Tuesday 16 September 2014

Ribut suria henti bekalan elektrik, rosakkan sistem elektronik dunia

  • JIKA benar ribut suria yang besar akan berlaku pada bila-bila masa tahun ini, ia akan menghantar suar suria kelas-X ke arah Bumi dan akan menyebabkan dunia lumpuh dalam banyak cara yang kita tidak boleh digambarkan dan menyebabkan hampir semua tidak boleh berfungsi sehingga dibaiki.
  • Bayangkan telefon bimbit, kereta, trak, kapal terbang, komputer, televisyen, radio atau permainan elektronik semua tidak berfungsi.
  • Oleh kerana tiada bekalan elektrik seluruh dunia untuk beberapa bulan maka sudah tentu tiada sistem perbankan moden, gedung makanan di rompak dan bekalan air terjejas.
  • Keadaan dunia yang huru-hara ini akan menyebabkan kebuluran dan kematian kepada penduduk dunia. Ia akan mengambil masa bertahun untuk memulihkan semua sistem di dunia jika Bumi dihentam atau dilanggar oleh ribut solar yang kuat.
  • Penduduk dunia tertanya-tanya bagaimanakah fenomena ini boleh berlaku. Sejak tahun lepas lagi fenomena solar maksimum digembar-gembarkan sebagai kejadian yang dahsyat malah ada yang mengaitkannya dengan dunia di hujung hari.
  • Ancaman yang dijangka adalah kerosakan kepada stesen jana kuasa seperti yang telah terjadi ketika solar maksimum pada tahun 1989 melibatkan bandar Quebec dan pantai timur Kanada mengalami bekalan elektrik terputus.
  • Pada masa yang sama juga beberapa satelit perhubungan juga kehilangan sementara orbit mereka yang menyebabkan frekuensi radio tergendala di Bumi dan perhubungan elektronik telah diubah.
  • Demikian antara jawapan yang dikongsi oleh Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin, pakar astro fizik Universiti Malaya menerusi e-mel.
  • Beliau berkata, pancaran sinar-X yang kuat jika terdedah kepada angkasawan adalah amat berbahaya kepada kesihatan.
  • Pada masa sama ejeksi jisim korona yang mengandungi zarah-zarah yang bertenaga tinggi dan jika zarah-zarah bertenaga tinggi ini apabila memasuki sistem kawalan elektronik satelit akan mengakibatkan pusat kawalan satelit di Bumi akan terputus hubungan dengan satelit tersebut.
  • Ini bermakna satelit itu akan dianggap telah hilang. Apakah sebenarnya dimaksudkan dengan solar maximum atau fenomena ribut solar ini?
  • Dr. Mohd. Zambri berkata, untuk memahami takrifan solar maksimum kita perlu mengetahui kitaran matahari atau suria atau kitaran aktiviti magnetik matahari terlebih dahulu.
  • Katanya, kitaran suria atau kitaran aktiviti magnetik matahari adalah perubahan berkala dalam jumlah pancaran atau sinaran dari matahari yang menyirami Bumi.
  • Menurutnya, matahari mempunyai tempoh purata sekitar 11 tahun dan salah satu komponen daripada perubahan matahari yang berkala, manakala komponen yang lagi satu adalah perubahan yang tidak berkala.
  • Perubahan suria membuat cuaca angkasa berubah dan seterusnya memberi kesan ke atas cuaca dan iklim di Bumi. Kitaran itu diperhatikan dengan membilang kekerapan kehadiran tompok di permukaan matahari.
  • Kitaran suria mengambil masa secara purata 11 tahun dari satu solar maksimum ke solar maksimum berikutnya dan telah diperhatikan bahawa perubahan antara sembilan dan 14 tahun bagi sebarang kitaran suria yang diberikan.
  • Dr. Mohd. Zambri menjelaskan, bahawa solar maksimum adalah tempoh apabila aktiviti solar adalah tertinggi dalam kitaran suria bagi matahari. Semasa solar maksimum, terdapat bilangan tompok matahari yang banyak di atas permukaannya iaitu melebihi angka 200.
  • Takrifan saintifik solar maksimum adalah tempoh apabila garisan medan magnet matahari terlalu herot disebabkan medan magnet yang berada pada khatulistiwa matahari berputar pada kelajuan yang lebih sedikit dari kedua-dua kutubnya itu.
  • Ini menyebabkan medan magnet matahari berpintal atau menyimpul. Akibatnya akan berlaku suar suria atau julangan bebola api yang bersaiz gergasi dari permukaan matahari dan juga ejeksi jisim korona.
  • Menurut beliau lagi, kali terakhir solar maksimum berlaku pada kitaran suria ke -23 adalah pada tahun 2000/2001. Solar maksimum yang seterusnya dalam kitaran suria ke-24 dijangka pada hujung tahun lalu atau Februari lalu seperti mana diramalkan Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).
  • Ramalan tersebut, kata beliau berdasarkan kepada solar minimum untuk kitaran suria ke-24 dikatakan telah bermula pada bulan Mac 2008.ketika solar minimum, diperhatikan tidak terdapat sebarang tompok matahari di atas permukaan matahari.
  • Ini bermaksud tiada suar suria dan matahari di katakan senyap. Solar maksimum yang akan berlaku pada kitaran ke-24 ini dikatakan adalah yang lemah semenjak tahun 1928 mengikut NASA.
  • Menurut Mausumi Dikpati dari National Center for Atmospheric Research (NCAR), kitaran tompok matahari berikutnya akan menjadi lebih kuat antara 30 peratus dan 50 peratus berbanding kitaran terdahulu. Jika ini betul, maka penghasilan letusan aktiviti solar adalah kedua terbesar dalam sejarah solar maksimum iaitu yang pertama pada 1958.
  • Dikpati meramalkan solar maksimum berlaku pada tahun 2012 manakala David Hathaway dari National Space Science and Technology Center (NSSTC) pula tidak bersetuju dengan Dikpati. Beliau meramalkan solar maksimum berlaku pada tahun 2010 dan 2011. Ini terbukti tidak tepat.
  • Selalunya, ramalan tentang bila berlakunya solar maksimum dan kekuatannya adalah sentiasa tidak tepat kerana banyak perkara yang manusia sehingga hari ini tidak memahami perilaku Matahari. Apa yang pasti adalah ribut matahari, suar suria dan ejeksi jisim korona berlaku untuk kitaran suria ke-24 sama ada pada akhir tahun 2012 atau pun awal tahun 2013 atau pun awal tahun 2014.
  • Ahli Fizik Suria, Dean Presnell meramalkan bahawa untuk kitar suria 24 ini, kita akan dapati dua puncak maksimum iaitu pada akhir tahun 2012 dan awal tahun 2014. Bagaimanapun katanya, tambahan kepada semua tompok Matahari itu, terdapat aktiviti solar yang begitu hebat iaitu suar sinar-X yang kuat akan terpancar daripada permukaan matahari dan ejeksi jisim korona boleh membebaskan zarah bertenaga tinggi ke ruang angkasa.
  • Suar suria dipercayai meletup dari matahari dengan kekuatan letupan seperti satu juta bom atom diletup serentak. Ketika solar maksimum, Bumi akan mengalami cahaya utara dengan lebih banyak lagi iaitu fenomena aurora yang sangat menarik dapat disaksikan di kawasan kutub utara dan kutub selatan yang mempunyai latitud 480 darjah Utara atau 480 darjah Selatan ke atas.
  • Oleh itu, jika benar ribut suria yang besar berlaku, ia akan menghantar suar suria kelas-X ke arah Bumi dan akan menyebabkan dunia lumpuh dalam banyak cara yang kita tidak boleh digambarkan dan menyebabkan hampir semua tidak boleh berfungsi sehingga dibaiki. – Oleh: Laupa Junus.

Hari Malaysia: Di sini lahirlah sebuah cinta

  • SEJARAH pembentukan dan kemerdekaan sesebuah negara sangat penting diketahui dan fahami oleh rakyatnya terutama kalangan generasi muda. Fakta sejarah membuktikan bahawa negara yang bebas merdeka dan berdaulat akan menjadikan sesebuah negara itu aman, maju dan makmur.
