- Status rakyat Malaysia yang terkorban di Syria masih tidak jelas samada mati syahid atau mati katak. Walaupun peperangan tersebut dikatakan antara golongan Sunni dan Syiah, ramai menganggap ia perang saudara sesama umat Islam. Apatah lagi, kumpulan pejuang kini bukan hanya berperang dengan kerajaan Syria, malah sesama mereka sendiri.
- Tindakan ganas mereka seperti memenggal leher musuh, menzalimi mayat dan merogol membuatkan ramai mempersoalkan sama ada mereka ini benar-benar berjihad. Apatah lagi, mereka bukan hanya bertindak ganas terhadap golongan Syiah, malah kepada golongan Sunni sendiri.
- Lagipun, tidak ada satu kerajaan Islam pun mengisytiharkan peperangan dan membenarkan rakyatnya pergi berperang ke Syria atas nama jihad.
- Tokoh-tokoh agama di Malaysia berpendapat bahawa umat Islam di negara ini perlu melihat jihad dalam pengertian lebih luas dan bukan hanya sekadar berperang mengangkat senjata.
- Menurut mereka, jihad yang lebih utama ialah memenuhi tanggungjawab kepada ibu bapa serta negara terutamanya dalam meningkatkan ekonomi umat Islam yang masih jauh ketinggalan.
- Mereka juga menyatakan bahawa umat Islam yang mahu pergi berjuang di Syria perlu mengesahkan sama ada berperang di negara berkenaan merupakan jihad serta perlu mendapat keizinan daripada ibu bapa dan pemerintah negara sebelum pergi ke sana.
- Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria misalnya, berkata, berjihad di dalam negara adalah wajib diutamakan dan berdakwah di sini juga adalah jihad yang amat dituntut.
- Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut pula menyatakan, satu hadis Rasulullah SAW menyebut bahawa barang siapa menyertai perbalahan antara dua kumpulan Islam, kedua-dua pihak yang membunuh dan terbunuh akan masuk neraka.
- Ahli Jawatankuasa Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor, Prof. Madya Datuk Mohd Mokhtar Shafii juga berkata syarat pihak yang menyertai peperangan di Syria perlu dikenalpasti terlebih dahulu sebelum ditentukan individu tersebut mati syahid.
- “Kematian orang kita (rakyat Malaysia) di Syria belum dapat dipastikan syahid atau tidak kerana kita tidak dapat pastikan dia berjuang di pihak mana. Kita kena ambil tahu (siasat) individu itu berperang bagi pihak siapa dan adakah syarat-syarat dia menyertai peperangan tersebut bersesuaian dengan maksud jihad.Kalau tidak (sesuai) itu belum tentu lagi dia mati syahid,” katanya.
- Sebelum ini, rakyat Malaysia adalah antara pihak yang tergerak untuk melibatkan diri dan berjuang di Syria.
- Antaranya ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah, Ustaz Lotfi Ariffin dan bekas anggota kumpulan music 90-an Ukays, Akel Zainal.
- Berikutan kenyataan beberapa ulama itu, umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam peperangan di Syria sebagai satu alasan jihad.
- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebagai seorang Muslim seharusnya memahami konsep jihad berperang, apatah lagi, ia bukanlah peperangan diisytiharkan.
- “Di Syria, mereka tidak mengharapkan bantuan tentera tetapi mahu bantuan ubat-ubatan, makanan dan pakaian. Jadi, jika mahu membantu, lebih baik kepada misi kemanusiaan berbanding turut sama dalam medan peperangan mereka. Bantulah dalam bentuk lain selain menjadi tenaga ketenteraan,” katanya.
- Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad berkata, setiap rakyat di negara ini perlu memahami dan sedar peperangan sesama Islam tidak dibenarkan sama sekali.
- "Mereka perlu tahu keadaan terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana misi peperangan, apatah lagi kepada negara sedang bergolak. Membunuh golongan yang tidak terlibat dalam peperangan merupakan satu kesalahan apatah lagi tindakan membunuh sesama umat Islam," katanya.
- Menurutnya, Mufti Syria juga berterima kasih di atas keprihatinan rakyat negara ini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pelbagai bantuan kemanusiaan yang diberikan.
