- Bangsa Melayu kian cemas dengan kemelut perpecahan UMNO sejak kebelakangan ini. Ternyata 1MDB tertonjol sebagai isu terpanas dan menjadi viral terbanyak dalam laman sosial.
- Terbaru di Janda Baik, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi ceramah tertutup dengan memberitahu bahawa Perdana Menteri perlu memecat semua ahli lembaga pengarah dan pegawai tertinggi 1MDB.
- Muhyidin juga meminta Perdana Menteri mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kes itu tanpa perlu menunggu laporan daripada jawatankuasa audit negara.
- Malangnya ucapan Muhyiddin telah dirakam oleh pihak tertentu dan disebarkan ke laman sosial sehingga menjadi viral yang telah mencuri perhatian ramai.
- Rentetan itu, Timbalan Perdana Menteri menjadi buruan media pada hari pembentangan RMK11. Di lobi Parlimen, beliau mengesahkan dengan tenang apa yang terkandung dalam video berkenaan adalah benar.
- Katanya, beliau bercakap demikian dalam satu perjumpaan tertutup UMNO dan ia merupakan pandangan peribadi beliau.
- "Ia bukan perkara baru tentang apa yang saya cakap. Saya pernah menyebutnya secara terbuka di luar sebelum ini. Saya beritahu Perdana Menteri pecat semua lembaga pengarah 1MDB. Mereka harus dipecat kerana sebab mereka, Perdana Menteri terpaksa menanggung beban. Namun sehingga sekarang ini mereka belum dipecat lagi,"katanya.
- Kata Muhyiddin, hanya tindakan tegas saja dapat meyakinkan rakyat. Jika tidak ia akan jadi beban yang boleh menjatuhkan kita.
- Kenyataan Muhyiddin itu disifatkan sesetengah pihak sebagai `menongkah arus' atau menentang kepimpinan Perdana Menteri. Lantaran itu ada yang mahu Muhyiddin letak jawatan sepertimana yang dilakukan oleh Musa Hitam suatu ketika dahulu.
- Ada juga yang mahu Muhyiddin menggerakan jentera menjatuhkan Perdana Menteri melalui pelbagai cara termasuk undi tidak percaya dalam Parlimen.
- Pada masa yang sama UMNO sedang mencari penyangak yang menyebarkan klip video itu. Menurut sumber, ucapan Muhyiddin dirakam oleh salah seorang Timbalan Ketua UMNO Bahagian dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Video itu dimanipulasi seolah-olah Najib dan Muhyiddin bersengketa ia merupakan agenda jahat dari dalam.
- Persoalan, mengapa Timbalan Ketua UMNO Bahagian ini memilih hari pembentangan RMK 11 yang sepatutnya menjadi satu lagi “benchmark” kepada kerajaan Barisan Nasional dalam menarik sokongan rakyat.
- Beliau boleh sahaja memilih hari lain. Untuk apa? Apakah ia bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat dari membincangkan isu yang boleh menaikkan imej Perdana Menteri dan Barisan Nasional.
- Ini merupakan satu tindakan sabotaj yang serius kepada BN. Hasrat mahu menjatuhkan Perdana Menteri tidak harus sehingga menjejaskan perancangan dan perjuangan parti merencana masa depan negara.
- Jika badan Disiplin UMNO masih seumpama hidup segan mati tidak mahu dalam kes 5 sekawan dan sekarang ini pembocoran kursus tertutup UMNO, maka UMNO sudah menjadi seolah-olah organisasi yang menunggu masa dijahanamkan oleh ahli parti sendiri yang tidak sabar-sabar mahu menaikkan calon favourite mereka.
- Rentetan itu, puak penyokong Perdana Menteri pula mula menyerang Muhyiddin. Tak semena-mena Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) telah ke depan menjadi `kuda’ untuk menyerang Timbalan Perdana Menteri.
- Muhyiddin Yassin dianggap sebagai menteri pemalas kerana tidak menjaga portfolionya sebagai menteri pendidikan dan meninjau keadaan sekolah yang daif di Sabah dan Sarawak, kata bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.
- Katanya, pegawai kementerian pendidikan yang bertanggungjawab juga tidak turun padang dan tidak tahu apa yang berlaku di bawah terutamanya di kawasan pedalaman.
- "Masih belum terbela. Ada orang posting pada saya gambar sebuah sekolah di Keningau yang terlalu daif. Puncanya pegawai yang bertanggungjawab tidak turun ke bawah. Kenapa mereka tidak turun ke bawah?
- "Kerana menteri dan timbalan menteri juga malas turun ke bawah. Justeru, mereka tidak akan tahu apa yang berlaku di bawah," kata Puad dalam Facebook.
- Puad menggunakan dua gambar yang diterimanya, memaparkan murid sekolah rendah menggunakan meja kayu yang usang dan rosak, dikatakan sekolah di Keningau, Sabah.
- Puad turut membidas Muhyiddin yang hanya mengumumkan peruntukan perbelanjaan berbilion ringgit untuk sektor pendidikan tetapi meragui sama ada manfaat itu dinikmati rakyat.
- “Bunyi cantik di atas. Kerajaan belanja berbilion untuk 1Bestarinet, tetapi apakah disiasat keberkesanannya? Itu belum lagi dipaparkan asrama dan rumah guru yang daif di kawasan pedalaman," katanya.
- Beliau turut membidas Pelan Pembangunan Pendidikan MALAYSIA (PPPM) yang diilhamkan Muhyiddin tetapi masih tidak cekap membela sekolah daif walaupun sudah memegang jawatan itu selama dua penggal.
- "Sepatutnya bila TPM jadi menteri pelajaran hampir dua penggal, maka cepatlah terbela sekolah-sekolah daif terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak. Turunlah ke bawah! Jangan banggakan PPPM kalau 'level playing field' masih tidak sama," katanya.
- Kenyataan Puad itu menimbulkan reaksi pengguna Facebook. Ramai mempersoalkan tugas Puad sebagai ketua pengarah JASA yang sepatutnya menerangkan dasar kerajaan dan bukannya mengkritik timbalan perdana menteri secara terbuka.
- Kini pertelingkahan Najib dan Mahathir sudah menjalar kepada Muhyiddin dan rantaian kepimpinan UMNO. Apakah ini menandakan UMNO sudah tekad untuk berperang sesama sendiri dan menjadi bahan ketawa puak pembangkang?
Friday 22 May 2015
Janda Baik membadai UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment