Kelmarin seorang lelaki lingkungan usia 50-an datang menyapa
penulis di sebuah majlis anjuran YADIM. Bersungguh-sungguh beliau berhujah
mahukan UMNO dan PAS duduk semeja berbincang mengenai masa depan Islam di
negara ini. Kata beliau: “Tolonglah usahakan agar tahun 2014 sebagai tahun
penyatuan antara UMNO dan PAS.”
Mungkin kata-kata ini tampak bagaikan fata morgana yang jauh
daripada realiti. Namun, bagi penulis bukan sangat isu penyatuan UMNO-PAS
sebagai dua parti terbesar mewakili bangsa teras negara iaitu Melayu-Islam yang
didambakan tetapi sekurang-kurangnya kesediaan kepemimpinan tertinggi kedua-dua
parti untuk duduk bermuzakarah.
Ramai yang salah tanggap apabila isu muzakarah ini
dicetuskan. Berkali-kali penulis menyatakan bahawa muzakarah bukan bermatlamat
untuk meleburkan identiti mana-mana parti. Muzakarah juga tidak perlu sehingga
menjurus kepada matlamat penyatuan parti.
Sebaliknya, muzakarah yang dihajati ialah agar kedua-dua
parti politik ini dapat duduk bersemuka dan berbincang mengenai agenda yang
menjadi asas kepentingan bersama iaitu Islam, Melayu dan negara.
Cari titik persamaan. Seharusnya muzakarah
memfokuskan kepada usaha mencari titik-titik kesamaan, sekali gus mencanai
formula kerjasama atas perkara yang disepakati. Inilah bezanya muzakarah dengan
mujadalah. Mujadalah adalah istilah Arab yang bermaksud saling berdebat untuk
menzahirkan kekuatan sendiri dengan menelanjangkan kelemahan pihak
bertentangan.
Sedangkan muzakarah berasal daripada kata dasar bahasa Arab
iaitu zakara atau yuzakiru dengan makna yang cukup kudus dan luhur. Muzakarah
lebih bersifat perbincangan dan saling memperingati ke arah kebaikan. Malah ia
terkait dengan perkataan ‘zikr’ yang mengikat perbincangan itu atas landasan
mengingati dan mentaati Allah SWT.
Ternyata jika kita berfikir secara objektif dan mencari
titik persamaan antara kedua-dua parti yang mewakili kelompok terbesar rakyat
Malaysia iaitu Melayu-Islam, pasti kita dapati terlalu banyak persamaan antara
kedua-duanya.
Pertama, UMNO dan PAS
menyatakan memperjuangkan Islam. Perlembagaan serta pernyataan kepimpinan
tertinggi kedua-dua parti jelas menzahirkan iltizam memperjuangkan Islam.
Bahkan tidak pernah berlaku di negara Islam lain dua parti politik
berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang lebih berupaya melaksanakan Islam.
Kedua, akidah yang
dipegang kedua-dua parti juga adalah sama iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah
bermazhab Syafie. Baik UMNO mahupun PAS, solat dengan cara yang sama dan tiada
beza pegangan fekah masing-masing. Kalaupun ada seorang dua pimpinan atau
pengikut yang terjebak dengan ajaran sesat seperti syiah atau penyakit
liberalisme dalam agama, tidaklah sesekali mewakili dan menggambarkan pendirian
organisasi.
Ketiga, kedua-dua
parti menjunjung dan menghormati Perlembagaan. UMNO dan PAS memperakui
Perlembagaan Persekutuan sebagai sistem undang-undang tertinggi negara. Tidak
timbul lagi isu dan tohmahan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara sekular
sebagai mana momokan segelintir pemimpin dan pengikut PAS dulu hingga ada yang
tergamak mengkafirkan UMNO kerana kononnya mengekalkan perlembagaan penjajah.
Keempat, kedua-dua
parti juga memperakui identiti kemajmukan negara yang memerlukan pertimbangan
dan kerjasama politik antara pelbagai parti yang mewakili kepentingan kaum
masing-masing. Malah PAS yang pernah menyesatkan UMNO kerana bekerjasama dengan
orang kafir, khususnya MCA dan MIC, kini sudah terbuka melalui kerjasama
politik dengan DAP dan PKR.
Kelima, UMNO juga
tidak boleh lagi berhujah menggunakan alasan bahawa PAS tidak pandai mentadbir
kerana tiada pengalaman. Hakikatnya, PAS berpengalaman memerintah Kelantan
melebihi 23 tahun dan pernah mentadbir Kedah dan Terengganu.
Banyak persamaan diperjuangkan. Banyak lagi jika
hendak digariskan satu persatu persamaan antara UMNO dan PAS selain daripada
lima yang disebutkan di atas. Ternyata tidak banyak perbezaan antara UMNO dan
PAS jika hendak dibandingkan dengan persamaan yang semakin menyerlah kini.
Justeru, apa salahnya
UMNO dan PAS memfokuskan kepada titik persamaan dalam usaha memulakan
muzakarah. Hakikatnya, majoriti rakyat sudah mulai cemuh dengan pertelingkahan
politik yang kadangkala begitu sengit dan tegang hingga melangkaui sempadan
akhlak dan nilai keagamaan.
Kena ada batas dan
sempadannya dalam berpolitik dan berparti. Apa yang penting kedua-dua parti
harus bersedia bermuafakat memperjuangkan agenda Islam dan membanteras sebarang
bentuk anasir yang kini semakin berani mempertikai dan memperlekeh kedudukan
Islam dan Bumiputera sebagai mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. -- Tulisan: Dr
Asyraf Wajdi Dusuki
No comments:
Post a Comment