- Mengenai perjuangan dibawa Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), kalangan ulama juga berpendapat kumpulan itu tidak mencerminkan perjuangan sebenar Islam.
- Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, segala tindakan mereka (ISIL) bertentangan dengan Islam, malah para ulama di Timur Tengah yang lebih memahami situasi di sana juga tidak bersetuju dan menegaskan apa yang dilakukan bukan cara Islam.
- "Berdasarkan gambar, video dan maklumat yang didedahkan, tindakan mereka menyembelih manusia dan memperkosa wanita dari agama lain adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam.
- "Malah mereka juga dikatakan mempunyai hubungan dengan Zionis serta Amerika Syarikat. Keadaan itu menunjukkan ISIL ini sebenarnya bertujuan merosakkan imej Islam dan dijadikan alasan untuk menyerang Islam," katanya.
- Ketika mengulas bagaimana masyarakat Islam yang hendak memperjuangkan agama tanpa dilabel sebagai pengganas, Zaharuddin berkata, setiap perjuangan atau tindakan yang hendak dilakukan perlu selari dengan Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardawi.
- "Bagi memastikan perjuangan atau kumpulan yang hendak disertai atau disokong itu adalah kumpulan yang betul-betul memperjuangkan Islam, mereka boleh rujuk kesatuan terbabit bagi mendapatkan panduan serta kefahaman sebenar. Jangan berpandukan kefahaman sendiri.
- "Selain itu, masyarakat Islam juga perlu ada media sendiri supaya dapat beri penjelasan serta penerangan berterusan kepada media bukan Islam," katanya.
- Beliau berkata, sebagai contoh dalam isu Palestin, media Israel memutarbelitkan fakta bagi menyembunyikan kezaliman dilakukan, tetapi penipuan itu didedahkan oleh rakyat Palestin melalui media mereka sendiri termasuk di Facebook.
- Katanya, masyarakat Islam Malaysia juga perlu bijak untuk membezakan antara perjuangan jihad dengan perjuangan pengganas.
- "Semak dan buat kajian terhadap latar belakang sesuatu kumpulan sebelum terus menyertai atau menyokong kumpulan tersebut," katanya.
- Lebih menyedihkan, wanita Malaysia juga dipercayai menyertai pasukan kumpulan ISIS untuk menawarkan Jihad Al-Nikah atau jihad seksual, kata pegawai kanan risikan.
- Pihak berkuasa mengesahkan tiga wanita Malaysia pergi ke Timur Tengah untuk menyertai pasukan Isis.
- Jihad Al-Nikah merujuk kepada konsep kontroversi iaitu wanita Sunni dikatakan menawarkan diri mereka dalam bentuk peranan memenuhi keperluan seksual pejuang yang memperjuangkan undang-undang Islam.
- Konsep itu berasal daripada fahaman Wahhabi sekitar 2013, yang menyeru penyokong wanita Sunni untuk tampil melakukan jihad seks dan menyemarakkan moral pejuang terhadap regim Bashar al Assad di Syria.
- “Wanita ini dipercayai menawarkan diri mereka untuk melakukan hubungan intim kepada pejuang Isis yang cuba memperkenalkan peraturan Islam di Timur Tengah.
- “Konsep ini mungkin kelihatan kontroversi tetapi ia semakin berkembang apabila sesetengah wanita Islam di sini bersimpati dengan kepayahan Isis,” kata seorang pegawai risikan.
- Enggan didedahkan identitinya, pegawai itu berkata seorang wanita Malaysia berlepas ke Timur Tengah pada Disember tahun lalu.
- “Wanita itu, berusia 30-an, pergi ke Turki sebelum bertemu dengan orang tengah yang membantunya melengkapkan perjalanan ke Syria melalui jalan darat.
- “Seorang lagi wanita Malaysia berusia 40-an dipercayai bekerjasama dengan pasukan Isis pada April tahun ini,” kata sumber.
- Pegawai risikan berkata, bukan wanita Malaysia saja yang melakukan jihad seksual kerana ada juga wanita Islam lain terbabit.
