Wednesday 5 February 2014

Tolonglah, etnik Islam Rohingya disembelih.

  • JARAK Yangon dan Kuala Lumpur adalah 1,597.7 kilometer (km) atau 992.8 batu. Masa penerbangan di antara kedua-dua ibu negara itu adalah dua jam 13 minit. Ia terlalu hampir dengan negara kita. Terlalu dekat berbanding dengan negara Palestin, Bosnia atau Sudan.
  • Myanmar ialah rakan Malaysia dalam ASEAN. Kini sesuatu yang menjelekkan sedang berlaku di negara itu. Etnik Islam Rohingya sedang disembelih, dibakar hidup-hidup dan wanita serta kanak-kanaknya diasingkan daripada lelaki dan dibawa ke lokasi rahsia.
  • Apa yang dilakukan ke atas mereka hanya Allah sahaja yang tahu. Sebagai orang Islam marilah kita doakan keselamatan mereka daripada manusia berhati binatang itu. Hanya binatang sahaja yang sanggup memperlakukan rakyat sendiri seperti itu - hanya gara-gara Rohingya beragama Islam, bukan Buddha dan etnik yang berbeza daripada kaum majoriti.
  • Ya Allah, beruntungnya sesiapa yang menghuni di negara Melayu ini. Majoriti Melayu ialah orang yang cukup sabar walaupun sedang diperlakukan dengan macam-macam provokasi, fitnah, prejudis dan prasangka. Laporan demi laporan yang dihantar oleh agensi berita antarabangsa dari Myanmar seolah-olah merayu perhatian dunia terhadap apa yang berlaku terhadap etnik itu.
  • Malangnya di Malaysia kita sedang sibuk dengan perdebatan mengenai politik picisan. Berita mengenai penghapusan satu bangsa itu oleh kerajaan negara Myanmar sama sekali tidak dipedulikan.
  • Tidak nampak satu kesungguhan daripada pihak kerajaan Malaysia sendiri untuk menghantar nota bantahan terhadap apa yang berlaku di negara itu. Atas semangat agama Islam dan ummah, apa salah campur tangan dalam hal Rohingya ini. Alihkan perhatian rakyat daripada isu politik dalam negara kepada isu Rohingya ini.
  • Ayuh bangkit Malaysia, kita buat bising untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai umat Islam itu. Satukan umat Islam di Indonesia, Brunei dan ASEAN untuk bersuara dengan kita.
  • Walaupun mangsa itu bukan Islam sekali pun kita amat sedih melihat, membaca dan mengetahui mengenai tragedi kemanusiaan ini. Ayuh beri perhatian kepada soal kemanusiaan ini.
  • Etnik Rohingya sedang disembelih, kampung mereka dibakar. Laporan Agensi Sabtu lalu memetik seorang aktivis Rohingya menyatakan, anggota etnik dilayan seperti haiwan. "Saya merasa sangat takut. Kami tidak mempunyai sebarang perlindungan di negara ini. Kerajaan kami sedang menindas kami," katanya seperti dilaporkan laman web akhbar Burma Times.
  • Etnik Rohingya Islam sering menjadi mangsa penindasan pihak berkuasa Myanmar dengan ada antara wanita dan gadis dirogol serta dibunuh dengan kejam. Tahun lalu, saluran televisyen BBC melaporkan, kanak-kanak Rohingya Islam dibakar hidup-hidup ketika konflik agama dan etnik itu merebak di tengah Myanmar.
  • Kebanyakan serangan itu turut dirakam di hadapan anggota polis Myanmar, lapor BBC. Laporan terbaharu dari daerah Naypyidaw, Sabtu lalu, menyebut Myanmar memulakan operasi pembersihan etnik Rohingya Islam apabila seorang saksi yang terselamat mendakwa sebanyak 700 wanita dan kanak-kanak dibawa menaiki beberapa trak tentera ke lokasi yang tidak dinyatakan dalam satu kejadian 22 Januari lalu.
  • Menurut saksi itu, Aisha kepada badan kebajikan Partners Relief Development (PRAD), dia melihat banyak trak tentera membawa askar dan anggota pelampau bersenjata api dan belantan memasuki kampungnya, Killadong Majarpara, di barat Myanmar yang didiami lebih 2,500 orang etnik itu.
  • Ayuh umat Islam Malaysia, kasihanilah saudara seagama kita di sana. Bersatulah. Kalau bukan kita, siapa lagi? Amnesty International hanya buat bising jika polis kita menyembur air ke atas para pendemo pakatan pembangkang, tapi di mana mereka apabila etnik itu sedang dihapuskan? Di mana masyarakat antarabangsa? Mengapa Amerika Syarikat tidak mahu mengenakan sekatan ekonomi terhadap Myanmar di atas pembunuhan beramai-ramai itu?
  • Adakah sekatan ekonomi hanya dikenakan semasa darling Barat yang mereka panggil pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dikenakan tahanan dalam rumah? Apakah mereka mahu melihat satu lagi Bosnia yang disembelih oleh Serb tanpa dipedulikan oleh sesiapa? -- Dato Zaini Hassan.

No comments:

Post a Comment