Sunday 29 March 2015

Harussani jawab mengapa hudud mesti dilaksanakan

  • Tiada siapa yang boleh mempertikai hukum hudud kerana ia hukum Allah yang wajib dilaksanakan. Bagaimanapun umat Islam boleh memberi kritikan untuk memperbaiki pelaksanaan hukum itu.
  • "Saya tidak tahu apa mereka pertikaikan, apakah caranya atau ia tidak sempurna?. Itu saya tidak tahu, tetapi kalau disebut hukum hudud, barang sesiapa yang menentang hukum Allah itu, dia akan menerima bencana daripada Allah SWT.
  • "Saya yakin bahawa apa yang dibentangkan adalah mengenai hukum hudud, tetapi cara pelaksanaannya itu saya tidak tengok...mungkin yang dikritik itu adalah caranya...hukum hudud itu mesti dilaksanakan, ia adalah wajib," tegas Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
  • Beliau mengulas tindakan beberapa pihak yang mempertikai pelaksanaan hukum hudud di negara ini. Sambil itu beliau mengajak umat Islam bersatu dan menerima hukum tersebut.
  • "Konsep Islam, umumnya, tidak boleh mempertikai hudud, sekiranya dia mempertikaikan hukum hudud bermakna dia mempertikai hukum Allah," katanya.
  • Daripada kenyataan Harussani itu, kita sepatutunya lebih berhati-hati ketika memberi pendapat mengenai hudud kerana jika tersilap perkataan, akidah kita akan terjejas.
  • Hal ini pernah diingatkan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang berkata seseorang Islam tidak boleh berkata beliau menolak hudud atau pelaksanaannya kerana hudud merupakan undang-undang Allah yang wajib dilaksanakan.
  • "Jika dia berkata dia tidak menolak hudud tetapi menolak pelaksanaan hudud sekali pun, ia tidak boleh. Sebaliknya katakanlah bahawa hudud itu akan dilaksana tetapi dengan ruang-ruang dan perbincangan antara sekutu sehingga ia boleh dilaksanakan dengan persetujuan semua.
  • "Dalam konteks negara kita yang berbilang kaum ini, hudud itu dikatakan tidak sejajar dengan perlembagaan tetapi ia perlu jua dilaksanakan apabila ada ruang persetujuan antara pihak berkenaan nanti," katanya.
  • Mohamad Shukri berkata hukuman hudud bagi orang Islam adalah wajib seperti solat, haji dan puasa, namun katanya atas sebab-sebab tertentu ada juga yang tidak mengamalkan solat, puasa atau haji.
  • "Ada juga orang Islam yang tak solat, tetapi dia tak tolak solat. Ada yang tak buat haji walaupun dia mampu tapi dia tak tolak haji. Begitu juga hudud, pelaksanaannya juga tidak boleh ditolak sebaliknya terus dibincang sehingga boleh dilaksanakan," katanya.
  • Mohamad Shukri juga menasihatkan agar umat Islam negara ini berhati-hati ketika membincangkan tentang hudud sama ada di laman sosial atau sebagainya untuk mengelak akidah terkena 'virus' atau menjejas syahadah.
  • "Virus itu maksudnya kita semacam termakan apa yang orang kata tentang hudud kononnya zalim dan sebagainya sedangkan mereka tidak faham apa itu hudud. Manakala syahadah pula pendirian kita terhadap Islam dengan lafaz dua kalimah syahadah, itu perlu dijaga jangan sampai terjejas," katanya.
  • Katanya perbincangan tentang hudud sepatutnya diserahkan kepada pihak yang pakar mengenainya dalam usaha memberikan pemahaman terutama kepada orang bukan Islam.
  • Mohamad Shukri turut meminta anggota-anggota politik termasuk calon pilihan raya mengelak menggunakan isu hudud sebagai bahan untuk kempen mereka. Agama dan politik adalah dua perkara yang tidak seharusnya dicampur adukkan apatah lagi sebagai bahan kempen.
  • "Bawalah apa sahaja bahan, tetapi bukan agama, bukan hudud. Bila dah cakap banyak pasal, ada yang mungkin tidak sedar akidah terjejas. Kita faham, kalau bukan Islam hudud memang mereka tolak, tetapi jika yang bercakap itu orang Islam, dia atas tiket politik, mereka perlu berhati-hati, elakkan," katanya.
  • Bagaimanapun masih ada beberapa mufti dan pendakwah yang mengatakan hudud boleh ditolak atau tidak dilaksanakan, antaranya Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berkata tidak salah umat Islam tidak bersetuju atau menolak hukum hudud yang cuba dilaksanakan PAS di Kelantan.
  • Menurut Asri, walaupun umat Islam tidak boleh membantah asas hudud kerana ia merupakan hukum Allah, ‎mereka masih bebas mengutarakan cadangan, pandangan atau “ijtihad” lain.
  • “Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen.
  • “Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas,” kata Asri dalam satu kenyataan di laman blognya.
  • Beliau berkata, umat Islam perlu mengetahui perincian undang-undang syariah itu kebanyakannya tidak wujud dalam Al-Quran mahupun Sunnah.
  • Tambahnya perincian mengenai hudud mungkin terdapat dalam beberapa nas (dalil) tetapi dari segi perbincangan hukum fekah, ia boleh diandaikan pelbagai tafsiran.
  • “Ini yang disebut sebagai zanniah al-dilalah (dalil yang boleh berikan lebih dari satu andaian). Maka, pendetilan kepada undang-undang hudud kebanyakannya adalah ijtihad ataupun kesimpulan pandangan hukum yang dirumuskan oleh sarjana muslim dari pelbagai latar,” katanya.
  • Oleh kerana terdapat pelbagai tafsiran dalam nas tersebut, terdapat perbezaan dalam perincian hukum seperti kadar curian, ‎suasana undang-undang itu dilaksanakan dan sama ada taubat menggugurkan hukuman ataupun tidak, kata Asri.
  • ‎Pada masa sama, beliau menegaskan pendiriannya menyokong hasrat Kelantan melaksanakan hudud tetapi mahu kerajaan PAS itu memberi ruang agar enakmen syariah itu dikaji semula pakar perundangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.
  • Katanya, tindakan mengkaji semula enakmen tersebut adalah wajar agar kerajaan Kelantan tidak mengulangi kegagalan pelaksanaan hudud yang pernah berlaku di negara lain seperti di Libya, Sudan, Nigeria dan Pakistan.
  • ‎”Yang akhir memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang dibuat oleh mereka, katanya.
  • Asri berkata, Kelantan di bawah pentadbiran PAS harus mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan menggambarkan kekejaman undang-undang seperti berlaku di bawah pentadbiran Taliban dan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
  • Umat Islam menyokong hasrat Kelantan. Dalam masa yang sama, ruang waktu untuk pandangan kesarjanaan di pelbagai peringkat hendaklah dibuka.
  • Sementara itu, pendakwah bebas Dato Ustaz Kazim Elias (DUKE) pula berpendapat hukum hudud hanya boleh dilaksanakan jika seluruh rakyat Malaysia bersatu menerimanya.
  • Katanya, hudud jika hudud digunapakai di Malaysia, maksudnya akan ada dua jenis hukuman yang berbeza, orang Islam yang melakukan zina (bagi yang dah berkahwin) akan dihukum rejam, manakala orang bukan Islam yang berzina pulak mungkin akan didenda ataupun tidak dikenakan apa-apa denda pun.
  • Masalah ini akan menjadi lebih rumit bila pasangan zina itu adalah penganut agama Islam dan pasangannya pulak bukan beragama Islam. Pasangan yang bukan Islam itu mungkin tidak dikenakan hukuman berat dan pasangannya pula yang beragama Islam akan direjam sampai mati (jika pesalah sudahpun berkahwin).
  • Di sini akan dapat lihat masalahnya bila tiada asas hukuman yang sama. Bagaimana pulak dengan kesalahan mencuri sekiranya terdapat dua pencuri yang ditangkap dan didapati bersalah, seorang beragama Islam dan seorang bukan Islam? Hanya pencuri beragama Islam dipotong tangan dan pencuri bukan Islam hanya dipenjarakan.
  • Cara untuk laksanakan hudud secara menyeluruh ialah dengan meminda undang-undang sivil terlebih dahulu yang selari dengan hukuman hudud, barulah nanti wujud persamaan dari segi hukuman.
  • Masalahnya, mahukah golongan bukan Islam di anggota kabinet serta parti komponen dalam BN yang bukan beragama Islam menerima cadangan pindaan ini? Mahukah DAP, PKR malah sebahagian ahli parlimen PAS dan UMNO menerima cadangan pindaan ini?
  • Kesimpulannya, perbezaan pandangan antara ulama tersohor Malaysia seperti Harussani, DrMaza dan DUKE menyebabkan umat Islam semakin keliru kebingungan. Nasihat ulama mana satu nak mereka ikut. 


No comments:

Post a Comment