- TIDAK sahaja remaja yang selalu dianggap gian IT, para wakil rakyat pun gila laman sosial. Macam perangai anak-anak muda, para YB pun suka melatah dan merepek di alam maya dengan ‘posting’ yang menyinggung perasaan.
- Ini posting (terjemahan daripada bahasa Inggeris) dalam Twitter beberapa hari lalu: “Calon MCA ‘Char Bee Hun’ berpakaian seperti makcik penjaga bangunan, hari ini dia memegang seterika, saya fikir dia mahu memohon kerja sebagai pembantu rumah dan lupa rakyat mahu memilih penggubal undang-undang yang lantang dan berkebolehan.”
- Itu kata-kata Ahli Parlimen (DAP) Taiping Nga Khor Ming, yang ditujukan kepada Datin Paduka Chew Mei Fun, calon BN untuk pilihan raya kecil Dun Kajang. Tentu sekali wakil MCA itu berasa tersinggung sebab digelar makcik penjaga bangunan dan pembantu rumah.
- Mei Fun yang sebelumnya mengedarkan kad ucapan sempena Hari Wanita Sedunia kepada pengundi wanita sekitar Dun berkenaan, menggunakan gambar seterika antik. Katanya, gambar seterika adalah lambang kuasa wanita.
- “Seterika lambang kuasa wanita untuk meringankan kesakitan dan perjuangan dalam keluarga seperti menghilangkan kedutan pada kain, bukannya sebagai pembantu rumah seperti yang didakwa beliau (Nga),” katanya.
- Beliau mengecam Nga kerana menghina dirinya menerusi Twitter. Sehingga rencana ini ditulis, pemimpin DAP berkenaan tidak memohon maaf, juga tidak menarik balik kata-katanya dalam laman sosial tersebut.
- Isi Twitter tersebut mungkin bertujuan menghina Mei Fun. Sebaliknya ia mungkin menimbulkan rasa simpati pengundi terhadap pihak yang dihina. Laman sosial pun boleh dijadikan media kempen yang berkesan.
- INI pula bunyi Twitter milik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin: “Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah.”
- Ramai yang marah YB berkenaan dan perkataan dalam laman sosial itu tidak sensitif terhadap keluarga anggota-anggota polis yang terkorban ketika menjalankan tugas.
- Seorang anggota polis, Koperal Raja Aizam Raja Mohd, 53, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas cedera parah ditikam di kepala oleh penjenayah warga asing semasa melakukan rondaan di sebuah lorong di Taman Sentosa, Klang.
- Seperti yang dilaporkan akhbar, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norsalmah Nordin, 50, dan empat anak berumur 17 hingga 25 tahun. Rakan setugasnya, Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, pula cedera parah, manakala dua penjenayah berjaya ditembak mati dalam kejadian berkenaan.
- Tentu sekali semua anggota polis, terutama keluarga dan sanak-saudara Allahyarham berasa tersinggung dengan kata-kata menggores seperti itu, lebih-lebih lagi datangnya daripada seorang wakil rakyat.
- TETAPI, Dr Afif yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu mendakwa tweet beliau berkaitan penjenayah bunuh polis telah dipintal secara jahat oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
- Menurutnya, tindakan itu (memintal) adalah untuk memperlihatkan beliau sebagai musuh kepada pihak polis, sekali gus seorang yang tidak menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
- Katanya, tweet beliau dengan jelas tidak merujuk kepada sesiapa apatah lagi kepada mangsa yang terkorban ketika mempertahankan negara.
- Dalam kenyataan kepada media, beliau menegaskan: “...adalah tanggungjawab saya untuk bekerjasama dengan pihak polis demi kesejahteraan para penduduk Seberang Jaya dan Pulau Pinang.
- “Saya tidak akan sesekali memperlekeh peranan pihak polis dan pihak berkuasa lainnya yang sentiasa bekerjasama dengan saya demi keselamatan penduduk Seberang Jaya dan Pulau Pinang.”
- Baca tweet asal, dan baca apa yang disiarkan oleh media. Apakah benar tweet itu telah ‘dipintal’?
- AKHIR kalam, semakin jelas sekarang laman-laman sosial – Facebook, Twitter, Whatsapp, dan sebagainya – memang telah menjadikan hidup tidak tenteram, keadaan pun semakin kelam-kabut.
- Ramai yang tidak bertanggungjawab, sekali gus tidak bijak, menjadikan laman maya sebagai tempat menabur fitnah. Serangan peribadi mengenai skandal, termasuk hal-hal dalam kelambu seseorang disebarkan tanpa sekatan.
- Penghinaan terhadap agama semakin berleluasa dalam media sosial, termasuk dengan memaparkan imej dan gambar yang amat menghina. Sementara ramai yang dihina dan tidak berdaya untuk membela diri, pihak berkuasa – khasnya PDRM dan SKMM – bagaikan sudah hilang punca untuk bertindak. – tulisan TOK PERAK
Monday 10 March 2014
Bahaya gian blogging tanpa asas kewartawanan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment