Tuesday 16 September 2014

Ribut suria henti bekalan elektrik, rosakkan sistem elektronik dunia

  • JIKA benar ribut suria yang besar akan berlaku pada bila-bila masa tahun ini, ia akan menghantar suar suria kelas-X ke arah Bumi dan akan menyebabkan dunia lumpuh dalam banyak cara yang kita tidak boleh digambarkan dan menyebabkan hampir semua tidak boleh berfungsi sehingga dibaiki.
  • Bayangkan telefon bimbit, kereta, trak, kapal terbang, komputer, televisyen, radio atau permainan elektronik semua tidak berfungsi.
  • Oleh kerana tiada bekalan elektrik seluruh dunia untuk beberapa bulan maka sudah tentu tiada sistem perbankan moden, gedung makanan di rompak dan bekalan air terjejas.
  • Keadaan dunia yang huru-hara ini akan menyebabkan kebuluran dan kematian kepada penduduk dunia. Ia akan mengambil masa bertahun untuk memulihkan semua sistem di dunia jika Bumi dihentam atau dilanggar oleh ribut solar yang kuat.
  • Penduduk dunia tertanya-tanya bagaimanakah fenomena ini boleh berlaku. Sejak tahun lepas lagi fenomena solar maksimum digembar-gembarkan sebagai kejadian yang dahsyat malah ada yang mengaitkannya dengan dunia di hujung hari.
  • Ancaman yang dijangka adalah kerosakan kepada stesen jana kuasa seperti yang telah terjadi ketika solar maksimum pada tahun 1989 melibatkan bandar Quebec dan pantai timur Kanada mengalami bekalan elektrik terputus.
  • Pada masa yang sama juga beberapa satelit perhubungan juga kehilangan sementara orbit mereka yang menyebabkan frekuensi radio tergendala di Bumi dan perhubungan elektronik telah diubah.
  • Demikian antara jawapan yang dikongsi oleh Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin, pakar astro fizik Universiti Malaya menerusi e-mel.
  • Beliau berkata, pancaran sinar-X yang kuat jika terdedah kepada angkasawan adalah amat berbahaya kepada kesihatan.
  • Pada masa sama ejeksi jisim korona yang mengandungi zarah-zarah yang bertenaga tinggi dan jika zarah-zarah bertenaga tinggi ini apabila memasuki sistem kawalan elektronik satelit akan mengakibatkan pusat kawalan satelit di Bumi akan terputus hubungan dengan satelit tersebut.
  • Ini bermakna satelit itu akan dianggap telah hilang. Apakah sebenarnya dimaksudkan dengan solar maximum atau fenomena ribut solar ini?
  • Dr. Mohd. Zambri berkata, untuk memahami takrifan solar maksimum kita perlu mengetahui kitaran matahari atau suria atau kitaran aktiviti magnetik matahari terlebih dahulu.
  • Katanya, kitaran suria atau kitaran aktiviti magnetik matahari adalah perubahan berkala dalam jumlah pancaran atau sinaran dari matahari yang menyirami Bumi.
  • Menurutnya, matahari mempunyai tempoh purata sekitar 11 tahun dan salah satu komponen daripada perubahan matahari yang berkala, manakala komponen yang lagi satu adalah perubahan yang tidak berkala.
  • Perubahan suria membuat cuaca angkasa berubah dan seterusnya memberi kesan ke atas cuaca dan iklim di Bumi. Kitaran itu diperhatikan dengan membilang kekerapan kehadiran tompok di permukaan matahari.
  • Kitaran suria mengambil masa secara purata 11 tahun dari satu solar maksimum ke solar maksimum berikutnya dan telah diperhatikan bahawa perubahan antara sembilan dan 14 tahun bagi sebarang kitaran suria yang diberikan.
  • Dr. Mohd. Zambri menjelaskan, bahawa solar maksimum adalah tempoh apabila aktiviti solar adalah tertinggi dalam kitaran suria bagi matahari. Semasa solar maksimum, terdapat bilangan tompok matahari yang banyak di atas permukaannya iaitu melebihi angka 200.
