Friday 14 February 2014

Masa depan nelayan Malaysia bakal berubah

 
  • SEKUAT MANA pun nelayan bekerja, peraih dan pemborong ikan tetap kaya. Setiap kali musim tengkujuh, hasil tangkapan ikan rendah, nelayan merana dan pengguna meraung masalah harga yang dilambung-lambung bagaikan bola takraw.
  • Program Jihad memerangi orang tengah dalam sektor perikanan yang dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Februari lalu membuka lembaran baru kepada nelayan di negara ini kerana ia dijangka akan meningkatkan taraf ekonomi mereka.
  • Lapan inisiatif jihad perangi orang tengah ialah:
  • Memperbanyakkan pasar nelayan
  • Jualan terus nelayan ke pasar tani
  • Wujudkan pusat pengumpulan dan pengedaran barang basah antara Nekmat, Nafas dan Fama
  • Tekun diminta mengambil alih hutang nelayan dengan orang tengah yang dianggarkan berjumlah RM40 juta
  • Tekun akan memberikan pinjaman dana untuk membeli bot, enjin bot dan sampan
  • Nekmat dan persatuan nelayan akan mengambil alih tugas orang tengah iaitu membeli terus ikan daripada nelayan dan menjualnya kepada pengguna
  • Persatuan nelayan kawasan diberikan dana RM50,000 untuk membolehkan nelayan meminjam tanpa faedah sekiranya ada kecemasan
  • Persatuan nelayan terlibat memantau pemberian insentif pengisytiharan hasil tangkapan ikan.
  •  
  • Bagi menjelaskan mengenai program itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM menjelaskan alternatif yang dicadangkan kerajaan itu dapat meningkatkan pendapatan nelayan antara 20 hingga 30 peratus.
  • Lebih dari itu harga ikan juga dijangka akan turun sebanyak 20 hingga 30 peratus jika program itu dilaksanakan sepenuhnya.
  • SOALAN: Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melancarkan jihad perangi orang tengah dalam sektor perikanan untuk membebaskan nelayan daripada cengkaman orang tengah. Boleh jelaskan mengenai program ini?
  • JAWAPAN: Program ini ada lapan inisiatif yang telah diumumkan kementerian. Ia dilancarkan untuk mengubah nasib nelayan dan persepsi rakyat yang mengatakan bahawa kenaikan harga barang ini disebabkan oleh kerajaan.
  • Sebenarnya, pada hemat saya selaku Pengerusi LKIM, negara digembar-gemburkan tentang kenaikan harga ikan yang tinggi dan ada kalanya melampau. Kita tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata.
  • Di peringkat LKIM, kami mengadakan perbincangan khas untuk mengatasi masalah ini. Antara perkara dibangkitkan, faktor kenaikan harga barang itu adalah cuaca. Pada musim tengkujuh, nelayan tidak dapat ke laut dan hasil tangkapan berkurangan. Sesetengah nelayan ini pula bergantung kepada orang tengah yang mana hasil tangkapan akan dijual kepada orang tengah dengan harga murah.
  • LKIM, Jabatan Perikanan dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) berbincang dan mencadangkan kepada kerajaan cara bagaimana semua badan ini termasuk Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dapat bergabung untuk memastikan hasil tangkapan ikan oleh nelayan boleh dijual terus di pasar borong ataupun ke pasar tani. Maksudnya nelayan sendiri jadi usahawan.
  • Kedua, kita lihat kebanyakan nelayan ini terlibat hutang dengan orang tengah sehingga mencengkam mereka. Antara alternatif dicadangkan ialah menjadikan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional untuk mengambil alih hutang mereka. Di samping nelayan menangkap ikan, mereka boleh bayar balik hutang-hutang mereka.
  • Tekun juga diminta untuk memberikan pinjaman kepada nelayan untuk membeli bot, enjin bot dan sebagainya. Pada musim-musim tertentu, nelayan sukar ke laut terutama ketika musim tengkujuh dan laut bergelora. Mereka ini mempunyai anak dan keluarga. Ada kalanya mereka mempunyai kekangan kewangan sehingga pinjam duit daripada orang tengah kerana tiada tempat untuk meminjam wang.
  • Bagi mengatasi masalah ini, setiap persatuan nelayan kawasan dipertanggungjawabkan mengurus dana RM50,000 untuk kecemasan. Ia membolehkan nelayan meminjam wang daripada persatuan nelayan kawasan tanpa bayaran faedah. Dalam program ini, Nekmat bersama persatuan nelayan kawasan bertindak sebagai orang tengah. Mereka akan beli terus hasil tangkapan nelayan dengan harga sama seperti orang tengah atau harga pasaran yang berpatutan. Jadi mereka sendiri yang jual ikan di pasaran kepada pengguna. Secara tidak langsung, harga ikan tersebut dapat dikawal.
  • Lapan perkara dicadangkan ini adalah satu cadangan daripada kerajaan kepada nelayan sebagai jalan keluar. Terpulang kepada nelayan untuk mengikutinya atau tidak, kerana kita tidak boleh paksa mereka.
  • SOALAN: Apa manfaat yang akan diterima nelayan jika mereka mengikuti program ini?
  • JAWAPAN: Kalau mereka mengikuti cadangan ini, kita dapat mengurangkan harga barang basah 20 hingga 30 peratus. Di samping itu, pendapatan bulanan ataupun harian mereka nelayan akan meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus. Secara tidak langsung, pendapatan dan sosioekonomi nelayan dapat dipertingkatkan.
  • Ini antara beberapa inisiatif menunjukkan keseriusan kerajaan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kenaikan harga barang ini bukan hanya kepada kerajaan. Sebenarnya ada faktor-faktor lain menyebabkan kenaikan harga barang. Apabila kita laksanakan gerakan seperti ini, nampak gayanya isu kenaikan harga barang semakin reda. Sekarang, pihak kementerian meminta pasar tani diperluaskan lagi di seluruh negara sebagai pasar pilihan rakyat.
  • SOALAN: Berdasarkan kajian LKIM, berapa jumlah keuntungan yang dikaut orang tengah?
  • JAWAPAN: Di Malaysia, kita ada ikan rakyat yang dimakan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Salah satunya ialah ikan kembung.
  • Sebagai contoh, apabila nelayan menangkap ikan, harganya di atas bot ialah RM10 sekilogram (kg), namun apabila ia naik ke darat, harga mungkin naik RM12/kg. apabila sampai ke orang tengah, harga akan bertambah sehinggalah kepada pengguna. Perkara ini yang kerap berlaku dan ia wajar dibendung.
  • Lebih baik nelayan jual hasil tangkapan kepada persatuan nelayan dan persatuan ini terus jual kepada orang ramai.
  • Nelayan tidak boleh menjual ikan sama harga seperti di bot disebabkan ia melibatkan kos seperti pengangkutan, minyak dan logistik. Namun, jumlah RM10 seperti contoh di itu bukan sepanjang masa, sebaliknya ia bergantung terhadap musim. Ada kalanya harga itu akan jatuh apabila ikan yang ditangkap banyak.
  • SOALAN: Apa usaha dilakukan LKIM untuk memastikan harga ikan terkawal dan bekalannya mencukupi?
  • JAWAPAN: Antara perkara yang LKIM lakukan untuk menstabilkan harga ikan terutama pada musim tidak banyak tangkapan, kita minta Nekmat mengimport ikan dari luar negara dan membekukan pengeluaran lesen eksport.
  • LKIM juga akan meminta Nekmat mengeluarkan stok ikan sejuk beku mereka untuk dijual di pasaran. Alhamdulillah, baru-baru ini stok ikan sejuk beku sudah habis terjual.
  • Rakyat ada tiga pilihan sama ada mahu membeli ikan segar, sejuk beku ataupun yang diimport dari luar. Harga dan kualitinya juga lebih kurang sama. Jadi, harga itu boleh diseimbangkan.
  • Menerusi program ini, jika nelayan mengikutinya, saya percaya, ia akan mengubah nasib dan meningkatkan lagi  ekonomi mereka. Kita beri mereka pilihan menjadi nelayan dan dalam masa yang sama berniaga hasil tangkapan di pasar tani. Secara tidak langsung, rangkaian ekonomi itu terus ke pengguna.
  • SOALAN: Nelayan tidak menternak, sebaliknya hanya menangkap ikan. Boleh Datuk jelaskan kos yang terlibat dalam aktiviti tangkapan ikan sehingga menyumbang kepada harga ikan yang mahal pada masa ini?
