Tuesday 30 June 2015

Jawapan kepada tuduhan Kumpulan 501


Baru-baru ini puak pembangkang menggunakan jenama 501 telah menyebarkan 10 tuduhan berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan tujuan agar rakyat semakin membenci Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO.

Perbuatan itu dilancarkan sebagai salah satu senjata merendahkan moral kerajaan lantas rakyat akan mengundi pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang. Dalam konteks ini Gabungan Rakyat Prihatin (GRP) telah melihat bahawa 10 pertuduhan itu sebenarnya tidak berasas sambil menyediakan jawapan agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang.


Tuduhan 1: Pasaran menghadapi kacau bilau GST. Kebanyakan barangan telah naik harga ataupun saiz makanan semakin kecil. Mana janji "harga barang turun"?

Jawapan : Kerajaan telah berjanji harga turun dan ia telah di kotakan. Apabila SST dihapuskan, kebanyakan harga barangan telah diturunkan. Kos dari pihak Kerajaan telah diturunkan supaya faedahnya dapat dinikmati oleh rakyat.

Tapi Malaysia mengamal sistem ekonomi terbuka, bukan sistem ekonomi komunis. Keenganan peniaga menurunkan harga adalah di luar kuasa undang-undang sedia ada untuk memaksa peniaga menurunkan harga barangan dan perkhidmatan.

Bagi barangan bukan tersenarai di bawah Akta Kawalan Harga, kerajaan tidak boleh memaksa peniaga menurunkan harga melainkan satu akta baru diluluskan dalam Parlimen. Malangnya BN tidak lagi menguasai 2/3 kuasa undi yang diperlukan untuk memperkenalkan akta baru.


Tuduhan 2: Peniaga terpaksa beli software GST dan upah kerani tambahan untuk kendali operasi GST. Walaupun kebanyakan barangan asas adalah kadar sifar GST tetapi kebanyakan ramuan lain dikenakan GST. Ini telah menyebabkan kos naik dan harga barang juga naik.

Jawapan: Kerajaan memberi subsidi kepada peniaga untuk meningkatkan taraf kemudahan dan membeli software GST sebanyak RM1,500. Tiada isu mengatakan peniaga terpaksa menanggung kos pembelian software GST.

Sekiranya selama ini peniaga telah mematuhi arahan kerajaan mengenai penyimpanan akaun, mereka hanya perlu upgrade kepada akaun sedia ada untuk memenuhi GST compliance. Malah jumlah subsidi yang diberikan melebihi kos untuk meningkatkan taraf akaun sedia ada.

Kerajaan telahpun menghapuskan SST dan harga pasaran adalah tertakluk kepada kuasa penawaran dan pembelian. Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli barangan yang diklasifikasikan sebagai sifar GST dan telah dinaikkan harga jualan mereka. Ini akan memberi tekanan kepada para peniaga untuk menurunkan kembali harga mereka.


Tuduhan 3: Lagi panjang senarai pengecualian GST,lagi jelas membuktikan Malaysia tidak sesuai laksanakan GST. Ini kerana kebanyakan gaji rakyat hanya mencukupi untuk isi perut dan tiada wang tambahan untuk bayar cukai.

Jawapan: Ini sama sekali tidak benar. Ambil contoh negara Australia yang telah memperkenalkan GST 14 tahun yang lepas. Ketika memperkenalkan GST, gaji mingguan pekerja am rakyat Australia hanya sekitar AUD $350 - $500.

Dengan kejayaan cukai GST yang diperkenalkan, gaji mingguan pekerja am rakyat Australia kini tidak kurang dari AUD $1,000. Penyelarasan kesimbangan antara pendapat dan  perbelajaan akibat GST diperkenalkan tidak boleh dirasai dalam sekelip mata tetapi memerlukan sedikit jangkamasa.

Sistem percukaian GST amat bertepatan dengan matlamat Kerajaan mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 dimana dijangkakan pendapatan purata rakyat Malaysia sekitar RM4,000 - RM5,000 sebulan.


Tuduhan 4: Sama ada anda gaji RM10,000 ataupun RM1,000 semua rakyat Malaysia menggunakan kuantiti barangan dan perkhidmatan asas yang sama. Tapi bagi golongan berpendapatan rendah, pembayaran tambahan GST RM100 beri tamparan hebat kerana mereka tidak dikenakan cukai sebelum ini. Dengan hanya 75% pekerja Malaysia yang bergaji bulanan RM2000 ke bawah (sumber KWSP), RM100 amat bermakna untuk mereka.

Jawapan: Kenyataan mengatakan golongan berpendapatan rendah tidak dikenakan cukai sebelum ini adalah tidak benar sama sekali. Malah hakikat sebenarnya mereka membayar cukai SST dalam setiap barangan yang dibeli oleh mereka sebelum ini.

Di bawah sistem SST para peniaga tidak perlu menunjukkan jumlah cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan. Oleh kerana itu ada di kalangan peniaga menggelak daripada membayar cukai SST tersebut kepada kerajaan walaupun ia tetap dikenakan kepada pembeli.

Kerajaan mengalami kerugian pendapatan cukai sementara rakyat mengalami kerugian dari segi pembangunan yang dapat dilaksanakan dengan cukai yang dilarikan.

Sistem pencukaian GST memerlukan para peniaga mempamerkan jumlah cukai yang dikenakan kepada pembeli dan kerana itu ianya kelihatan seolah-olah satu cukai baru. Sistem percukaian GST dapat menghindar para peniaga dari melarikan diri dari membayar cukai dan cukai yang diperolehi dapat dinikmati oleh rakyat dalam bentuk program program pembangunan negara.


Tuduhan 5: GST dikenakan untuk isi kepincangan pentadbiran kerajaan dan rasuah. Tiap-tiap tahun Laporan Ketua Audit Negara membongkarkan banyak agensi kerajaan berbelanja sewenang-wenangnya. Terbaru, 1MDB pula berhutang RM42 billion. Malaysia telah alami kerugian wang haram sebanyak RM173.8 billion pada tahun 2011 dimana ia 8 kali ganda daripada jangkaan pendapatan RM23.2 billion. Kerajaan seharusnya fokus banteras rasuah, bukannya cukai duit rakyat.

Jawapan: Kerajaan amat prihatin dengan masalah rasuah yang melanda negara dan sedang berusaha menghapuskan rasuah. GST ialah salah satu komponen yang diperkenalkan untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan wang kerajaan.

Sistem GST menghendaki setiap transaksi direkodkan dan jumlah cukai GST yang dibayar harus seimbang dengan jumlah pembelian. Sebarang ketidakseimbangan akan menunjukkan ketirisan dan penyalahgunaan wang kerajaan. Sistem GST juga boleh diperluaskan untuk merangkumi perbelanjaan rakyat dan semua perbelanjaan akan diseimbangkan dengan pendapatan individu yang di isytiharkan kepada LHDN.

Sebarang transaksi yang menunjukkan perbelanjaan serta simpanan melebehi pendapatan akan mewujudkan satu ketidakseimbangan dan perlu disiasat sumber pendapatan tambahan yang digunakan dalam perbelanjaan.

Pemberi rasuah juga tidak dapat melarikan diri kerana akaun mereka juga akan menunjukkan ketidakseimbangan pendapatan dan perbelanjaan. Sebarang pendapatan dari rasuah tidak dapat disorokkan dan kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang memberi dan menerima rasuah.

Pengaliran keluar wang haram juga dapat dibanteraskan apabila semua transaksi yang di hantar kepada kerajaan perlu seimbang bukan sahaja dengan akaun syarikat dan persendirian tetapi juga dengan akaun pemborong, peniaga dan lain lain.


Tuduhan 6: Tak berjimat masa harga minyak naik, harga turun baru nak cari duit. Minyak naik, harga petrol naik, minyak turun kenakan GST. Rakyat yang menderita.

Jawapan: Tidak benar sama sekali. Kerajaan telah mula mempertimbangkan penggunaan sistem percukaian GST semenjak 1992. Jangka waktu pengenalan GST adalah secara kebetulan bertembung dengan jangka waktu harga minyak turun. Penurunan harga minyak tidak sama sekali ada kena mengena dengan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan sistem percukaian GST.


Tuduhan 7: Dalam jawapan yang diberikan di Parlimen, 7 juta orang menerima BR1M bermakna 60% isi rumah mendapat gaji kurang daripada RM4000. Perahan GST dan kenaikan barang bebankan golongan bawah. Daripada fokus mengedar BR1M, mengapa tidak kurangkan ketirisan, rasuah dan pembaziran serta memperbaiki ekonomi dan meningkatkan pendapatan semua.

Jawapan: Kerajaan amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan berusaha mengatasi semua masalah tersebut. Sistem percukaian GST ini adalah jawapan terhadap semua permasalahan yang dinyatakan. Sistem percukaian GST yang lebih lengkap dan menyeluruh dapat mengatasi semua masalah tersebut jika diberi masa untuk sistem ini berfungsi sepenuhnya.


Tuduhan 8: Kekurangan pembayaran cukai berpunca dari gaji rendah dan ekonomi teruk, maka kebanyakan tidak capai tahap pembayaran cukai pendapatan. GST memaksa golongan miskin dan penganggur seperti pelajar, pesara dan kanak-kanak membayar cukai. rakyat jadi mangsa apabila kerajaan berhasrat untuk menghalang pelarian cukai.

Jawapan: Kerajaan telah mengenal pasti permasalahan rakyat dari segi pendapatan. Berdasarkan kepada sejarah beberapa negara yang telah melaksanakan GST, kadar pendapatan purata rakyat semakin meningkat kerana pungutan cukai yang lebih efisyen membolehkan kerajaan melabur dan melaksanakan program yang dapat meningkatkan aktiviti ekonomi serta mewujudkan peluang peluang perniagaan serta pekerjaan. Bagi barangan asas yang di perlukan oleh golongan berpendapatan rendah, miskin dan kanak-kanak, banyak dari barangan ini tidak dikenakan cukai GST.


Tuduhan 9: GST memaksa golongan yang tidak mampu untuk membayar cukai. Selepas pelaksanaan GST, pelanggan berkurang. Kekurangan bisnes bermaksud kemelesetan ekonomi dan pengganguran meningkat, Kos dan tekanan hidup semakin tinggi menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

Jawapan: GST tidak memaksa golongan tidak mampu membayar cukai tambahan kerana sebelum ini pengguna sememangnya membayar cukai SST yang disorokkan dalam harga jualan. Malah GST membenarkan peniaga untuk mengurangkan harga jualan kerana GST hanya mengenakan cukai sebanyak 6% berbanding dengan SST yang mengenakan cukai sebanyak 10%.

Kekurangan bisnes merupakan satu petanda baik dan rakyat harus bersabar dengan situasi ini. Kekurangan bisnes ini akan memaksa peniaga menurunkan kembali harga barangan mereka ke satu tahap yang munasabah.

Di negara maju di mana Persatuan Pengguna aktif, para peniaga sentiasa tertekan dengan program yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna sehingga peniaga terpaksa menurunkan harga barangan dan perkhidmatan ke paras yang munasabah.


Tuduhan 10: Ulang sekali lagi. Golongan berpendapatan rendah memang tidak mampu membayar cukai pendapatan. Pengurangan kadar cukai pendapatan langsung tidak beri kesan kepada 90% rakyat kecuali 10% yang bayar cukai pendapatan. Lagipun, pembayaran BR1M berpunca dari GST dimana golongan berpendapatan rendah tidak dapat tingkatkan pendapatan. Golongan tersebut sama ada mengurangkan perbelanjaan ataupun bekerja sambilan. Tetapi kedua-dua pilihan tidak memanfaatkan dan menyusahan rakyat.

Jawapan: Mengikut perangkaan yang dikeluarkan, hanya 40% daripada penduduk Malaysia berpendapatan RM2,500 ke bawah, manakala hanya 1.7% dikategorikan sebagai golongan miskin. Tuduhan mengatakan 90% dari rakyat tidak membayar cukai sama sekali tidak benar.


Di samping itu, GST akan membolehkan kerajaan mendapatkan pendapatan yang munasabah untuk terus membangunkan negara dan membuka peluang peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Malaysia di samping membantu golongan miskin.

No comments:

Post a Comment