  • Takrifan saintifik solar maksimum adalah tempoh apabila garisan medan magnet matahari terlalu herot disebabkan medan magnet yang berada pada khatulistiwa matahari berputar pada kelajuan yang lebih sedikit dari kedua-dua kutubnya itu.
  • Ini menyebabkan medan magnet matahari berpintal atau menyimpul. Akibatnya akan berlaku suar suria atau julangan bebola api yang bersaiz gergasi dari permukaan matahari dan juga ejeksi jisim korona.
  • Menurut beliau lagi, kali terakhir solar maksimum berlaku pada kitaran suria ke -23 adalah pada tahun 2000/2001. Solar maksimum yang seterusnya dalam kitaran suria ke-24 dijangka pada hujung tahun lalu atau Februari lalu seperti mana diramalkan Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).
  • Ramalan tersebut, kata beliau berdasarkan kepada solar minimum untuk kitaran suria ke-24 dikatakan telah bermula pada bulan Mac 2008.ketika solar minimum, diperhatikan tidak terdapat sebarang tompok matahari di atas permukaan matahari.
  • Ini bermaksud tiada suar suria dan matahari di katakan senyap. Solar maksimum yang akan berlaku pada kitaran ke-24 ini dikatakan adalah yang lemah semenjak tahun 1928 mengikut NASA.
  • Menurut Mausumi Dikpati dari National Center for Atmospheric Research (NCAR), kitaran tompok matahari berikutnya akan menjadi lebih kuat antara 30 peratus dan 50 peratus berbanding kitaran terdahulu. Jika ini betul, maka penghasilan letusan aktiviti solar adalah kedua terbesar dalam sejarah solar maksimum iaitu yang pertama pada 1958.
  • Dikpati meramalkan solar maksimum berlaku pada tahun 2012 manakala David Hathaway dari National Space Science and Technology Center (NSSTC) pula tidak bersetuju dengan Dikpati. Beliau meramalkan solar maksimum berlaku pada tahun 2010 dan 2011. Ini terbukti tidak tepat.
  • Selalunya, ramalan tentang bila berlakunya solar maksimum dan kekuatannya adalah sentiasa tidak tepat kerana banyak perkara yang manusia sehingga hari ini tidak memahami perilaku Matahari. Apa yang pasti adalah ribut matahari, suar suria dan ejeksi jisim korona berlaku untuk kitaran suria ke-24 sama ada pada akhir tahun 2012 atau pun awal tahun 2013 atau pun awal tahun 2014.
  • Ahli Fizik Suria, Dean Presnell meramalkan bahawa untuk kitar suria 24 ini, kita akan dapati dua puncak maksimum iaitu pada akhir tahun 2012 dan awal tahun 2014. Bagaimanapun katanya, tambahan kepada semua tompok Matahari itu, terdapat aktiviti solar yang begitu hebat iaitu suar sinar-X yang kuat akan terpancar daripada permukaan matahari dan ejeksi jisim korona boleh membebaskan zarah bertenaga tinggi ke ruang angkasa.
  • Suar suria dipercayai meletup dari matahari dengan kekuatan letupan seperti satu juta bom atom diletup serentak. Ketika solar maksimum, Bumi akan mengalami cahaya utara dengan lebih banyak lagi iaitu fenomena aurora yang sangat menarik dapat disaksikan di kawasan kutub utara dan kutub selatan yang mempunyai latitud 480 darjah Utara atau 480 darjah Selatan ke atas.
  • Oleh itu, jika benar ribut suria yang besar berlaku, ia akan menghantar suar suria kelas-X ke arah Bumi dan akan menyebabkan dunia lumpuh dalam banyak cara yang kita tidak boleh digambarkan dan menyebabkan hampir semua tidak boleh berfungsi sehingga dibaiki. – Oleh: Laupa Junus.

No comments:

Post a Comment