Monday 10 March 2014

Juara All England 2014 milik Chong Wei


  1. Datuk Lee Chong Wei menjuarai Kejohanan Badminton All England buat kali ketiga selepas menundukkan musuh tradisinya Chen Long dari China pada perlawanan akhir di National Indoor Arena, Birmingham.
  2. Chong Wei, 31, menang 21-13, 21-18, sekali gus menebus kekalahannya kepada pemain No. 2 dunia dari China itu pada perlawanan akhir, tahun lalu. Ini adalah kemenangan ketiga Chong Wei selepas turut muncul juara pada 2010 dan 2011.
  3. Pemain nombor satu dunia itu bermula garang dengan menewaskan Chen Long pada set pertama dengan 21-13. Pada set kedua Chen Long menunjukkan aksi agresif dengan memberikan tentangan sengit menerusi turutan mata yang hampir sama.
  4. Namun ketenangan Chong Wei mengawal emosi di gelanggang serta mempelbagaikan teknik permainan membawa kejayaan dengan menyingkirkan Chen Long, 21-18 pada set kedua itu dalam masa 59 minit.
  5. Chong Wei pernah meraih kejuaraan itu pada tahun 2010 dan 2011. Kemudian Lin Dan dari China meraih kejuaraan tersebut pada tahun 2012 dan Chen Long pada 2013. Kemenangan kali ketiga Chong Wei dalam All England itu dimeriahkan dengan  sokongan padu penonton Malaysia yang berada di sana. Perlawanan itu turut bersiaran langsung di televisyen satelit.
  6. Susulan kemenangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji Chong Wei kerana menjuarai kejohanan badminton All England 2014. "Chong Wei telah membuat Malaysia bangga sekali lagi. Beliau begitu tabah dan kuat azamnya. Satu tindakan yang mempunyai kelas untuk diingati buat jangka masa yang panjang," kata Najib dalam akaun Twitternya hari ini.
  7. Dalam tweet berasingan, Najib berkata: Chong Wei baru sahaja menelefon saya dan isteri saya. Kami memberitahunya betapa bangganya kami atas kemenangannya."
  8. Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria menjelaskan kejuaraan badminton All England 2014 membuktikan beliau seorang pemain nombor satu dunia yang sukar digugat walaupun bersaing dengan pemain muda dan berbakat.
  9. "Kemenangan Chong Wei itu merupakan kejayaan bermakna buat negara dan dirinya sendiri, beliau memberikan persembahan yang mengagumkan dengan mempelbagaikan cara permainan. Beliau tidak terlalu mengikut rentak Chen Long serta tenang mengawal gelanggang, dengan sokongan padu penyokong Malaysia di sini (England) memang menaikkan semangat beliau untuk meraih kemenangan itu," katanya.
  10. Mohamad Norza berkata jaguh badminton negara itu membuktikan bahawa prestasinya meningkat dan memberikan perlawanan agresif setanding dengan pemain muda seperti Chen Long walaupun mencecah usia 32 tahun.
  11. "Ramai beranggapan perlawanan final (All England) Chong Wei-Chen Long adalah 50-50. Pada pusingan separuh akhir Chong Wei terpaksa bermain dalam perlawanan yang panjang kerana keadaan yang sejuk namun beliau tetap mampu mengatasi pemain muda, Son Wan Ho dari Korea Selatan," katanya.

No comments:

Post a Comment