Monday, 22 December 2014

ASTRO didakwa wujudkan peraturan anti Islam

  • Rakyat Malaysia gempar apabila seorang lelaki berbangsa Melayu yang merupakan peruncit (retailer) produk Astro mendakwa syarikat telekomunikasi itu mengamalkan sikap `anti Islam’ ketika mengendalikan urusniaga.
  • Berikut merupakan aduan beliau yang disiarkan di dalam Facebook: Salam. Saya seorang retailer Astro yang berbangsa Melayu. Saya ada menerima email dari Astro tentang syarat-syarat permohonan baru untuk Astro. Mula-mula saya biarkan je, tak ambil port (tak ambil kisah). Tapi semalam, tujuh pelanggan Melayu Islam saya kena reject permohonannya.
  • Saya call validation department. Mereka kata sebab saya tak tutup atau sorokkan agama Islam dalam Mykad pemohon itu. Saya Tanya kalau agama lain macam mana? Mereka jawab agama lain taka pa. Hanya agama Islam khas yang tak boleh ada dalam permohonan. Kalau pemohon beragama Islam, kita kena tutup atau sorokkan Islam itu, baru permohonan diterima. Takkan nak cari rezeki, saya nak kena sorokkan agama Islam. Saya dan rakan yang lain sedih sangat. (sumber Facebook oleh BBCD Is Back).
  • Peruncit itu juga menyiarkan surat jawapan dari Steven Soh, Director Sales and Distribution Customer Division ASTRO yang menulis seperti berikut: Greenfield new booking policy (Amended) – Further to our trade dated 23rd Sept 2014, please note that we have revised the new booking policy for Greenfield submission. Effective from 21st Nov 2014: (1) NRIC or passport with religion MUST be masked due to PDPA on religious-Islam. (2) Passport, IMM13 & NRIC for temporary residence MUST be valid with at least 6 months validity period. (3) All photocopied NRIC, army ID, navy ID, passport, IMM13 must display ASTRO name on the top left corner. Failing which to comply with the above procedures will lead to sales order rejected by the validation team. – STEVEN SOH.
  • Pekara pertama bermaksud: Berkuatkuasa 21 Nov 2014, semua kad pengenalan atau passport yang dilengkapi agama MESTI ditutup (masked) bagi mematuhi peraturan (PDPA) berkaitan agama Islam.
  • Rakyat Malaysia terkejut dengan surat Steven Soh yang menyatakan peraturan Astro seperti itu. Perenggan berkenaan jelas menunjukkan bahawa Astro ternyata anti agama Islam, sedangkan penganut agama lain dibenarkan mempamerkan kad pengenalan dan passport masing-masing.
  • Beberapa NGO Islam yang menerima viral daripada peruncit produk Astro itu bercadang mahu membuat aduan kepada pihak polis berkaitan peraturan Astro yang jelas menunjukkan sikap anti Islam.
  • Pada masa yang sama mana-mana peruncit lain yang menerima nasib yang sama, dikehendaki menyiarkan masalah mereka di media sosial agar pekara itu dapat diketengahkan kepada umum.
  • Setakat ini belum ada mana-mana syarikat di Malaysia (selain Astro) yang meletakkan peraturan sedemikian pelik dan anti-Islam.


