Pakar Hudud - Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid |
ENAKMEN Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang
diluluskan Kerajaan Kelantan, mendapat perhatian ramai, sejak dua minggu lalu.
Ia mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.
Malangnya orang ramai melihat perundangan hudud menerusi sudut pandang sendiri yang sempit dan emosi, umpama sekumpulan orang buta menjelaskan bentuk gajah mengikut kedudukan dan naluri rasa mereka.
Untuk itu Profesor Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh UIAM, Profesor
Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid menerangkan bagaimana umat Islam dan bukan Islam perlu melihat isu undang-undang
hudud alam perspektif yang menyeluruh.
S: Bolehkah Prof jelaskan serba sedikit secara umum apakah
itu perundangan hudud?
J: Islam mempunyai dua cara untuk mendisiplinkan masyarakat,
salah satunya dengan menjanjikan rahmat Tuhan, syurga dan bidadari, manakala
yang kedua dengan memberikan ancaman, sekiranya berbuat jahat akan dimasukkan
ke neraka. Isunya sekarang masyarakat tidak melihat hudud secara menyeluruh.
Misalnya, kisah sekumpulan orang buta menyentuh gajah. Yang memegang belalai
menyangkakan gajah seperti tali, yang memegang telinga gajah menyimpulkan ia
adalah kipas, yang memegang kaki pula menyangkakan gajah tiang. Itulah
perumpamaan masyarakat yang hanya memahami hudud tidak secara menyeluruh,
sedangkan Islam itu sepatutnya dilihat secara keseluruhan.
S: Sesetengah pihak menganggap hukuman hudud ini sesuatu
yang kejam. Benarkah perkara ini?
J: Dalam Islam, hukuman yang digariskan bukan sekadar
menghukum, tetapi untuk mendisiplinkan pesalah. Perkara utama dalam agama
adalah membimbing, sebaliknya perundangan menjadi langkah terakhir. Apabila
seseorang sudah diberikan didikan, tetapi berbuat jahat, maka hendaklah
dikenakan dengan hukuman berat. Tetapi untuk membolehkan hukuman berat itu
dilaksanakan, ia memerlukan beban pembuktian yang ketat. Hukum hudud adalah
ibarat menggantung rotan tinggi-tinggi, supaya anak kita nampak. Tetapi rotan
itu tidak pernah diturunkan, sebab anak kita sudah takut dengan rotan. Islam
adalah agama yang mementingkan disiplin, berlainan dengan sistem Barat yang
hanya menekankan kebebasan. Apabila manusia terlalu bebas, mereka tidak
mempunyai disiplin.
Masyarakat yang melihat Islam melalui kaca mata Barat, akan
mengatakan undang-undang hudud kolot apabila hendak dikongkong dengan disiplin.
Contohnya, hukuman bagi kesalahan zina, hukum hudud memerlukan empat saksi yang
mempunyai pegangan agama yang kukuh dan jujur. Saksi juga perlu melihat
persetubuhan itu seperti melihat benang memasuki lubang jarum (perlu
benar-benar perbuatan itu dengan jelas). Bukan mengendap. Oleh itu, adalah agak
mustahil untuk menghukum seseorang yang
didakwa berzina. Malah, ketika zaman Rasulullah, hanya ada satu kes saja
hukuman hudud dikenakan kepada penzina. Itu pun, beliau sendiri bertemu
Rasulullah SAW dan mengaku perbuatannya. Tetapi Baginda SAW bertanyakan
pelbagai soalan untuk memastikan perbuatan itu benar-benar dilakukan dan
memahami maksud perzinaan.
S: Bolehkan Prof jelaskan mengenai hukum hudud yang boleh
dilaksanakan?
J: Kesalahan yang boleh dikenakan hudud membabitkan murtad,
zina, mencuri, merompak, qazaf dan minum arak. Proses hudud adalah sangat berat
dan tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada kekeliruan. Dalam kes mencuri, ia
perlu mencukupi nisab (jumlah) sebelum seseorang itu dipotong tangannya dan
jika dia mencuri barang yang diletakkan di tempat yang tidak sesuai, perkara
itu tidak akan dilaksanakan. Banyak syarat yang perlu dipenuhi. Jika ada sikit
pun kekeliruan kes itu akan dibuang.
S: Bagaimana jika terdapat kekeliruan dan ketiadaan bukti,
adakah pesalah akan terlepas?
J: Objektif utama hudud adalah untuk mendidik. Hudud adalah
umpama benda yang ditayang, jika kesalahan yang dilakukan itu memenuhi
syarat-syarat yang boleh dikenakan hukuman hudud maka seseorang pesalah itu
akan dihukum. Jika syarat yang digariskan bagi membolehkan pesalah itu dihukum
mengikut hudud tidak dipenuhi, maka ia akan jatuh kepada hukuman takzir. Kalau
hendak dibandingkan dengan hukuman Barat, pakar psikologi jenayah mendapati
bahawa seseorang pesalah yang menjalani hukuman penjara lebih daripada tiga
bulan akan mengalami masalah dari segi mental. Islam tidak menggalakkan sangat
hukuman sebegini. Jika kita lihat berapa banyak peruntukan yang dibelanjakan
untuk penjara, ini adalah hukuman alternatif.
S: Bagaimana pula dengan ketiadaan saksi, bolehkan mana-mana
kes disabitkan dengan pembuktian lain? Adakah hukuman hudud itu boleh
bersesuaian dengan peredaran zaman?
J: Hukuman hudud ini sudah dilaksanakan sejak zaman
Rasulullah SAW. Semuanya sudah lengkap. Bagaimanapun, dengan peredaran zaman,
ia boleh disesuaikan mengikut ijtihad baharu oleh ulama. Contohnya, dalam kes
rogol yang tidak mempunyai saksi. Dalam hal ini, teknologi moden boleh
digunakan untuk pembuktian kes seperti pemeriksaan doktor. Cuma hal ini perlu
ada perbincangan yang lebih mendalam di kalangan ulama dan ahli akademi bagi
mewujudkan garis panduan yang boleh digunakan pakai. Contoh zaman dulu, wanita
tidak dibenarkan keluar sendirian kerana bimbang ramai orang jahat di jalanan,
tetapi fatwa Sheikh Yusuf Qardawi membenarkan wanita bermusafir dengan kumpulan
wanita yang dipercayai sesuai dengan zaman yang berubah.
S: Adakah mana-mana negara dunia yang berjaya melaksanakan
sistem hudud?
J: Bagi saya, Sudan dan Somalia dilihat gagal tetapi tidak
boleh salahkan mereka kerana ia disebabkan sabotaj. Di Brunei pula ia baru dan
lihatlah Barat sudah mula tidak senang dan turut mensabotaj negara itu. Arab
Saudi dilihat sebagai negara yang boleh dianggap berjaya dalam melaksanakan
hudud yang dibantu oleh kuasa Rajanya. Ia mungkin pernah gagal di beberapa
negara tetapi saya percaya orang Melayu boleh melaksanakannya. Contoh dari segi
perbankan Islam, kita lebih baik dari negara lain.
Saya rasa Brunei boleh
berjaya kerana negara itu diperintah Sultan yang tidak berubah sistem politik,
tidak seperti di Malaysia yang diperintah oleh parti politik yang boleh
berubah-ubah. Selain itu, sistem sokong perlu dimantapkan melalui sistem
Mahkamah Syariah yang lebih berwibawa, dengan hakim efisyen dan pelaksanaan
hukuman. Di negara ini, saya melihat
perkara ini tidak mustahil. Ini kerana bangsa Melayu yang cukup sederhana dan
sentiasa mengambil kira perkara penting untuk jangka panjang dan tidak ekstrem.
Tetapi kerajaan perlu menghapuskan perkara yang boleh menyumbang kepada
keburukan, termasuk kebebasan media.
S: Bolehkah Kelantan melaksana sistem hudud ini?
J: Kerajaan Kelantan perlu banyak memberi pemahaman kepada
masyarakat apa itu hudud terlebih dulu. Untuk mengemukakan perlu dengan cara
bijak dan berhati-hati. Undang-undang itu sama seperti sastera kerana mahu
mengutamakan masyarakat. Perlu ada ijtihad baru yang mampu menyesuaikan dengan
konteks semasa. Sekarang ini, asas ada tetapi isunya penganjur perlu
benar-benar menjiwai syariat Islam semasa. Selepas ini, perlu ada sistem
sokongan serta mencari pengalaman. Dalam mengemukakan undang-undang ini, kita
perlu berhati-hati, tidak boleh 'simple minded' (ambil mudah).
No comments:
Post a Comment