Kajang Pak Malau Kajang
berlipat
Kajang hamba mengkuang
layu
Dagang Pak Malau dagang
bertempat
Dagang hamba musafir lalu
- SEMPENA pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi Dewan Undangan (DUN) Kajang berikutan perletakkan jawatan Lee Chin Cheh, tiba-tiba saja pantun Melayu Lama menjadi popular semula.
- Kalau Perdana Menteri pernah diperli dengan isu kangkung, kini Anwar menjadi kegilaan sesetengah blogger mengungkapkan “Kajang Anwar Mengkuang Layu” kerana keputusannya untuk bertanding di kawasan itu.
- Apapun, keputusan Chin Cheh meletakkan jawatan baru-baru ini menguatkan lagi spekulasi berhubung kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang bakal disingkirkan tidak lama lagi jika Anwar menang kerusi Kajang.
- Ia memandangkan terdapat spekulasi yang mengaitkan tindakan Chin Cheh tersebut dengan isu desakan pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya Abdul Khalid berundur.
- Jika Abdul Khalid melepaskan jawatannya kelak, kepimpinan kanan PKR akan mencalonkan Anwar sebagai MB Selangor. Itu pun jika PKR menang pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan tidak lama lagi.
- Bagaimanapun dalam surat yang dihantar oleh Chin Cheh kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh, beliau tidak menyatakan sebab peletakan jawatannya.
- "Dia (Chin Cheh) telah datang sendiri ke pejabat saya hari ini untuk menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut.
- "Peletakan jawatan ini adalah sah kerana mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor LXVIII (Perkara 68), seseorang ADUN boleh melepaskan jawatannya melalui surat yang ditandatanganinya dan diserahkan kepada Speaker," kata Hannah pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini.
- Sementara itu Chin Cheh dalam kenyataannya memberitahu, keputusannya mengosongkan kerusi DUN Kajang adalah untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan pakatan pembangkang berkhidmat untuk rakyat Selangor.
- "Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan terhutang budi kepada semua pengundi di Kajang yang telah memberi peluang kepada saya menjadi wakil rakyat.
- "Saya terharu dengan kemurahan hati pengundi-pengundi di Kajang yang telah memberi kerjasama dan kepercayaan kepada saya selama ini," katanya.
- Chin Cheh sebelum dikaitkan dengan pendedahan seperti mana dilaporkan oleh sebuah akhbar bahasa Cina baru-baru ini berhubung desakan PKR Selangor yang mahukan Abdul Khalid melepaskan jawatan.
- Menurut laporan itu, sekiranya kepemimpinan pakatan pembangkang bersetuju dengan cadangan berkenaan, Abdul Khalid akan mengumumkan peletakan jawatannya dalam tempoh terdekat atas sebab-sebab kesihatan.
- Langkah Abdul Khalid itu menurut laporan berkenaan adalah bagi mengelakkan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dan para penyokongnya mengemukakan undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid dalam Sidang DUN nanti.
- Berikutan pendedahan tersebut, Chin Cheh difahamkan dipanggil oleh Majlis Pimpinan PKR bagi memberi penjelasan.
- Kedudukan Abdul Khalid menjadi persoalan, selepas mesyuarat PKR Selangor sebulat suara mahu beliau digantikan berikutan isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
- Malah, sebelum ini Abdul Khalid juga disifatkan oleh beberapa pemimpin PKR menimbulkan masalah kepada parti berikutan cara beliau mengendalikan pentadbiran kerajaan negeri.
- Menurut mereka, banyak tindakan Abdul Khalid tidak menepati aspirasi parti termasuklah pengumuman kenaikan gaji menteri besar dan wakil rakyat Selangor, baru-baru ini yang turut menerima kritikan hebat daripada Azmin.
- Reaksi Abdul Khalid ketika ditanya mengenai Anwar, katanya: “Jika saya tidak bersetuju, saya tidak akan berada di sini."
- Jika Anwar memenangi pilihan raya itu, ia akan membolehkan beliau menyertai DUN Selangor dan seterusnya menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar negeri itu seperti yang diwar-warkan oleh banyak pihak sebelum ini.
- Soal perletakan jawatan sebagai MB, Abdul Khalid berkata yang sudah menjangkakan riwayat politiknya di hujung tanduk selepas ditekan hebat pemimpin PKR, beliau menyatakan kesediaannya untuk berundur tetapi dengan bersyarat.
- Syaratnya jelas Abdul Khalid, pengunduran beliau itu mesti mendapat persetujuan daripada kesemua komponen parti dalam pakatan pembangkang terlebih dahulu, selain perlu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
- "Proses pelantikan menteri besar ini memerlukan persetujuan antara pakatan. Lepas itu, orang yang nak dipilih akan ditentukan oleh ketiga-tiga parti dan kemudiannya mereka akan memberitahu Sultan Selangor untuk perkenan. Jadi, banyak tata cara. Oleh sebab itu, jangan spekulasi terlalu banyak.
- "Namun itu (melepaskan jawatan) boleh dilakukan jika mendapat persetujuan ketiga-tiga parti sebab pelantikan saya sebagai menteri besar ditandatangani ketiga-tiga pemimpin parti. Jadi ketiga-tiga (pihak) kena setuju," katanya.
- Diminta mengulas tindakan Chin Cheh meletakkan jawatan, Abdul Khalid berkata, beliau tidak terkejut kerana sudah terdapat ura-ura mengenainya dan memberitahu perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat Biro Politik PKR nanti.
- "Saya pun tak tahu (kenapa Chin Cheh letak jawatan). Perkara ini akan dibincangkan Biro Politik parti kerana beliau mewakili PKR. Kita tengoklah nanti apa yang akan diumumkan Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya Anwar,”.
- Drama perebutan kuasa MB Selangor semakin mendebarkan yang mana puak Abdul Khalid dan puak Anwar akan saling bercakaran. Apa jua keputusannya nanti, ia akan berlanjutan dengan krisis kepimpinan dan kewujudan puak-puak Melayu yang lebih banyak.
- Rupanya tampuk kepimpinan Selangor bukan saja bergolak di zaman BN malah menjadi ketulahan di zaman Pakatan. Maka benarlah bahawa parti bukan punca kemelut perebutan harta dan kuasa, sebaliknya ia sebenarnya mempamerkan kegelojohan segelintir individu, baik dalam BN mahupun dalam Pakatan.
No comments:
Post a Comment