- “Pertukaran risikan dengan beberapa negara mendedahkan wanita Islam Sunni dari Australia dan United Kingdom juga menyertai Isis,” katanya.
- Pegawai risikan berkata, Isis mengeluarkan fatwa pada Jun tahun ini menawarkan pengerahan Jihad Al-Nikah atau jihad seksual.
- “Sebaik saja selepas bandar Mosul di Iraq ditawan pasukan Isis, orang ramai diarahkan menghantar wanita tidak berkahwin berjihad untuk seks,” dedah pegawai risikan.
- “Dalam pengisytiharannya, Isis mengancam untuk melaksanakan undang-undang syariah terhadap mereka yang gagal mematuhi fatwa itu,” kata pegawai berkenaan.
- Pegawai risikan berkata, rakan sejawatannya di Britain mendedahkan lebih 600 umat Islam British dipercayai berjuang untuk ISIS.
- “Jumlah itu termasuk wanita Islam British yang bukan berjuang di barisan hadapan, tetapi masih terbabit dengan melakukan jihad seksual.
- “Pegawai risikan Australia mendedahkan lebih 100 wanita Islam Australia berada di Syria berjuang di samping Isis,” kata pegawai risikan itu.
- Walaupun Putrajaya pada awalnya mendedahkan kira-kira 30 rakyat Malaysia berlepas ke Timur Tengah berjuang untuk Isis, tetapi angka itu dipercayai sebenarnya lebih tinggi.
- “Pemeriksaan yang dilakukan dengan rakan sejawatan kami di luar negara mendedahkan mungkin jumlah rakyat Malaysia di Timur Tengah mencecah 50 orang,” katanya.
- Setakat ini, 3 rakyat Malaysia dilaporkan maut di Syria ketika berperang menentang pasukan Presiden Syria Bashar Al-Assad.
- Mengenai jihadi al nikah ini, Majlis Fatwa Kebangsaan digesa menjelaskan pengertian jihad sebenar berlandaskan Islam memandangkan semakin ramai umat Islam di negara ini terkeliru dengan konsep tersebut bahkan turut menyertai gerakan pelampau yang hanya menghalalkan keganasan.
- Exco Pemuda Umno Ustas Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan sewajarnya memberi penekanan dengan menjadikan isu tersebut sebagai perbincangan utama agar dapat memudahkan masyarakat Islam di negara ini membuat rujukan mengenai konsep jihad.
- "Hal ini yang sewajarnya dibincangkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan dan saya tidak kata mereka (ulama) tidak bincang namun mungkin mereka ada banyak kertas kerja perlu diselesaikan.
- "Ia amat mustahak supaya orang kita yang ada keinginan untuk berjihad namun kerana ada panduan dan penjelasan jadi mereka tidak akan mudah terikut dengan gerakan ekstremis," katanya.
- Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan pemberita semalam yang mendedahkan ada golongan wanita Islam di negara ini dan beberapa negara lain menyertai pasukan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) untuk menawarkan 'Jihad Al-Nikah' atau jihad seksual.
- Memetik daripada sumber pegawai kanan risikan, pihak berkuasa mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya tiga wanita Malaysia pergi ke Timur Tengah untuk menyertai pasukan Isis.
- Fathul Bari berkata, beliau kesal dengan penglibatan wanita Islam di negara ini yang menyertai kumpulan pelampau itu dengan menggunakan alasan jihad seksual.
- Beliau berkata, perbuatan itu jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran Islam, malah gerakan Isis itu tidak pernah mendapat pengiktirafan mana-mana ulama terkenal dunia terutama negara Timur Tengah.
- Katanya, gerakan itu kemungkinan memanipulasikan konsep 'mutaah' yang diperkenalkan pada satu masa dulu ketika zaman Rasullah sebelum ia diharamkan.
- "Menurut sejarah, ketika zaman Rasullah sebelum ia diharamkan, tentera Islam yang terlibat dalam peperangan kemudiannya keluar musafir mereka akan bermutaah iaitu maksudnya mereka berkahwin dengan wanita tempatan sehingga selesai perang lalu mereka balik ke tempat asal dan menceraikan isteri sementaranya itu.
