- Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) diadakan untuk mengekang perbuatan menghasut yang terlampau sehingga terjadinya pertumpahan darah pada 13 Mei pada tahun 1969.
- Sesungguhnya ia menunjukkan bahawa negara berbilang kaum seperti Malaysia sangat menghargai kepelbagaian dan memutuskan untuk tidak lagi berkompromi dan mengambil mudah akan hal-hal berkaitan dengan sensitiviti kaum. Setiap kaum tentunya mempunyai sensitiviti yang pelbagai. Kaum Melayu merujuk kepada Perkara 3(1), Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181, Perlembagaan Persekutuan.
- Menyedari akan hal itu, kerajaan Malaysia dalam usaha mengekang kejadian yang serupa berulang, meminda Akta Hasutan 1948 mengikut ramuan dan acuan tempatan dengan memasukkan elemen-elemen yang sangat penting kepada negara supaya ianya dapat menegah sesiapa saja yang cenderung untuk menghasut daripada menyentuh perkara-perkara yang tidak boleh dipertikaikan lagi, dalam bentuk apa sekalipun, seperti Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181, Perlembagaan Persekutuan.
- Bertitik tolak daripada tragedi berdarah 13 Mei, kebebasan bersuara, dalam negara ini tidak lagi memberikan lesen untuk sesiapa pun untuk mengkritik apa saja. Apatah lagi untuk mengkritik, waima berdiskusi sekalipun tentang kedudukan, keperluan atau relevansi perkara-perkara sensitif tersebut.
- Seseorang yang bergelar akademik tentulah sepatutnya lebih arif akan hal ini. Namun entah apalah bala, entah siapalah yang kurang pahala, masih terdapat lagi segelintir yang bebal, atau mungkin juga seronok dipuji rakan-rakan, ‘berani’ (bodoh dan tidak bertanggugjawab sebenarnya!) untuk mengungkit akan perkara-perkara tersebut.
- Apatah lagi jika seseorang itu seorang Melayu, yang berani mempersoalkan Perkara 153, tentulah akan mendapat sokongan dan dokongan segelintir mereka yang berkepentingan, terutamanya mereka-mereka yang sememangnya secara terang-terangan atau tersembunyi, anti dan benci akan Perkara 153, perlembagaan Persekutuan.
- Ingin ditekankan di sini, seorang Melayu pun sebenarnya tidak mempunyai lesen bebas untuk mempersoalkan perkara-perkara di atas. Mungkin perbuatan tersebut akan kelihatan sangat ke depan, namun,suka atau tidak, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara, wajib dihormati. Golongan anti Perlembagaan Persekutuan wajar ambil perhatian tentang perkara ini.
- Tentunya seorang pensyarah undang-undang akan lebih sedar dengan hal ini? Atau mungkinkah kerana seronok dengan pujian yang melambung atau mungkin juga kerana selesa dengan imbuhan yang menggunung, seorang Melayu, seperti sesetengah yang boleh kita lihat, sudah mula lupa daratan dan memilih untuk tidak menjunjung langit di bumi yang dipijak.
- Apatah lagi apabila perasaan bongkak melulu mula timbul dengan kesenangan materi yang diperoleh, leka dengan keselesaan hidup diri dan keluarga, lalu persetankan mereka-mereka yang masih memerlukan ‘tongkat’ untuk bertaut hidup.
- Amatlah memalukan untuk seseorang ahli akademik atau sesiapa sekalipun yang mencari makan sebagai kolumnis atau apa sekalipun, dan didakwa disebabkan oleh kerja penulisannya dan lain-lain kerja, yang tidak pernah pula mahu menghormati peraturan dan undang-undang sedia ada, cuba menipu khalayak-khalayak yang cintakan keamanan atau sekumpulan pelajar-pelajar naif (atau mungkin juga lemah berbahasa Inggeris) untuk melobi supaya perbicaraan yang sedang berjalan dihentikan oleh pihak-pihak tertentu.
- Apa jua alasan, apa juga pertimbangan, makhamah harus dibiarkan bebas untuk menjalankan amanahnya tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak sekalipun. Bukankah itu yang selama ini kita mahu? Sebuah Institusi Kehakiman yang bebas daripada cengkaman Esekutif. Bebas juga daripada campur tangan politik.
- Jadi kenapakah ada diantara kita kini, cuba melobi supaya Perdana Menteri menghentikan kes-kes pendakwaan yang sedang mengambil tempat? Kangaroo Court apakah yang sedang kita bina untuk Malaysia sekarang?
- Apa mungkinkah Majlis Peguam mempunyai alasan yang kukuh selain daripada sentimen melulu tidak berasas bahawa ‘kawan-kawan’ seperjuangan mereka patut dibebaskan daripada segala pertuduhan?
- Kenapakah ketika Ustaz Abdullah Zaik didakwa menghasut tempoh hari, Majlis Peguam, Aliran dan Gerakan tidak menyatakan bantahan secara terbuka seperti yang berlaku kini?
- Kenapakah tidak berlaku sebarang hartal untuk menunjukkan solidariti kepada beliau? Kenapakah tidak ada EGM oleh Majlis Peguam?
- Kenapakah tidak ada tandatangan petisyen sokongan oleh Aliran? Kenapakah pula tidak ada bantahan daripada parti Gerakan?
- Adakah hanya seorang Abdullah Zaik yang wajar didakwa menghasut dan yang lain, tidak? Jika tidak, adakah Pejabat Peguam Negara akan mengkaji semula dakwaan yang dikenakan ke atas Presiden ISMA itu, bersama-sama dengan yang lain seperti yang diumumkan semalam?
- Atau adakah keinsanan Abdullah Zaik itu lebih rendah daripada seorang Azmi Shahrom, contohnya, maka ada yang wajar diteruskan pendakwaan dan ada yang tidak?
- Bukankah Abdullah Zaik juga bercakap daripada segi akademik yang masih boleh dibangkang atau dipersetujui dengan hujah berserta dengan dalil dan fakta?
- Benar ‘How can we legislate thought?’. Jadi kenapakah lesen akademik hanya menjadi hak ekslusif seseorang dan tidak yang lain? Liberalisme bentuk apakah ini yang sedang kita perkenalkan kepada rakyat Malaysia?
- Tentunya sebuah liberalisme pura-pura yang penuh dengan kebatilan yang cuba menipu mereka-mereka yang kurang cerdik atau rendah diri dan kendiri. Ianya hanyalah sebuah hipokrasi basi yang sudah berkali-kali diulang-tayang dan penonton-penonton seperti kami sudah mula jemu!
- Jika tidak kenapa perlu ada ‘double standard’? Jika tidak kenapakah rakyat Malaysia harus berpandangan terbuka, liberal dengan perbincangan akademik Azmi Shahrom, contohnya dan tidak boleh berliberal dengan perbincangan akademik Abdullah Zaik?
- Kita semua nampaknya semakin mengenali bahawasanya ‘moderates’ bukanlah benar-benar moderates atau terdiri daripada mereka-mereka yang selalu bersederhana dengan pandangan dan perbuatan mereka.
- Bagaimanapun atau dengan apa namapun, mereka cuba memberikan penjenamaan dan pakej baru penampilan mereka. Mereka sebenarnya beraliran liberal. Namun dengan hipokrasi yang ditunjukkan oleh puak-puak liberal seminggu dua ini, dengan dwi-standard yang mereka cuba laungkan kini, kita mungkin juga akan mula nampak, bahawa, mereka-mereka itu tidaklah seliberal mana, sebenarnya!
- Jika tidak sanggup mempertahankan perjuangan ‘sampai ke pangkal lengan’. Tidak sanggup untuk ‘genggam bara sampai jadi abu’ dan berdiri tegak atas nama perjuangan mereka. Maka sedarlah kita bahawa mereka-mereka ini bukanlah para pejuang yang sering digambarkan sebagai kelompok yang paling terkedepan dengan perjuangan mereka.
- Mereka-mereka ini yang tidak sanggup untuk bertanggungjawab malah mula merengek apabila didakwa dan cuba pula melobi untuk dilepaskan dengan demo, hartal dan sebagainya, tidak lebih daripada sekumpulan konservatif yang sudah penat mencuba-cuba memakai topeng liberal. Menjadi liberal rupanya tidaklah seseronok yang disangka.
- Tidak lagi seronok kerana realitinya, dunia, dan undang-undang khasnya, tidak berpusing mengikut kehendak dan telunjuk mereka sebenarnya.
- Mereka perlu sedar bahawa, modus operandi menghasut yang selama ini mereka pakai dalam usaha mereka untuk mengisi secupak-dua tembolok masing-masing, patut dihentikan segera. Adalah menjadi harapan kita semua, supaya mereka-mereka ini sedar bahawasanya senjata yang sering digunakan mereka bisa memakan diri. Mereka tidak kebal dan tidak selama-lamanya kebal undang-undang!
- Dan tentunya kita tidak boleh bersetuju dengan pandangan sesetengah daripada mereka yang suka mengatakan bahawa Wawasan 2020 tidak boleh dicapai hanya kerana negara masih mempunyai undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970). Apa kena mengena, akta tersebut dengan keboleh-langsungan produktiviti negara?
- Namun apa yang pasti, sesebuah negara yang aman, seperti Malaysia, dan tidak seperti Thailand, atau Mesir, contohnya, tentunya akan dapat merancakkan lagi kegiatan ekonominya untuk terus berdaya saing. Tanpa gangguan yang akan merencatkan perjalanan ekonominya.
- Mungkin juga Singapura, jiran kita yang mempunyai kepelbagain kaum yang tinggi sama seperti kita, boleh dijadikan contoh. Singapura maju dan menjadi tumpuan jutawan dan selebriti dunia, seperti Eduardo Saverin dan Gong Li, sekadar menyebut dua nama, bukan kerana nyanyian ‘Majulah Singapura’ yang menjadi mantra setiap rakyatnya. Ianya bukan juga dicapai dengan termansuhnya akta hasutan legasi penjajah seperti telahan ramai ‘cendiakawan-cendiakawan’ Malaysia.
- Hakikatnya Singapura menawarkan kualiti hidup yang tinggi dengan prasarana moden dunia pertama dan dibantu pula dengan pelaksanaan undang-undang yang cekap dan berkesan.
- Pendekatan ‘no nonsense’ yang diamalkan Singapura nampkanya berjaya mengekang kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti rusuhan daripada berlaku, seperti yang dapat kita lihat baru-baru ini, di Bangkok dan juga seperti yang kita semua pernah alami, di Kuala Lumpur itu sendiri beberapa tahun yang lalu.
- Dan bukankah keamanan dan keharmonian hiduplah yang kita semua mahu? Malah Singapura, selain daripada lokasinya yang strategik, menjadi tumpuan ramai pemastautin tetap ‘high nett worth’, kata Kishore Mahbubani, Dekan dan Profesor di Lee Kuan Yew, School of Public Policy, adalah kerana keberadaan undang-undangnya yang walaupun dilihat ketat, namun menjadi sandaran dan keyakinan kepada mereka-mereka yang sangat cintakan keamanan dan keharmonian hidup.
- Adakah kita, rakyat Malaysia, juga mencintakan keamanan dan keharmonian hidup seperti rakyat Singapura?
- Dan kepada mereka-mereka yang masih berpendapat bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) sebagai sesuatu yang kuno dan tidak sesuai dengan tahun 2014, kita ingin bertanyakan adakah mereka juga mempunyai pandangan yang sama terhadap Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukkan Malaysia?
- Apa perlukah kita memansuhkan juga undang-undang tertinggi negara hanya kerana sesetengah daripada kita menganggapnya sebagai entiti kuno dan merupakan legasi penjajah British yang akan menghalang kita semua daripada mencapai Wawasan 2020? Mungkin kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Hapus Akta Hasutan boleh bagi pencerahan? – Oleh: Megat Rizal M.H
Sunday 14 September 2014
Negara bakal huru hara tanpa Akta Hasutan 1948
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment