Sunday 14 September 2014

Kian sukar memiliki rumah di bandar

  • Kira-kira 25 tahun lalu, dengan pendapatan tetap RM800 hingga RM1,200 sebulan sudah mampu memiliki rumah teres tiga bilik berharga RM55,000.
  • Sekarang kakitangan lepasan universiti dengan pendapatan tetap RM2,500 hingga RM2,800 pun belum mampu membeli sebuah rumah.
  • Harga rumah sekarang amat mahal. Sudah tiada harga rumah murah seperti RM25,000 hingga RM42,000 lagi. Tidak ada lagi rumah teres dua tingkat yang berharga RM80,000 hingga RM125,000. Rumah-rumah yang tidak banyak berbeza dengan reka bentuk 25 tahun lalu itu sekarang tidak ada yang berharga bawah RM500,000.
  • Di kawasan pinggir Kuala Lumpur pun harga rumah dua tingkat melambung hingga RM600,000. Kalau yang dibina tiga tingkat pula berharga RM800,000 hingga RM2 juta.
  • Apa yang menghairankan ialah walau bagaimana tinggi harganya, ia dilaporkan habis dibeli. Entahlah betul dibeli orang atau hanya mainan spekulasi pemaju dan agensi hartanah. Jadi berebut-rebutlah orang ramai mencari projek rumah baharu sekarang sebab takut harganya akan melambung tinggi lagi.
  • Cuba lihat bila rumah siap untuk diduduki, naiklah kain rentang yang mengiklankan rumah untuk dijual. Bukan satu tapi banyak yang diuruskan oleh agensi hartanah.
  • Sejak tahun 2007, aliran kenaikan harga rumah bagaikan tak terkawal. Dahulu bila Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan untuk menaikkan harga rumah murah dalam kawasan projek mereka, kerajaan akan cuba menghalangnya.
  • Tetapi kini tak siapa yang menghalang, dibiarkan sahaja pasaran yang menentukan harganya. Inilah harga yang kita lihat sekarang hingga orang Melayu tidak mampu lagi membeli rumah di kawasan bandar. Projek perumahan rakyat miskin atau rumah murah sudah lama tidak kelihatan.
  • Baru-baru ini saya bertemu seorang usahawan hartanah, beliau mengatakan orang Melayu tak berani berhutang dan pinjam wang untuk beli rumah atau ruang niaga. Hal ini berbeza dengan kaum bukan Melayu yang berani melabur beli hartanah.
  • Sambil ketawa beliau mengatakan kalau bukan Melayu itu tak bayar hutang, dia masih boleh lari ke Hong Kong atau Taiwan. Tapi kalau orang Melayu tak bayar hutang, mahu lari ke mana?
  • Baru-baru ini REHDA menjangka harga rumah akan naik antara tiga hingga empat peratus berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bermula 1 April 2015.
  • Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, kenaikan tersebut berlaku selaras dengan peningkatan kos membina rumah sebanyak kira-kira 20 peratus yang kini ditanggung oleh pemaju berikutan kenaikan harga bahan binaan seperti pasir, simen, konkrit, premium tanah dan sebagainya.
  • Bayangkan kalau harga rumah sekarang paling murah pun RM500,000, bila naik tiga peratus bermakna kos rumah itu boleh naik RM15,000 lagi. Lagi mahal harga rumah itu maka bertambah mahal kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli.
  • Dalam hal ini, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertanggungjawab menguatkuasakan GST tahun depan menyangkal dakwaan REHDA. Namun hakikatnya kenaikan tetap berlaku walaupun kecil iaitu sekitar satu hingga dua peratus bergantung kepada kedudukan perumahan itu sendiri.
  • Saya membayangkan bagaimana anak-anak Melayu dan bumiputera hendak memiliki rumah sendiri jika begini trend harga rumah.
  • Harga rumah lama di Lembah Klang sekarang, kalau 25 tahun lalu berharga RM42,000 kini harganya meningkat daripada RM75,000 hingga RM115,000. Rumah teres tiga bilik yang dibeli 30 tahun lalu pada harga RM28,000 kini mencecah lebih RM260,000.
  • Apakah anak-anak muda hanya layak untuk membeli rumah lama sahaja? Setakat ini kita hanya mendengar banyak keluhan pembeli, tapi langkah-langkah memudahkan untuk memiliki rumah belum menyeluruh.
  • Pembeli tidak boleh hanya mengharap Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) kerana mereka yang layak pun begitu ramai. Kalau golongan berpendapatan rendah dibela untuk membeli rumah, bagaimana golongan berpendapatan sederhana?
  • Selama berlaku harga rumah mendadak tinggi, hanya digembar-gemburkan kos itu dan ini naik. Rakyat pun ingin tahu, tak mungkin harga simen satu kampit melambung sampai RM200. Begitu juga harga bahan-bahan binaan lain.
  • Setakat ini rakyat belum diberitahu secara jelas - fakta dan faktor - yang menyebabkan harga rumah melambung. Perkara yang sering dihebahkan ialah faktor spekulasi harga hartanah. – Oleh: Azman Anuar.


No comments:

Post a Comment