  • JAWAPAN: Isunya bukan isu kos sebab nelayan dapat subsidi diesel. Saya lihat, yang utamanya ialah faktor cuaca. Apabila nelayan tidak ke laut, mereka tidak dapat tangkap banyak ikan dan terpaksa juga menampung kehidupan seharian mereka. Contohnya, katakan pada hari biasa, nelayan dapat menangkap ikan bernilai RM50 sehari, tetapi apabila musim tengkujuh, mereka hanya dapat tangkap sedikit.
  • Pendapatan mereka kurang, sedangkan jumlah itu memang gaji harian mereka, jadi harga ikan akan dijual tinggi. Sebab itu kita tidak boleh salahkan kerajaan. Ini kerana, ia juga melibatkan risiko keselamatan nelayan ke laut.
  • SOALAN: Bagaimana LKIM memperkasakan peranan sebagai agensi pembangunan sektor perikanan bagi memastikan bekalan ikan sentiasa cukup dan harganya sentiasa terkawal?
  • JAWAPAN: LKIM sebagai agensi membangunkan nelayan. Kita ada Nekmat, persatuan nelayan negeri dan kawasan. Jadi tugas LKIM ialah untuk membangunkan infrastruktur dan pembangunan ekonomi nelayan. LKIM hanya bertindak sebagai fasilitator, kita tidak mahu menjadi pemain utama sebagai usahawan.
  • LKIM ini hanya sebuah agensi, yang paling penting ialah nelayan itu sendiri dan merekalah yang sepatutnya digerakkan dan diperkasakan. Walaupun saya mengakui, ia melibatkan transformasi minda, tetapi mereka dapat berdiri sesama sendiri.
  • Sekarang mereka sudah  boleh jual ikan di pasaran. Perlahan-lahan, mereka akan berdikari seperti mana yang berlaku di negara maju, iaitu nelayan yang tangkap ikan dan jual sendiri kepada pasaran.
  • LKIM hanya lihat dari segi pendaftaran dan akan memastikan tiada ketirisan. Jadi kita kena ubah peranan agensi kerajaan daripada menjadi pemain utama, kali ini kita bangunkan masyarakat. Biar nelayan itu berubah sebab mereka akan ada anak. Anak-anak inilah yang akan masuk ke dalam industri dan membuat perubahan kelak.
  • SOALAN: Sebelum ini, ada atau tidak Nekmat mengkomersialkan produk-produk ikan?
  • JAWAPAN: Sekarang, mereka sudah jual ikan ke taman-taman, tetapi tidak menyeluruh. Inilah yang hendak ubah. Jika dahulu, mereka tidak menjual ikan di pasar tani, tetapi kini mereka sudah boleh berbuat demikian.
  • Sebelum ini, setiap agensi hanya fokus tugasan tertentu, tetapi dengan gabungan Nafas, Nekmat dan Fama, ia menghasilkan kerjasama yang baik dalam industri ini. Contohnya, Fama penting kerana mereka sudah ada nama dalam pasar tani. Ia membolehkan nelayan jual ikan terus kepada pengguna.
  • SOALAN: Memandangkan LKIM kini bertindak sebagai fasilitator, bagaimana pula dengan tugas inovasi sektor perikanan. Adakah ia masih dijalankan LKIM atau diserahkan kepada persatuan nelayan?
  • JAWAPAN: Tidak. Baru-baru ini, dalam perjumpaan saya bersama dengan pengurusan LKIM, kita kena pertimbangkan semula antara tangkapan di laut dengan membuat produk baru iaitu akuakultur iaitu penternakan ikan di darat. Kita tidak mahu produk ini berhenti sekerat jalan.
  • Ada satu tapak penternakan ini di Tok Bali, Kelantan yang diusahakan oleh bekas pegawai LKIM dengan kerjasama persatuan nelayan kawasan.
  • Di sana, mereka mampu menjana 20,000 ikan Siakap, dalam tempoh dua tahun dengan pemantauan berterusan.
  • Masalahnya dengan penternakan darat ini ialah berkaitan air dan makanan ikan.  Makanan ikan (palet) misalnya agak mahal, namun, saya difahamkan, Nafas akan bekerjasama dengan Agro Bank untuk mewujudkan kilang makanan ikan di Malaysia. Apabila sudah ada kemudahan, Jabatan Perikanan akan laksanakan penternakan itu. Secara tidak langsung, ia boleh mengurangkan lagi kos. Dengan cara itu, orang muda dapat jadi usahawan dalam bidang ini.
  • SOALAN: Sejak ditubuhkan pada 1971, kejayaan apa paling membanggakan LKIM?
  • JAWAPAN: Sepanjang tempoh itu, kita membangunkan nelayan dari segi sosioekonomi, menaikkan industri perikanan Malaysia dan nelayan di Malaysia.
  • Saya lihat itu kejayaan yang sangat membanggakan kerana nelayan mendapat tempat untuk mereka bergantung dan membangunkan potensi nelayan, cuma kita berhasrat mewujudkan generasi muda yang terlibat dalam industri berasaskan perikanan, yang menjadi salah satu misi saya dalam LKIM.
  • Apabila saya baca laporan antarabangsa berkaitan perikanan laut dalam, mereka ada ‘cooling-off period’ menangkap ikan untuk membolehkan ikan-ikan yang kecil membesar. Nelayan juga mesti kena mempraktikkan perkara ini.
  • SOALAN: Sejauh mana isu penyelewengan berlaku dalam kalangan nelayan itu sendiri?
  • JAWAPAN: Saya tidak nafikan tentang isu yang dibangkitkan baru-baru ini di Kuala Besut, Terengganu. Sebelum ini, saya pernah mendengar kes penyelewengan pemberian diesel bersubsidi. Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan nelayan yang cuba mengambil peluang dan melakukan ketirisan subsidi diesel.
  • Setakat ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan lanjut.
  • Saya telah meminta LKIM menjalankan siasatan secara serius, tanpa mengira sama ada ia melibatkan nelayan ataupun persatuan nelayan.
  • Apa yang penting, setiap wang dibelanjakan kerajaan dalam pemberian subsidi diesel tidak boleh dicemari dengan perkara negatif kerana harapan rakyat terlalu tinggi terhadap industri perikanan. Paling penting, kita hendak memastikan ketirisan tidak akan berlaku pada masa akan datang.
  • Bagi mengatasi masalah ini, kami sedang menyediakan pelan tindakan yang baru untuk dicadangkan kepada kerajaan.
  • Kita ada kajian semula pemberian diesel bersubsidi untuk nelayan laut dalam C2 dan C iaitu nelayan laut dalam yang menggunakan pukat tunda atau jerut. Saya difahamkan, kes penyelewengan diesel ini banyak berlaku dalam kalangan nelayan C dan C2.

Bantuan RM30,000 MyHome untuk rakyat miskin bandar

 

  • SEJUK sedikit hati golongan miskin bandar apabila Kerajaan Persekutuan akan melancarkan Program MyHome (Rumah Saya) pada April ini bagi membolehkan pembeli rumah yang layak diberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000.
  • Ini bererti kumpulan sasar yang kebanyakannya menghuni bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Kelang, Putrajaya, Seremban, Melaka, Batu Pahat, Johor Baru, Pulau Pinang, Seberang Perai, Kuantan dan sebagainya dapat membeli rumah terpilih pada harga kos rendah.
  • Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas dipersetujui dalam mesyuarat pertama Majlis Perumahan Negara, yang dipengerusikan beliau sendiri. Mesyuarat juga bersetuju memperuntukkan RM300 juta tahun ini bagi menjayakan program berkenaan, yang disasar untuk melibatkan 10,000 unit rumah.
  • Menerusi program itu, subsidi akan diberikan kepada pemohon yang layak untuk membeli pada harga rumah kos rendah mengikut definisi yang ditetapkan kerajaan negeri.
  • Misalnya kalau kerajaan negeri menetapkan rumah kos rendah pada harga RM40,000, sedangkan pemaju terpaksa menjual rumah pada harga RM70,000, maka kalau pemaju dan pembeli berkenaan layak untuk mengambil bahagian dalam skim ini, maka rumah RM70,000 akan dijual pada harga RM40,000, dan baki RM30,000 dibayar kerajaan.
  • Ini bermakna pembeli hanya perlu membayar rumah itu mengikut harga rumah kos rendah di negeri berkenaan, iaitu RM40,000, manakala baki RM30,00 akan dibayar oleh kerajaan.
  • Majlis Perumahan Negara diumumkan penubuhannya pada pembentangan Bajet 2014 bagi tujuan memantau, menyelaras dan merumus pelbagai inisiatif untuk memastikan hasrat kerajaan membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun tercapai.
  • Antara syarat yang ditetapkan peserta program ini ialah pembeli perlu memperoleh berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan mereka tidak boleh menjual rumah itu dalam tempoh 10 tahun.
  • Untuk makluman, penduduk Malaysia yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dianggarkan seramai 10 juta orang (laporan CEUPACS). Ini bererti Program MyHome dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 20 tahun untuk disempurnakan.
  • Apa pun bagi pemaju perumahan pula, mereka boleh memohon untuk dipertimbangkan ke program ini oleh sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan nanti, dan apabila diluluskan barulah mereka boleh iklankan unit-unit yang layak diberi subsidi berkenaan, manakala dari segi pembayaran, kerajaan akan membayar terus kepada pemaju.
  • Ini supaya pembeli dapat manfaat daripada skim ini, dan ia memudahkan lagi bagi mereka mendapat pinjaman bank, sebab mereka sudah layak untuk dipertimbangkan.
  • Sementara itu, mesyuarat itu juga memutuskan untuk membangunkan pangkalan data secara menyeluruh berhubung sektor perumahan, yang dinamakan 'MyHome Exchange'.
  • Pangkalan data itu amat berguna kepada kerajaan, bagi membolehkan Majlis Perumahan Negara mendapat maklumat tepat dalam menentukan halatuju dan perkembangan industri perumahan, di samping maklumat lebih lengkap berkaitan aspek permintaan dan penawaran unit rumah.
  • Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan 'MyHome Exchange' akan dilancarkan dalam masa tiga atau empat bulan. Ia merupakan pusat sehenti dalam mendapatkan maklumat tentang sesebuah projek perumahan.
  • Ia berbeza jika dibandingkan dengan laman web yang ada sekarang seperti iproperty.com, kerana MyHome Exchange ini akan mempunyai sebuah pangkalan data yang lengkap termasuk status terkini sebuah projek perumahan baharu...contohnya projek perumahan berkenaan telah siap mungkin 30 peratus atau 50 peratus.
  • MyHome Exchange akan mempunyai pangkalan data dan butiran lengkap tentang pemaju perumahan swasta dan projek perumahan kerajaan seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Berhad, 1Malaysia Development Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.

Perebutan kerusi MB Selangor - Episode 2

  • BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib (Mat Taib) akan diserapkan dalam jentera pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menakluk Kajang bulan depan.
  • Mat Taib dikatakan pakar dalam beberapa portfolio. “Saya akan panggil beliau kerana kepakarannya dalam program desa dan luar bandar. Saya yakin, beliau akan dapat membantu dan memanfaatkan kepakarannya dalam pentadbiran kerana program Kajang dan Selangor ini adalah program untuk rakyat,” kata Anwar ketika berkempen ikut suka sendiri di Kajang, tanpa mematuhi arahan SPR supaya berkempen mengikuti tarikh yang ditetapkan.
  • Mengenai Mat Taib lagi, tokoh veteran itu pernah memegang jawatan Menteri Besar Selangor dan dikaitkan dengan kontroversi apabila Mahkamah Majistret Brisbane memutuskan beliau bersalah membawa wang tunai berjumlah RM2.4 juta ke Australia.
  • Berikutan itu, beliau letak jawatan pada 1998 setelah memegang jawatan tersebut sejak 1986. Menjelang PRU13 yang lalu, beliau ambil keputusan menyertai PAS dan turut berkempen untuk PR.
  • Beliau menyertai PAS selepas mendapat nasihat bertahun tahun daripada Timbalan Mursyidul Am PAS Dato Haron Din. Mat Taib berkata beliau sanggup menjadi wakil menyatukan umat Melayu Islam di Malaysia yang berpecah pelah di dalam Umno, PKR dan Pas.
  • Kini beliau dikatakan akan bergandingan dengan Anwar untuk mentadbir Selangor selepas pilihan raya kecil Kajang. Ini bererti beliau sanggup melupakan tragedi 1986 di Brisbane, Australia yang mana Anwar (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) dikatakan telah memerangkap Mat Taib dengan peristiwa itu sehingga memaksa beliau melepaskan jawatan MB Selangor.
  • Perangkap yang sama dikatakan telah dikenakan kepada Datuk Seri Mohd Najib, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan semua ahli Team Wawasan yang telah menjulang Anwar sebagai TPM ketika itu bagi menjatuhkan Tun Ghafar Baba, sekaligus melanggar tradisi Umno. Akibatnya Anwar dipecat daripada kerajaan dan UMNO.
  • Tak mengapalah jika Mat Taib sanggup melupakan peristiwa pahit itu demi menjaga kesejahteraan negeri Selangor bersama Anwar dan rakan-rakan yang ada dalam PAS dan PKR. Kalau tak sanggup, mana mungkin beliau sanggup turun berkempen untuk PR dan Anwar pada PRU13 yang lalu. Mungkin sebelum ini mereka berdua sudah ada `konsensus' yang disepakati.
  • Namun bukan mudah bagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu menyerahkan jawatan MB Selangor kepada Anwar atau mana-mana pemimpin lain dalam Pakatan. Ini bukannya main pondok-pondok. Jawatan MB sangat penting dan bukan boleh dicampak-campak bagaikan kertas.
  • Dalam keadaan tertekan Abdul Khalid menjelaskan kepada media bahawa penyerahan kerusi MB hanya bayangan Anwar sahaja. "Kamu tulis sahaja sebagai bayangan. Saya tidak akan jawab sehingga suatu masa yang (perlu) dijelaskan. Jadi tunggulah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, semalam.
  • Beliau diminta mengulas spekulasi bahawa Anwar akan mengambil alih jawatannya dan beliau akan mengambil alih jawatan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Diminta mengulas mengenai pendapat bahawa Anwar mahu bertanding di Dun Kajang pada 23 Mac ini supaya dapat merancang politik Selangor kerana Abdul Khalid kurang mahir dalam percaturan politik, beliau berkata itu adalah pandangan ahli politik.
  • Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan menyertai Pas memandangkan terdapat undangan demikian. “Saya tidak mahu jawab perkara ini. Persoalan menteri besar tidak perlu dijadikan isu untuk dibahaskan. Buat masa ini beri peluang pengundi di Kajang tentukan pilihan mereka," katanya.
  • Dalam perkembangan yang sama, beberapa pemimpin Pakatan memberitahu isu lantikan MB bukan keputusan mutlak PKR, sebaliknya persetujuan dan keputusan bersama antara Pakatan (DAP, PAS dan PKR).
  • Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, dalam hal lantikan MB Selangor misalnya, kesepakatan perlu diperoleh terlebih dahulu daripada rakan PR sebelum ia dilakukan. Jika keputusan telah diperoleh, rakan PR perlu hormati dan pertahankan keputusan tersebut kerana ia telah menjadi budaya dalam PR.
  • Ditanya mengenai kenyataan bahawa PKR tamak kuasa untuk menduduki kerusi MB Selangor yang sepatutnya diberi kepada Pas, kata Rafizi “Mencampuri keputusan PR dilihat seakan-akan takut jika Anwar dilantik menjawat jawatan itu,” katanya. Pada isu itu juga, Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin berkata Jangan cuba campur tangan dalam keputusan PR kerana ini strategi yang terbaik,” katanya.
  • Sama ada Anwar boleh menjadi MB Selangor atau tidak, itu satu isu yang sedang difikirkan semua pihak. Pada masa yang sama rakyat Selangor sedang melihat ke mana arah Abdul Khalid sekarang ini, samada mahu tunduk kepada Anwar atau berkompromi dengan PAS atau UMNO.
  • Ketika Abdul Khalid sedang berdepan dengan konflik perebutan kerusi, rakyat Selangor kini sedang diulit kemarau yang serius. Seperti biasa persoalan kritikal itu beliau tolak bulat-bulat kepada SYABAS dan Puncak Niaga yang menyebabkan masalah air semakin serius dan tidak terkawal.
  • Penyudahnya rakyat Selangor pening kepala. Nak salahkan siapa. Nak mengadu pada siapa. Nak sokong kerajaan mana. Ini kerana semua pihak mengatakan mereka berada di pihak yang benar. Ertinya tiada siapa yang bersalah. Sekali lagi rakyat berada di persimpangan kekeliruan antara fakta dan auta.