban rakyat dengan memberi subsidi bayaran air dan pelbagai insentif sosial.
  • Malah di segi politik pun Khalid percaya beliau dapat menangani cabaran dengan cemerlang. Sifir Khalid ialah apabila secara bersama DAP, PAS dan PKR menawan Selangor pada 2008, beliau diberi amanah untuk memelihara dan melebarkan pengaruh Pakatan Rakyat di Selangor.
  • Khalid rasa beliau sudah langsaikan amanah yang diberikan. Amanah ini telah beliau langsaikan. Dalilnya, ketika menjadi menteri besar kali pertama pada 2008, Barisan Nasional mempunyai 20 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Bagaimanapun selepas lima tahun memimpin negeri paling kaya di Malaysia, kerusi BN hanya tinggal dua belas sahaja.
  • Bagi Khalid jika itu tidak membuktikan keberkesanan cara beliau memimpin, apakah ada lagi ukuran lain yang boleh digunakan?
  • Bagaimanapun yang membuat Khalid terluka ialah walaupun sudah membuktikan kecemerlangan politik yang begitu ketara, ada pihak dalam PKR yang masih mempertikaikan kemampuannya berpolitik.
  • Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli tanpa berselindung mengatakan bahawa walaupun rekod pengurusannya cemerlang, Khalid masih memerlukan bantuan untuk menghadapi terjahan politik BN yang banyak menggunakan isu emosi seperti agama dan perkauman.
  • Atas dasar itu, PKR dan Pakatan Rakyat dikatakan perlu meletakkan Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai pengalaman politik luas untuk menggantikan Khalid menghadapi serangan BN itu.
  • Maka dicetuskan idea untuk diadakan pilihan raya Kecil di Kajang supaya Anwar boleh bertanding untuk menjadi ADUN dan kemudian diangkat menjadi menteri besar menggantikan Khalid.
  • Maruah Khalid terluka, tercalar akibat perbezaan idealogi. Agak sukar untuk umum memahami perit luka maruah Khalid apabila mahu dikuis ketepi begitu sahaja hanya untuk meletakkan Anwar di tempatnya.
  • Khalid juga tahu membaca bahawa inisiatif meletakkannya sebagai Pengarah PRK Kajang hanya satu cara untuk “memujuknya” dan mungkin juga untuk “memperbodohkannya” supaya “mendandan bakal madu sendiri”.
  • Selama ini di segi politik yang agak merimaskan tumpuan pengurusan Khalid hanya Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor.
  • Sindiran dan bidasan Azmin mampu ditangani dengan baik oleh Khalid. Paling tidak Azmin dapat digugurkan daripada menganggotai Lembaga Pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) walaupun tindakan itu diselaputi kesamaran sama ada ia atas arahan Khalid atau tidak.
  • Bagaimanapun bila “abang besar” bernama Anwar Ibrahim mencampuri perbalahannya dengan Azmin dan cuba pula “mengambil kesempatan” untuk menyingkirkannya dari kerusi menteri besar, Khalid berasa tercabar untuk mempertahankan haknya.
  • Bagi Khalid cukuplah lebih lima tahun musuh politik dalam PKR mentohmahnya sebagai tidak bijak berpolitik. Malah beliau lebih senang dikenali sebagai tokoh korporat daripada ikon politik.
  • Bagaimanapun bila ada tindakan sengaja untuk meremehkan maruahnya dengan memetik kajian yang melaporkan bahawa 59 peratus pengundi Kajang mahu Anwar menjadi Menteri Besar dan sekaligus mengisyaratkan majoriti rakyat Kajang “menolaknya”, Khalid pastinya tersinggung.
  • Anwar semberono mahu libatkan bekas MB Selangor dalam urustadbir negeri itu, tanpa rujuk Khalid
  • Ini ditambah pula dengan hakikat Anwar langsung tidak merundinginya mengenai pelan beliau (Anwar) mahu membawa masuk mantan Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Mohd Taib untuk menangani cabaran pembangunan luar bandar di Selangor, Khalid menjadi lebih hiba.
  • Bukankah Anwar dahulu yang memutuskan supaya Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, patut menjadi Ketua Staf di pejabatnya dan membantunya merancang dan melaksanakan rancangan pembangunan desa?
  • Mengapa tiba-tiba nama Muhammad Taib yang disebut dalam kempennya? Anwar juga menambah duka Khalid apabila secara wewenang berjanji akan mengkaji kemunasabahan Enakmen Agama Bukan Islam (Penyebaran Kepada Orang Islam) Selangor 1988 sedangkan Sultan sudah bertitah mengingatkan jangan ada usaha mana-mana pihak cuba mengubah ketetapan itu.
  • Bukankah tindakan semberono Anwar ini akan menyebabkan Khalid dipersalahkan mengingkari titah Sultan? Bukankah Khalid masih menteri besar dan perlu berurusan dengan pihak istana? “Penentangan” parti PKR terhadap titah Sultan pasti akan menyulitkan lagi hubungannya dengan istana.
  • Luka Khalid agak dalam. Mengapa hanya beliau yang mesti mengikut protokol parti sedangkan puak-puak tertentu yang tidak berpengalaman mengurus negeri semaju Selangor tidak pernah mahu belajar menghormati tradisi dan protokol sebuah kerajaan?
  • Sabar Khalid ada batasnya. Sudah sampai masanya bagi beliau mempamerkan sisi dan kemahiran politiknya. Persefahaman dengan kerajaan pusat berhubung isu air ditandatanganinya.
  • Kali ini tahulah Anwar dan pihak “pembencinya” dalam PKR bahawa Anwar tidak boleh menggunakan inisiatif “damainya” dengan kerajaan pusat itu sebagai modal kempen dalam PRK Kajang. Kali ini biar rakyat tahu bahawa wira yang menyelesaikan isu air di Selangor dan Kuala Lumpur ialah Khalid bin Ibrahim bukan Anwar Ibrahim.
  • Khalid buat kejutan, umum akan cabar Azmin pada pemilihan akan datang. Meskipun Khalid mengumumkan malam Sabtu lalu di majlis makan malam Kasih Bertaut di kediaman rasminya bahawa tumpuannya kini ialah PRK Kajang yang membabitkan Anwar sebagai calon, namun pada masa yang sama Khalid mengisytiharkan bahawa beliau akan mencabar Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Mei nanti.
  • “Saya selaku Pengarah Pilihan Raya (Kajang) akan berjumpa dengan pemimpin cabang dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya ini,” kata Khalid di majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 penyokongnya.
  • Jika benar demikian apa perlunya beliau mengumumkan mahu menjadi Timbalan Presiden parti di peringkat ini? Untuk siapakah mesej itu sebenarnya mahu disampaikan? Azmin Ali atau Anwar Ibrahim?
  • Khalid Ibrahim sudah bangkit, Anwar Ibrahim mulai tersepit. Khalid sudah mengorak langkah politik dan melontarkan cabaran, beranikah Azmin menyahutnya? Atau, mampukah Anwar menjinakkan harimau korporat yang terluka dan tidak segan mengaum di halaman politik Ketua Umum PKR itu sendiri.
  •