Gerobok Perdana Menteri 2015
- Pada tarikh 28 Julai 2015 Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak telah mengumumkan rombakan kabinetnya yang pertama sejak 2009.
- Namun ramai menyifatkan rombakan itu ada kaitan dengan skandal
1MDB. Padahnya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipecat
bersama beberapa menteri kanan yang lain.
- Beberapa peristiwa lain berlaku serentak pada hari rombakan kabinet
seolah-olah ia sudah ditentukan dalam satu konspirasi terancang oleh Perdana
Menteri.
- Kesannya, Najib dicemuh sehingga ada yang menganggap
kabinetnya saling tak tumpah seperti sebuah kabinet dapur atau gerobok atau almari kayu.
- Ketika negara dijerut isu 1MDB yang mana ramai pemimpin
UMNO turut mempersoalkannya, Najib membuat kejutan besar. Beliau memecat beberapa menteri kanan, termasuk
Timbalan Perdana Menteri berkuatkuasa 24 jam.
- Peliknya ia berlaku hampir serentak dengan beberapa peristiwa lain
yang diandaikan ada kaitan antara satu sama lain.
- Ia telah membawa kepada persepsi rakyat bahawa kerajaan pimpinan Najib sedang
berusaha membina benteng kebal untuk diri dan keluarganya.
1. Pemecatan Muhyiddin yang dikaitkan dengan isu 1MDB
- Mula menduduki kerusi TPM pada 10 April 2009, semua orang
tahu Muhyiddin dibesarkan dalam keluarga yang kuat berpegang kepada Islam,
malah bapanya yang juga seorang ulama, tidak takut untuk mempertahankan
kebenaran.
- Muhyiddin yang sebelum ini pernah dilaporkan menyerahkan
surat peletakan jawatan sebagai TPM tetapi ditolak oleh Najib, mula menyuarakan
pandangannya sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap Umno dan negara.
- Muhyiddin sebenarnya mengetahui
mengenai isu dan masalah yang menimpa 1MDB sebelum ini, namun demi menjaga
Najib sebagai boss dan rakan, beliau dipercayai lebih banyak mendiamkan diri.
- Sehinggalah isu 1MDB semakin panas dan kemudian dikaitkan
pula dengan laporan The Wall Street Journal bahawa kira-kira RM2.6 bilion masuk
ke akaun peribadi Najib, serta laporan mengatakan RM2 juta masuk ke akaun
peribadi isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Muhyiddin mula memberi nasihat
kepada Perdana Menteri, namun tidak dipedulikan.
- Akhirnya, Muhyiddin mula meluahkan rasa tidak puas hati
terhadap 1MDB secara umum dalam perjumpaan dengan ahli Umno sama ada secara
tertutup atau terbuka dan dalam Kabinet. Kita yakin beliau tidak membuat
kritikan dan menyerang secara terus Perdana Menteri atau keluarganya.
- Kita menganggap tidaklah berat sangat kritikan Muhyiddin
terhadap 1MDB dan nasihat kepada Najib sehingga Perdana Menteri begitu kejam ‘mematikan’
karier politik orang yang selalu membelanya. Akibat serangan terhadap 1MDB,
Muhyiddin akhirnya ‘diberhentikan’ oleh Najib.
2. Penamatan khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai
Peguam Negara (Siasatan terhadap 1MDB)
- Alasan yang diberi ialah kerana Gani menghadapi masalah
kesihatan. Tidak dinafikan Gani mempunyai masalah kesihatan, namun rata-rata
orang ramai melihat tindakan itu ada kaitan dengan siasatan Pasukan Petugas
Khas ke atas 1MDB, yang dipercayai memperoleh banyak maklumat mengelirukan
mengenai berbilion-bilion wang yang dipinjam daripada bank tempatan dan luar.
- Apa yang memeranjatkan ialah pendedahan oleh The Wall Street
Journal yang memetik laporan Pasukan Penyiasat Khas itu mendedahkan berlaku
aliran wang tunai ke dalam akaun Najib berjumlah RM2.6 bilion. Najib walaupun
sudah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan, namun masih tidak menjawab sama
ada betul atau tidak wang berkenaan berada di dalam akaun beliau. Ya atau
tidak!
- Malah, ada dakwaan bahawa Gani sudah mempunyai maklumat
lengkap dan bercadang mengenakan tuduhan terhadap Najib. Pasukan Penyiasat Khas
itu turut dianggotai SPRM, Gabenor Bank Negara, dan PDRM dan kerap menyiarkan
kenyataan mengenai siasatan mereka.
- Khidmat Gani akhirnya ditamatkan. Adakah Pasukan Penyiasat
Khas juga terpaksa menghentikan siasatan mereka atau menyerahkan semua dokumen
siasatan kepada Najib?
3. PMSP lapor SPRM mengenai 1BestariNet (Pembabitan
Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran)
- Secara tiba-tiba sahaja, PMSP hari ini membuat aduan kepada
SPRM supaya menyiasat kegagalan projek runding terus 1BestariNet yang bernilai
RM663 juta yang diluluskan Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan.
- Dalam kenyataan kepada media selepas mengemukakan laporan
itu, Penasihat Ekonomi PMSP, Suud Ridzuan dilaporkan meminta Muhyiddin
mengambil cuti rehat sehingga siasatan SPRM ke atas projek itu selesai.
- “Kami amat prihatin bahawa RM663 juta sudah dibelanjakan
adalah wang rakyat. Ini adalah satu jumlah yang sangat besar,” kata Suud.
Mungkin, Suud tidak mengetahui bahawa RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB
adalah wang rakyat dan jumlahnya lebih besar daripada RM663 juta.
- Namun, kita hairan kenapa pertubuhan yang mempunyai minda
prihatin itu tidak membuat aduan terhadap Najib selepas dakwaan mengatakan
RM2.4 bilion wang 1MDB yang juga wang rakyat masuk ke akaun peribadi Najib.
- Jika PMSP menggesa Muhyiddin berehat kerana kata mereka kes
itu melibatkan wang rakyat yang jumlahnya sangat besar, wajar juga mereka menggesa
Najib supaya berehat kerana wang yang dikawal oleh Perdana Menteri selaku
Menteri Kewangan dan ‘pengawal’ 1MDB adalah berkali-kali ganda besarnya – bukan
juta tapi bilion.
- HARI INI, apabila Muhyiddin sudah menjadi rakyat biasa
(kecuali masih memegang jawatan Timbalan Presiden Umno dan Ahli Parlimen),
mudahlah siasatan dijalankan ke atas beliau.
4. Pelantikan Pengerusi PAC sebagai timbalan menteri
(Siasatan terhadap 1MDB)
- Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah
Pengerusi PAC yang kini sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan wang oleh 1MDB
yang dikawal oleh Najib.
- Adakah, pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Dalam
Negeri (satu portfolio penting) adalah usaha untuk memperlahankan siasatan PAC
ke atas 1MDB? Ini kerana pelantikan anggota PAC perlu dibuat di Parlimen
sedangkan sidang Dewan Rakyat sesi akan datang masih lambat lagi.
- Sudah diketahui ramai bahawa 1MDB membuat hutang daripada
bank tempatan dan luar negara paling besar dalam sejarah Malaysia iaitu
kira-kira RM42 bilion. Wang yang dipinjam itu pula kini dikatakan tidak dapat
dikesan.
- HARI INI, pastinya siasatan PAC terhadap 1MDB tergendala
apabila Nur Jazlan berkata beliau akan meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC
selepas dilantik sebagai timbalan menteri. Siapa yang akan meneruskan siasatan
apabila ‘kepala’ PAC dan Pasukan Penyiasat Khas (Gani) tiada?
5. Pelantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baru
- Apa pula kaitan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dalam hal
siasatan terhadap 1MDB atau Najib? Memang agak sukar untuk dikaitkannya, namun
perlu diingat bahawa peranan SB dalam sebarang siasatan kes tidak boleh
diketepikan apa lagi dalam isu-isu yang besar dan mengancam keamanan negara.
- Namun, mungkinkah hanya kebetulan Kementerian Dalam Negeri
yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri baharu yang akan memulakan tugas
rasminya esok, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan pelantikan Mohamad
Fuzi Harun sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman menggantikan Datuk Seri
Akhil Bulat yang bersara?
No comments:
Post a Comment