Siapa perosak MAS

  • SEBAGAI individu yang dipertanggungjawabkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein untuk membuka syarikat penerbangan negara bernama Malaysia Airlines (MAS), tiada apa yang lebih mengecewakan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman apabila melihat syarikat yang dahulunya gah terbang di udara kini hampir menyembah bumi.
  • Bekas Pengarah Urusan MAS itu tidak sanggup melihat syarikat yang dijaganya selama 20 tahun kini kerugian hampir RM7 juta setiap hari, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan semasa beliau dan pasukannya membuka MAS pada 1972 sehinggalah beliau bersara daripada syarikat itu pada 1992.
  • Beliau menegaskan, terlalu banyak masalah dihadapi MAS selama ini dan pihak bertanggungjawab tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
  • “MAS sejak 20 tahun lepas telah rugi banyak dan sekarang ini ada liabiliti lebih kurang RM12 bilion dan kerugian tiap-tiap hari RM7 juta. Banyak harta terutama bangunan termasuk ibu pejabat di Kuala Lumpur telah dijual dan merata pejabat (MAS) di dunia telah dijual.
  • “Kerajaan melalui duit pembayar cukai telah rugi berbilion ringgit. Ramai rakyat rugi berbilion ringgit sebab saham yang dibeli mula-mula pada 1985 bernilai RM11.50, sekarang terpaksa jual 27 sen. Kini, kakitangan pula akan dipecat seramai 6,000. Oleh sebab ini semua, adalah perlu bagi kerajaan menubuhkan suruhanjaya menyiasat punca semua ini berlaku dan siapa yang bertanggungjawab,” katanya.
  • Katanya, suruhanjaya itu juga boleh mengesyorkan cara MAS perlu diurus pada masa akan datang sebagai syarikat kebangsaan. Ternyata jiwanya masih teguh bersama MAS apabila Abdul Aziz kini menjadi Pengerusi Jentayu Danaraksa Sdn Bhd, iaitu syarikat yang mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan ia sedia mengambil alih beberapa aset MAS untuk membantu menyelamatkan syarikat itu.
  • Apa kata beliau mengenai pelan pemulihan semula MAS yang diumumkan Khazanah Nasional Bhd, cadangan Jentayu Danaraksa untuk membantu MAS serta harapan Tun Abdul Razak untuk melihat MAS sentiasa membawa nama negara di seluruh dunia.
  • Boleh Tan Sri kongsi sedikit latar belakang Jentayu Danaraksa?
  • Syarikat ini ditubuhkan untuk ambil alih (aset MAS), buat sementara waktu ini. Tujuan kita nak ambil bahagian dalam perniagaan penerbangan. Jadi ini (penstrukturan semula MAS) satu peluang bagi kita untuk buat cadangan untuk memulihkan MAS. Saya sendiri terlibat dalam MAS sudah lama.
  • Adakah Tan Sri rasa pelan pemulihan MAS oleh Khazanah tak memuaskan?
  • Ada perkara dalam pelan (12-poin) Khazanah yang saya musykil. Saya tanya mereka pun, jawapan yang saya dapat tidak memuaskan. Yang pertama, saya tak puas hati kerana (mereka) nak buang kakitangan seramai 6,000 orang. Ramai pekerja yang kenal saya dulu, yang kerja di bawah saya dulu, datang jumpa saya mengadu.
  • Saya pun rasa simpatilah. Jadi saya tanya Khazanah, macam mana dia dapat angka MAS terlebih 6,000 orang sekarang ini? Saya soal lah, ini pengurusan apa benda? (Seolah-olah ada) 6,000 (pekerja) tiap-tiap hari tidur, dan pengurusan tak buat apa-apa.
  • Tapi yang sebenarnya saya tak percaya MAS lebih 6,000 pekerja. Kalau lebih 500 atau 1,000 orang mungkinlah. Sebab apa saya tak percaya, sebab kakitangan MAS ada jumpa saya, mereka sendiri pun persoal yang dikatakan lebih 6,000 orang.
  • Sebab kebanyakan mereka bekerja lebih masa, sesetengah daripada mereka tak nak kerja overtime sebab terlalu letih tetapi terpaksa kerja juga. Jadi kalau kakitangan lebih, kenapa kerja overtime? Itu satu.
  • Yang kedua, katanya, MAS masih nak pekerja, keluar iklan minta pekerja baru. Macam mana begini kalau dia (kata) lebih (pekerja)? Saya juga tanya (Khazanah) bagaimana dia dapat angka (hanya perlukan) 14,000 pekerja itu.
  • Pada permulaan perjumpaan saya dengan wakil Khazanah, dia kata mereka buat perbandingan dengan syarikat lain, maknanya jumlah kapal terbang lebih kurang sama (dengan MAS), syarikat itu (ada) lebih kurang 14,000 pekerja, terutama Singapore Airlines. Itu satu perbandingan yang salah, kita tak boleh banding begitu. Orang Inggeris kata it’s not apples to apples.
  • Kenapa tidak boleh bandingkan begitu, Tan Sri?
  • Sebabnya, Singapore Airlines yang ada 14,000 orang itu, untuk operasi penerbangan sahaja, tak termasuk pekerja kejuruteraan, perkhidmatan lapangan terbang, katering, kargo. Kalau masuk semua, Singapore Airlines ada 23,000 pekerja, saya dah semak.
  • Satu lagi, kita tak boleh banding dengan Singapore Airlines (kerana) operasi dia laluan yang jauh, pesawat badan lebar, 10 hingga 15 jam dia pergi tak balik. Kita sini (MAS) dua pertiga laluan ialah laluan singkat, domestik dan serantau.
  • Jadi jumlah kakitangan (perlu) lebih ramai sebab lebih banyak take-off, perlepasan, ketibaan, landing. Ada beza di situ. Jadi perbandingan ini adalah satu kesilapan besar. Jadi macam mana saya nak percaya.
  • Dia nak buat satu syarikat penerbangan baru nak guna 14,000 kakitangan sahaja. Boleh lah jika dia ada laluan yang setanding dengan syarikat lain. Persaingan hebat sekarang ini.
  • Dan kemudian dia nak mulakan syarikat baru ini dalam Julai tahun depan. (Pada) hujung 2015 atau awal 2016, sudah ada (polisi) langit terbuka Asean. Bolehkah guna 14,000 orang untuk (bersaing di) langit terbuka? Ini yang saya tak percaya bahawa pelan dia itu boleh berjalan baik.
  • Boleh Tan Sri jelaskan lebih terperinci mengenai dasar langit terbuka Asean dan kesannya?
  • (Dasar) langit terbuka ini maknanya semua syarikat penerbangan dalam Asean boleh beroperasi di negara sendiri dan mana-mana negara lain dalam Asean. Kita pun boleh buat, kita pergi Singapura-Jakarta, atau Singapura-Bandung, Singapura-Filipina.
  • Sekarang tak boleh, kena ada perjanjian dua hala. Syarikat lain akan buat begitu di Malaysia, persaingan akan menjadi lebih hebat. Adakah kita tidak akan menyahut cabaran ini?
  • Kalau nak sahut, mesti kena ada kapal terbang lebih, pekerja lebih. Bukan sekadar 14,000 orang. Ini terlalu awal dia tetapkan (perlukan) pekerja 14,000 (sahaja). Padahal pelan perniagaan dia tiada lagi. Laluan semua tak sebut. Ini yang jadi masalah.
  • Kalau (Khazanah) boleh jawab semua ini, tak apa lah. Saya (bercakap) sebagai seorang warganegara dan ramai orang yang berharap pada saya untuk beri penjelasan tentang perkara ini sebab mereka tahu saya 20 tahun lebih dalam MAS.
  • Selain pembuangan pekerja, apa lagi keputusan Khazanah yang Tan Sri rasa tak perlu dibuat?
  • Saya rasa nak ambil orang luar (Christoph  R Mueller dari syarikat penerbangan nasional Ireland) jadi ketua pegawai eksekutif. Itu tak perlu. Kita nak bawa dia untuk menguruskan syarikat baru. Apabila dia datang, dia urus syarikat baru, syarikat lama tak ada lagi.
  • Syarikat baru, bukan nak memulihkan. Syarikat baru (operasi) baru, pulih apa lagi. Kapal terbang sudah ada, ambil dari sini (MAS) angkat pergi sana (MAS NewCo), pekerja sudah ada. Laluan sudah ada lama. Pasal apa nak ambil orang luar, nak memulih apa.
  • Itu satu, yang keduanya, orang asing ini dia tak tahu budaya negara kita. Dia tak tahu polisi kerajaan. MAS ini syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Orang yang tadbir GLC mesti tahu dasar kerajaan dalam mengambil pekerja, memberi kontrak. Dia tak tahu ini semua. Nak faham ini semua (ambil masa yang) lama.
  • Tetapi beliau dikatakan berjaya memulihkan syarikat penerbangan lain dalam masa singkat.
  • Itu tak apa lah, boleh jadi dia bagus, tapi kita bukan nak bagus sahaja, dia ada roh ke tidak, spirit dia. Kita ini syarikat nasional, bukan sektor swasta punya. Adakah dia ada roh nak kembangkan syarikat ini supaya jadi syarikat besar, boleh bersaing di seluruh dunia?
  • Apa rancangan Jentayu Danaraksa untuk MAS?
  • Mula-mula kita buat cadangan, kita nak ambil alih (anak syarikat MAS) Firefly, (cabang) kejuruteraan MAS dan Penerbangan Malaysia Bhd (PMB). Lepas saya jumpa wakil Khazanah, nampaknya mereka tak setuju cadangan ambil alih Firefely, (untuk) kejuruteraan pun nampaknya dia tak setuju.
  • Untuk rancangan ambil alih PMB dan beli kapal terbang MAS, itu dia tak kata tak setuju tapi dia pertikaikan macam mana kita nak buat semua ini. Mereka tahu saya tak ada duit (ketawa). Tapi kita ada rakan kongsi strategik di beberapa tempat di dunia.
  • Dari segi kewangan tak ada masalah, pembiaya banyak. Mereka setuju ambil alih kapal terbang ini dan kita kendalikan PMB, kemudian kita beli semua kapal terbang MAS, kita sewakan balik kepada MAS atas harga yang dipersetujui kedua-dua pihak.
  • Adakah patut MAS jual pesawatnya dan kemudian sewa semula?
  • MAS (ada) hutang RM12 bilion sekarang. Dia boleh ambil hasil jualan (pesawat) dan bayar balik hutang, kemudian kita beri harga sewaan yang berpatutan dan rendah daripada biasa. Kita untung juga tapi sikit. Itu yang kita nak buat.
  • Kemudian sekarang ini kerana Khazanah tak mahu (jual Firefly dan cabang kejuruteraan), kita hanya tumpu (cadangan) beli kapal terbang MAS dan beli PMB.
  • Berapa jumlah kapal terbang dimiliki MAS dan nilainya?
  • Jumlah pesawat MAS lebih kurang 82 unit. Kita dah kira, lebih kurang RM8 bilion kita kena bayar (untuk beli semua pesawat). Jadi MAS boleh guna hasil itu untuk bayar hutang dan tak adalah (perlu) belanja duit kerajaan banyak sangat, RM6 bilion kan kerajaan nak belanja sekarang ini?
  • (Jika MAS jual pesawat) tak banyaklah (kerajaan perlu beri duit) RM1 bilion hingga RM2 bilion sudah cukup. Itu kita punya perkiraan. Kalau dia tak setuju, apa boleh buat.
  • Jika Jentayu Danaraksa beli pesawat dan PMB, bagaimana ia boleh selamatkan 6,000 pekerja yang akan kena buang ini?
  • Yang pertama, saya pertikaikan kenapa perlu 14,000 pekerja sahaja. Saya rasa perlu lagi ramai. Mungkin kita kena buang 2,000 hingga 3,000 sahaja, kalau kita kira betul-betul. Syarikat baru (MAS NewCo) itu kalau dengan 14,000 pekerja sahaja nak buat laluan baru, saya ingat tak cukup.
  • Kalau boleh kita nak runding dengan MAS, mana-mana laluan yang dia tak buat kita boleh kaji, kalau boleh buat kita buat dan kita serap kakitangan ini. Ini perlu dikaji dan dihalusi tapi pada prinsipnya kita nak buat syarikat penerbangan juga. Tapi bukan persaingan kepada MAS, tetapi saling melengkapi laluan yang dia tak ada.
  • Berapa kali Tan Sri telah menemui Khazanah mengenai cadangan ini dan bagaimana maklum balas mereka?
  • Saya sudah jumpa dua kali. Saya nampak mereka tak berminat nak menimbang (cadangan itu) sebab mereka dah ada rancangan sendiri.
  • Selain Khazanah, pihak mana lagi yang Tan Sri jumpa untuk jelaskan cadangan Jentayu Danaraksa?
  • Kita tak ada jumpa orang lain tapi surat cadangan kita hantar kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Tetapi perkara ini perkara rumit.
  • Ada yang pertikai Jentayu Danaraksa baru ditubuhkan beberapa bulan, sudah nak ambil alih MAS.
  • Kita tubuh (syarikat) memang sebab nak ambil alih MAS. Kalau meniaga 100 tahun pun kalau tak ada duit tak boleh buat juga. Kita ada duit, ada kepakaran.
  • (Pekerja) MAS yang baru bersara, semua datang jumpa saya, tawarkan pertolongan, bagi idea dan mahu kerja semula pasal mereka bimbang mengenai MAS nak buang pekerja dan takut MAS lenyap, tak mampu nak bersaing dengan syarikat lain yang bertambah besar.
  • Syarikat lain bertambah besar, kita nak jadi kecil lagi. Mereka bimbang itulah. Ini syarikat kebangsaan. Duit orang ramai dah berbilion dibelanja untuk MAS.
  • Siapa di belakang Jentayu Danaraksa dan apa kepakaran mereka?
  • Kebanyakannya orang (dalam bidang) kewangan, setengah ada latar belakang penerbangan dan kejuruteraan. Pelabur saya tak boleh beritahulah. Kalau kita berunding nanti (dengan Khazanah), bolehlah beritahu.
  • Bagi Tan Sri sendiri, apa masalah sebenar MAS sampai boleh rugi teruk?
  • Yang pertama, kena tahu perniagaan (penerbangan) ini, laluan yang dibuat itu, kena tahu. Kena tahu pasaran, apa pasaran kita masuk dan cara macam mana kita nak masuk. Kedua, kita kena tahu dari segi teknikal, jenis kapal terbang, kos penyelenggaraan.
  • Orang pengurusan kena tahu ini semua, kalau tidak dia tak boleh cari jalan. Ketiga, kena ada integriti, mesti tidak ada penyelewengan di seluruh atas bawah syarikat itu. Kalau tak ada ini semua, tak boleh nak jalan. Jalan pun mesti rugi punya. Saya rasa MAS ada masalah ini semua.
  • Orang selalu kata kesatuan pekerja MAS yang jadi penyebab syarikat itu rugi, Tan Sri setuju?
  • Mereka kata pengurusan tak boleh buat apa-apa, kesatuan pekerja sekat. Itu mengarutlah. Bukan kesatuan pekerja yang (urus syarikat). Kesatuan pekerja bukan kebal, mereka tidak boleh buat apa kalau pengurusan tak setuju (apa-apa tuntutan).
  • Kalau mereka degil, buat piket sana sini, kita kena tahu macam mana nak kendalikan mengikut undang-undang. Kalau tak tahu kawal kesatuan pekerja, maknanya pengurusan tak cekaplah.
  • Suruhanjaya yang Tan Sri cadangkan itu, kalau dapat tahu siapa yang salah...
  • Suruhanjaya perlu buat pengesyoran supaya ambil tindakan terhadap individu atau pihak tersebut. Kalau tak ambil tindakan, apa yang berlaku sebelum ini habis semua sekali. Siapa yang kena hukum, kakitangan yang kena hukum, kena buang kerja. Ini tak adillah.
  • Sebagai orang yang bina MAS dari bawah, apa perasaan Tan Sri apabila lihat MAS sedang berdepan banyak masalah?
  • Saya rasa cukup sedih tengok begini. Seolah-olah syarikat ini sudah bankrap dan ditutup. Dulu menjadi harapan kerajaan, harapan (perdana menteri kedua), arwah Tun (Abdul) Razak (Hussein) dan mereka yang sekali dengan saya pada permulaan untuk jadikan syarikat penerbangan kebangsaan ini sebagai salah satu syarikat terbesar dan termasyhur dalam dunia. Itu kita punya objektif supaya kita boleh promosi pelancongan, perniagaan, perkenalkan negara kita di seluruh dunia. Kita dah berjaya.
  • Semasa saya bersara pada 1992, kita sudah capai semua ini. (Cabang) kejuruteraan kita besar, kita punya rangkaian (laluan), kita pergi seluruh dunia. Boleh kata seluruh dunia sudah kenal kita, sudah kenal MAS. Kita banyak dapat anugerah. Tiba-tiba jadi begini. Masa bersara dulu, saya rasa alhamdulillah, kita dah capai semua ini.
  • Saya harap ia akan jadi lebih besar dan lebih maju. Saya beritahu semua kakitangan semasa saya ucap selamat tinggal: “Saya serah kepada tuan-tuan sekalian, ini syarikat kita, negara kita, kita kena jaga”. Cuma dalam masa tiga empat tahun sahaja selepas itu, (MAS mula bermasalah).
  • Ini kita kena siasat. Bukan semua orang buat tak betul. Saya rasa kalau kita buat suruhanjaya itu, ramai orang nak tahu (apa punca masalah MAS). Tak adil juga semua salahkan pekerja dan kesatuan pekerja. Kalau saya cakap salah, beritahu saya. Kalau saya salah, saya mengaku.
  • Macam cabang kejuruteraan (MAS) saya nak pertikaikan. Beberapa tahun lalu saya diberitahu MAS nak batalkan (perkhidmatan) penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kepada pihak ketiga walaupun pada masa itu MAS buat untung dalam bidang itu.
  • MAS hanya nak buat MRO untuk (pesawat) sendiri sahaja. Pada hal masa saya (buka MAS) dulu, kita rancang khusus, latih orang dan cari pelanggan untuk adakan MRO dengan kita.
  • Kita dapat kelulusan Amerika Syarikat, Kanada, Australia supaya kejuruteraan kita boleh buat penyelenggaraan untuk pihak ketiga. Dan sekarang ini nak tutup terus. Kalau kita buat MRO untuk orang lain, kita boleh buat keuntungan. Kita ada kepakaran, alat semua.
  • Orang lain berikhtiar sedaya upaya nak dapat pelanggan. Sekarang Singapore Airlines lebih maju daripada kita (dalam MRO), dulu kita lebih maju daripada dia.
  • Adakah MRO ini memang boleh jana banyak keuntungan?
  • Ya, kita baiki kapal terbang, macam baiki kereta. Kita buka bengkel, orang datang baiki, kita kenakan caj.
  • Bagaimana Tan Sri jangka prestasi MAS apabila dasar langit terbuka Asean bermula tahun depan?
  • Kita kena bersedia untuk atasi persaingan langit terbuka. Jika tidak kita akan tenggelam. Kalau ikut keadaan sekarang ini, (MAS) tak kan mampu (bersaing). Saya nak tengok apa perancangan Khazanah untuk atasi perkara itu. Boleh jadi dia kata ini perkara sulit.
  • Dari segi korporat, adakah memang patut dirahsiakan rancangan perniagaan?
  • Ada perkara sulit, ada tak sulit. Macam (sebuah syarikat penerbangan Malaysia) umum nak beli 100 kapal terbang. Sebagai syarikat penerbangan, kita kena beritahu juga (apa pelan) untuk pemasaran. Orang kena tahu, (apa) laluan baru kita.
  • Tetapi Khazanah tak sebut, mungkin dia kata ini rahsia. Laporan akhbar (baru-baru ini), Khazanah kata kita (Jentayu Danaraksa) tak hormati dari segi sulit (dalam perbincangan perniagaan). Saya ingat perkara ini sudah terbuka, tak ada lagi sulit.
  • Khazanah sudah keluar (pelan pemulihan) 12-poin, kita pun keluar kita punya 8-poin. Sulit apa lagi, orang ramai sudah tahu. Ini bukan tender. Kita buat cadangan, kita terbuka. Ada orang lain nak buat lebih baik, buatlah, tak ada nak sembunyi apa-apa.
  • Tetapi mereka mesti beritahu perkara sebenar. Kalau salah, kena mengaku. Saya tiada apa-apa kepentingan peribadi dalam hal ini, saya bukan buat ini untuk wang. Ia semata-mata kerana saya ingin hidupkan semula syarikat ini.
  • Saya sudah tua, umur sudah 81 tahun. Sebelum mati, saya ingin lihat syarikat penerbangan ini tumbuh semula. - Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman


Global Ikhwan berdakwah melalui ekonomi

  • Kumpulan Al-Arqam menempuh liku kehidupan yang panjang di negara ini apabila mula diasaskan sejak 45 tahun lalu oleh pengasasnya, allahyarham Ashaari Muhammad atau Abuya yang membawa ajaran Aurad Muhammadiyah.
  • Bagaimanapun, segalanya berubah selepas isteri Ashaari, Khatijah Aam telah bertaubat sekembalinya ke tanah air selepas ditahan pihak berkuatkuasa Arab Saudi kerana amalan yang meragukan dan bidaah.
  • Khatijah berkata, kumpulan itu kini dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) yang diasaskan pada 13 Mei 2013 dengan menggunakan pendekatan dakwah melalui ekonomi.
  • “GISBH kini terdiri daripada 4,000 pekerja yang semuanya diletakkan di bawah undang-undang tenaga kerja ditetapkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Kami sudah pun selesaikan urusan nikah kahwin seperti diarahkan oleh jabatan agama Islam di Malaysia.
  • “Kami akur dengan kerajaan Malaysia yang begitu serius memulihkan iman dan Islam kami. Allah yang menggerakkan negara ini memerintahkan supaya kami bertaubat nasuha daripada kesesatan sebelumnya.
  • “Taubat kini menjadi budaya kami. Semua pekerja GISBH diarahkan bangun malam sembahyang taubat kepada Allah. GISBH sudah taubat bahkan bersumpah kepada Allah untuk tidak mengulangi dosa-dosanya,” katanya dalam satu kenyataan media.
  • Dia yang juga dikenali sebagai Ummu Jah berkata selain menerima fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, mereka sedang berusaha mendapatkan sijil halal Jakim.
  • Katanya, GISBH sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja apatah lagi agensi kerajaan yang bercita-cita hidup dan berjuang untuk Allah dan Rasul.
  • “GISBH tidak yakin sesuatu perjuangan tanpa takwa kepada Allah itu boleh berjaya. Lihat betapa kuasa Allah menghancurkan kuasa dunia dengan mudah sahaja. Hanya bersama hati yang takut Allah, rindu nabi saja yang mampu mencipta kekuatan dunia akhirat.
  • “Perancangan GISBH ialah mengajak semua umat Islam membela Islam melalui ekonomi. Al-Quran dan hadis merubah bangsa Arab yang  dungu, miskin dan mundur menjadi penyelamat dunia melalui ekonomi Allah dan rasul.
  • “Islam ialah cara hidup. Maka GISBH perlu mempunyai rangkaian projek yang terdiri daripada seluruh aspek hidup seorang Islam. GISBH kini mempunyai rangkaian di benua Australia, Timur Tengah, Asia Tenggara, Eropah, China dan Rusia,” katanya.
  • Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Lokman Hakim berkata syarikat itu kini lebih berperanan dalam menyediakan keperluan umat Islam.
  • Katanya, pelbagai isu meruncing yang melanda umat Islam sejak kebelakangan ini menjadikan syarikat isu terpanggil memberi alternatif kepada produk dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • “Kita nak sempurnakan keperluan makanan umat Islam yang kritikal termasuk mi dan makanan beku. Sekarang banyak yang meragukan. Kita dah mula keluarkan produk dan yang lain berjalan macam biasa.
  • “Kami mempunyai 8 buah pusat pemulihan dadah yang bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejak lebih setahun lalu dan 30% daripada mereka pulih. Program AADK libatkan kami sebagai perunding dan sebagainya sebab terbukti mereka boleh dipulihkan dengan menanam iman.
  • “Dari satu sudut, kita bantu kerajaan dan memberi khidmat kepada masyarakat. Kita pun ada pengalaman jadi boleh dikembangkan. Letak mereka di luar memang tak boleh. Kalau keluar mereka tak cukup kuat.
  • “Di klinik gigi kami, kalau ada RM5 pun boleh. Kita bukan komersil. Ada bagi RM5, ada bagi RM1,000. Itu sumbangan yang dikata rezeki daripada Allah,” katanya merujuk kepada pusat perniagaan di Bandar Country Homes Rawang.
  • Lokman berkata, sumbangan mereka kepada kerajaan dan masyarakat juga dapat dibuktikan dengan terdirinya 80 buah rumah amal di seluruh negara.
  • Katanya, Akademi Generasi Harapan kelolaan mereka juga mampu melatih 2,000 remaja dalam pelbagai bentuk kebudayaan berteraskan Islam seperti nasyid, seni persembahan, penerbitan dan sebagainya bertujuan dakwah.
  • “Kita mengendalikan 80 buah rumah amal tetapi apabila ada isu berbangkit, kami tutup 30, tinggal 50. Kita ada lebih 300 anak yatim yang dijaga.
  • “Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) marah apabila kita tutup kerana mereka terpaksa bertanggungjawab terhadap anak-anak ini. Mereka kata tolong jangan tutup, jadi kami buka semula.
  • “Bila kita buat rumah ini, kita dah selesaikan masalah JKM. Anak-anak ini mereka balik sekolah kita didik cara hidup Islam. Solat jemaah dan sebagainya. Satu generasi kita selamatlah,” katanya.
  • Ditanya mengenai kejayaan dalam memperkembangkan GISBH, Lokman berkata keyakinan menyeluruh terhadap pertolongan Allah menjadi bekal dalam usaha membangunkan syarikat itu.
  • Katanya, GISBH kini mampu berbangga dengan konsep perniagaan Islam yang mereka amalkan dengan menghindarkan pinjaman bank yang mungkin mengandungi perkara meragukan.
  • “Kami suka merujuk ayat Al-Quran yang selalu orang kenali sebagai ayat pelaris atau 1,000 dinar yang Allah berfirman maksudnya barang siapa bertakwa akan diberi kepadanya jalan keluar kepada masalah dan diberi rezeki kepadanya yang dia sendiri tak tahu sumbernya.
  • “Akhirnya yang dirasai itu kasih sayang Allah, bukan kepandaian percaturan sendiri tetapi Allah, kerana Allah yang memberi. Kita mula bangunkan insan. Kalau sistem cantik dan indah tetapi manusia tak baik, tak boleh bangun juga.
  • “Dari dulu lagi kita tak pernah meminjam dari bank. Kita tak mahu bersandarkan kepada manusia tetapi minta pada Allah. Modal minta dengan Allah, mungkin bunyinya pelik tapi bagi orang bertakwa tak pelik kerana Rasulullah dulu tidak minta pada orang Yahudi apabila mereka pindah ke Madinah,” katanya.
  • Mengulas mengenai perancangan masa depan GISBH, Lokman berkata syarikat itu akan membuka kilang memproses bihun tidak lama lagi di Pekan, Pahang bagi menambah keyakinan umat Islam terhadap produk itu.
  • Katanya, pelaksanaan membangunkan kilang itu mendapat pertolongan Allah yang luar biasa apabila dipermudahkan segala urusan operasinya.
  • “Kami terus beli mesin di Thailand, melalui kastam kena RM5,000. Mereka kata kami pun nak sumbangan juga, dikecualikan RM5,000 bawa ke Pekan. Ada wakil perdana menteri datang ke Country Homes, dia nak aturkan perdana menteri rasmikan.
  • “Mesin tu dijual dengan harga RM450,000, pakai dalam berapa bulan. Mereka jual RM150,000 akhirnya dia nak saham, bayar tunai RM80,000, kami bawa masuk,” katanya.


Tahaluf siyasi PAS - DAP sudah koyak

  • Kerjasama politik antara PAS dan DAP dalam apa jua bentuk pakatan atau gagasan ternyata merugikan bangsa Melayu kerana pada dasarnya DAP enggan menerima perjuangan Islam biarpun pada sekecil-kecil perjuangan.
  • Bayangkan bagaimana DAP meluat dengan azan berkumandang di setiap surau dan masjid hingga menyekat azan dilaungkan apabila mendapat kuasa di kawasan dan negeri tertentu. Kalimah Allah juga dipersenda dan diperkotak katik wal hal Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan fatwa mengenainya. DAP peduli apa dengan fatwa itu.
  • Tak semena-mena DAP mengisytiharkan Chin Peng dan PKM dianggap sebagai nasionalis, bukannya komunis. Apakah ertinya semua ini. Ramai pemimpin DAP bersaudara dengan Chin Peng dan menerima perjuangan PKM dan tiada sebarang tindakan daripada kerajaan Barisan Nasional. Apa erti semua ini.
  • Mungkin selepas ini DAP akan menolak sistem beraja secara terbuka jika soal azan, kalimah Allah dan komunis sudah dapat diketengahkan tanpa sebarang pertumpahan darah. Mereka (DAP dan kroni) tidak hairan dengan teriakan NGO Melayu kerana gerakan demonstrasi mereka lagi hebat dan jahat.
  • NGO Melayu baru nak belajar berdemonstrasi, itu pun tak teratur. Bila dipanggil perhimpunan, tak ramai yang hadir. Yang hadir pun kerana mereka diupah. Keikhlasan perjuangan sekadar di atas kertas dan tulisan pojok di media sosial tanpa dibuktikan dengan perjuangan fizikal.
  • Kembali kepada kerjasama PAS-DAP. Parti DAP telah menunggang PAS untuk ke mercu kejayaan dan ia sudah dibuktikan dalam PRU13. Kini DAP tidak memerlukan bantuan PAS. Mereka sudah cukup kental bersama PKR yang diterajui Anwar Ibrahim.
  • Azmin Ali sudah menakluk politik Selangor. Lim Guan Eng sudah menakluk politik Pulau Pinang. Satu persatu negeri lain akan mereka rampas dengan hanya menggunakan PKR sebagai kenderaan. Di mana suara PAS dalam kedua-dua kerajaan itu? Kalau ada pun suara itu tidak mampu mengoncang sidang Dewan Undangan Negeri masing-masing. PAS sekadar menjadi pak turut dan DAP mahukan begitu untuk selamanya.
  • Untuk itu DAP tidak perlu menghormati kehendak PAS dalam perlaksanaan perundangan hudud biarpun untuk 1000  tahun lagi. Dengan demikian DAP dibenarkan menghina dan melukakan hati PAS pada bila-bila masa tanpa rasa segan silu.
  • Ketika PAS menghulurkan tangan dalam kerjasama tahaluf siyasi, DAP senyum saja tanpa perdulikan konsep yang seimbang itu. Bagi DAP kerjasama yang mereka kehendaki lebih penting daripada kerajasama seimbang. Maka koyaklah tahaluf siyasi yang diamalkan itu.
  • Kemarahan PAS disampaikan oleh ramai pemimpin kanan parti itu tapi tidak dipedulikan oleh mana-mana pemimpin DAP. Tiada yang simpati dengan PAS.
  • Lalu Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din akhirnya menempelak tindakan DAP yang berterusan mempertikaikan hudud mengoyakkan kertas "tahaluf siyasi" antara PAS dengan komponen Pakatan Rakyat (PR), DAP kerana bagi beliau hudud adalah “nyawa” PAS.
  • Haron berkata jika DAP ataupun Lim Guan Eng tidak selesa dengan perjuangan PAS itu, setiausaha agung DAP tersebut boleh mencari “keselesaan” lain dengan jalannya sendiri.
  • Justeru, tegas tokoh ulama PAS itu, jika DAP atau Guan Eng berterusan mempertikai hukum hudud, parti tersebutlah sebenarnya bertanggungjawab merosakkan “kertas” tahaluf siyasi yang dipersetujui pakatan pembangkang sejak 2008.
  • “PAS tidak terbelenggu dengan komen lawan mahupun kawan. Hudud adalah nyawa PAS dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang. Jika Guan Eng berasa tidak selesa, maka carilah jalannya sendiri untuk keselesaan kerana hudud tetap diteruskan (di Kelantan).
  • “Apa yang dibuat DAP hanya mencacat dan mencarik robek tahaluf. Kalau terus menerus demikian, maka DAP yang mengoyak kertas tahaluf kerana PAS tidak pernah mempertikai asas perjuangan DAP,” katanya.
  • Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin PAS akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 29 Disember ini bagi meminda Enakmen Jenayah Syariah II (Hukum Hudud) bagi membolehkan ia dilaksanakan di negeri itu.
  • Pada masa yang sama, DAP terus mengkritik PAS dan menyifatkan hudud bakal melambatkan PR ke Putrajaya. PKR pula akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu ini.
  • Guan Eng pula menyifatkan, komitmen sekutu DAP itu untuk tetap melaksanakan hudud di Kelantan adalah penghinaan kepada PR selain mendakwa langkah berkenaan bertentangan dengan konsensus pakatan.
  • Kenyataan tersebut dibuat ketua menteri Pulau Pinang berkenaan tidak sampai seminggu selepas beliau mendesak pakatan pembangkang memuktamadkan pendirian untuk menolak hudud ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan DAP kononnya demi aspirasi pengundi.
  • Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengalu-alukan DAP keluar pakatan sekiranya tidak yakin dapat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
  • Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu laporan media menyebut, isu hudud sudah lama diputuskan oleh PAS sebelum wujudnya PR.


Tuesday, 16 December 2014

Akibat GST hospital swasta mahu tambah caj lima peratus

  • Biarpun kerajaan menetapkan bahawa perkhidmatan penjagaan kesihatan dikecualikan daripada cukai GST namun kebanyakan hospital swasta tetap mahu menaikkan caj sebanyak lima peratus.
  • Presiden Persatuan Hospital Swasta (APHM) Datuk Dr Jacob Thomas berkata, kebanyakan hospital mahu menaikkan caj atas pelbagai sebab lain yang berkaitan dengan GST.
  • Beliau berkata, ia disebabkan oleh beberapa perkara tertentu dalam pelaksanaan cukai sebanyak enam peratus.
  • “Kira-kira 99 peratus doktor dalam hospital swasta bukan pekerja di hospital itu, tetapi beroperasi sebagai kontraktor bebas. Jabatan Kastam menganggap doktor beroperasi sebagai perunding bebas apabila “khidmat luar” boleh dikenakan cukai,” katanya pada sidang media di Pusat Perubatan Sunway.
  • Dr Thomas berkata, ini bermakna beban akibat GST akan dihadapi rakyat untuk perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan profesional.
  • Beliau menambah, perkhidmatan daripada sumber luar seperti keselamatan, dobi dan pengemsan untuk hospital juga akan dikenakan cukai, yang memberi kesan kepada peningkatan kos operasi.
  • Dalam ertikata lain persatuan itu mahu memberitahu kepada kerajaan Malaysia bahawa kesan perlaksanaan GST akan dibebankan kepada pengguna walaupun industri itu dikecualikan daripada cukai.
  • Namun itu mungkin alasan persatuan itu saja yang mahu mengaut keuntungan secara bebas di Malaysia tanpa dibebani cukai-cukai yang tidak digemari. Ini benar kerana peraturan perniagaan dalam industri perubatan di negara ini boleh dikatakan tidak ketat berbanding luar negara.
  • Lantaran itu ramai taukeh tempatan bekerjasama dengan pengamal perubatan global untuk membangunkan hospital swasta bagi mengaut keuntungan sebanyak mungkin ketika kawalan perundangan masih longgar.
  • Kemunculan GST tidak menyenangkan industri itu tetapi mereka tidak membantah secara terbuka kerana ia membabitkan polisi kerajaan dan mereka amat memerlukan sokongan dan pelanggan di kalangan kakitangan kerajaan.
  • Lalu mereka memindahkan beban cukai itu kepada pengguna dengan menyatakan pelbagai alasan samada munasabah atau tidak masuk akal dengan harapan GST tidak akan dilaksanakan mulai April 2015 atau digagalkan pada pertengahan jalan.

Rakyat Malaysia malas, industri guna 5.8 juta pekerja asing

  • Betulkah rakyat Malaysia malas sehingga negara terpaksa mengambil 5.8 juta warga asing yang mana daripada jumlah itu 2.9 juta merupakan pekerja seludup tanpa dokumen yang sah.
  • Gaji murah? Tidak mungkin. Industri binaan menawarkan gaji lumayan kepada semua. Pekerja mahir berpendapatan lebih RM300 sehari, manakala buruh tidak berkemahiran menikmati purata gaji RM70 sehari.
  • Industri pertanian mungkin menawarkan gaji sedikit rendah tetapi makan minum dan tempat tinggal pekerja ditanggung 100 peratus oleh majikan. Begitu juga dengan pembantu rumah dan pembantu kedai.
  • Namun rata-rata pekerja dlam sektor terbabit dibanjiri warga asing, sekaligus menimbulkan tanda Tanya apakah belia Malaysia semakin malas, tidak mahu bekerja kuat dalam pertanian dan binaan? Atau majikan lebih gemar memilih pekerja asing yang tidak banyak karenah dan boleh diarah itu dan ini tanpa soal.
  • Mungkin juga caruman SOCSO dan EPF menjadi ukuran kepada majikan untuk mengambil pekerja asing terutama pendatang haram. Majikan mungkin berfikir, jika projek terputus, terkandas atau terbengkalai, mereka tetap wajib membayar caruman pekerja. Situasi itu merugikan mereka.
  • Lantas majikan terpaksa mengambil apa jua risiko dengan mengambil pekerja seludup kerana golongan ini boleh datang dan pergi tanpa sebarang ikatan. Penyudahnya Malaysia dibanjiri pendatang tanpa permit.
  • Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek berkata kebanjiran pekerja asing tanpa izin (PATI) di negara ini berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan serta dasar liberal yang sentiasa berubah-ubah mengikut keperluan.
  • Beliau berkata, polisi seperti dasar mesra pelancong dan dasar pendidikan antarabangsa memberi ruang kepada mereka untuk masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan atau visa pelajar untuk bekerja dan tinggal lebih masa.
  • “Institusi pengajian tinggi yang bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan tanpa pemantauan berkesan banyak digunakan sebagai ‘kenderaan’ oleh pekerja asing untuk masuk ke negara ini,” jelasnya.
  • Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Impak pekerja asing kepada kesejahteraan politik dan keselamatan negara’ pada Persidangan Dilema Negara: Isu dan Cabaran Pekerja Asing di Malaysia, anjuran Majlis Profesor Negara (MPN).
  • Justeru, Abdul Halim mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu dasar pekerja asing kekal, yang lebih komprehensif atau institusi berbentuk kekal bagi mengawal pekerja asing.
  • “Aktiviti penguatkuasaan juga memerlukan pendekatan bersepadu atau perkongsian antara semua agensi terlibat dan elakkan sifat ‘territorial’,” katanya.
  • Beliau berkata, langkah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing masih gagal berikutan sumbangan mereka kepada negara terutama dari segi mengurangkan kos buruh, meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkatkan eksport negara.
  • Bagaimanapun, katanya usaha mengurangkan jumlah pekerja asing secara berperingkat perlu dilakukan agar mereka tidak menjadi liabiliti berpanjangan kepada negara.
  • “Usaha ini mesti dibuat secara berperingkat supaya sektor utama seperti perindustrian, perladangan dan pembinaan tidak terjejas dan pada masa sama, jumlah mereka tidak mengancam keselamatan negara,” jelasnya.


