Sunday 12 April 2015

MB Kedah jadi sasaran mencantas kem Mahathir


  1. Umno Kedah bergolak seketika apabila ramai pemimpin negeri mahu Datuk Seri Mukhriz Mahathir segera mengosongkan kerusi Menteri Besar Kedah jika tidak lagi boleh menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang ada sekarang.
  2. Mereka mengingatkan Mukriz bahawa Menteri Besar adalah jawatan yang dilantik oleh Perdana Menteri dengan sokongan Adun BN, sekiranya beliau tidak lagi menyokong Perdana Menteri, elok letak jawatan.
  3. Panas juga telinga apabila mendengar amaran itu selepas UMNO Kedah mengadakan perjumpaan tergempar semalam. Perjumpaan itu diadakan untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri yang mana MB Kedah juga hadir sama.
  4. Malangnya perjumpaan itu tidak menghasilkan keputusan yang diharapkan apabila Mukhriz menyatakan dia akan membuat pendirian sokongan selepas siasatan 1MDB selesai.
  5. Ramai pemimpin Umno terkejut dengan Mukriz dan melahirkan kecewa dengan tindakan MB Kedah yang dikatakan bermain tarik-tali dan enggan membuat kenyataan terbuka menyokong kepimpinan Najib.
  6. Mereka mendakwa 1MDB adalah isu pengurusan yang sedang disiasat oleh Jabatan Audit Negara ia tidak harus menjadi “benchmark” kepada kepimpinan Mohd Najib. Perdana Menteri sendiri berjanji sekiranya ada salah laku dalam 1MDB, tindakan tegas akan diambil.
  7. Mukhriz dikatakan akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri selepas siasatan terhadap 1MDB selesai. Beliau hanya akan menyokong Najib sekiranya (siasatan) yang dijalankan mendapati 1MDB itu tidak bersalah, namun jika siasatan mendapati sebaliknya, beliau akan bersama-sama rakyat.
  8. Kenyataan Mukhriz itu dibidas oleh beberapa pemimpin Umno dengan menegaskan isu sokongan terhadap Perdana Menteri tidak seharusnya berpaksi kepada 1MDB semata-mata.
  9. Manakala pengajur perjumpaan itu mula pening kepala. “Saya dimaklumkan perjumpaan yang diadakan bertujuan untuk menyokong Perdana Menteri, namun ketika perjumpaan tersebut Menteri Besar berkata beliau berpihak kepada rakyat. Saya pun hairan rakyat mana? Ramai juga rakyat yang menyokong Najib sekarang,” kata penganjur.
  10. Sudah tentu kenyataan muktahir dari Mukhriz itu akan dicatat dalam diari peribadi Perdana Menteri dan besar kemungkinan lineup baru nanti, Mukriz mungkin akan dipanggil ke Persekutuan untuk `disejuk bekukan’ dengan menyandang menteri yang berkuku tumpul.
  11. Itu pun kalau pada PRU14 nanti BN masih mampu mempertahankan majoriti tipis yang ada sekarang. Rasa kurang yakin rakyat terhadap kerajaan timbul apabila Dr Mahathir berulang kali menyebut BN mungkin akan tewas pada PRU itu jika Najib masih menjadi Perdana Menteri.
  12. Bara cantas mencantas di dalam Umno sudah menular pada kerusi Timbalan Perdana Menteri dan kini usaha itu menyelinap ke Kedah. Selepas ini siapakah agaknya sasaran baru gerakan mencantas pemimpin Umno.  


No comments:

Post a Comment