- SETIAP kali berkesempatan mewawancara bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau tidak pernah berhenti daripada membicarakan tentang nasib dan masa depan orang Melayu.
- Jelas bagi beliau walaupun sering sahaja mengkritik pedas tentang sikap dan mentaliti orang Melayu, namun itu semua hanyalah ingatan dan nasihat ikhlas beliau yang tetap berusaha mahu melihat bangsa yang disayanginya itu maju dan berkemampuan seperti bangsa-bangsa hebat lain.
- Dr. Mahathir tetap menekankan supaya orang Melayu lebih rajin, ikhlas dan menguasai bahasa Inggeris supaya nasib mereka lebih terbela bukan sahaja di bumi sendiri tetapi juga di peringkat antarabangsa.
- SOAL: Semasa Tun hendak melepaskan jawatan Perdana Menteri, antara faktornya kerana Tun gagal mengubah sikap dan budaya orang Melayu. Setelah 11 tahun berlalu, bagaimana Tun melihat minda orang Melayu sekarang?
- MAHATHIR: Saya bukan letak jawatan pasal saya gagal untuk mengubah minda orang Melayu tetapi sebab sudah terlalu lama. Sebenarnya banyak lagi kerja hendak kena buat tetapi kalau kita duduk terlalu lama, orang naik bosan.
- Ada orang bercakap bila lagi orang tua ini hendak pergi. Sebab itu saya letak jawatan. Kalau saya boleh, saya masih hendak berusaha tukar minda orang Melayu kerana bagi saya - berjaya atau tidak seseorang atau sesuatu bangsa atau negara, bergantung kepada nilai hidup yang dia pegang dan dia amal.
- Bukan pegang, amal sama. Antara terima dengan amal, berlainan. Kita terima, kita tahu ini baik, ini tidak baik. Kadang-kadang kita larang yang ini jangan buat, kita buat juga. Tidak apa, orang tidak tahu. Itu yang jadi masalah.
- Saya punya fokus satu sahaja. Yang pertama, rajin. Rajin bekerja dan dalam apa kerja pun kita buat, mesti rajin. Sebab itu, saya cuba tunjuk masa saya jadi Perdana Menteri, 'Kepimpinan Melalui Teladan.' Kalau pemimpin malas, jangan harap orang yang di belakang dia hendak jadi rajin.
- Sebab itu, saya kerja lebih daripada orang lain. Ini sudah pencen 11 tahun. Saya mula kerja bila orang lain pencen, umur 56. Orang lain (umur) 56 berhenti kerja. Saya umur 56 mula kerja (jadi Perdana Menteri).
- Lepas itu, hendak kena tunjuk kepada orang pula, kena kerja, mesti kerja kuat. Siang malam saya kerja. Saya sebagai Perdana Menteri, tidak ada 'time' (waktu kerja) pukul 8 (pagi) sampai 5 (petang) atau pukul 9 (pagi) sampai 4 (petang). Tidak ada. Bagi saya, sepanjang masa, saya Perdana Menteri. Keluarga pun tidak ada (masa).
- Sebab itu saya, kadang-kadang orang tanya, macam mana baharu balik dari luar negeri, tiba-tiba kerja. Pergi luar negeri, hari ini saya sampai, hari itu juga saya kerja atau esok saya kerja. Dahulu kalau pergi luar negeri, balik kena cuti dua minggu. Itu membazir. Sebab itu saya hendak tunjuk, tidak mati dengan kerja kuat. Mati kerana lain, bukan kerana kerja kuat.
- SOAL: Melihat kepada suasana sekarang, adakah Tun melihat orang Melayu masih belum rajin?
- MAHATHIR: Belum rajin. Umpamanya tidak rajin belajar. Kalau kita pergi universiti, 70 peratus perempuan. Budak-budak jantan (lelaki), apa dia buat? Jadi mat rempit. Itu saya kata tidak rajin. Bila pergi universiti pula, tidak belajar betul-betul. Tidak baca buku, baca setakat disuruh sahaja.
- Cuti sekolah pun macam itu. Masa zaman dahulu, bila naik 'standard' (kelas), dapat buku teks baharu, saya habiskan buku teks itu tidak sampai sebulan. Ini baca setakat itu sahaja. Sepatutnya, kalau kita hendak dapat pengetahuan, kita tidak boleh baca buku teks sahaja. Kena baca macam-macam buku. Saya baca berpuluh buku terutama dalam bahasa Inggeris.
- Saya malu, budak-budak Cina belajar tiga bahasa tetapi cakap bahasa Inggeris lebih fasih daripada budak-budak Melayu. Kita belajar dua bahasa sahaja, Melayu dengan Inggeris tetapi orang-orang Melayu cakap cukuplah apa hendak belajar Inggeris lagi.
- Cara hendak belajar Inggeris dengan membaca. Saya bukan tahu sangat grammar (tatabahasa) ini semua. Saya baca banyak. Jadi, bila saya tulis sesuatu, saya berasa tidak kena pasal sudah baca buku bahasa Inggeris. Kalau kita baca buku banyak, rajin dan kalau boleh, kita kena sebut apa yang kita baca.
- Bukan baca sahaja. Insya-Allah kita akan menguasai bahasa Inggeris dengan mudah. Kita seronok pula sebab kita baca buku cerita. Dalam bahasa Inggeris, banyak buku cerita. Kadang-kadang kita pegang itu, kita mula baca, hendak berhenti tidak boleh pasal seronok. Dia pandai atur. Dari bab ini kepada bab ini, ada sesuatu yang kita tertanya-tanya apa jadi. Kalau tidak baca lagi, tidak dapat jawapan.
- Apabila saya kena kendali krisis kewangan hari itu (1998), saya tidak tahu pasal perbankan. Saya kena belajar pasal perbankan, kena baca buku pasal perbankan. Kalau kita rajin baca dan kalau kita boleh baca, orang Kedah kata derah-derah (nada kuat), mereka boleh acquire (dapat).
- Mungkin sebutan kita tidak kena tetapi sekarang ini kita boleh tengok televisyen dan dengar. Kalau kita ambil cakera padat yang ajar bahasa, kita boleh tahu macam mana hendak sebut sesuatu perkataan. Orang putih ini tidak pandai eja. Dia eja lagu lain tetapi sebut lagu lain, tidak sebagaimana kita. Kalau kita tidak dengar mereka bercakap, kita tidak tahu cakap.
- SOAL: Tun berusaha laksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tetapi sudah pun dimansuhkan. Sekarang pula, kerajaan menetapkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mesti lulus Bahasa Inggeris dan pelajar universiti mesti lulus Bahasa Inggeris sebelum tamat pengajian. Macam mana Tun melihat perubahan dasar untuk mengukuhkan bahasa Inggeris?
- MAHATHIR: Kita pisahkan, satu penguasaan bahasa, satu penguasaan ilmu. Kita pergi ke sekolah, bukan hendak belajar bahasa sahaja. Baik bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Kita hendak dapat ilmu.
- Ilmu yang kita dapat itu, yang datang kepada kita, kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Dalam primary level, adalah dalam bahasa Melayu tetapi dalam bidang sains dan matematik, ini jenis ilmu yang bergerak. Ia bukan statik. Ilmu lain statik macam Geografi dan Sejarah.
- Macam sejarah, kalau tahun ini ada peperangan, dia tidak boleh tukar tahun lain. Geografi pula, kalau negeri itu sempadan ia macam itu, tidak tukar. Tetapi sains, tiap-tiap hari ada orang buat penyelidikan dan dia keluar keputusan penyelidikan.
- Kalau cari dalam buku tidak ada, kena baca. Jadi, kalau kita tidak tahu bahasa Inggeris macam mana kerana semua kertas penyelidikan datang kepada kita dalam bahasa Inggeris, tidak datang dalam bahasa Melayu. Sebab itu, saya perkenal pembelajaran Bahasa Inggeris dalam dua subjek. Yang lain semua tidak ada dalam bahasa Melayu sebab tidak berubah. Sekarang kegunaan matematik begitu terkehadapan.
- Kalau hendak hantar seseorang ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), kena tahu matematik sebab tapak pelancaran ini bergerak. Sebab itu, matematik amat penting, sains amat penting dan ini adalah ilmu yang bertambah setiap hari. Penggunaan kalkulator umpamanya, kita dahulu tulis dalam banyak huruf.
- Kita punya Jawi 36 dan rumi kurang sedikit tetapi kita guna nombor binari yang boleh eja sebarang. Kita kena belajar pasal ini. Kalau tidak macam mana, dalam kalkulator kita, kita tekan-tekan nombor, ia keluar nombor. Ia pakai nombor binari. Bila kita tekan, kuncinya cuma ya atau tidak sahaja, 'zero and one' (0 dan 1) tetapi dengan 0 dan 1, kita boleh eja lebih banyak benda daripada menggunakan abjad.
- Kita guna abjad, kita tidak boleh eja semua. Umpamanya, cakera padat video (VCD) kamu. Kamu dengar suara dengan gambar itu sempurna sebab setiap satu benda, setiap satu warna, ia ada kodnya, hanya 1010110. Ini nombor binari. Kita tidak faham benda ini.
- Dalam dunia yang guna nombor binari yang boleh hasilkan komputer dan telefon. Telefon merupakan satu benda yang hebat. Dahulu kita ada stesen penyiaran. Buat rumah besar dan macam-macam kita pasang, hendak buat penyiaran dan kita ada radio hendak dengar.
- Sekarang dalam poket kamu, ada stesen penyiaran dan stesen penerima. Ini hasil daripada nombor binari dan sains. Kita tidak jadi orang putih kalau guna bahasa Inggeris. Saya jadi orang Melayu, lebih Melayu daripada kebanyakan orang Melayu lain.
- Mengenai mesti lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, kena belajar kalau tidak, kita tidak lulus, apa guna kita belajar. Kena ada sukatannya. Kalau kita duduk darjah satu dengan darjah lain, tentulah ada sukatan. Kalau tidak ada sukatan, macam mana kita hendak tahu.
- Kita juga harus ingat, hari ini bahasa dunia ialah bahasa Inggeris. Kita perlu tahu bahasa kita tetapi kita perlu tahu bahasa Inggeris. Dalam dunia sekarang, manusia mesti ada dua bahasa iaitu bahasa ibunda dan bahasa ilmu. Bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu. Bila dia (kerajaan) kata kena lulus Bahasa Inggeris, saya sokong.
- Baru-baru ini, ada 300 pemohon minta kerja di Cyberjaya. Dia ditanya dalam bahasa Inggeris tetapi minta tanya "boleh tak tanya dalam bahasa Melayu." Jadi gagallah dia, sebab orang itu hendak guna bahasa Inggeris tetapi kamu tidak faham bahasa Inggeris.
- Jadi dalam 300 orang, cuma tiga orang dapat kerja. Tetapi daripada 300 orang ini, apabila diberi kursus dalam bahasa Inggeris sehingga dia boleh tulis dan bercakap, dapat kerja. Hakikatnya ialah bahasa Inggeris ialah bahasa untuk kita dapat kerja dan pendapatan bagi kita.
- Bukan bermakna bahawa kalau kita guna bahasa Melayu, kita tidak Melayu, kita masih Melayu. Saya masih Melayu walaupun saya boleh guna bahasa Inggeris, saya ingat baik juga, bolehlah hendak bercakap dengan siapa pun dan buat ucapan pun boleh tetapi saya tidak jadi orang putih.
- Ini bila cakap sahaja, kata kita semua hendak bahasa Melayu. Saya ingat rugi dan bangsa kita boleh jadi bangsa yang hanya boleh bercakap tetapi bodoh. Kalau macam itu tidak apalah, tetapi semasa saya jadi Perdana Menteri, saya tidak mahu orang Melayu jadi bodoh.
- SOAL: Tun ada kata kaum Melayu masih kurang integriti dan bersifat malas, adakah begitu teruk pada pandangan Tun sendiri atau sudah banyak berubah berbanding dahulu?
- MAHATHIR: Kalau banding dengan orang yang lebih malas, diri kita tidak teruklah. Tetapi kita kena banding diri kita dan mesti kena bersaing dengan orang, orang lain kerja kuat tetapi kita tidak kerja kuat. Kalau kita banding dengan orang malas, kita rajin tetapi kalau kita banding dengan orang lebih rajin, kita malas.
- Kita sekarang berlumba. Kalau kita datang daripada belakang dengan sama kelajuan dengan orang di depan, kita tidak boleh catch up (kejar). Kalau kita lebih perlahan, kita semakin lama semakin jauh. Jadi, kita kena lebih cepat daripada orang yang di hadapan kita. Kalau tidak, sampai bila kita tidak dapat kejar.
- Kita kena kerja lebih tekun, lebih kuat dan lebih rajin. Macam saya perkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pasal saya perhati orang Jepun rajin bekerja. Kalau kena masuk kerja pukul 8 pagi, dia datang pukul 7.30 pagi. Masa kita perkenalkan etika kerja Jepun dalam Proton, pekerja datang awal, runding sesama mereka tentang apa sasaran hari ini dan apabila masuk waktu kerja, dia masuk kerja.
- Masa saya makan tempura, saya perhati orang Jepun tidak pernah duduk diam. Dia basuh yang ini dan gilap yang itu. Hendak kata dia duduk melanguk, tidak ada. Tetapi kita, tidak ada apa kerja, hisap rokok dahululah. Orang yang bekerja ada sahaja kerja. Kalau berjalan pun, dia berjalan cepat. Dia tidak ada berjalan mundar-mandir.
- SOAL: Generasi sekarang dibekal dengan kemudahan teknologi yang menyebabkan orang menjadi lebih malas. Adakah orang Melayu boleh bersaing?
- MAHATHIR: Teknologi tidak menjadikan kita malas. Teknologi hanya memudahkan proses. Kalau mudah, kita boleh buat lebih kerja berbanding tidak ada teknologi. Kalau hendak kabad (karbaid) pokok, tidak ada tangga susah sedikitlah.
- Kalau ada, boleh naik lima pokok sehari atau lebih banyak lagi. Itu teknologi bukan mengurangkan beban kerja tetapi meningkatkan beban kerja pasal teknologi mempermudahkan proses. Ini kita tidak faham.
- Tengok sekarang orang guna telefon, dahulu hendak telefon hendak cari rumah dan dail. Kita boleh telefon sehari 10 kali mungkin. Sekarang kita boleh telefon sehari 100 kali. Ini teknologi. Bukan bermakna kita jadi lebih malas tetapi kita lebih produktif kerana ada teknologi.
- Kamu tidak harus jadi lebih malas tetapi harus jadi lebih produktif. Kalau hendak kejar ilmu sekarang, dalam telefon pintar ada ilmu. Semua ada. Tinggal lagi kena tekan. Kalau malas hendak tekan yang itu, kamu tidak dapat ilmu. Ini orang Melayu belum faham. Bukan bermakna dengan ada teknologi, kerja kita jadi ringan, sebaliknya dengan kerja kita ringan, kita boleh buat lebih kerja.
- SOAL: Jadi Tun yakin teknologi ini akan membantu orang Melayu jadi lebih berjaya?
- MAHATHIR: Dia mesti rajin. Kena rajin belajar macam mana hendak guna teknologi. Dia boleh buat kerja lebih banyak daripada dahulu. Dahulu kalau hendak bercakap dengan satu orang, kena naik motokar pergi jumpa orang itu. Sekarang sudah tidak ada, cakap sahaja.
- Kamu boleh kendalikan satu syarikat tanpa perlu keluar rumah. Bukan bermakna kita malas duduk di rumah tetapi kita buat kerja di rumah. Kita kena rajin guna masa untuk produktiviti pengeluaran yang lebih banyak kerana kemudahan.
- Kedua, berkenaan kejujuran, ikhlas dan amanah. Sekarang ini saya ada kedai roti. Saya hendak kata terus terang, saya amat malu kerana di antara pekerja Melayu, Cina atau Myanmar atau mana-mana, pekerja Melayu kadang-kadang kalau tengok duit, dia lupa, dia tak jujur. Dia nampak duit, kalau boleh sapu, dia sapu.
- Saya kena buang banyak orang Melayu kerana sikap ini. Orang Cina tidak begini. Kita orang Islam. Kita tahu apa makna amanah, apa makna ikhlas. Kalau kita janji buat kerja betul, kita kena buat. Ada seorang kita lantik jadi pengurus, dia cuba kongsi dengan pekerja-pekerja, kalau buat macam ini (menipu), kita boleh sapu duit.
- Pekerja beritahu kita, kita buang dia. Ada juga jadi pengurus, duit dapat, tidak masuk dalam bank, sapu. Ada yang bila jual barang, dia jual barang terima duit tetapi dia rekod jualan itu batal, duit dia ambil. Ini berlaku. Tidak ada amanah.
- Kalau kita ada amanah, apabila kita hendak hutang duit, orang akan beri sebab orang tahu kita akan bayar. Berapa banyak orang Melayu bila hutang, tidak bayar. Dapat biasiswa, tidak bayar balik. Bukan tidak ada duit, tetapi tidak bayar.
- Kita kena amanah. Apabila kita amanah, kita hutang kita bayar, orang punya duit kita urus dengan baik, kita tidak curi, orang Melayu akan jadi cukup berjaya. Kita mesti amanah supaya apabila orang beri kontrak kepada kita. Kita hendak beri kontrak, kita beri kepada Cina sebab kita tahu dia buat elok.
- Ini kelemahan kita, tidak amanah. Saya tidak pernah hendak tipu diri. Kalau malas, saya kata malas. Kalau orang tidak suka, tidak sukalah. Sepanjang saya jadi Presiden UMNO, saya berleter sepanjang masa.
- SOAL: Macam mana dengan penglibatan orang Melayu Islam dalam aktiviti jihad. Sekarang mereka sudah berani pergi ke negara lain untuk berperang dengan orang Islam sendiri. Apa pandangan Tun?
- MAHATHIR: Ia bermula dengan ajaran Islam yang salah. Apa kita belajar dalam bidang agama? Macam mana hendak sembahyang, puasa, zakat, buat kerja haji. Yang ini kita kata wajib. Tetapi Islam adalah ad-din, cara hidup.
- Dalam cara hidup itu ada banyak perkara yang dilarang dan banyak perkara disuruh. Yang ini tidak ajar. Umpamanya dalam al-Quran disebut, orang Islam tidak boleh bunuh orang terutamanya orang Islam lain.
- Kita tidak boleh persoal keislaman atau taraf keislaman orang semata-mata kerana dia berbeza sedikit daripada kita. Ya, kita tidak suka orang Syiah datang sini. Kita tidak ada masalah. Alhamdulillah, kita semua orang Melayu, Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Imam Syafie. Imam Syafie cukup ketat.
- Kita tidak tolak Maliki, Hambali dan Hanafi tetapi kita tolak Syiah. Kita tidak bersetuju dengan dia, kita tidak mahu dia datang sini tetapi kita tidak boleh kata dia ini kafir. Ini sudah sampai kepada satu tahap, orang Syiah ini kafir, kita bunuh dia. Itu salah. Dia mengucap dua kalimah syahadah, dia sembahyang, dia terima nabi, dia terima Allah SWT. Sebab itu saya kata sebabnya orang ini pergi berjihad kerana tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Sebaliknya, mereka ajar supaya orang Islam bermusuh dengan orang Islam.
- Orang ini kata, Oh! Jihad. Bunuh orang Islam jihad. Kamu berdosa dan kamu akan pergi ke neraka pasal kamu bunuh orang Islam. Kamu tengok macam mana mereka bunuh. Letak berderet, tembak dengan pistol. Adilkah? Tidak ada bicara dan tidak ada apa. Islam mengutamakan keadilan.
- Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Berkali-kali disebut dalam al-Quran. Adilkah dengan tidak ada bicara, kamu bunuh dia kononnya dia bukan Islam. Tetapi orang Syiah yang dibunuh ini semua sembahyang dan orang Syiah pula bunuh orang Sunni.
- Di mana dalam al-Quran, disuruh Syiah dengan Sunni ini berperang. Dalam al-Quran, ada satu Islam sahaja. Kita yang buat tiga Islam, empat Islam. Sekarang ini, ada 1,000 Islam. Islam `Ayah Pin' pun ada. Benda ini semua tidak betul.
Sunday 14 September 2014
Bicara Tun Mahathir soal minda Melayu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment