Tuesday 9 December 2014

Mampukah STAGG dirasuah taukeh judi, seks dan gangster?

  • PELANCARAN Pasukan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin memenuhi janji Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memerangi ketiga-tiga jenayah itu habis-habisan.
  • Melalui penubuhan pasukan itu juga, beliau sudah memberi jaminan polis akan memburu dalang atau jerung di sebalik kegiatan perjudian, maksiat dan gengsterisme tersebut.
  • Inilah yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai setelah sekian lama mereka menyaksikan dalam operasi yang dijalankan oleh polis hanya pengunjung atau pendatang asing tanpa izin (PATI) sahaja ditahan.
  • Memburu ‘jerung’ yang mendalangi ketiga-tiga kegiatan jenayah itu seharusnya menjadi salah satu matlamat utama STAGG bagi mengelakkan serbuan demi serbuan yang dilakukan oleh PDRM dianggap hanya satu sandiwara sahaja.
  • Hal ini memandangkan sehingga ke hari ini, belum ada seorang pun ‘dalang’ atau ‘taiko’ ditahan. Malah penulis difahamkan faktor utama kelompok itu tidak dapat diberkas kerana mereka menjalankan operasi menggunakan khidmat runner malah runner itu sendiri kononnya tidak mengetahui siapa yang mengupahnya.
  • Dari satu sudut, hebat sungguh sindiket kerana berjaya memperdayakan agensi penguat kuasa termasuklah PDRM sehinggakan dalang utama masih belum dapat diberkas biarpun hampir 10,000 serbuan dilakukan. Dengan adanya STAGG, adalah diharapkan ‘jerung-jerung’ itu akan dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
  • Kini PDRM tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada Cawa­ngan D7 untuk menyerbu premis-premis yang menjadi pusat perjudian haram dan maksiat. Bagaimanapun apa yang perlu dipastikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah mereka yang menganggotai STAGG haruslah benar-benar mempunyai integriti yang tinggi.
  • Tidak kira sama ada ia pegawai mahupun anggota polis, orang awam atau sesiapa sahaja, kemasukan mereka ke dalam STAGG harus diiringi dengan keyakinan bahawa mereka mempunyai integriti yang dihormati dan bukannya ibarat “pi mai pi mai tang tu jugak”.
  • Apa yang perlu difahami tubuhlah sebanyak mana pun pasukan khas bagi menghapuskan sesuatu jenayah tetapi ia tidak akan bermakna kalau mereka yang diberikan amanah tersebut tidak bersungguh-sungguh menjalankan amanah berkenaan.
  • STAGG mempunyai tanggungjawab berat untuk memenuhi impian rakyat yang mahu menyaksikan bukan hanya `bilis’ sahaja yang disumbatkan ke dalam trak-trak apabila serbuan dilakukan tetapi juga ‘jerung-jerung’ yang selama ini sering terlepas atau dilepaskan.
  • Ini memandangkan sebarang operasi pembanterasan apa juga jenayah termasuk mesin judi haram tidak akan ke mana selagi ‘jerung-jerung’ ini masih bebas. Sesuatu kegiatan haram itu bergantung kepada sumber kewangan, selagi ‘talian hayat’ ini tidak diputuskan, selagi itulah ia akan kembali beroperasi.
  • Sebab itulah, walaupun dari satu segi pujian harus diberikan atas kegigihan PDRM membanteras mesin judi haram berikutan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tetapi pada masa sama kita terpaksa mengakui tiada apa yang harus dibanggakan kalau mahu bergantung kepada statistik serbuan dan jumlah komputer yang dirampas mahupun warga asing yang ditahan.
  • Hal ini kerana akar kepada permasalahan yang memungkinkan sesuatu jenayah itu kembali beroperasi tidak dihapuskan. Oleh itu STAGG janganlah sekadar me­numpu perhatian terhadap serbuan sahaja sebaliknya mengikut jejak Pasukan Khas Taktikal Dan Risikan Narkotik (STING) yang cukup berjaya melumpuhkan sindiket dadah apabila memastikan ‘si jerung’ turut ditangkap.
  • Tetapi dalam kes mesin judi haram dan maksiat ia mungkin agak rumit apabila ‘jerung-jerung’ ini mempunyai ‘perkongsian bijak’ dengan sesetengah anggota agensi penguat kuasa bagi melindungi kegiatan mereka.
  • Bagaimanapun dengan adanya STAGG diharapkan virus rasuah yang menjadi penghalang membanteras kegiatan mesin judi haram dan maksiat akan dapat dihapuskan. Pada masa yang sama PDRM juga harus bertindak tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral tersebut.
  • Malah pengurusan PDRM perlu mempunyai keberanian untuk me­nukar atau mengambil tindakan tegas ke atas pegawai kanan pasukan itu yang dipercayai terlibat atau bersekongkol dengan sindiket.
  • Penubuhan STAGG memenuhi janji Ahmad Zahid sebelum ini bahawa pasukan itu akan menjadi barisan paling ke hadapan membanteras mesin judi haram dan maksiat serta gengsterisme.
  • Apa yang paling penting, rakyat mahu melihat berapa ramaikah ‘jerung-jerung’ yang akan berjaya dijaring oleh PDRM melalui STAGG, berapa ramai ‘taiko-taiko’ diberkas serta berapa nilai akaun mereka dibekukan. - ZULKIFLEE BAKAR


No comments:

Post a Comment