Sunday, 14 September 2014

Kenaikan harga rumah di Malaysia semakin menggila

  • RAMAI berpendapat, rumah dibina terlalu mahal harganya sehingga mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.
  • Tidak keterlaluan jika dikatakan sebenarnya banyak faktor penyebab kepada kenaikan harga rumah. Justeru Sinar Harian, mengupas punca harga rumah menjadi mahal dan mengapa ia berlaku?
  • Adakah penyelesaian bagi mengatasi kenaikan harga rumah terutama menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan, memandangkan terdapat khabar mengatakan pemaju bakal menaikkan lagi harga rumah tahun depan.
  • Permintaan tinggi di bandar, pemaju lebih minat bina rumah RM1 juta. Berdasarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), permintaan tinggi terutama di kawasan bandar adalah pendorong utama kenaikan harga rumah.
  • Kira-kira 70 peratus penduduk tertumpu di bandar-bandar utama yang merupakan pusat tumpuan aktiviti ekonomi. Bilangan penduduk  pula bertambah disebabkan migrasi untuk mendapatkan pekerjaan.
  • "Pembangunan kawasan bandar utama menjadi padat.  Permintaan terhadap tempat kediaman pula melebihi penawaran. Berikutan penawaran yang terhad dan persaingan mendapatkan kediaman yang diingini, menjadi faktor yang mendorong harga meningkat secara tidak langsung.
  • "Oleh kerana harga tanah sudah meningkat, trend harga rumah juga turut meningkat. Disebabkan berlakunya kekurangan dalam penawaran tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan kediaman," kata jabatan tersebut.
  • Menurut laporan JPPH, Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda  pada suku pertama 2014 dalam unit baharu dilancarkan pada harga dalam lingkungan RM500,000 sehingga RM1 Juta.
  • Berdasarkan rekod terdapat pertambahan daripada 264 unit pada suku keempat 2013 kepada 684 unit pada suku pertama 2014.
  • “Ini menunjukkan pemaju lebih cenderung membina rumah-rumah berharga tinggi, iaitu RM500,000 ke atas. Manakala di Selangor menunjukkan penurunan sebanyak 28.3 peratus pada suku pertama 2014 berbanding suku keempat 2013.
  • “Bagaimanapun, Johor menunjukkan peningkatan drastik di mana pada suku keempat 2013 terdapat hanya 16 unit baharu dilancarkan meningkat kepada 396 unit pada suku pertama 2014.
  • “Di Kuala Lumpur dengan keadaan populasi yang padat masih terdapat permintaan dari kalangan pembeli tempatan yang mampu untuk memiliki harta harga yang sedemikian,” kata jabatan itu.
  • Menurut JPPH, Johor Bahru menunjukkan peningkatan drastik dalam permintaan melebihi RM1 juta kerana dipengaruhi pembeli warga asing di Iskandar Malaysia.
  • Sementara itu, Pengurus  PropertyGuru Malaysia, Gerard Kho berpendapat, pemaju lebih gemar membina rumah berharga lebih RM1 juta seperti kondominium, adalah kerana keluasan tanah yang tidak sesuai untuk pembinaan rumah teres. Jadi kondominium adalah pilihan tepat.
  • "Tambahan pula, masyarakat di kawasan bandar mungkin lebih suka memilih kediaman seperti kondominium disebabkan pilihan gaya hidup dan perkhidmatan yang ditawarkan kawasan kediaman seperti faktor keselamatan yang lebih terjamin.
  • "Kedudukan kediaman dengan tempat kerja yang mungkin mengambil masa perjalanan kurang 15 minit juga menjadi faktor utama pembeli gemar memiliki kondominium," katanya.
  • Dalam pada itu, laporan sama turut menyaksikan pengurangan bilangan rumah baharu dilancarkan ke dalam pasaran sebanyak 38.8 peratus daripada 10,831 unit yang direkodkan pada suku sebelumnya kepada 6,631 unit.
  • Mengikut jenis harta tanah, pangsapuri khidmat terus menguasai pasaran perumahan baharu dengan 2,441 unit dilancarkan daripada keseluruhan jumlah dalam negara, diikuti teres 2,399 unit. Teres setingkat pula membentuk 1,053 unit, manakala teres 2-3 tingkat membentuk 1,346 unit. Unit berkelompok dan rumah berkembar 2-3 tingkat, masing-masing membentuk 626 unit dan 439 unit.
  • Mengikut negeri, Kuala Lumpur,  Selangor dan Johor memiliki bilangan unit rumah baharu dilancar tertinggi pada tempoh kajian yang menyumbang 63.2 peratus (4,191 unit) syer pasaran negara.
  • Kuala Lumpur menawarkan 1,844 unit rumah baru manakala Selangor dan Johor, masing-masing menawarkan 1,207 unit dan 1,140 unit.
  • Harga tanah pengaruhi harga rumah. Tidak dinafikan nilai harga tanah merupakan faktor utama yang mendorong penentuan sesebuah harga kediaman.
  • Ia melibatkan kos tanah, binaan, prasarana seperti sistem perparitan, jalan masuk dan penyediaan tapak. Selain itu, fi ikhtisas melibatkan khidmat profesional seperti arkitek, juruukur dan jurutera dalam sesuatu pembinaan dan sumbangan kepada pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom dan Syarikat Air turut mempengaruhi harga kediaman.
  • Gerard berkata, harga rumah ditentukan mengikut harga pasaran semasa, walaupun pemaju membeli tanah dua atau tiga tahun lebih awal sebelum kawasan tersebut dibangunkan.
  • "Tanah tersebut kemudian digunakan untuk pembangunan kawasan kediaman. Tanah dan bangunan yang sudah dibina merupakan kos yang akan dicaj oleh pemaju. Ia termasuk caj yang perlu dibayar pemaju ke atas kos bahan binaan.
  • "Setiap tahun kos bahan binaan dan tenaga buruh terus meningkat. Ia juga penyumbang kepada kenaikan harga rumah. Sudah pasti pemaju juga mahu mengaut keuntungan dan meletakkan margin pada jumlah tertentu. Semua faktor ini merujuk kepada penentuan harga rumah," katanya.
  • Mengambil contoh kawasan perumahan di Lembah Klang. Gerard berkata, nilai hartanah sememangnya tinggi. Apatah lagi pembeli selalunya akan mencari kediaman sekitar lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari tempat kerja.
  • "Ini juga menyumbang kepada faktor penentuan harga rumah yang mahal di Lembah Klang, Walaupun terdapat pemaju membina perumahan luar dari lingkungan ini, mereka (pemaju) tetap akan kembali melaksanakan projek-projek perumahan di kawasan Lembah Klang kerana permintaan yang tinggi, kerana itu harga rumah di Lembah Klang terus meningkat," katanya.
  • Menurut Gerard, spekulator juga turut memainkan peranan dalam penentuan harga rumah. "Sebagai contoh, pemilik yang membeli kediaman di projek perumahan fasa pertama (RM300,000) sudah tentu akan melihat harga yang berbeza dengan rumah yang dibina di fasa kedua. Pastinya harga rumah di fasa kedua lebih tinggi berbanding fasa pertama. Boleh jadi ia akan mencecah sehingga RM500,000 sebagai contoh.
  • "Ketika ini, pemilik kediaman di fasa pertama mengambil kesempatan dengan menjual rumah mengikut harga rumah yang dibina di fasa kedua. Bahkan mereka boleh menjual lebih dari harga pasaran. Walaupun pemilik dan bakal pembeli masih boleh berunding tentang harga, tetapi pemilik asal akan dapat mengaut keuntungan hasil daripada jualan rumah. Golongan seperti ini juga penyumbang kepada kenaikan harga rumah," katanya.
  • Bagi Gerard, harga rumah hanya boleh dikawal mengikut keperluan dan permintaan. Jika permintaan tinggi maka harga rumah turut meningkat.
  • Harga bahan mentah naik 10 peratus, kenaikan paling tinggi. Berkuat kuasa 1 Mei tahun ini, semua harga bagi bahan binaan utama meningkat sehingga 10 peratus.
  • Kos pembikinan, pengangkutan, kenaikan bahan api dan bermacammacam kenaikan kos berkaitan semuanya menyumbang kepada kenaikan harga bahan binaan ini. Kenaikan pula berlaku saban tahun. Adakala dua kali dalam tempoh 12 bulan, dan ia berlaku tanpa notis.
  • Pembekal pula tiada pilihan selain menaikkan harga bahan binaan kerana mereka juga perlu menanggung kos terbabit.
  • Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas 'F' Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, kenaikan itu difahamkan adalah yang tertinggi sejak 2007.
  • "Bahan binaan utama termasuk besi, simen, pasir dan batu konkrit. Kenaikan melibatkan semua projek-projek di seluruh negara, namun bagi projek perumahan di kawasan pedalaman atau luar bandar, kosnya lebih tinggi berbanding di kawasan Bandar kerana kos pengangkutan dan penghantaran yang perlu ditanggung pembekal.
  • "Pada 2008, harga simen ketika itu RM8.50 satu beg. Kemudian naik sehingga 100 peratus dan mencecah RM16. Harga simen pula saban tahun meningkat. Harga besi kini RM2,000 tapi pernah mencecah sehingga RM4,000 pada 2008," katanya.
  • Katanya kenaikan yang mendadak ini turut menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat kontraktor dan pemaju yang terpaksa menghentikan kerja-kerja pembinaan dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan projek kerana melebihi bajet diluluskan.
  • Rumah teres RM1 juta menjelang 2020? Dari jangkaan dalam prospek jangka panjang, harta tanah kediaman akan terus meningkat pada masa akan datang.
  • Menurut JPPH, adalah tidak menghairankan menjelang 2020 rumah teres akan mencecah RM1 juta. Bahkan di lokasi panas, rumah sedemikian telah pun mencapai harga RM1 juta.
  • "Seiring dengan perkembangan masa dan senario serantau, rumah–rumah kediaman akan meningkat dari segi harga disebabkan harga bahan binaan yang meningkat dan kekurangan penawaran tanah di bandar utama seperti Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur dan sekitarnya.
  • "Kenaikan harga rumah tidak dapat dielakkan dan prospek harta tanah berkenaan akan terus meningkat seiring dengan langkah kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.
  • Katanya, isu kenaikan harga rumah dilihat sebagai senario yang lumrah dan berlaku di mana-mana negara sedang membangun. Di Malaysia, seperti dalam rekod-rekod yang lalu, kadar kenaikan harga rumah akan berbeza mengikut lokasi dan kawasan ‘panas’ yang menjadi pilihan pembeli dan pelabur.
  • Sektor harta tanah merupakan sektor penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. Kenaikan harga pada kadar yang biasa adalah sihat kerana ia membantu pertumbuhan industri harta tanah. Apa yang perlu dibendung adalah kenaikan harga yang mendadak.
  • GST tidak jejas harga rumah. Pengenalan GST akan menyebabkan kesan ‘one-off’ sekali sahaja ke atas kenaikan harga rumah di pasaran.
  • Menurut JPPH, walaupun sektor kediaman tidak dikenakan GST, namun sektor-sektor lain yang menyumbang kepada kediaman dikenakan GST seperti bahan binaan, Fi profesional dan lain-lain.
  • "Ini akan memberi sedikit impak kepada harga rumah di masa hadapan. Pelaksanaan GST dijangkakan akan mempengaruhi harga rumah disebabkan GST akan dikenakan ke atas bahan binaan dan industri pembinaan walaupun pembelian rumah kediaman dikecualikan dari GST.
  • Sementara itu, rata-rata pemaju melahirkan rasa kebimbangan terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April depan yang dikatakan bakal meningkatkan lagi harga rumah.
  • Bagi Tukiman yang sudah menghadiri beberapa sesi taklimat mengenai GST bersama Kastam. GST tidak menaikkan harga rumah.
  • "Ketika ini, setiap barangan dikenakan cukai berbeza. Tetapi sebaik GST dilaksanakan kesemua cukai tersebut menjadi satu. Bahkan setiap pembekal, pengedar dan peruncit boleh mendapat rebat. Ini bermakna, tiada sebab mengapa cukai tersebut perlu dipindahkan kepada pembeli.
  • "Bagaimanapun cukai tersebut tidak tertakluk kepada projek perumahan individu atau persendirian. Di mana pemilik rumah harus membayar GST kepada pemaju," katanya yang menyokong penuh pelaksanaan GST. – Sinar Harian


Kian sukar memiliki rumah di bandar

  • Kira-kira 25 tahun lalu, dengan pendapatan tetap RM800 hingga RM1,200 sebulan sudah mampu memiliki rumah teres tiga bilik berharga RM55,000.
  • Sekarang kakitangan lepasan universiti dengan pendapatan tetap RM2,500 hingga RM2,800 pun belum mampu membeli sebuah rumah.
  • Harga rumah sekarang amat mahal. Sudah tiada harga rumah murah seperti RM25,000 hingga RM42,000 lagi. Tidak ada lagi rumah teres dua tingkat yang berharga RM80,000 hingga RM125,000. Rumah-rumah yang tidak banyak berbeza dengan reka bentuk 25 tahun lalu itu sekarang tidak ada yang berharga bawah RM500,000.
  • Di kawasan pinggir Kuala Lumpur pun harga rumah dua tingkat melambung hingga RM600,000. Kalau yang dibina tiga tingkat pula berharga RM800,000 hingga RM2 juta.
  • Apa yang menghairankan ialah walau bagaimana tinggi harganya, ia dilaporkan habis dibeli. Entahlah betul dibeli orang atau hanya mainan spekulasi pemaju dan agensi hartanah. Jadi berebut-rebutlah orang ramai mencari projek rumah baharu sekarang sebab takut harganya akan melambung tinggi lagi.
  • Cuba lihat bila rumah siap untuk diduduki, naiklah kain rentang yang mengiklankan rumah untuk dijual. Bukan satu tapi banyak yang diuruskan oleh agensi hartanah.
  • Sejak tahun 2007, aliran kenaikan harga rumah bagaikan tak terkawal. Dahulu bila Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan untuk menaikkan harga rumah murah dalam kawasan projek mereka, kerajaan akan cuba menghalangnya.
  • Tetapi kini tak siapa yang menghalang, dibiarkan sahaja pasaran yang menentukan harganya. Inilah harga yang kita lihat sekarang hingga orang Melayu tidak mampu lagi membeli rumah di kawasan bandar. Projek perumahan rakyat miskin atau rumah murah sudah lama tidak kelihatan.
  • Baru-baru ini saya bertemu seorang usahawan hartanah, beliau mengatakan orang Melayu tak berani berhutang dan pinjam wang untuk beli rumah atau ruang niaga. Hal ini berbeza dengan kaum bukan Melayu yang berani melabur beli hartanah.
  • Sambil ketawa beliau mengatakan kalau bukan Melayu itu tak bayar hutang, dia masih boleh lari ke Hong Kong atau Taiwan. Tapi kalau orang Melayu tak bayar hutang, mahu lari ke mana?
  • Baru-baru ini REHDA menjangka harga rumah akan naik antara tiga hingga empat peratus berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bermula 1 April 2015.
  • Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, kenaikan tersebut berlaku selaras dengan peningkatan kos membina rumah sebanyak kira-kira 20 peratus yang kini ditanggung oleh pemaju berikutan kenaikan harga bahan binaan seperti pasir, simen, konkrit, premium tanah dan sebagainya.
  • Bayangkan kalau harga rumah sekarang paling murah pun RM500,000, bila naik tiga peratus bermakna kos rumah itu boleh naik RM15,000 lagi. Lagi mahal harga rumah itu maka bertambah mahal kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli.
  • Dalam hal ini, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertanggungjawab menguatkuasakan GST tahun depan menyangkal dakwaan REHDA. Namun hakikatnya kenaikan tetap berlaku walaupun kecil iaitu sekitar satu hingga dua peratus bergantung kepada kedudukan perumahan itu sendiri.
  • Saya membayangkan bagaimana anak-anak Melayu dan bumiputera hendak memiliki rumah sendiri jika begini trend harga rumah.
  • Harga rumah lama di Lembah Klang sekarang, kalau 25 tahun lalu berharga RM42,000 kini harganya meningkat daripada RM75,000 hingga RM115,000. Rumah teres tiga bilik yang dibeli 30 tahun lalu pada harga RM28,000 kini mencecah lebih RM260,000.
  • Apakah anak-anak muda hanya layak untuk membeli rumah lama sahaja? Setakat ini kita hanya mendengar banyak keluhan pembeli, tapi langkah-langkah memudahkan untuk memiliki rumah belum menyeluruh.
  • Pembeli tidak boleh hanya mengharap Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) kerana mereka yang layak pun begitu ramai. Kalau golongan berpendapatan rendah dibela untuk membeli rumah, bagaimana golongan berpendapatan sederhana?
  • Selama berlaku harga rumah mendadak tinggi, hanya digembar-gemburkan kos itu dan ini naik. Rakyat pun ingin tahu, tak mungkin harga simen satu kampit melambung sampai RM200. Begitu juga harga bahan-bahan binaan lain.
  • Setakat ini rakyat belum diberitahu secara jelas - fakta dan faktor - yang menyebabkan harga rumah melambung. Perkara yang sering dihebahkan ialah faktor spekulasi harga hartanah. – Oleh: Azman Anuar.


Bicara Tun Mahathir soal minda Melayu

  • SETIAP kali berkesempatan mewawancara bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau tidak pernah berhenti daripada membicarakan tentang nasib dan masa depan orang Melayu.
  • Jelas bagi beliau walaupun sering sahaja mengkritik pedas tentang sikap dan mentaliti orang Melayu, namun itu semua hanyalah ingatan dan nasihat ikhlas beliau yang tetap berusaha mahu melihat bangsa yang disayanginya itu maju dan berkemampuan seperti bangsa-bangsa hebat lain.
  • Dr. Mahathir tetap menekankan supaya orang Melayu lebih rajin, ikhlas dan menguasai bahasa Inggeris supaya nasib mereka lebih terbela bukan sahaja di bumi sendiri tetapi juga di peringkat antarabangsa.
  • SOAL: Semasa Tun hendak melepaskan jawatan Perdana Menteri, antara faktornya kerana Tun gagal mengubah sikap dan budaya orang Melayu. Setelah 11 tahun berlalu, bagaimana Tun melihat minda orang Melayu sekarang?
  • MAHATHIR: Saya bukan letak jawatan pasal saya gagal untuk mengubah minda orang Melayu tetapi sebab sudah terlalu lama. Sebenarnya banyak lagi kerja hendak kena buat tetapi kalau kita duduk terlalu lama, orang naik bosan.
  • Ada orang bercakap bila lagi orang tua ini hendak pergi. Sebab itu saya letak jawatan. Kalau saya boleh, saya masih hendak berusaha tukar minda orang Melayu kerana bagi saya - berjaya atau tidak seseorang atau sesuatu bangsa atau negara, bergantung kepada nilai hidup yang dia pegang dan dia amal.
  • Bukan pegang, amal sama. Antara terima dengan amal, berlainan. Kita terima, kita tahu ini baik, ini tidak baik. Kadang-kadang kita larang yang ini jangan buat, kita buat juga. Tidak apa, orang tidak tahu. Itu yang jadi masalah.
  • Saya punya fokus satu sahaja. Yang pertama, rajin. Rajin bekerja dan dalam apa kerja pun kita buat, mesti rajin. Sebab itu, saya cuba tunjuk masa saya jadi Perdana Menteri, 'Kepimpinan Melalui Teladan.' Kalau pemimpin malas, jangan harap orang yang di belakang dia hendak jadi rajin.
  • Sebab itu, saya kerja lebih daripada orang lain. Ini sudah pencen 11 tahun. Saya mula kerja bila orang lain pencen, umur 56. Orang lain (umur) 56 berhenti kerja. Saya umur 56 mula kerja (jadi Perdana Menteri).
  • Lepas itu, hendak kena tunjuk kepada orang pula, kena kerja, mesti kerja kuat. Siang malam saya kerja. Saya sebagai Perdana Menteri, tidak ada 'time' (waktu kerja) pukul 8 (pagi) sampai 5 (petang) atau pukul 9 (pagi) sampai 4 (petang). Tidak ada. Bagi saya, sepanjang masa, saya Perdana Menteri. Keluarga pun tidak ada (masa).
  • Sebab itu saya, kadang-kadang orang tanya, macam mana baharu balik dari luar negeri, tiba-tiba kerja. Pergi luar negeri, hari ini saya sampai, hari itu juga saya kerja atau esok saya kerja. Dahulu kalau pergi luar negeri, balik kena cuti dua minggu. Itu membazir. Sebab itu saya hendak tunjuk, tidak mati dengan kerja kuat. Mati kerana lain, bukan kerana kerja kuat.
  • SOAL: Melihat kepada suasana sekarang, adakah Tun melihat orang Melayu masih belum rajin?
  • MAHATHIR: Belum rajin. Umpamanya tidak rajin belajar. Kalau kita pergi universiti, 70 peratus perempuan. Budak-budak jantan (lelaki), apa dia buat? Jadi mat rempit. Itu saya kata tidak rajin. Bila pergi universiti pula, tidak belajar betul-betul. Tidak baca buku, baca setakat disuruh sahaja.
  • Cuti sekolah pun macam itu. Masa zaman dahulu, bila naik 'standard' (kelas), dapat buku teks baharu, saya habiskan buku teks itu tidak sampai sebulan. Ini baca setakat itu sahaja. Sepatutnya, kalau kita hendak dapat pengetahuan, kita tidak boleh baca buku teks sahaja. Kena baca macam-macam buku. Saya baca berpuluh buku terutama dalam bahasa Inggeris.
  • Saya malu, budak-budak Cina belajar tiga bahasa tetapi cakap bahasa Inggeris lebih fasih daripada budak-budak Melayu. Kita belajar dua bahasa sahaja, Melayu dengan Inggeris tetapi orang-orang Melayu cakap cukuplah apa hendak belajar Inggeris lagi.
  • Cara hendak belajar Inggeris dengan membaca. Saya bukan tahu sangat grammar (tatabahasa) ini semua. Saya baca banyak. Jadi, bila saya tulis sesuatu, saya berasa tidak kena pasal sudah baca buku bahasa Inggeris. Kalau kita baca buku banyak, rajin dan kalau boleh, kita kena sebut apa yang kita baca.
  • Bukan baca sahaja. Insya-Allah kita akan menguasai bahasa Inggeris dengan mudah. Kita seronok pula sebab kita baca buku cerita. Dalam bahasa Inggeris, banyak buku cerita. Kadang-kadang kita pegang itu, kita mula baca, hendak berhenti tidak boleh pasal seronok. Dia pandai atur. Dari bab ini kepada bab ini, ada sesuatu yang kita tertanya-tanya apa jadi. Kalau tidak baca lagi, tidak dapat jawapan.
  • Apabila saya kena kendali krisis kewangan hari itu (1998), saya tidak tahu pasal perbankan. Saya kena belajar pasal perbankan, kena baca buku pasal perbankan. Kalau kita rajin baca dan kalau kita boleh baca, orang Kedah kata derah-derah (nada kuat), mereka boleh acquire (dapat).
  • Mungkin sebutan kita tidak kena tetapi sekarang ini kita boleh tengok televisyen dan dengar. Kalau kita ambil cakera padat yang ajar bahasa, kita boleh tahu macam mana hendak sebut sesuatu perkataan. Orang putih ini tidak pandai eja. Dia eja lagu lain tetapi sebut lagu lain, tidak sebagaimana kita. Kalau kita tidak dengar mereka bercakap, kita tidak tahu cakap.
  • SOAL: Tun berusaha laksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tetapi sudah pun dimansuhkan. Sekarang pula, kerajaan menetapkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mesti lulus Bahasa Inggeris dan pelajar universiti mesti lulus Bahasa Inggeris sebelum tamat pengajian. Macam mana Tun melihat perubahan dasar untuk mengukuhkan bahasa Inggeris?
  • MAHATHIR: Kita pisahkan, satu penguasaan bahasa, satu penguasaan ilmu. Kita pergi ke sekolah, bukan hendak belajar bahasa sahaja. Baik bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Kita hendak dapat ilmu.
  • Ilmu yang kita dapat itu, yang datang kepada kita, kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Dalam primary level, adalah dalam bahasa Melayu tetapi dalam bidang sains dan matematik, ini jenis ilmu yang bergerak. Ia bukan statik. Ilmu lain statik macam Geografi dan Sejarah.
  • Macam sejarah, kalau tahun ini ada peperangan, dia tidak boleh tukar tahun lain. Geografi pula, kalau negeri itu sempadan ia macam itu, tidak tukar. Tetapi sains, tiap-tiap hari ada orang buat penyelidikan dan dia keluar keputusan penyelidikan.
  • Kalau cari dalam buku tidak ada, kena baca. Jadi, kalau kita tidak tahu bahasa Inggeris macam mana kerana semua kertas penyelidikan datang kepada kita dalam bahasa Inggeris, tidak datang dalam bahasa Melayu. Sebab itu, saya perkenal pembelajaran Bahasa Inggeris dalam dua subjek. Yang lain semua tidak ada dalam bahasa Melayu sebab tidak berubah. Sekarang kegunaan matematik begitu terkehadapan.
  • Kalau hendak hantar seseorang ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), kena tahu matematik sebab tapak pelancaran ini bergerak. Sebab itu, matematik amat penting, sains amat penting dan ini adalah ilmu yang bertambah setiap hari. Penggunaan kalkulator umpamanya, kita dahulu tulis dalam banyak huruf.
  • Kita punya Jawi 36 dan rumi kurang sedikit tetapi kita guna nombor binari yang boleh eja sebarang. Kita kena belajar pasal ini. Kalau tidak macam mana, dalam kalkulator kita, kita tekan-tekan nombor, ia keluar nombor. Ia pakai nombor binari. Bila kita tekan, kuncinya cuma ya atau tidak sahaja, 'zero and one' (0 dan 1) tetapi dengan 0 dan 1, kita boleh eja lebih banyak benda daripada menggunakan abjad.
  • Kita guna abjad, kita tidak boleh eja semua. Umpamanya, cakera padat video (VCD) kamu. Kamu dengar suara dengan gambar itu sempurna sebab setiap satu benda, setiap satu warna, ia ada kodnya, hanya 1010110. Ini nombor binari. Kita tidak faham benda ini.
  • Dalam dunia yang guna nombor binari yang boleh hasilkan komputer dan telefon. Telefon merupakan satu benda yang hebat. Dahulu kita ada stesen penyiaran. Buat rumah besar dan macam-macam kita pasang, hendak buat penyiaran dan kita ada radio hendak dengar.
  • Sekarang dalam poket kamu, ada stesen penyiaran dan stesen penerima. Ini hasil daripada nombor binari dan sains. Kita tidak jadi orang putih kalau guna bahasa Inggeris. Saya jadi orang Melayu, lebih Melayu daripada kebanyakan orang Melayu lain.
  • Mengenai mesti lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, kena belajar kalau tidak, kita tidak lulus, apa guna kita belajar. Kena ada sukatannya. Kalau kita duduk darjah satu dengan darjah lain, tentulah ada sukatan. Kalau tidak ada sukatan, macam mana kita hendak tahu.
  • Kita juga harus ingat, hari ini bahasa dunia ialah bahasa Inggeris. Kita perlu tahu bahasa kita tetapi kita perlu tahu bahasa Inggeris. Dalam dunia sekarang, manusia mesti ada dua bahasa iaitu bahasa ibunda dan bahasa ilmu. Bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu. Bila dia (kerajaan) kata kena lulus Bahasa Inggeris, saya sokong.
  • Baru-baru ini, ada 300 pemohon minta kerja di Cyberjaya. Dia ditanya dalam bahasa Inggeris tetapi minta tanya "boleh tak tanya dalam bahasa Melayu." Jadi gagallah dia, sebab orang itu hendak guna bahasa Inggeris tetapi kamu tidak faham bahasa Inggeris.
  • Jadi dalam 300 orang, cuma tiga orang dapat kerja. Tetapi daripada 300 orang ini, apabila diberi kursus dalam bahasa Inggeris sehingga dia boleh tulis dan bercakap, dapat kerja. Hakikatnya ialah bahasa Inggeris ialah bahasa untuk kita dapat kerja dan pendapatan bagi kita.
  • Bukan bermakna bahawa kalau kita guna bahasa Melayu, kita tidak Melayu, kita masih Melayu. Saya masih Melayu walaupun saya boleh guna bahasa Inggeris, saya ingat baik juga, bolehlah hendak bercakap dengan siapa pun dan buat ucapan pun boleh tetapi saya tidak jadi orang putih.
  • Ini bila cakap sahaja, kata kita semua hendak bahasa Melayu. Saya ingat rugi dan bangsa kita boleh jadi bangsa yang hanya boleh bercakap tetapi bodoh. Kalau macam itu tidak apalah, tetapi semasa saya jadi Perdana Menteri, saya tidak mahu orang Melayu jadi bodoh.
  • SOAL: Tun ada kata kaum Melayu masih kurang integriti dan bersifat malas, adakah begitu teruk pada pandangan Tun sendiri atau sudah banyak berubah berbanding dahulu?
  • MAHATHIR: Kalau banding dengan orang yang lebih malas, diri kita tidak teruklah. Tetapi kita kena banding diri kita dan mesti kena bersaing dengan orang, orang lain kerja kuat tetapi kita tidak kerja kuat. Kalau kita banding dengan orang malas, kita rajin tetapi kalau kita banding dengan orang lebih rajin, kita malas.
  • Kita sekarang berlumba. Kalau kita datang daripada belakang dengan sama kelajuan dengan orang di depan, kita tidak boleh catch up (kejar). Kalau kita lebih perlahan, kita semakin lama semakin jauh. Jadi, kita kena lebih cepat daripada orang yang di hadapan kita. Kalau tidak, sampai bila kita tidak dapat kejar.
  • Kita kena kerja lebih tekun, lebih kuat dan lebih rajin. Macam saya perkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pasal saya perhati orang Jepun rajin bekerja. Kalau kena masuk kerja pukul 8 pagi, dia datang pukul 7.30 pagi. Masa kita perkenalkan etika kerja Jepun dalam Proton, pekerja datang awal, runding sesama mereka tentang apa sasaran hari ini dan apabila masuk waktu kerja, dia masuk kerja.
  • Masa saya makan tempura, saya perhati orang Jepun tidak pernah duduk diam. Dia basuh yang ini dan gilap yang itu. Hendak kata dia duduk melanguk, tidak ada. Tetapi kita, tidak ada apa kerja, hisap rokok dahululah. Orang yang bekerja ada sahaja kerja. Kalau berjalan pun, dia berjalan cepat. Dia tidak ada berjalan mundar-mandir.
  • SOAL: Generasi sekarang dibekal dengan kemudahan teknologi yang menyebabkan orang menjadi lebih malas. Adakah orang Melayu boleh bersaing?
  • MAHATHIR: Teknologi tidak menjadikan kita malas. Teknologi hanya memudahkan proses. Kalau mudah, kita boleh buat lebih kerja berbanding tidak ada teknologi. Kalau hendak kabad (karbaid) pokok, tidak ada tangga susah sedikitlah.
  • Kalau ada, boleh naik lima pokok sehari atau lebih banyak lagi. Itu teknologi bukan mengurangkan beban kerja tetapi meningkatkan beban kerja pasal teknologi mempermudahkan proses. Ini kita tidak faham.
  • Tengok sekarang orang guna telefon, dahulu hendak telefon hendak cari rumah dan dail. Kita boleh telefon sehari 10 kali mungkin. Sekarang kita boleh telefon sehari 100 kali. Ini teknologi. Bukan bermakna kita jadi lebih malas tetapi kita lebih produktif kerana ada teknologi.
  • Kamu tidak harus jadi lebih malas tetapi harus jadi lebih produktif. Kalau hendak kejar ilmu sekarang, dalam telefon pintar ada ilmu. Semua ada. Tinggal lagi kena tekan. Kalau malas hendak tekan yang itu, kamu tidak dapat ilmu. Ini orang Melayu belum faham. Bukan bermakna dengan ada teknologi, kerja kita jadi ringan, sebaliknya dengan kerja kita ringan, kita boleh buat lebih kerja.
  • SOAL: Jadi Tun yakin teknologi ini akan membantu orang Melayu jadi lebih berjaya?
  • MAHATHIR: Dia mesti rajin. Kena rajin belajar macam mana hendak guna teknologi. Dia boleh buat kerja lebih banyak daripada dahulu. Dahulu kalau hendak bercakap dengan satu orang, kena naik motokar pergi jumpa orang itu. Sekarang sudah tidak ada, cakap sahaja.
  • Kamu boleh kendalikan satu syarikat tanpa perlu keluar rumah. Bukan bermakna kita malas duduk di rumah tetapi kita buat kerja di rumah. Kita kena rajin guna masa untuk produktiviti pengeluaran yang lebih banyak kerana kemudahan.
  • Kedua, berkenaan kejujuran, ikhlas dan amanah. Sekarang ini saya ada kedai roti. Saya hendak kata terus terang, saya amat malu kerana di antara pekerja Melayu, Cina atau Myanmar atau mana-mana, pekerja Melayu kadang-kadang kalau tengok duit, dia lupa, dia tak jujur. Dia nampak duit, kalau boleh sapu, dia sapu.
  • Saya kena buang banyak orang Melayu kerana sikap ini. Orang Cina tidak begini. Kita orang Islam. Kita tahu apa makna amanah, apa makna ikhlas. Kalau kita janji buat kerja betul, kita kena buat. Ada seorang kita lantik jadi pengurus, dia cuba kongsi dengan pekerja-pekerja, kalau buat macam ini (menipu), kita boleh sapu duit.
  • Pekerja beritahu kita, kita buang dia. Ada juga jadi pengurus, duit dapat, tidak masuk dalam bank, sapu. Ada yang bila jual barang, dia jual barang terima duit tetapi dia rekod jualan itu batal, duit dia ambil. Ini berlaku. Tidak ada amanah.
  • Kalau kita ada amanah, apabila kita hendak hutang duit, orang akan beri sebab orang tahu kita akan bayar. Berapa banyak orang Melayu bila hutang, tidak bayar. Dapat biasiswa, tidak bayar balik. Bukan tidak ada duit, tetapi tidak bayar.
  • Kita kena amanah. Apabila kita amanah, kita hutang kita bayar, orang punya duit kita urus dengan baik, kita tidak curi, orang Melayu akan jadi cukup berjaya. Kita mesti amanah supaya apabila orang beri kontrak kepada kita. Kita hendak beri kontrak, kita beri kepada Cina sebab kita tahu dia buat elok.
  • Ini kelemahan kita, tidak amanah. Saya tidak pernah hendak tipu diri. Kalau malas, saya kata malas. Kalau orang tidak suka, tidak sukalah. Sepanjang saya jadi Presiden UMNO, saya berleter sepanjang masa.
  • SOAL: Macam mana dengan penglibatan orang Melayu Islam dalam aktiviti jihad. Sekarang mereka sudah berani pergi ke negara lain untuk berperang dengan orang Islam sendiri. Apa pandangan Tun?
  • MAHATHIR: Ia bermula dengan ajaran Islam yang salah. Apa kita belajar dalam bidang agama? Macam mana hendak sembahyang, puasa, zakat, buat kerja haji. Yang ini kita kata wajib. Tetapi Islam adalah ad-din, cara hidup.
  • Dalam cara hidup itu ada banyak perkara yang dilarang dan banyak perkara disuruh. Yang ini tidak ajar. Umpamanya dalam al-Quran disebut, orang Islam tidak boleh bunuh orang terutamanya orang Islam lain.
  • Kita tidak boleh persoal keislaman atau taraf keislaman orang semata-mata kerana dia berbeza sedikit daripada kita. Ya, kita tidak suka orang Syiah datang sini. Kita tidak ada masalah. Alhamdulillah, kita semua orang Melayu, Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Imam Syafie. Imam Syafie cukup ketat.
  • Kita tidak tolak Maliki, Hambali dan Hanafi tetapi kita tolak Syiah. Kita tidak bersetuju dengan dia, kita tidak mahu dia datang sini tetapi kita tidak boleh kata dia ini kafir. Ini sudah sampai kepada satu tahap, orang Syiah ini kafir, kita bunuh dia. Itu salah. Dia mengucap dua kalimah syahadah, dia sembahyang, dia terima nabi, dia terima Allah SWT. Sebab itu saya kata sebabnya orang ini pergi berjihad kerana tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Sebaliknya, mereka ajar supaya orang Islam bermusuh dengan orang Islam.
  • Orang ini kata, Oh! Jihad. Bunuh orang Islam jihad. Kamu berdosa dan kamu akan pergi ke neraka pasal kamu bunuh orang Islam. Kamu tengok macam mana mereka bunuh. Letak berderet, tembak dengan pistol. Adilkah? Tidak ada bicara dan tidak ada apa. Islam mengutamakan keadilan.
  • Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Berkali-kali disebut dalam al-Quran. Adilkah dengan tidak ada bicara, kamu bunuh dia kononnya dia bukan Islam. Tetapi orang Syiah yang dibunuh ini semua sembahyang dan orang Syiah pula bunuh orang Sunni.
  • Di mana dalam al-Quran, disuruh Syiah dengan Sunni ini berperang. Dalam al-Quran, ada satu Islam sahaja. Kita yang buat tiga Islam, empat Islam. Sekarang ini, ada 1,000 Islam. Islam `Ayah Pin' pun ada. Benda ini semua tidak betul.


Saturday, 13 September 2014

Suara minoriti mahu gugat keamanan negara


DEWASA ini kebebasan bersuara hangat dibincang dalam kalangan ahli politik dan generasi muda hingga ada suara sumbang kedengaran di sana-sini mendakwa kononnya kerajaan menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk mendiamkan atau melenyapkan suara rakyat yang dianggap tidak selaras dengan pemikiran politik pemerintah atau kerajaan.

Malah, pihak yang mengaku dirinya sebagai badan bertauliah dan arif dalam bidang perundangan juga berlumba-lumba mempertahankan individu atau kumpulan yang didakwa di mahkamah kerana gagal menghormati undang-undang negara iaitu undang-undang yang disediakan untuk menjamin keamanan dan keselamatan rakyat berbilang kaum dan agama.

Persoalannya, apakah kumpulan yang mendakwa kerajaan mengehadkan kebebasan rakyat bersuara benar-benar ikhlas dalam mengetengahkan pendirian mereka atau menggunakan sesuatu institusi ikhtisas untuk memperjuangkan agenda politik kumpulan atau parti politik tertentu?

Sebelum mencari jawapannya, adalah wajar kita meneliti matlamat dan kepentingan Akta Hasutan 1948 yang dikuatkuasakan di Malaysia dan langkah yang telah diambil oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, dalam meluaskan skop kebebasan rakyat bersuara agar demokrasi matang dapat dipelihara dan disuburkan di Malaysia.

Kebebasan bersuara, berkumpul dan menyatakan pendapat dalam bentuk lisan dan cetak adalah hak asas seseorang individu dalam sistem politik demokrasi tulen. Menyedari kebenaran ini, kerajaan umumkan Program Transformasi Politik (PTP) pada 16 September 2011 yang membabitkan penggubalan, pindaan dan pemansuhan.

Malah pembatalan beberapa undang-undang yang dianggap tidak relevan dengan peredaran zaman atau dianggap songsang oleh ahli politik, terutama masyarakat sivil yang mengharapkan pembaharuan dalam bidang perundangan agar suara rakyat dapat diluaskan.

Sehubungan itu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kian dicemuh oleh kumpulan yang memperjuangkan hak asasi manusia dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Selain itu, beberapa undang-undang seperti Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri juga dibatalkan. Akta untuk membenarkan dan memudahkan orang ramai berkumpul untuk menyatakan sesuatu pandangan atau hasrat kepada kerajaan juga digubal dan diluluskan.

Kebebasan untuk mencetak dan menerbit bahan-bahan cetak dalam menyebarkan fahaman sesuatu ideologi atau pendapat diperluaskan dengan membuat pindaan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Akta Universiti dan Kolej Universiti yang didakwa mengongkong kebebasan pelajar universiti dan kolej dipinda dalam menjamin kebebasan kepada pelajar bergerak, menyertai politik di dalam dan luar kampus.

Perlu ditegaskan bahawa Program Transformasi politik dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan ruang demokratik diperluaskan untuk melayan dan menampung perbezaan pendapat serta persaingan idea dalam era globalisasi yang kian menuntut kebebasan individu ke tahap yang lebih tinggi. 

Pelaksanaan program itu jelas menunjukkan kerajaan berhasrat mencipta sebuah negara yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung sambil kepentingan individu dan komuniti diimbangi.

Kepemimpinan kerajaan berasakan Malaysia memasuki era demokrasi lebih matang dengan peranan kerajaan berubah daripada menjadi penentu dan pengukur tahap kematangan rakyat kepada pelindung kebebasan agar rakyat dapat menikmati hak asasi yang sepatutnya.

Walaupun ISA banyak membantu memastikan demokrasi dan hak asasi manusia dilindungi, kerajaan berpendapat masanya telah tiba untuk beralih kepada satu perundangan lebih progresif dan keselamatan negara adalah terletak atas kematangan politik rakyat.

Berteraskan fahaman ini, kerajaan menggubal undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk terus menjamin keselamatan dan keamanan rakyat Malaysia. Kerajaan tidak menggubal undang-undang itu dengan sewenang-wenangnya, tetapi berlandaskan kepada kuasa yang ditetapkan Perlembagaan Malaysia.

Perkara 149 (1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi menangani ancaman oleh individu atau sesuatu kumpulan seperti berikut:

(a) Menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu;
(b) Membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan;
(c) Mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau penduduk ;
(d) Mengubah dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang;
(e) Mendatangkan mudarat kepada penyelenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang ramai atau mana-mana orang dalam Persekutuan;
(f) Mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam dalam atau keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.

Namun, ada pihak yang mengelirukan rakyat, malah mengeluh bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bertentangan dengan hal yang berkaitan dengan kebebasan seorang individu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 tidak bercanggah dengan kebebasan seseorang individu seperti termaktub dalam Perlembagaan terutama dalam Perkara 5 (kebebasan diri) Perkara 9 (kebebasan bergerak), Perkara 10 (Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan) dan Perkara 13 (Hak terhadap harta).

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 memperluaskan lagi kebebasan seseorang individu kerana tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politik. Kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan tanpa perbicaraan mana-mana individu yang terkandung dalam ISA dimansuhkan.

Polis pula hanya diberi kuasa menahan seseorang tidak melebihi daripada 28 hari untuk maksud penyiasatan. Selain itu, akta itu juga membenarkan orang yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan penahanan dan tatacara penahanan. Perkara yang terkandung dalam SOSMA jelas memperluaskan hak kebebasan bersuara dan berpolitik di Malaysia.

Kebanyakan negara di dunia yang dianggap sebagai peneraju dan pelindung demokrasi berparlimen dewasa ini juga memperketatkan undang-undang dalaman untuk menjamin keselamatan. Sebagai contoh, Amerika Syarikat melaksanakan Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002; Australia melaksanakan Terrorism Act 2005; Singapura yang selalui dicontohi oleh setengah pihak sebagai negara mengamal kebebasan rakyat bersuara melaksana Internal Security Act; United Kingdom melaksana Terrorism Act 2000; Sri Lanka melaksana Prevention of Terrorism Act 1982; Ghana melaksanakan Preventive Detention Act 1958 dan Brunei melaksanakan Internal Security Act.

Walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam bidang undang-undang untuk meluaskan kebebasan rakyat bersuara, ada pula pihak yang mendakwa kerajaan kini menggunakan Akta Hasutan 1948 dalam melenyapkan suara yang menentang kerajaan. Ada akhbar tempatan yang menyiar berita bahawa Perdana Menteri berasa gentar menghadapi kritikan rakyat dan dengan itu cuba menggunakan akta itu untuk senyapkan suara yang mengkritik kerajaan pimpinan beliau.

Apakah kumpulan yang menuduh kononnya Najib tidak berani bersemuka dengan pengkritik kepemimpinan beliau menghidap penyakit myopic atau rabun jauh? Apakah mereka tidak melihat betapa berani dan hebatnya Najib berunding secara terus menerus dengan ketua kumpulan pemberontak Ukraine dalam isu MH17, Alexander Borodai untuk mendapat kerjasama beliau agar pasukan penyelamat dan penyiasat Malaysia dan antarabangsa mendapat akses ke lokasi nahas, membawa balik jenazah kru dan penumpang yang menjadi mangsa dalam tragedi MH17, malah berjaya memujuk pemberontak menyerahkan kotak hitam MH17 kepada Malaysia untuk membantu dalam siasatan punca nahas MH17.

Tidak dapat dinafikan sistem politik demokrasi memberi hak kepada rakyat bersuara. Kesuburan sistem demokrasi memerlukan penyertaan rakyat dalam memilih pemimpin atau wakil mereka melalui proses pilihan raya.

Rakyat bukan sahaja berhak menyuarakan pendapat, malah menyatakan pendirian secara terbuka terhadap sesuatu dasar yang diumumkan kerajaan atau sebelum sesuatu dasar diumumkan. Rakyat juga diberi kebebasan memberi pandangan semasa sesuatu dasar berada dalam peringkat penggubalan.

Perbincangan dan perdebatan mengenai sesuatu dasar kerajaan sebelum dilaksanakan atau dikuatkuasakan adalah asas atau sine qua non perjalanan sistem politik yang berlandaskan falsafah demokrasi.

Rakyat dibenarkan menyuarakan pendapat dalam mencari kebenaran. Terdapat juga kumpulan dan golongan yang sering menyalahgunakan hak atau kebebasan yang dinobatkan kepada rakyat oleh Perlembagaan sesebuah negara.

Menyedari lumrah manusia untuk menyalahgunakan kelonggaran yang terdapat dalam undang-undang yang disediakan untuk mengawal tingkah laku warga sesebuah negara, kerajaan yang mementingkan keamanan, keselamatan, moral dan hubungan antara rakyat secara amnya dan hubungan antara berbilang kaum dan agama, menyediakan undang-undang khusus untuk mengehadkan kebebasan secara yang boleh menimbulkan keresahan, permusuhan malah anarki.

Di Malaysia, rakyat diberi peluang yang luas untuk bersuara atau mengeluarkan pendapat mereka dengan bebas berasaskan kepada kebebasan dan sikap bertanggungjawab. Malaysia lebih mementingkan keharmonian antara kaum berteraskan sejarah politik negara. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama diharapkan menghormati perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama.

Sebahagian besar rakyat Malaysia percaya dan yakin demokrasi tulen memerlukan amalan budaya rakyat memahami dan bergerak dalam ruang sempadan kebebasan yang digariskan oleh Perlembagaan Malaysia dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Parlimen berkuasa menentukan kebebasan seseorang demi kepentingan rakyat umum.

Akta Hasutan 1948 dikuatkuasakan bukan untuk merencatkan kebebasan bersuara, tetapi untuk menjamin tidak sesiapa menyentuh perkara yang sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dan permusuhan antara kaum di Malaysia.

Baru-baru ini rakyat Malaysia menyaksikan ada pihak yang melanggar Akta Hasutan 1948 terutama Seksyen (4) (1)(b) and Seksyen 4(1)c), Akta Hasutan 1948. Ada pihak yang menyoal institusi Raja-Raja dan adapula pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menyemai benih pemikiran dalam kalangan rakyat Sabah untuk memisah daripada Malaysia.

Sehubungan ini, rakyat Malaysia perlu sedar apakah maksud dan tafsiran 'hasutan' yang disebut dalam Akta Hasutan 1948 agar tidak ada pihak yang cuba mengelirukan rakyat yang kurang arif dalam hal perundangan?

Menurut Seksyen 3(1) (a) hingga Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan 1948, hasutan adalah dirujuk kepada 'kecenderungan' menghasut meliputi pelbagai keadaan termasuk membangkitkan perasaan benci terhadap mana-mana raja atau kerajaan, pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat dan membangkitkan permusuhan antara kaum. Seksyen 4 (1) (c) pula memperuntukkan kesalahan mencetak, menjual, mengedar, atau mengeluar ulang apa-apa penerbitan mengandungi bahan berunsur hasutan.

Namun, ada pihak yang menuduh Akta Hasutan 1948 merencatkan hak bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan, malah bertentangan dengan semangat dan roh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan dikatakan memberi kebebasan kepada rakyat Malaysia mengeluarkan pendapat atau fikiran.

Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara. Namun Perkara 10 (1) (a), hendaklah ditafsir bersamaan dengan lain-lain perkara dalam Perlembagaan yang mengehadkan kebebasan itu.

Perkara 10 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan had atau sekatan ke atas kebebasan bersuara jika ia diperlukan atau mustahak untuk melindungi tujuh perkara seperti berikut:

1. Kepentingan keselamatan negara;
2. Perhubungan kerajaan dengan negara-negara lain;
3. Ketenteraman awam;
4. Melindungi keistimewaan Parlimen/Dewan Undangan Negeri;
5. Penghinaan terhadap mahkamah;
6. Fitnah;
7. Perbuatan mengapi-apikan supaya melakukan kesalahan

Dengan ini jelas bahawa kebebasan bersuara bukanlah satu hak atau kebebasan yang mutlak. Lebih-lebih lagi, Malaysia selaku sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama dan budaya tidak mampu membenarkan sesiapa mengeluarkan kenyataan, pendapat, pandangan atau fikiran dengan mutlak kerana bimbang elemen menghasut yang boleh menimbulkan permusuhan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa hingga menggugat keamanan negara yang terbina sejak negara mencapai merdeka.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia bebas untuk bergerak, berkumpul dan bersuara dengan bertanggungjawab. Rakyat Malaysia harus elak suara yang bersifat kekerasan, ekstrem dan berat sebelah. Disebaliknya, lebih utamakan suara yang bersifat jalan tengah, keseimbangan dan kebijaksanaan.

Rakyat yang menyokong suara sederhana perlu bangkit untuk menenggelamkam suara lantang yang dibangkitkan sesuatu kumpulan kecil dalam masyarakat yang cuba membelakangkan kepentingan majoriti rakyat Malaysia. Perlu ditegaskan bahawa kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang warga berhak menghina dan membangkit perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.

Undang-undang perlu dikuatkuasakan dalam menjamin keseimbangan terbaik antara kebebasan bersuara selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan kompleksiti kemajmukan rakyat Malaysia agar perpaduan antara kaum, harmoni antara berbilang dan stabiliti politik sentiasa terjamin. - Oleh: JASA.

Media sosial dibanjiri blogger berjiwa kosong

  • Ulama terkenal, Sheikh Hamza Yusuf Hanson yang juga pengasas Institut Zaytuna di Amerika Syarikat memuji umat Islam di Malaysia kerana masih memiliki identiti yang kukuh dan terus mempertahankan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan berpegang teguh kepada mazhab Imam Shafie dalam fekah, Abu'l Hasan al-Asha'ari dalam akidah dan tasauf Imam al-Ghazali.
  • Bagi beliau, umat Islam Malaysia belum dirosakkan oleh anasir luar seperti negara Islam lain yang terpengaruh dengan pasca modernisme. Beliau menyeru supaya dipertahankan tradisi ini daripada ancaman yang salah dan tidak menepati sunah.
  • Katanya, mustahil ajaran Islam perlu dibuat kajian semula setelah melalui zaman yang begitu lama dan proses saringan yang ketat oleh ratusan ulama muktabar sepanjang zaman. Justeru, beliau menyeru umat Islam benar-benar mengenali siapakah sebenarnya Ahlul Sunnah wal Jamaah dan ciri-cirinya.
  • "Ini kerana ramai yang mendakwa mereka adalah kumpulan selamat (firqah najiah) dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah sedangkan sebenarnya tidak," katanya dalam temubual eksklusif bersama deejay Mazlina Ismail di IKIMfm.
  • Sheikh Hamza yang disenaraikan sebagai ulama paling berpengaruh di dunia Barat oleh Prof John Esposito dalam bukunya, The 500 Most Influential Muslims datang ke Malaysia atas undangan Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) dan Al-Naqiy Solutions.
  • Beliau berpandangan apa sahaja masalah yang berlaku dalam alam ini berpunca daripada krisis ilmu pengetahuan yang menjadi masalah pokok kepada krisis lain, sama ada ekonomi atau politik, manakala yang lain hanyalah simptom kepada penyakit sebenar yang dihadapi.
  • Katanya, penulis terkenal Amerika Syarikat, Mark Twain yang pernah melawat Palestin dan Florence Nightingale yang pernah tinggal hampir dua tahun di Mesir serta Turki tidak pernah menganggap umat Islam sebagai pengganas atau berpandangan jahat terhadap Islam.
  • Sebaliknya, mereka memuji umat Islam dan agama Islam. Oleh itu, bagaimana mungkin orang yang hidup lebih 100 tahun dahulu boleh melihat Islam itu positif, sedangkan hari ini tiada langsung kebaikan mengenai Islam dan itulah yang dikatakan krisis ilmu pengetahuan.
  • Beliau turut mengungkapkan pandangan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang membicarakan berhubung 'kejahilan biasa' dan 'kejahilan berganda'.
  • "Anak-anak biasanya tergolong dalam jahil biasa dan ini lambang keikhlasan serta kejujuran terhadap keilmuan yang dimiliki. Hari ini ramai yang jahil, namun berlagak alim dan mempunyai ilmu pengetahuan, inilah yang dikatakan jahil berganda," katanya.
  • "Penyakit ini apabila ramai yang mendakwa mengaku mengetahui sesuatu, tetapi sebenarnya kosong tidak mengetahui apa-apa. Ulama kita mengajar supaya kita mengungkapkan aku tidak tahu jika kita tidak tahu kerana itu adalah sebahagian daripada ilmu," katanya.
  • Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu. Ini halal dan ini haram, untuk mengadakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya." (Surah al-Nahl, ayat 116)
  • Kejahilan sombong ialah merasakan mengetahui sesuatu perkara lalu memberi pelbagai komentar dan pandangan pada hal mereka jahil sebenarnya. Perlakuan sebegini berbahaya untuk masyarakat awam dan akan mengelirukan mereka.
  • Sahabat Baginda SAW menolak untuk memberi pandangan kerana merasakan tidak layak serta ia suatu yang berat dan mereka amat takut akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
  • Hari ini ramai yang menulis kosong tanpa ilmu di media sosial. Ada menggunakan nama palsu dengan identiti yang disembunyikan seolah-olah malaikat tidak mengetahui siapa penulis sebenar. Hari ini juga, untuk mengumpat tidak perlu lagi berdua seperti dahulu memadai dengan mengetuk papan kekunci komputer dan menghantarnya ke media sosial.
  • Hakikatnya, mereka ini tidak akan terlepas daripada hukuman Allah SWT atas pandangan mereka menyelewengkan dan menyesatkan masyarakat.
  • Sheikh Hamza menyeru supaya perbezaan pendapat yang wujud dalam masyarakat ditangani dengan cermat, halus, tanpa mewujudkan perpecahan dan pergeseran sesama umat Islam.
  • Katanya, ada ketikanya sesuatu amalan itu mungkin ada hujah atau dalil lebih kuat untuk tidak melakukannya, tetapi jika masyarakat sudah terbiasa dengan amalan yang hujahnya tidak begitu kuat dan demi menjamin perpaduan, lebih baik ia diamalkan bagi mengelakkan pergeseran.
  • "Ini antara pandangan ulama mazhab Maliki. Apa yang berbahaya apabila kita merasakan dan mendakwa hanya Islam yang kita fahami sahaja betul sedangkan Islam orang lain semuanya salah belaka. Tidak salah untuk kita meyakini yang kita fahami itu benar, namun untuk menafikan orang lain juga mungkin benar adalah satu sikap yang angkuh," katanya.
  • Sehubungan itu, Sheikh Hamza meminta umat Islam di Malaysia bersyukur atas segala nikmat yang dianugerahkan Allah SWT kerana berdasarkan pengalaman mengembara ke banyak negara Islam, negara ini jauh lebih baik daripada banyak negara di dunia.
  • Katanya, majoriti rakyat di Syria, Libya, Iraq yang sedang bergolak sekarang ini mengatakan mereka lebih rela kembali hidup di zaman pemerintahan Saddam Hussein atau Muammar Gaddafi yang lebih aman berbanding hari ini.
  • "Mana-mana kerajaan pasti ada kelemahannya, tetapi rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati supaya Allah SWT terus menambahkan lagi nikmat yang lain. Pada masa sama, terus berusaha memperbaiki keadaan yang ada," katanya.
  • Mengakhiri perbualan, Sheikh Hamza dengan perasaan sebak sambil menitiskan air mata menyatakan kesedihan kerana umat Islam hari ini sudah hilang adab dan meminta supaya mereka menghayati sabda Nabi Muhammad SAW: "Sesungguhnya aku telah diadabkan oleh Tuhanku dan Dia memperelokkan adabku." – Tulisan Dr Nik Roskiman Abdul Samad, Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia.


Barat 'serang' Islam atas nama demokrasi

  • TRAGEDI serangan terhadap WTC beri tekanan kepada kumpulan Al-Qaeda yang didakwa AS sebagai pencetus siri keganasan atas nama Islam.
  • Pernahkah kita terfikir bagaimana Islam boleh berkonflik dengan Barat? Islam adalah agama sedangkan Barat adalah blok atau kumpulan negara dan bukannya agama. Begitu juga dalam konteks politik dan pemerintahan, penggunaan istilah Islam dan demokrasi digunakan. Ada yang mempersoalkan bagaimana Islam boleh digandingkan dengan sebuah sistem politik ciptaan manusia yang terdedah dengan kekurangan?
  • Tidak dinafikan, terma Islam dan Barat atau Islam dan demokrasi sering kali dipilih bagi menggambarkan sebuah hubungan, juga pertembungan antara kedua-dua belah pihak. Ini kerana antara Islam dan Barat atau demokrasi, ia mewakili sejarah, pemikiran, budaya dan nilai yang berbeza. Lebih-lebih lagi demokrasi yang lahir di bumi Barat, telah membawa segala idea kemajuan yang berpaksikan kepada pembangunan dan pemodenan.
  • Dalam konteks masa kini, demokrasi telah menjadi satu jenama Barat yang semakin diterima baik, malah di beberapa tempat, bersikap tidak demokratik dianggap sebagai satu kesalahan besar, berbanding tidak menjalankan tuntutan agama.
  • Demokrasi disinonimkan dengan hak dan kebebasan, manakala agama pula amanah dan tanggungjawab yang dianggap membebankan. Malah, jika demokrasi sekalipun, ia mesti mengikut acuan dan selera Barat. Bukan demokrasi yang diubah suai, tetapi demokrasi salinan Barat.
  • Demokrasi sering kali dilihat mempunyai satu bentuk sahaja iaitu yang ditentukan oleh falsafah dan ideologi Barat. Dalam hal ini, hegemoni demokrasi Barat yang liberal amat kental dan mempengaruhi dalam konteks pelaksanaannya seperti soal hak asasi manusia dan kebebasan individu. Malaysia tidak terlepas dalam soal ini apabila sering disorot dan dibandingkan pelaksanaan demokrasinya mengikut perspektif Barat.
  • Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam serta masih sensitif dengan nilai dan budaya tempatan, demokrasi ala Barat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.
  • Di sinilah letaknya kepentingan demokrasi diterjemahkan dalam konteks Islam yang meletakkan al-Quran dan as-sunah sebagai panduan, bukannya telunjuk dan ideologi Barat. Dalam erti kata lain, hegemoni terhadap demokrasi oleh Barat yang berpaksikan fahaman liberal dan kebebasan individu hendaklah dilunturkan dan diganti dengan prinsip dan nilai Islam.
  • Islam perlu memimpin demokrasi agar demokrasi terpimpin ini tidak terpisah dengan agama dan tradisi Islam. Dalam hal ini, Al-Maududi pernah memperkenalkan konsep theo-democracy iaitu demokrasi yang berasaskan agama. Konsep ini jelas menonjolkan peranan agama dalam memandu demokrasi, dan ia berbeza dengan demokrasi ala Barat yang lebih mengutamakan kehendak manusia dan kebebasan individu.
  • Maududi percaya bahawa demokrasi hanya boleh diterima jika sistem politik dari Barat itu berlandaskan agama atau 'lingkungan' yang telah ditetapkan oleh Islam.
  • Bagaimanapun, ini tidak bermakna umat Islam dihalang untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri. Mereka boleh mencari jalan penyelesaian atau hukum terhadap sesuatu perkara yang tidak diputuskan secara langsung dalam al-Quran mahupun as-sunah. Malah dalam Islam, perkara yang dikategorikan sebagai siyasi iaitu cara untuk memerintah kerajaan dan menyelesaikan konflik, umat Islam diberikan kebebasan untuk mencari jalan penyelesaiannya dengan syarat ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-sunah.
  • Berbeza dengan perkara yang dikategorikan sebagai adini iaitu hal yang berkaitan dengan akidah (kepercayaan), ibadah (penyembahan) dan akhlak (tingkah laku), umat Islam mesti menerima apa juga ketetapan yang telah diputuskan dalam al-Quran dan as-sunah. Mereka tidak diberikan kebebasan untuk menentu dan mengubah tentang apa yang telah diputuskan berkaitan tentang ketiga-tiga perkara itu.
  • Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi dalam perlembagaan negara, Malaysia wajar mendefinisikan demokrasi mengikut acuan Islam selain mengambil kira tuntutan nilai timur dan budaya tempatan. Pandangan ini sebenarnya pernah dilontarkan oleh John L Esposito dalam buku Islam and Democracy, apabila beliau melihat demokrasi adalah satu sistem politik yang sentiasa berubah, boleh diperdebatkan dan tidak hadir dalam satu bentuk sahaja.
  • Malah, beliau menyarankan demokrasi perlu digabungkan dengan nilai dan budaya tempatan termasuk faktor Islam dalam konteks ini. Pendekatan ini pastinya akan menjadikan demokrasi itu lebih 'dekat' dengan aspirasi Islam dan relevan dalam konteks pelaksanaannya di Malaysia.
  • Kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir walaupun melalui proses pemilihan secara demokrasi, dihalang untuk terus memerintah.
  • Tragedi 11 September 2001 telah memperkukuhkan kedudukan demokrasi selain Amerika Syarikat (AS) di peringkat global. Hegemoni Barat yang didalangi oleh AS telah dirobek selepas serangan terhadap World Trade Centre (WTC) dan sebahagian bangunan Pentagon. Ketika itu, AS tanpa mengambil masa yang panjang telah melancarkan kempen Perang Global Menangani Keganasan atau 'Global War Against Terror' (GWAT).
  • Meskipun kempen ini pada awalnya mahu memberi tekanan kepada kumpulan Al-Qaeda yang didakwa menjadi pencetus kepada siri keganasan atas nama Islam, tetapi kesannya menjalar kepada pergerakan Islam yang mengambil pendekatan sederhana, juga keseluruhan umat Islam. Situasi ini sebenarnya didorong oleh pendirian Barat yang melihat umat Islam adalah kumpulan yang bersifat monolitik atau seragam.
  • Sikap pukul rata ini memberi gambaran buruk kepada Islam sehingga agama dilihat sebagai satu elemen yang mendorong kepada keganasan. Dasar dan pendekatan beragama dianggap satu langkah berbahaya dan terkebelakang yang akan menolak keadilan dan kebebasan manusia.
  • Bagi Barat, demokrasi tidak hanya datang membawa pilihan raya, sebaliknya, ia datang bersama idea kemajuan yang mencabar peranan agama dengan mengagungkan proses rasionalisasi, konsep kekayaan material, pembebasan daripada kongkongan adat, pemisahan politik daripada agama serta kemampuan sains dan teknologi yang berjaya membekalkan manusia dengan keupayaan untuk menguasai dirinya dan alam sekeliling. Mana-mana negara yang menerima demokrasi, tetapi menolak idea kemajuan ini akan dianggap tidak membawa aspirasi asal Barat.
  • Justeru, kemenangan parti Islam dalam pilihan raya di beberapa negara dinafikan kerana mereka menggugat nilai demokrasi asal dan selera Barat. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir dan sebelum itu Parti Refah di Turki, Front Islamique Salvation (FIS) di Algeria dan Hamas di Palestin. Hak mereka untuk memerintah dihalang walaupun telah menggunakan proses demokrasi melalui pilihan raya yang sah.
  • Faktor demokrasi yang tidak berisiko memperlihatkan kerajaan hanya menerima demokrasi selagi demokrasi itu tidak membawa risiko apa-apa terhadapnya. Sebagai contohnya, kerajaan tidak bersedia menerima kemenangan daripada parti Islam meskipun pada awalnya menerima penyertaan parti itu dalam proses demokrasi melalui pilihan raya.
  • Sikap tidak adil ini bukan sahaja tidak demokratik, malah lebih buruk daripada itu, ia mendorong kepada kelahiran kumpulan pengganas yang sudah tidak lagi mempercayai demokrasi dan pilihan raya. Apabila demokrasi disekat, keganasan politik akan berlaku dan inilah sebenarnya yang mahu dilihat oleh Barat, iaitu Islam menganjurkan keganasan.
  • Barat amat konsisten mempromosikan kebebasan atas nama demokrasi. Kini Barat tidak perlu lagi runsing kerana agenda itu dilakukan sendiri oleh umat Islam, khususnya golongan intelektual. Sebahagian mereka ditaja melalui dana penyelidikan antarabangsa yang besar dengan tujuan mempromosikan demokrasi, kebebasan dan keadilan yang mutlak dan meminggirkan peranan agama.
  • Kumpulan intelektual ini sememangnya digemari oleh Barat dan melalui suntikan dana penyelidikan, mereka menjadi jurucakap dan diberi pentas yang besar dalam mempromosikan 'Islam'. Kumpulan ini bukan semua berlatarbelakangkan agama, tetapi dengan kemampuan berbahasa Inggeris, berketrampilan dan sikap toleransi yang melampau, mereka mentafsir Islam menggunakan logik akal tanpa menggunakan sumber tertinggi, iaitu al-Quran dan as-sunah.
  • Fenomena pluralisme demokrasi dan kepelbagaian agama masa kini memburukkan lagi keadaan. Bagi mereka, sudah tidak ada kebenaran mutlak dalam Islam dan semua boleh disanggah dan diberi penafsiran yang pelbagai. Lebih malang, atas nama meraikan kepelbagaian, umat Islam dikelirukan dengan hujah dan logik akal mereka.
  • Ini termasuk memperjuangkan hak atas nama kebebasan dan demokrasi. Anehnya, mereka langsung tidak bercakap soal tanggungjawab atau sekurang-kurangnya mencari keseimbangan antara hak dan tanggungjawab. Sebaliknya, mereka melihat menuntut hak itu lebih besar dan mulia daripada memperingatkan soal tanggungjawab.
  • Sedangkan dalam konteks Islam, kita dilahirkan dalam keadaan berhutang kerana dianugerahkan nyawa dan kehidupan oleh Allah SWT. Kita sepatutnya malu kerana melebihkan soal hak dan melunakkan soal tanggungjawab. Bersuara soal hak tidak salah, tetapi ia mestilah seiring dengan tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah SWT yang mempunyai batas dan sempadannya.
  • Apa yang penting, kita perlu cerdik mendefinisi dan menilai demokrasi mengikut acuan kita, bukan mencedok bulat-bulat dari Barat. Kenapa kita perlu tunduk dengan pendirian Barat sedangkan kita sendiri boleh membuat pilihan? Jika benar demokrasi bercakap soal hak dan kebebasan, kenapa kita tidak boleh menunaikan hak dan kebebasan itu untuk membuat pilihan?
  • Kebebasan bukanlah kunci utama memahami demokrasi, sebaliknya ilmu dan kebijaksanaan. Keghairahan kita mengejar kebebasan tidak akan membawa ke mana kerana suatu masa nanti, kita akan rebah dan tersungkur. Kebebasan tanpa had dan batas akan merosakkan kita.
  • Islam bukanlah agama yang mengekang umatnya daripada berfikir dan menyelidik. Jika Islam menghalang, maka tidak lahirlah tradisi ilmu Islam yang kekal sampai sekarang. Islam juga tidak menolak penolak pembaharuan, tetapi agama yang bersifat sejagat dan dinamik yang menjawab persoalan sepanjang hayat. Tugas kita adalah mencungkil kebenarannya dan apa juga kaedah penyelesaian mesti kembali kepada tanggungjawab kita mendaulatkan kesucian dan ketinggian agama.
  • Barat tidak memerlukan satu lagi tragedi selepas 11 September 2001 untuk melemahkan umat Islam. Ia boleh datang secara proksi dan kejahilan umat Islam sendiri yang melihat Islam itu hanya satu anutan bukan cara hidup yang sempurna. – Tulisan Mohd Izani Mohd Zain, Profesor Madya Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).


Pulihkan semula imej MAS


  • TAHUN 2014 akan kekal dalam ingatan rakyat Malaysia dengan tragedi berkembar pesawat Boeing 777 yang mengorbankan 537 penumpang dan anak kapal dalam masa 131 hari. Pada 8 Mac, pesawat MH370 terbang dari Kuala Lumpur ke China hilang dengan 239 penumpang dan anak kapal. Empat bulan kemudian pesawat MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 298 orang di atas kapal dilaporkan ditembak di timur Ukraine.
  • Jika bencana pertama membuat rakyat Malaysia terkejut, yang kedua menakutkan seluruh dunia. Negara kita menghadapi beberapa situasi: kesedihan, pelbagai spekulasi dan teori, tuduh menuduh, penelitian antarabangsa dan implikasi undang-undang dan diplomatik yang serius. Semua pihak malah dunia masih menunggu siasatan. Adakah kemalangan berkembar pesawat MAS adalah kebetulan? Jika tidak, mengapa dan apakah kesan ke atas negara ini dan rakyatnya.
  • Sebelum 2014, Penerbangan Malaysia (MAS) mempunyai satu rekod keselamatan terbaik dunia dalam tempoh 68 tahun beroperasi. Mengikut satu sumber, MAS menghadapi kemalangan udara yang membawa kehilangan nyawa sebanyak 1 setiap 1.8 juta penerbangan iaitu 0.000055 peratus dalam tempoh kewujudannya hingga 2005.
  • Pada 4 Disember 1977, Penerbangan MH653, terbang dari Pulau Pinang ke Singapura terhempas dengan 100 orang penumpang meninggal dunia, Jika dikira tahun 2006 hingga 2014 kemungkinan terjadi lebih kecil, 30 peratus daripada data di atas.
  • Tambahan pula, MAS menerima beberapa anugerah lima bintang berprestij industri penerbangan daripada Skytrax (2005-7, 2009, 2012-13; satu daripada tujuh syarikat penerbangan di dunia dan pengiktirafan World Travel Awards sebagai syarikat penerbangan terkemuka di Asia dan ke Asia.
  • Tragedi kapal terbang menjadi perdebatan awam. Rakyat Malaysia keluarga penumpang MH370 yang hilang percaya tragedi penerbangan MH17 di Ukraine kebetulan semata-mata. Tetapi, ada juga pakar industri seperti Pengarah Rangkaian Keselamatan Penerbangan Harro Ranter, yang mengumpul kemalangan kapal terbang secara berkelompok, berhujah bahawa kemalangan di dalam kelompok tidak luar biasa.
  • Malah, Ranter berkata ia adalah lebih biasa bagi kemalangan berlaku hanya sehari selepas kemalangan lain daripada dua, tiga atau lebih hari kemudian. Menganalisis bilangan dan kekerapan kemalangan maut pesawat yang membawa 14 atau lebih penumpang sejak tahun 1990, beliau mendapati 45 kes apabila terdapat dua atau lebih kemalangan (tidak termasuk perlanggaran) dan 105 kes ada kemalangan berturut-turut (Gee, 2014). Analisis sebegini boleh meragui teori yang menyatakan nahas tragedi berkembar MH370 dan MH17 adalah kebetulan.
  • Malaysia menyasarkan sektor logistik sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan perjalanan udara adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan pusat logistik bersepadu. Ini adalah ke arah perdagangan import eksport barangan dan perkhidmatan perjalanan di mana KLIA dan MAS adalah antara dua aktor utama dalam rangka strategi ini. KLIA sebagai hab barangan dan perjalanan udara bukan saja untuk bisnes dan pelancongan tetapi juga pelancongan kekeluargaan.
  • Jika kerajaan masih boleh menangguhkan tindakan radikal ke atas MAS yang merekodkan kerugian besar bagi tiga tahun berturut-turut, tragedi berkembar ini telah menampilkan keadaan yang memerlukan tindakan pantas, radikal dan strategik. MAS perlu dirancang dalam rangka pelan pertumbuhan ekonomi negara. Ini juga dapat memulihkan semula imej MAS sebagai syarikat penerbangan terkemuka.
  • Sebagai pemegang saham terbesar, Khazanah bercadang untuk mengambil alih sepenuhnya untuk menswastakan MAS supaya syarikat ini dapat disusun semula, dan mengubah strategi syarikat ini. Ini adalah satu cara yang baik untuk menyelamatkan MAS. Mungkin Khazanah boleh memperkenalkan bisnes model yang boleh menjadikan MAS lebih mantap dan kukuh.
  • Apabila berlaku insiden MH370 kedatangan pelancong China ke Malaysia telah terjejas. Ramai pelancong China membatalkan percutian ke negara kita. Di samping itu, kekerapan penerbangan dari China atau Taiwan ke Malaysia turut berkurang. Pelancong Barat meningkat tetapi adalah terlalu awal untuk menjangkakan kesan selepas MH17 ke atas pelancong Barat.
  • Dari segi hubungan diplomatik, negara kita telah mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dengan banyak negara lain. Sudah tentu pakar negara kita semakin cekap dan mendapat dari pengalaman negara lain.
  • Pemimpin kita telah diuji dalam keadaan paling sukar, setiap langkah diperhati. Kemahiran kepemimpinan kali ini ialah jenis kepemimpinan yang tidak diajar di dalam kursus kepemimpinan dan diplomasi konvensional di mana-mana universiti terkemuka di dunia. – Tulisan Dr Norma Mansor, anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara.


Siapa di sebalik tabir PASMA

  • NAMA Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi kembali menghangatkan politik apabila beliau tampil mendakwa sebagai Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) - sebuah badan yang disebut-sebut bakal menjadi 'Pas baru'.
  • Kemunculan semula beliau pantas mendapat perhatian kerana sudah menjadi pengetahuan umum, Pasma yang ditubuhkan pada 11 Ogos lalu dan didokong kumpulan Anwarinas bertujuan memberi tekanan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang khususnya dalam konteks krisis politik di Selangor.
  • Itu pelan jangka pendek. Pelan jangka panjang pula, Pasma cuba mencorak pemikiran politik Pas yang dikatakan jumud dan ketinggalan kerana diterajui golongan ulama, sebelum sedikit demi sedikit 'NGO' berkenaan bertukar wajah untuk menjadi platform politik.
  • Struktur organisasi Pasma juga saling tidak tumpah Pas dan 'NGO' itu dilaporkan akan menubuhkan badan perhubungan negeri pertama di Pahang sekali gus melantik pesuruhjaya negeri pada masa sama. Ini bermakna langkah ke arah menjadi sebuah pertubuhan politik sudah bermula.
  • Malah perkara tersebut tidak dinafikan Phahrolrazi. Apa yang menjadi persoalannya ialah apakah benar bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah itu merupakan watak utama di dalam Pas yang menggerakkan Pasma? Atau apakah beliau sekadar 'buah catur' untuk mengaburi identiti dalang utama?
  • Ini kerana masterplan Pasma sebenar cukup besar dan dengan aura yang ada pada Phahrolrazi sekarang, adalah mustahil untuk beliau menarik sokongan akar umbi Pas secara massa kerana pengaruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kundor itu terhad di Kedah sahaja.
  • Bahkan cengkaman beliau di Kedah juga terbatas. Walaupun muncul antara tokoh Pas Kedah yang kuat menentang bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dan dilihat pemimpin negeri yang senior, Phahrolrazi tidak terpilih untuk dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas yang baharu.
  • Sebaliknya, jawatan penting itu diserahkan oleh pucuk pimpinan Pas kepada Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar, sehingga akhirnya Phahrolrazi mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas I Kedah dipercayai kerana berkecil hati.
  • Jadi bagaimana untuk seorang yang dilihat sudah hilang pengaruh politiknya mampu untuk mencaturkan Pasma? Rancangan Pasma untuk menggoncangkan kepimpinan ulama tidak mampu direalisasikan tokoh yang bersifat lokal. Paling tidak, Presiden Pasma mestilah bersifat nasional yang ada jawatan di peringkat Pas Pusat.
  • Pengaruh di peringkat Pas Pusat itu penting kerana bukan lagi menjadi rahsia bahawa Pasma akan bergerak sebagai satu kumpulan bersama-sama PKR dan DAP demi menjaga hubungan di antara pakatan yang kini ibarat retak menanti belah.
  • Segala persoalan itu menimbulkan tanggapan apakah Phahrolrazi cuma sekadar proksi pihak tertentu di dalam atau juga di luar Pas? Apatah lagi dengan pengesahan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa nama beliau tiada dalam senarai seperti didaftarkan.
  • Kenyataan media ROS mengenai Pasma menyebut Mohamad Faiz Mohd. Taib (pengerusi); Muhamad Hisomudin Bakar (Timbalan Pengerusi); Mohd. Taib Ahmad (Setiausaha); Mohd. Iqbal Mohd. Shariff (Penolong Setiausaha); Mohd. Rosli Abu Bakar (Bendahari) serta tiga ahli jawatankuasa iaitu Mohamed Zainal Hussin, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Mohamad Abdul Razak.
  • Jika sekadar proksi atau buah catur, siapa pula dalang sebenar yang menjadi tangan ghaib menggerakkan Pasma yang disifatkan Abdul Hadi sebagai nyamuk? Apakah benar Phahrolrazi cuma sekadar jawatankuasa awam? Jika begitu siapa pula yang membentuk jawatankuasa sebenar atau 'jawatankuasa tersembunyi'?
  • Mengenali Phahrolrazi, beliau sebenarnya bukanlah seorang tokoh politik yang mudah dipengaruhi apatah lagi untuk dijadikan buah catur pihak tertentu. Namun dalam politik terutamanya melihat kepada perkembangan semasa Pas yang kini berpecah dua, apa sahaja boleh berlaku.
  • Selain itu, kehadiran Muhammad Husin, iaitu aktivis Pas dari Kelantan dan seterusnya mengangkat diri sebagai Timbalan Presiden Pasma pada forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur/Selangor (KLSCAH) di ibu negara pada Isnin lalu juga tambah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli Pas.
  • Forum tersebut sepatutnya menampilkan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan bekas Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang selain Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof tetapi tanpa sebarang alasan, tempat Husam diganti Phahrolrazi manakala Ahmad diganti dengan Dr. Abdul Aziz Bari.
  • Ahmad sebelum ini disebut-sebut sebagai Mursyidul Am Pasma tetapi beliau menafikan dakwaan tersebut. Husam pula dikaitkan sebagai pemimpin Pas yang pro-Anwarinas apabila beberapa siri kenyataan beliau dilihat bercanggah dengan pendirian Abdul Hadi khususnya dalam konteks krisis politik di Selangor.
  • Secara kebetulan juga Muhammad yang mendakwa 'Timbalan Presiden Pasma' dikenali sebagai orang kuat Husam. Bagitu juga dengan dua lagi ahli jawatankuasa penaja sebagaimana disenaraikan ROS iaitu Muhamad Hisomudin dan Sheikh Umar.
  • Sebenarnya tidak susah untuk meneka siapakah pemimpin tertinggi Pas di sebalik Pasma dan dengan siapa pula di luar parti yang pencatur utama ini bekerjasama kerana seumpama nyamuk daripada dengung pun sudah boleh dikesan.
  • Maka, sebab itu adalah tidak pelik mengapa Ketua Pemuda Pas Sekijang, Johor, Shazni Munir Ithnin, secara terbuka mendesak Husam meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden jika tidak bersetuju dengan Abdul Hadi dan bukannya menjadi anai-anai yang 'makan dalam senyap'. – Utusan Malaysia.