  • Semangat cintakan negara dengan semangat patriotisme mendorong sambutan hari kebangsaan tahun ini iaitu 57 tahun negara merdeka dan 51 tahun penubuhan Malaysia bertemakan, 'Malaysia...Di sini lahirnya sebuah cinta.' Tema ini membawa maksud mendalam tentang kelahiran cinta yang agung kepada sebuah negara bernama Malaysia.
  • Memerdekakan sebuah negara memerlukan pengorbanan dan idea yang jelas serta wawasan yang bijaksana daripada seorang pemimpin. Matlamat pembentukan Malaysia untuk mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan keharmonian sosial.
  • Pembentukan Persekutuan Malaysia pada mulanya terdapat pelbagai reaksi yang pro dan kontra, tetapi dapat diatasi melalui Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju untuk menyertai Malaysia.
  • Sebagai rakyat negara ini, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan pada 16 September 1963 dikenali Malaysia.
  • Justeru, setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara sampai bila-bila.
  • Tarikh 31 Ogos 1957 pula penting dan bermakna kepada semua rakyat Malaysia kerana detik ini menandakan negara kita mula bebas daripada penjajahan British.
  • Persekutuan Tanah Melayu - menyambut baik gagasan Malaysia. Namun, terdapat perbezaan pendapat tentang cara pelaksanaannya.
  • Sejarah telah membuktikan bahawa bagi Singapura, sebelum keluar dari Malaysia, mengalu-alukan gagasan Persekutuan Malaysia. Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia. Brunei pula menarik diri daripada menyertai Persekutuan Malaysia.
  • Idea dan cadangan Gagasan Persekutuan Malaysia adalah untuk menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei dalam sebuah kerajaan persekutuan yang dinamakan Persekutuan Malaysia. Tetapi akhirnya Singapura keluar dari Malaysia dan Brunei mengundur diri daripada menyertai Malaysia untuk menentukan masa depan negara sendiri.
  • Jika diteliti idea pembentukan Persekutuan Malaysia bukanlah suatu yang baharu. Ura-ura untuk menggabungkan Tanah Melayu dengan wilayah British yang lain telah kedengaran sejak akhir kurun ke-19 lagi.
  • Mengikut catatan sejarah, gagasan tersebut telah dikemukakan dalam suatu majlis makan tengah hari Persatuan Wartawan Luar Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.
  • Dalam Majlis itu Tunku Abdul Rahman menyatakan: "Lambat laun Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat Singapura, Borneo Utara, Brunei, dan Sarawak. Adalah agak terlalu awal untuk saya menyebutkan cara bagaimana persefahaman itu dapat dicapai, namun tidak dapat dielakkan bagaimana kita perlu mencapai objektif ini dan memikirkan satu rancangan bagaimana wilayah-wilayah ini dapat dibawa kepada satu kerjasama politik dan ekonomi yang rapat."
  • Akhirnya, kira-kira dua tahun kemudiannya, gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman ini telah dapat direalisasikan apabila Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963 walaupun terdapat reaksi kurang senang Indonesia dan Filipina terhadap gagasan Malaysia.
  • Sejarah membuktikan bahawa pada 16 September terbentuk Malaysia dengan penggabungan Sabah, Sarawak dan Singapura. Apabila nama Malaysia diberikan secara tidak langsung, nama Melayu pada Persekutuan Tanah Melayu hilang dan secara beransur-ansur nama Melayu semakin hilang.
  • Justeru, Hari Malaysia pada 16 September mestilah disambut oleh semua rakyat dan kaum di negara ini bagi menyatakan rasa syukur atas kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini. Idea daripada kepimpinan yang berwibawa, bijaksana dan berpandangan jauh ini telah menjadikan Malaysia terkenal di mata dunia.
  • Perlu diingatkan kejayaan Tunku Abdul Rahman menggabungkan beberapa buah negeri dalam sebuah persekutuan dengan kaedah diplomasi sukar dilakukan oleh pemimpin negara lain di dunia. Malah idea-idea penggabungan oleh pegawai tinggi British sebelumnya menemui kegagalan.
  • Pembentukan Persekutuan Malaysia telah mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, keseimbangan serta perpaduan kaum di samping keharmonian sosial dan juga keselamatan dalam kalangan penduduk di negeri-negeri di bawah Malaysia.
  • Selain itu, Persekutuan Malaysia terbukti telah memajukan sosioekonomi negeri-negeri yang menganggotainya. Kawasan pasaran ekonomi yang luas telah dapat diwujudkan di samping sumber tenaga manusia serta sumber asli dalam kalangan negeri anggota dapat disatukan.
  • Pembentukan Persekutuan Malaysia dapat menghapuskan sekatan cukai dalam kalangan negeri anggota dan memudahkan usaha untuk menarik pemodal dari luar.
  • Semua ini telah menjadi elemen penting memajukan taraf hidup rakyat khususnya di Sarawak dan Sabah.
  • Selain itu, pengaruh komunis di Sarawak yang boleh membahayakan kehidupan rakyat dapat dihapuskan. Persekutuan Tanah Melayu mempunyai banyak pengalaman dalam membanteras pengaruh komunis semasa zaman darurat dan akhirnya dapat menjamin keselamatan dan kestabilan dalam kalangan negeri anggota.
  • Lantaran itu, bukti sejarah ini sangat penting dan harus difahami serta dimanfaatkan oleh kalangan generasi muda terutama mereka yang lahir selepas merdeka dan selepas Hari Malaysia pada 16 September 1963 bagi mengisi dan membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, aman, makmur dan stabil dari segi ekonomi dan keselamatan.
  • Di sinilah akan lahirnya cinta kepada negara Malaysia, tanah tumpah darah dan terus berusaha memupuk semangat perpaduan, menyatupadukan pelbagai kaum, memperkukuhkan kerjasama sosial dan ekonomi dalam sebuah negara yang merdeka. - Oleh Dr. Aminudin Mansor


Ada sampah di bawah tikar politik Malaysia


  • SEPULUH hari yang lalu rakyat Malaysia dikejutkan oleh tindakan berterus-terang Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Katanya, Datuk Seri Wan Azizah Ismail tiada kelayakan untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
  • Beberapa akhbar bertarikh 7 September 2014 menyiarkan alasan oleh Hadi. Bagi sesetengah pihak, sikap berterus-terang Hadi membantutkan langkah Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
  • Bagi pihak lain, pernyataan yang jujur lebih baik daripada penyembunyian sampah di bawah tikar.
  • Wan Azizah tahu tentang tingkat tahap dirinya sebagai pemimpin. Oleh sebab itu, beliau tidak berasa marah kepada Hadi. Beliau sedar, Pas telah banyak berkorban untuk pencapaian PKR, bukan sebaliknya. Selaku pemimpin atasan pembangkang, Azizah dan mereka yang lain tahu bahawa kerjasama DAP, Pas dan PKR besar kemungkinan akan sia-sia akhirnya.
  • Hala tuju mereka berlainan. Sejauh yang diketahui oleh pemikir politik, dan juga oleh ahli politik yang berfikiran tinggi, kerjasama ketiga-tiga parti itu hanya bertujuan menjatuhkan Barisan Nasional.
  • Secara keseluruhan, rakyat Malaysia mungkin bersetuju apabila Datuk Nik Abdul Aziz mengatakan PKR tidak wajar dilayan sangat. Ayat Nik Aziz tegas. Rakyat Malaysia tahu bahawa PKR, sama seperti Semangat 46, ialah serpihan daripada Umno.
  • Selaku serpihan Umno, kaedah Umno tidak akan ditinggalkan jauh. Perhatikan, walaupun Tengku Razaleigh dan Anwar memiliki perwatakan yang berbeza, hasrat mereka sama. Pada masa lepas, Tengku Razaleigh ialah pencabar Tun Mahathir, dan beliau mahu menjadi Perdana Menteri. Kemudian, Anwar Ibrahim yang juga berasal dari barisan kepimpinan Umno, mahu menjadi Perdana Menteri.