- "Bagaimanapun ia kemudiannya dimansuh dan dibatalkan hukumnya, jadi mutaah ini sudah tidak wujud lagi. Yang mengamalkan mutaah hanya golongan Syiah," katanya.
- Beliau berkata, masyarakat Islam di negara ini perlu mempunyai pemahaman mendalam mengenai erti konsep jihad sebenar mengikut sudut pandang Islam.
- "Contoh apabila kita terima pensyariatan solat maksudnya kita juga wajib terima cara dan kaedah untuk bersolat, dan bukan melakukannya sesuka hati.
- "Begitu juga dengan jihad ia ada cara dan kaedah bukan kata angkat senjata dan jom kita pergi perang. Kita tidak boleh mengambil nas Al-Quran dan hadis kelebihan jihad tanpa mengkaji (bagaimana untuk laksanakannya) terlebih dahulu," katanya.
- Sementara itu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abd Manan berkata susulan pendedahan itu pertubuhannya menggesa pengertian jihad dimasukkan dalam sukatan agama di sekolah bagi membetulkan tanggapan yang salah.
- Katanya, ia perlu dilakukan ulama dan mereka yang mempunyai latar belakang agama untuk membetulkan pandangan tersebut.
- "Kita seru umat Islam untuk lebih mendalami ajaran agama dengan sebaiknya. Pendedahan itu merupakan perkara ekstrem dalam agama.
- "Kita tidak pernah jumpa istilah jihad seksual sebelum ini dalam agama tambahan pula Islam itu sendiri sentiasa memartabatkan wanita dan menolak golongan itu dijadikan pemuas nafsu," katanya.
- Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdul Rahman Mat Dali menggesa rakyat Malaysia di negara ini tidak terlibat dengan gerakan ekstremis terbabit.
- "Wanita atau siapa saja rakyat Malaysia kita tidak galakkan mereka menyertai Isis atas nama jihad, ia merupakan satu gerakan ekstremis dikaitkan dengan doktrin Syiah.
- "Banyak lagi cara umat Islam di negara ini boleh melibatkan diri dalam isu dunia seperti memberi sumbangan, tidak perlu pergi berjihad masuk kumpulan yang diragui dan menawarkan seksual itu juga sangat tidak masuk akal," katanya.
- Katanya, dalam Islam hanya pernikahan saja yang dapat menghalalkan hubungan seksual. "Saya tidak dengar jihad seksual ini wujud dalam Islam. Tidak ada perkara sedemikian sekiranya tidak bernikah namun kalau betul ada ikatan sah pun ia tidak berapa praktikal untuk diguna pakai," katanya.
- Beliau berkata, wanita yang terpengaruh dengan jihad tersebut kemungkinan mempunyai pegangan lemah terhadap hadis dan Al-Quran sehingga menimbulkan kekeliruan.
- "Saya fikir ia terjadi kerana pegangan hadis dan Al-Quran itu terlalu lemah, sekiranya pegangan mereka kuat sudah tentu dengan jelas mereka boleh nampak hadis pun tidak pernah menyebut atau menyokong perkara itu," katanya.
- Jihad Al Nikah merujuk kepada konsep kontroversi iaitu wanita Islam dikatakan menawarkan diri mereka dalam bentuk peranan memenuhi keperluan seksual pejuang yang memperjuangkan undang-undang Islam.
- "Konsep ini mungkin kelihatan kontroversi tetapi ia semakin berkembang apabila sesetengah wanita Islam disini bersimpati dengan kepayahan Isis," kata sumber pegawai kanan risikan itu.
- Enggan didedahkan identitinya, pegawai risikan itu berkata seorang wanita Malaysia berlepas ke Timur Tengah pada Disember lalu.
- "Wanita itu berusia 30-an pergi ke Turki sebelum bertemu dengan orang tengah yang membantunya melengkapkan perjalanan ke Syria melalui jalan darat.
- "Seorang lagi wanita Malaysia berusia 40-an dipercayai berkerjasama dengan pasukan Isis pada April tahun ini," kata sumber.
Thursday 18 September 2014
Ulama Malaysia perjelas korban perang Syria belum tentu syahid
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment