Wednesday 19 February 2014

Ulama ciplak kasta paderi, dakwa Kassim

     
  1. KASSIM AHMAD yang pernah dilabel anti-hadis suatu ketika dahulu, kini tiba-tiba muncul semula dengan mendakwa “Islam amalan kita pada hari ini adalah salah, terlalu memuja Nabi Muhammad berbanding Allah, rambut bukan aurat wanita dan ulama adalah tiruan kasta paderi”.
  2. Tersentap jiwa umat Islam di negara ini apabila mendengar kenyataan sedemikian yang diucapkan oleh seorang tokoh berusia 80 tahun di sebuah seminar, sambil menawarkan idea-ideanya dalam menentukan hala tuju negara Islam untuk tiga puluh tahun akan datang.
  3. Kassim, kini hadir mengajak rakyat Malaysia dan parti politik Melayu supaya kembali kepada Islam sebenar. Bagaimanapun idea beliau menjadi kontroversi apabila mendakwa Islam di Malaysia telah diseleweng kerana mengikut meniru “kasta paderi” yang dipanggil ulama.
  4. Kasta paderi tidak wujud dalam zaman Nabi dan empat Khalifah ar-Rasyidun. Mereka muncul kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri sendiri sebagai pentafsir agama kepada umat Islam.
  5. Mereka mendewa-dewakan pemimpin agama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka.
  6. Kassim berkata demikian ketika memberi ucapan dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" di Putrajaya, baru-baru ini. Dalam seminar itu, Kassim turut membentangkan beberapa lagi kesalahan umat Islam seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad dengan syahadah kedua serta rambut bukanlah aurat wanita.
  7. Beliau berhujah berdasarkan tafsiran terhadap ayat pertama dalam surah al-Munafiqun. Sementara itu, berkaitan aurat, Kassim berkata ia bukan aurat kerana ia anggota biasa seperti muka dan tangan yang perlu digunakan untuk mengambil wuduk.
  8. Tiga puluh tahun dahulu, katanya, wanita Islam tidak memakai tudung, sebaliknya hanya sehelai selendang “kerana rambut itu bukan aurat”.
  9. Kassim yang berdepan tuduhan anti-hadis (tuduhan yang dinafikannya) turut mengajak umat Islam agar meletakkan al-Quran sebagai sumber tertinggi agama dan ditafsir kembali bagi menyesuaikan kepada keadaan semasa.
  10. "Saya pernah cakap yang al Quran menjelaskan ia sendiri. Method lama ialah menggunakan Hadis untuk menjelaskan al Quran kurang baik kerana bermakna menganggap Nabi Muhammad itu tahu segala-galanya. Ini ridiculous, beliau hanya utusan Allah," katanya.
  11. Pada seminar itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga memberi pandangannya bahawa Kassim merupakan seorang idealis dan pemikir yang berusaha mewujudkan masyarakat yang lebih baik. Walaupun terdapat pihak tertentu termasuk beliau sendiri yang tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan Kassim, pemikirannya tetap wajar diteliti.
  12. "Kassim memikir masyarakat perlu bertukar cara dan nilai-nilai hidup supaya menjadi lebih baik. Kita harus teliti sama ada terdapat asas-asas benar dalam pemikirannya (Kassim)," kata Tun Dr Mahathir.
  13. Dalam pada itu, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Pak Kassim merupakan seorang yang berani melawan arus perdana tanpa mengira risiko kepada diri sendiri.
  14. Pemberontakan Kassim terhadap pemikiran konvensional sebahagian besar umat Islam dalam soal hadis dan hubungannya dengan al-Quran menunjukkan bahawa beliau berani melawan arus perdana.
  15. Kassim pada 1986 mencetuskan kontroversi apabila menghasilkan buku bertajuk Hadis: Satu Penilaian Semula yang antaranya mencabar penerimaan secara membuta-tuli hadis yang bertentangan dengan nilai dan falsafah al-Quran.
  16. Chandra berkata, Kassim yang terdedah kepada idea-idea sosialis pada mulanya mempersoalkan ideologi tersebut pada awal 1970-an dan akhirnya kembali kepada jalan lurus Islam.
  17. Di sebalik pandangan Chandra dan Tun Mahathir, ramai pihak mahu kerajaan menyiasat motif penganjur mengadakan seminar dan segera membimbing Kassim yang didakwa sesat.
  18. Pelbagai pihak melahirkan kritikan terhadap kenyataan tidak beradab serta bertentangan dengan prinsip Islam yang dikeluarkan oleh Kassim. Kenyataan beliau bukanlah perkara baru, bahkan buku beliau turut diharamkan dan diyakini boleh membawa kerosakan aqidah.
  19. Pelbagai fatwa serta kecaman telah dilakukan sebelum ini, nampaknya ia tidak berkesan untuk mengubah pendirian dan kefahaman salahnya terhadap ajaran Islam.
  20. Melihat latar belakang beliau, pandangannya bukanlah sesuatu yang pelik kerana kejahilan adalah musuh utama manusia, namun tidak menyedari kejahilan adalah lebih besar lagi.
  21. Lantaran itu wujudnya istilah seperti jahil murakkab, iaitu seseorang yang tidak menyedari bahawa ia tidak mengetahui. Atau dalam bahasa biasa "dia tidak tahu yang dia tidak tahu”.
  22. Kalaulah ianya hanya sekadar Kassim Ahmad, mungkin tidaklah besar sangat untuk diulas dan diberi perhatian. Namun bila mana pemikiran salah ini diterima dan dibahas sebagai suatu pemikiran yang dianggap hebat, maka ia akan menjadi masalah. Ia ibarat bongkah ais di atas permukaan laut, walau yang kelihatan hanya seketul ais yang kecil, namun di bawahnya jauh lebih besar dari apa yang dilihat.
  23. Apa yang perlu dibuat? Pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) khususnya, dan Majlis Agama Islam Negeri mesti melihat isu ini secara serius untuk diatasi. Sekadar mengeluarkan fatwa sahaja tanpa tindakan hanya akan menjadikan ia satu bahan ketawa masyarakat.
  24. Kalau ajaran al-Arqam diburu sehingga akar umbinya, maka sepatutnya ajaran yang menyimpang ini juga mesti diatasi. Serangan dan kecaman tidak akan menyelesaikan masalah. Kefahaman salah beliau perlu diperbetulkan melalui perbincangan dan diskusi yang penuh hikmah.
  25. Memang pelik pemikiran beliau (Kassim), akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk diatasi. Ambil contoh gesaan Kassim agar al Quran dikaji semula, dan penafsirannya mesti berdasarkan al-Quran sahaja, bukan Hadis dan bukan pandangan para sahabat atau para alim ulama. 
  26. Persoalannya, kalau beliau menolak Hadis, bagaimana beliau boleh beriman dengan al-Quran kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. dan Baginda membacakan al-Quran ini?
  27. Umpamanya, di dalam al-Quran, Allah memerintahkan sujud, bagaimana kita nak tahu cara perbuatan sujud tersebut kalau bukan melalui cara yang ditunjukkan Rasullulah s.a.w.?
  28. Demikian juga puasa, zakat dan seluruh ajaran al-Quran. Kalaulah Rasulullah s.a.w. bukan pentafsir kepada al-Quran, apakah kita lebih layak mentafsirnya?
  29. Kassim dan orang-orang Islam yang lain yang jelas dilihat keliru perlu dipanggil, diperbetulkan dan diberi kefahaman sebenar terhadap kekeliruan tersebut.
  30. Seandainya beliau telah dipanggil dan diberi penjelasan, maka jangan pula ada penganjur yang merasai hebat pemikiran salah beliau sehingga sanggup menganjurkan wacana pemikiran beliau.
  31. Lebih dukacita beberapa orang mufti dan pemimpin agama yang biasa cepat mengeluarkan pandangan yang melibatkan pembangkang terus diam membisu tidak mengeluarkan kenyataan kecaman sebagaimana biasa.
  32. Apakah ini membuktikan politik melebihi segalanya termasuk isu akidah bagi mereka ini? Wallahu a'lam. Yang dikhuatiri ialah tindakan mereka yang sudi membisu dalam hal ini akan dilihat oleh orang yang jahil bahawa apa yang disebut Kassim boleh diterima.
  33. Jakim perlu memanggil penganjur dan mendapatkan keterangan, bahkan pihak berwajib perlu bertindak kerana pelbagai pihak telah membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya. – Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS).
  34. Susulan itu, Dewan Ulama PAS wilayah Persekutuan (DUPWP) membuat aduan kepada JAWI berhubung kenyataan Kassim yang disifatkan sebagai menghina Islam dan Nabi Muhammad saw.
  35. Kassim dikatakan telah mengkritik masyarakat Islam yang dikatakan mendewa-dewakan Nabi Muhammad, menyatakan rambut wanita bukan aurat serta wujud kasta paderi dikalangan ulamak.
  36. Menurut Ketuanya Azhar Yahya, semua pendapat Kassim jauh terpesong dan menyesatkan pemikiran ummat Islam, malah mendatangkan syak wasangka buruk mengenai Islam.
  37. Justeru itu JAWI  perlu menyiasat Kassim di bawah Seksyen dan 8 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya ke atasnya.
  38. Kenyataan Kassim itu didakwa satu usaha untuk mengdoktrin pemikiran masyarakat Islam secara salah dan ianya ternyata suatu kesalahan di dalam undang-undang yang telah dikanunkan di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan.
  39. Kenyataan itu adalah jenayah dan berbahaya kepada Islam, ummatnya dan harus disekat. Bimbang dengan keselamatan aqidah umat Islam dan khuatir tindakan biadab seumpama ini akan menjadi dorongan kepada pihak-pihak lain untuk mempersenda dan menghina Islam dan institusinya.
  40. Selain itu banyak pihak begitu teruja mahu berdebat dengan Kassim mengenai pandangan kontroversi itu. Abim juga beriya-iya mahu berdebat dengan Kassim. Naib Presidennya Hasri Harun memberi syarat debat kepada Kassim agar sedia mengubah serta berhenti mengeluarkan pandangan tidak berasas mengenai Rasullulah S.A.W , ulama’, dan tradisi keilmuan Islam.
  41. Selagi perkara ini tidak disiasat oleh pihak berkuasa agama, pandangan yang diutarakan termasuk menyatakan rambut itu bukan aurat serta mempertikai syahadah kenabian telah memperlihat seolah-olah mendapat “endorsement” dari pihak kerajaan.
  42. Jika terbukti dan diputuskan idea dan pemikiran Kasim bercanggah dengan Islam maka beliau perlu berhenti menyebarkan pandangan beliau dan bertaubat, jelas Abim dalam kenyataan akhbar.
  43. Hasri berkata Abim pada 28 Jun 1986 pernah mengadakan muzakarah bersama Kassim di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya. Menerusi dialog tersebut, anggota panel Abim yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ABIM (pada ketika itu) Dr Abdul Halim El-Muhammady telah menjawab satu persatu dakwaan kontroversi yang dilontarkan oleh beliau yang secara jelas bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
  44. Sepanjang dialog tersebut, Kassim gagal menjawab serta mengemukakan hujah di atas setiap persoalan yang dikemukakan. Dalam pada itu, Abim juga telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “Islam dan Al-Hadith : Dialog Bersama Kassim Ahmad – Satu Analisis ke atas usaha-usaha merosakkan peribadi dan autoriti Rasulullah S.A.W.” cetakan 1991 dan 1995.
  45. Buku tersebut telah membentangkan hujah dari segi metadologi, sumber autoriti, dan sejarah pengumpulan Hadis serta beberapa sudut lain bagi menolak buku beliau “Hadis: Satu Penilaian Semula”.
  46. Katanya, sikap angkuh Kassim telah mencerminkan kerendahan nilai diri sendiri memandangkan tiada perkara yang memalukan nilai intelektual seseorang yang dijulang tinggi dalam masyarakat, apabila seorang sarjana itu tidak meraikan pandangan pihak lain dalam siri dialog.
  47. Justeru, perdebatan dengan individu sebegini sememangnya tidak akan memberi apa-apa makna atau mencapai sebarang tujuan yang positif dalam mencari kebenaran.
  48. Beliau juga mendesak kerajaan khususnya Jabatan Agama memainkan peranan untuk mengambil tindakan sepertimana yang dilakukan ke atas ajaran sesat lain dalam negara kerana pemikiran beliau secara jelas berlawanan dengan prinsip ajaran Islam.
  49. Sebelum ini Kassim yang dilihat sebagai tokoh pemikiran anti hadis, mencabar pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" untuk berdebat.
  50. Rentetan itu ramai sanggup berdebat dengan Kassim. Ironinya tiada di kalangan mereka yang hadir pada seminar Kassim itu dan berdebat mengenainya sedangkan peluang itu sudah diberikan sepenuhnya.
  51. Mungkin ada pihak yang tak tahu mengenai seminar itu, atau mungkin kumpulan-kumpulan agama ini terlalu sombong untuk menghadiri seminar untuk mendapat maklumat lanjut mengenainya, dan kini tiba-tiba mahu menjadi juara debat di media massa.
  52. Antara Kassim dan pejuang-pejuang Islam yang ada, jika anda serius memperbetulkan isu ini, tidak perlu tampil kepada media dan menyatkan pendirian untuk berdebat, sebaliknya cari jalan bertemu untuk menyelesaikan persoalan itu.
  53.  

No comments:

Post a Comment