- Masyarakat tempatan dan global menunjukkan minat untuk membantu mengesan kehilangan misteri pesawat MH370. Masing-masing menawarkan khidmat dan kepakaran sebagai keprihatinan terhadap insiden paling pelik dalam sejarah penerbangan.
- Di New York, syarikat pengimejan satelit Colorado, DigitalGlobe melancarkan program pengumpulan maklumat dalam talian yang membolehkan pengguna Internet membantu mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang Sabtu lalu.
- Menurut laman web berita, nydailynews.com, pengguna Internet boleh menggunakan imej satelit berdefinisi tinggi menerusi laman web, tomnod.com untuk mencari dan menanda sebarang objek di kawasan perairan Malaysia dalam laman web itu.
- Pengurus kanan DigitalGlobe, Luke Barrington berkata, pakar algoritma laman web kemudian akan menyelidik objek yang ditanda itu yang mungkin mampu membantu penyiasatan pesawat tersebut.
- Sebelum ini program itu juga pernah digunakan dalam usaha membantu mengumpul maklumat dalam taufan Haiyan di Filipina, tahun lalu. Kira-kira 600,000 orang memeriksa dan meneliti imej-imej satelit yang dikeluarkan oleh syarikat DigitalGlobe Inc. dalam usaha membantu mencari petunjuk kehilangan pesawat Malaysia Airlines.
- DigitalGlobe Inc. berkata, pengguna laman web syarikat itu boleh menanda imej-imej tersebut jika mereka dapat melihat bangkai, bot penyelamat, tompokan minyak atau petunjuk lain. Syarikat itu merancang membuat kemas kini harian ke atas imej-imej tersebut dalam laman web carian http://www.tomnod.com.
- Di KUALA LUMPUR, Perdana Menteri mengajak rakyat Malaysia bersatu hati dan bersama-sama menyokong segala usaha habis-habisan yang sedang dilakukan untuk mengesan MH370.
- Kita kena bersama-sama dengan segala usaha yang dilakukan kerajaan, bersatu hati dan berdoa. Mudah-mudahan Insya-Allah apa yang kita harapkan sesuatu pengetahuan yang boleh menutup isu ini sama sekali akan dapat kita kesan tidak berapa lama lagi, katanya.
- Perdana Menteri mengingatkan bahawa bagi umat Islam, mereka diajar supaya menerima hakikat bahawa Allah menentukan segala-galanya, dan perlu menerima qada dan qadar Ilahi.
- Kita perlu menghadapi ujian besar Allah ini dengan penuh ketenangan, kita mesti berusaha sedaya upaya kita, dengan segala kemampuan dan kekuatan yang ada pada kita. Ini yang sedang diusahakan habis-habisan oleh kerajaan.
- Walaupun dengan segala kecanggihan teknologi yang ada, akhirnya umat Islam perlu menerima bahawa mereka hanyalah manusia biasa yang lemah dan kerdil. Sememangnya pesawat Boeing 777 antara yang paling canggih yang ada track record amat baik.
- Keluarga yang terlibat juga perlu sedar ini satu kejadian yang tak diduga sama sekali dan kita kena faham bahawa segala usaha sedang dilakukan dan secara bersungguh-sungguh. Kerajaan dengan bantuan sembilan buah negara dan berbekalkan peralatan yang canggih, bertungkus-lumus dalam usaha mengesan pesawat berkenaan. Kerajaan lakukan segala-galanya (termasuk) tambah aset, pesawat dan kapal dengan peralatan canggih, dengan sonar dan sebagainya.
- Di KUANTAN, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan menggerakkan lebih 1,000 ahlinya di seluruh daerah ini untuk membantu pihak berkuasa mengesan pesawat MH370 yang hilang.
- Ahli Lembaga Pengarah PNK Kuantan, Talib Husin berkata, nelayan yang digerakkan ini adalah terdiri daripada semua kategori termasuklah nelayan pesisir pantai dan laut dalam. Menurutnya, pihaknya sudah maklumkan kepada nelayan yang terlibat untuk memberitahu kepada pihak berkuasa jika menemui sebarang penemuan di laut.
- “Setakat ini ada lebih kurang 20 bot jenis C2 sedang berada di tengah laut dan mereka telah dimaklumkan mengenai perkara ini menggunakan walkie-talkie. Kebanyakan bot laut dalam ini boleh berhubung terus dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim). Buat masa ini, saya belum menerima laporan mengenai penemuan oleh nelayan di kawasan ini,” katanya.
- Nelayan bot kelas C2 itu juga boleh pergi ke kawasan 60 batu nautika dan secara tidak langsung boleh membantu pihak berkuasa mencari pesawat yang hilang. Nelayan tradisional dan nelayan pesisir pantai juga boleh memantau ketika mereka pergi menangkap ikan. Jika ada sebarang penemuan, mereka boleh terus pergi ke pihak berkuasa.
Wednesday 12 March 2014
Orang awam boleh bantu cari MH370
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment