Monday 6 April 2015

Nahas helikopter Semenyih terus jadi misteri

Kotak hitam dibawa ke United Kingdom untuk siasatan lanjut
  • Kementerian Pengangkutan mengesahkan tiada panggilan `mayday’ dari juruterbang helikopter yang membawa Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain, menyebabkan nahas udara di Semenyih terus menjadi misteri.
  • Bagaimanapun kotak hitam yang ditemui bakal menjawab segalanya, cuma perlu menunggu kira-kira seminggu untuk mendapatkan laporan kerana kotak itu kini dihantar ke Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) di Farnborough, United Kingdom untuk analisis secara terperinci bagi mengenal pasti punca tragedi.
  • Tiga hari diperlukan untuk mengeluarkan data dalam kotak hitam itu manakala tiga hari lagi untuk menganalisa kandungannnya. Selepas itu laporan akan disediakan untuk diserahkan kepada kerajaan Malaysia untuk diumumkan kepada orang ramai.
  • Pekara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan sambil menjelaskan bahawa Kawalan Trafik Udara (ATC) tidak merekod sebarang perbualan dengan juruterbang helikopter itu dan ia adalah amalan normal.
  • Laluan penerbangan yang diluluskan bagi helikopter itu meliputi Kuantan, Pekan, Muadzam Shah, Bandar Tun Razak, Kuala Klawang, The Mines, Petaling Jaya dan berakhir di Subang.
  • Juruterbang helikopter Dauphin AS3655N2 (9M-1GB) itu, Clifford William Fournier Jr., mempunyai lesen sah bagi pemanduan pesawat jenis itu sejak 2012.
  • Clifford telah menerbangkan pesawat sejak 2002 dengan hampir 13 tahun pengalaman terbang. Helikopter itu mempunyai perakuan layak terbang di bawah kategori Persendirian, yang kali terakhir diperbaharui pada 13 Februari tahun ini dan sah sehingga 8 Feb tahun depan.
  • Dikeluarkan oleh Airbus Helicopter, dan dahulunya dikenali sebagai Eurocopter France, pesawat itu dikeluarkan pada 1990 dan jangka hayatnya berusia 25 tahun setakat April tahun ini.
  • Penyenggaraan pesawat dijalankan oleh Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd dan pemeriksaan terakhir dibuat pada 29 Jan tahun ini manakala ujian penerbangan dijalankan pada 9 Februari. Dalam ertikata lain helikopter ini disahkan mempunyai tahap keselamatan yang diluluskan.
  • Berikutan insiden itu, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan pasukan penyiasat yang diketuai Datuk Yahya Abdul Rahman, seorang penyiasat dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam siasatan kemalangan helikopter.
  • Pasukan itu mengandungi empat anggota manakala wakil yang bertauliah dari Perancis juga akan dijemput memandangkan negara itu mereka bentuk dan mengeluar pesawat dan enjin.
  • Helikopter itu membawa enam orang, terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih, Selangor, pada 4.55 petang. Mereka yang terkorban ialah ahli parlimen Rompin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, pembantu operasi Fournier Aidana Baizieva, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran.
  • Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis tempatan meminta PDRM menyiasat insiden itu dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan ada elemen jenayah dan sabotaj.
  • Memetik laporan beberapa media perdana, mereka (aktivis) dikatakan mahu PDRM merungkai pelbagai persoalan termasuk aspek keselamatan pemimpin memandangkan Jamaludin dan Azlin merupakan watak penting kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • Kebelakangan ini ramai pihak yang menyerang Perdana Menteri, seolah-olah ada agenda daripada pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan beliau. Harus diingat, Jamaludin dan Azlin merupakan `tangan kanan dan kiri’ Perdana Menteri, mereka memainkan peranan penting kepada politik Perdana Menteri dan juga negara.
  • Perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana sejarah membuktikan perbuatan sabotaj politik pernah berlaku di beberapa buah negara seperti di Myanmar, Jepun, Syria dan sebagainya.
  • Polis perlu mengambil kira segala aspek dalam siasatan ini. Jika benar wujud unsur sabotaj, maka rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu yang telah menyebabkan kematian dua individu yang menjadi pendukung kuat Perdana Menteri.
  • Dalam perkembangan yang sama, sebuah pusat operasi diaktifkan di kawasan lokasi nahas helikopter yang terhempas di Kampung Sungai Pening, Semenyih.
  • Pusat operasi berkenaan ditempatkan di tiga buah khemah di mana satu khemah dikhaskan untuk sidang media dan dilengkapi dengan papan putih bertuliskan carta penugasan anggota penyelamat.
  • Khemah kedua dilengkapi dengan sofa dan meja kopi untuk orang kenamaan yang melawat selain komputer dan mesin pencetak untuk kerja-kerja pentadbiran sementara khemah ketiga digunakan untuk meletakkan bekalan makanan dan minuman anggota penyelamat serta tempat untuk anggota media berteduh.
  • Seramai 121 anggota dari pelbagai pasukan keselamatan bertugas termasuk anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PDRM dan Pejabat Daerah Hulu Langat.
  • Hari ini petugas media dibenarkan membawa masuk kenderaan ke jalan masuk sehingga berhampiran pusat operasi berkenaan berbanding pada hari kejadian semalam di mana petugas media tidak dibenarkan membawa masuk kenderaan dan terpaksa berjalan lebih satu kilometer dari jalan besar. Keadaan itu menyebabkan ada petugas media yang terpaksa membonceng motosikal penduduk kampung.


No comments:

Post a Comment