  • Melalui pandangan noe-Freudianisme, adalah biasa tokoh yang di bawah akan menentang tokoh yang di atas. Tokoh yang berada di bawah Mahathir, malah pernah dididik oleh Mahathir, akhirnya menentang Mahathir. Anwar dan watak-watak lain yang menentang ketua lama,  memaparkan diri dan parti barunya seakan-akan amat berlainan malah bertentangan dengan Mahathir dan Umno.
  • Hal yang begini sukar difahami oleh pengikut fanatik mana-mana parti dan tokoh, namun pengkaji dan peninjau politik dapat melihatnya dengan jelas.
  • Kini, Hadi Awang telah menyelak tirai helah politik sekular itu. Hasilnya, ada pengikut fanatik yang kembali sedar bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim (seperti Datuk Seri Najib Razak juga) ialah murid Tun Mahathir.
  • Dalam kalangan orang politik, perkara ini dan yang sebegini amat mudah ditanggapi. Misalnya, perihal Wan Azizah tidak layak menjadi menteri besar dikesani banyak pihak. Namun, perkara yang berlaku membawa dua makna.
  • Pertama, sejumlah ahli politik suka jika Wan Azizah menjadi menteri besar, kerana beliau ialah isteri Anwar. Isteri Anwar akan membawa imej dan cita-cita Anwar. Kedua, ‘tokoh’ tertentu mahu Wan Azizah menjadi menteri besar untuk masa yang singkat sahaja. Tanpa bakat yang cukup Wan Azizah akan berhenti, dan ‘tokoh’ itu akan mengambil empatnya.
  • Pendekatan Freudian memang menarik dalam melihat tingkah laku manusia, terutama orang politik. Sejumlah mereka tiada ketulusan hati untuk berbakti kepada rakyat, kerana semua itu ditindih di bawah hasrat mahu melonjak.
  • Itu biasa saja, dan rakyat boleh menerima sesiapa saja yang melonjak naik jadi menteri besar, asalkan prosesnya diperhalus. Wan Azizah pernah mengatakan Anwar ialah anugerah ALLAH untuk rakyat Malaysia, dan dalam ‘Langkah Kajang’ Anwar pula mengatakan Wan Azizah layak menjadi MB.
  • Demikianlah mutual admiration antara mereka berdua, dan itu masih tidak mengapa, kerana jalan politik adalah pelbagai. Sesetengah orang berasa kesal kerana kes pemilihan MB telah menyebabkan PKR bermasam muka dengan Pas. Mungkinkah masam di Selangor akan menjadi manis di Pengkalan Kubor?
  • Walau apa pun, eloklah ‘masam manis Pakatan Rakyat’ ini diperhatikan oleh rakyat pada tahap kini. Jika PKR, Pas dan DAP sudah membina kerajaan bersama, dan pertelingkahan tentang hala tuju berlaku, rakyat akan terlalu serba salah dan susah. Politik ialah seni segala kemungkinan. – Oleh: Datuk Rahman Shaari


Siapa PASMA dan apa agenda mereka


  • Pentas politik tanahair kita semakin menarik dengan lahirnya Pasma. Ia kini menjadi bahan bualan ahli-ahli politik termasuk para penganalisisnya. Justeru Pasma bukanlah sebuah NGO kebajikan yang lahir atas orientasi kebajikan seperti Yayasan Amal, Muslim Care dan lainnya.
  • Juga bukan sebuah NGO yang diwujudkan untuk memperjuangkan hak rakyat tertindas seperti Royalti (R) , Anak dan lainnya. Sebaliknya ia adalah sebuah NGO yang diluncur ke tengah arus politik tanahair dengan sentimen dan agenda politik tersendiri.
  • Pertemuan Pasma pada 31 Ogos 2014 di Pustaka Az Zahra Kota Bharu tempoh hari jelas mempotraitkan rupa wajah Pasma yang sebenar. Pastinya ia bukan pertemuan yang merancang strategi dan aktiviti kebajikan sebagaimana tanggapan setengah pihak terhadap NGO ini.
  • Sebaliknya ia adalah sebuah pertemuan yang sarat dengan perbincangan dan kritikan kepada pucuk pimpinan Pas iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Malah mereka bincang bagaimana untuk menjatuhkan Presiden.
  • Pertemuan tersebut turut merencana Plan A dan Plan B sehingga menelurkan idea pelaksanaan konsep 1 Jamaah 2 Parti. Satu idea yang membawa maksud menubuhkan sebuah parti baru bagi menggantikan Pas di dalam PR setelah mood pertemuan tersebut dibentuk dengan satu persepsi kononnya Pas yang sedang diterajui  oleh Abdul Hadi mahu bekerjasama dengan Umno dan dilabel sebagai Geng UG sementara mereka pula adalah Pro PR. Jika konsep 1 Jamaah 2 Parti itu menjadi kenyataan, barangkali Parti Ummah Sejahtera ( فاس ) akan wujud.
  • Lebih jauh perbincangan mereka ialah strategi untuk menjatuhkan Presiden Pas. Saya difahamkan oleh seorang saksi yang hadir dalam pertemuan Pasma pada 31 Ogos 2014 tempoh hari, bagaimana Shaikh Umar Bagharib Ali seperti mencabar seorang pemimpin kanan Pas Pusat yang turut hadhir dalam pertemuan itu, betapa 24 orang AJK Pas Pusat yang pro mereka (dari 36 orang keseluruhannya) kenapa tidak boleh menguasai keputusan Pas Pusat? Menganggap Presiden Pas sebagai bodoh siasah dan menyebut bahawa Jawatankuasa Pas Pusat yang ada pada hari ini boleh turunkan Presiden Pas tanpa perlu pun menunggu Muktamar Pas.
  • Seorang peserta yang lain pula menyebut bahawa fokus mesti dialihkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali untuk dijatuhkan dengan maksud jatuh Mustafa, maka lemah dan jatuhlah Presiden Pas. Fokus dialih kerana disebabkan reputasi Presiden yang sedang harum dengan pelantikan sebagai Naib Presiden Persatuan Ulama Sedunia tempoh hari.
  • Sementara resolusi pertemuan itu disampaikan oleh Ust Mohd Taib Ahmad, Setiausaha Pasma. Beliau menegaskan jika AJK Pas Pusat tidak mahu menurunkan Presiden Pas, maka semua AJK Pas Pusat kita turunkan termasuk  Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Naib-naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan semua AJK Pas Pusat kita turunkan semuanya. Kenyataan beliau berasaskan satu keyakinan bahawa terdapat usaha mahu menubuhkan kerajaan campuran dengan Umno di Selangor.
  • Menyentuh soal rahsia parti pula, beliau menyebut bahawa baiah yang dibuat oleh pimpinan Pas Pusat boleh dilanggar kerana ia dianggap batil  dan melanggar baiah boleh diselesaikan dengan menyembelih seekor kambing (sebagai membayar kifarah). Ucapan resolusi Pasma itu juga turut menegaskan bahawa Majlis Syura Pas hanya diperalat oleh Mustafa. Mustafa 'over rule' segalanya, beliaulah Presiden Pas yang sebenarnya.
  • Penjelasan ini adalah sebahagian dari keseluruhan perbincangan yang jelas menggambarkan agenda sebenar Pasma. Pertemuan itu menjadi majlis "membelasah" pimpinan Pas khasnya Presiden Pas.
  • PasMa menjadi forum  yang akan bergerak secara terbuka ke seluruh negara dengan membawa agenda tersebut. Himpunan mereka di Pustaka Az Zahra menyaksikan kesungguhan mereka mendokong agenda yang mengatasnamakan usaha menyelamatkan Pas itu.
  • Antara yang mengambil bahagian berucap dan melontarkan pandangan dalam Perhimpunan Pasma yang berlangsung di Pustaka Az Zahra Kota Bharu tempoh hari ialah Ustaz Mohamad Hussin selaku pengerusi dan menyampaikan ucapan alu-aluan, sementara penceramah pertama ialah Dr Hatta Ramli dan penceramah kedua ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi.
  • Saya melihat tidak mustahil Pasma akan menjadi pintu laluan ke arah penubuhan parti baru atau serpihan Pas yang bakal dianggotai oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pas sebagaimana sejarah telah merakamkan penubuhan Hamim dan Berjasa.

NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
AJK Pas Pusat

Ahli Parlimen Temerloh