Akhirnya 1MDB jawab semua tuduhan liar

  • Sejak minggu lalu, banyak spekulasi mengenai pelbagai elemen dalam perniagaan 1MDB. Walaupun kebanyakan isu-isu yang dibangkitkan adalah perkara-perkara yang diulang dan telah pun dijawab oleh syarikat pada masa lalu, 1MDB memandang serius tuduhan yang dilemparkan.
  • Sehubungan itu, 1MDB mengambil peluang ini untuk memberi respon terhadap tuduhan-tuduhan yang tidak berasas ini, dengan niat untuk memberi penjelasan dari perspektif syarkat, dan memberi peluang para pembaca membuat rumusan tersendiri terhadap 1MDB dengan maklumat yang kami sampaikan.
  • Kebimbangan telah ditimbulkan terhadap kadar faedah 5.75% yang dikenakan kepada bon Islamik RM5.0 billion yang diterbitkan oleh 1MDB pada 2009, dengan tanggapan bahawa ini adalah sebuah bon dengan kadar faedah yang tinggi. Sebagai perbandingan, dinyatakan bahawa sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan, Petronas, telah membayar kadar faedah sebanyak 3.60% untuk bon pada masa yang sama.
  • Ini adalah perbandingan yang tidak adil dan tidak mengambil kira beberapa faktor-faktor penting. Apabila membeli sesuatu bon, pemberi pinjaman akan mengambil risiko pada kadar tertentu. Lebih lama tempoh pegangan, lebih tinggi risiko untuk pemegang bon. Oleh itu, bon-bon yang mempunyai tempoh matang yang lebih panjang biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi.
  • Sepanjang pengetahuan kami, satu-satunya bon berkaitan Petronas yang dikeluarkan pada 2009 yang membawa kadar kupon 3.6% adalah untuk bon RM100 juta dengan tempoh pegangan hanya selama tiga tahun. Dengan tempoh matang yang sangat jauh berbeza, tidaklah mengejutkan jika bon yang diterbitkan 1MDB mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi.
  • Secara umumnya, adalah penting untuk dinyatakan bahawa bon yang dikeluarkan oleh1MDB pada 2009 merupakan bon pertama Malaysia dengan tempoh pegangan selama 30 tahun, dan juga merupakan bon Islamik pertama yang dikeluarkan dengan tempoh matang sepanjang itu. Dengan keadaan ekonomi pada masa itu, hakikat bahawa 1MDB berjaya menjana jumlah dana sebesar ini mencerminkan sokongan, nama baik dan keyakinan yang diletakkan terhadap syarikat.
  • Kami juga memandang serius spekulasi tidak berasas bahawa sebahagian daripada kadar faedah ini telah dibayar kepada ‘orang tengah’ sebagai sejenis bayaran manfaat.  Ini adalah tuduhan yang serius.  Kami ingin menjelaskan secara tegas bahawa keseluruhan 5.75% kadar faedah tahunan tersebut adalah dibayar kepada para pemegang bon, yang antaranya terdiri daripada institusi-institusi terulung di Malaysia, dua kali setahun mengikut jadual pembayaran. Untuk mengatakan sebaliknya atau menyindir bahawa sebahagian jumlah dibayar kepada ‘orang tengah’ adalah secara faktanya tidak benar.
  • Selanjutnya, kebimbangan juga telah ditimbulkan mengenai komisen dan fi yang ditanggung oleh1MDB untuk terbitan dua hutang tambahan pada tahun 2012 dan 2013, masing-masing untuk US$1.75 billion dan US$3.0 billion.
  • Kedua-dua bon ini telah dikeluarkan pada kadar diskaun yang biasa bagi tawaran-tawaran bon. Sebarang perbezaan di antara nilai tara (par value) dan perolehan bersih sebuah bon tidak hanya meliputi bayaran dan perbelanjaan lain, tetapi juga hasil efektifnya (effective yield) yang turut mengambil kira diskaun dan baki tempoh pegangan bon.
  • Kami ingin menjelaskan bahawa sejumlah besar perbezaan di antara nilai tara (par value) bon tersebut dan perolehan bersih adalah berkaitan dengan bon dikeluarkan pada kadar diskaun. Keputusan ini diambil untuk memastikan kejayaan menyempurnakan pengumpulan dana berpandukan faktor dalaman dan luaran pasaran, kepantasan untuk melaksanakan tawaran dan skala penajajaminan (underwriting).
  • Kedua-dua terbitan hutang dijamin penuh oleh Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan terkemuka antarabangsa. Ianya merupakan salah satu daripada sejumlah kecil bank yang mempunyai kemampuan untuk menjamin terbitan hutang sebesar ini. Bon-bon yang dikeluarkan pada kadar diskaun kepada nilai taranya (par value) memastikan kejayaan terbitan hutang kami tepat pada masanya, dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak stabil ketika itu.
  • Berkaitan transaksi yang dinyatakan di atas, kami memandang serius sindiran bahawa Goldman Sachs mungkin telah membuat bayaran kepada pihak ketiga, satu tuduhan yang kami nafikan dengan tegas. Goldman Sachs telah menyatakan secara terbuka: “Selain daripada firma perundangan dan perakaunan yang menyediakan khidmat professional, tiada fi atau komisen dibayar oleh 1MDB atau Goldman Sachs kepada pihak luar ketiga berkaitan dengan transaksi-transaksi ini, dan kami tidak pernah diarahkan oleh 1MDB atau sesiapa pun untuk membuat sebarang bayaran atau komisen”.
  • Kadar Hutang - Seperti mana-mana syarikat besar, 1MDB telah menjana modal melalui pasaran hutang antarabangsa untuk membiayai projek-projek tertentu, pada skala yang memerlukan kami untuk berbuat demikian. Kesemua hutang kami adalah disokong oleh aset yang kukuh, dan jumlah keseluruhan aset kami (RM44.67 billion pada tahun kewangan berakhir Mac 2013) dengan selesa melangkaui jumlah keseluruhan hutang kami (RM37 billion dalam tempoh yang sama).
  • Adalah penting juga untuk dinyatakan bahawa kami tidak pernah terlepas membuat pembayaran mengikut jadual, dan kami juga tidak berniat untuk berbuat demikian. Kebolehan kami yang konsisten dalam meraih dana di pasaran antarabangsa dan daripada pelabur yang berkualiti, mencerminkan keyakinan mereka terhadap kami. Penyenaraian aset tenaga kami adalah satu daripada siri usaha yang kami rancang bagi mengurangkan hutang kami.
  • Selain itu, kami sedang memajukan perniagaan hartanah kami dengan projek-projek seperti TRX dan Bandar Malaysia. Sejak tahun lepas, kami telah memeterai beberapa perjanjian dengan syarikat-syarikat terkemuka dan institusi-institusi dari seluruh dunia seperti Lend Lease, sebuah kumpulan hartanah dan infrastruktur antarabangsa. Semua ini akan membawa kepada aliran masuk dana ke Malaysia.
  • Kami berterusan meningkatkan nilai aset hartanah kami bagi membolehkan kami mendapat perolehan yang boleh digunakan untuk memacu pertumbuhan masa depan serta mengurangkan kadar hutang kami.
  • Terlebih Bayar untuk Aset - Selain dakwaan-dakwaan berkenaan terbitan hutang 1MDB, tuduhan-tuduhan mengenai jumlah yang dibayar 1MDB untuk aset-aset tenaga dan hartanah juga telah ditimbulkan semula sekali lagi.
  • Seperti mana-mana syarikat lain, kami hanya memperoleh aset apabila kami yakin bahawa ia akan memberikan nilai yang tinggi kepada perniagaan kami. Sejajar dengan sasaran strategik Kerajaan untuk menjamin bekalan tenaga Malaysia, kami telah membeli beberapa aset tenaga sejak 2012. Pembelian ini telah membolehkan kami untuk mempelbagaikan campuran bahan api dan risiko negara kami, selain mendapat manfaat daripada aliran tunai yang sihat serta kepakaran pihak pengurusan yang unggul.
  • Dakwaan-dakwaan berkaitan jumlah yang kami bayar untuk aset-aset tenaga kami berkisar tentang nilai yang dikaitkan kepada aset-aset berkenaan pada masa ianya dibeli dan berdasarkan kepada andaian tertentu yang dibuat oleh pihak luar. Walau bagaimanapun, kami memandang jauh dan mengambil kira sinergi yang lebih meluas untuk kumpulan, di samping impak sosial dan ekonomi kepada negara, ketika membuat penilaian terhadap aset-aset tersebut serta ramalan pulangan ekonomi. Oleh itu, kami percaya bahawa nilai yang kami bayar bagi aset-aset ini – yang mungkin melibatkan pembayaran yang premium, adalah perkara biasa apabila membeli perniagaan lain – sepadan dengan potensi semasa dan masa depan aset-aset tersebut.
  • 1MDB juga telah menerima dakwaan bahawa ia telah membayar lebih untuk beberapa keping tanah di Pulau Pinang.  Tanah yang dipersoalkan terletak di pusat bandar Air Itam, sebuah kawasan yang mendapat permintaan tinggi di mana harga hartanah telah menampakkan kenaikan yang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
  • Saiz tanah yang dibeli membenarkan kami untuk membina hampir 10,000 rumah mampu milik, dan kami berniat untuk menggunakan beberapa keping tanah yang tinggal – yang bersaiz besar – untuk tujuan pembangunan lain yang kami harapkan bakal menjana nilai yang tinggi. Oleh itu, kami yakin dapat menambah nilai keseluruhan tanah tersebut, dan percaya harga yang kami bayar adalah berbaloi.
  • Ini dicerminkan dalam harga yang telah dibayar pemaju lain untuk membeli tanah di kawasan sekitar di mana pada harga RM200 sekaki persegi, adalah agak tinggi berbanding apa yang kami bayar. Salah satu contoh, pada tahun 2013, lebih kurang 9.8 hektar tanah di Air Itam telah dibeli pada harga RM267.4 juta, kira-kira RM251 sekaki persegi, untuk pembangunan kegunaan bercampur.
  • Layanan Istimewa untuk Tender Projek Janakuasa - Kedudukan kami sebagai pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia, rekod prestasi yang baik dalam sektor, serta pihak pengurusan berpengalaman bermakna kami adalah pemain kompetitif di dalam sebarang proses bidaan tender. Pada awal tahun ini, konsortium bersama yang dianggotai oleh 1MDB dan Mitsui & Co telah mengambil bahagian dalam proses bidaan tender terbuka dan kompetitif untuk sebuah loji janakuasa arang batu berkapasiti 2,000MW yang dikenali sebagai Projek 3B. Setelah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap pelbagai bidaan lain, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan bahawa konsortium kami telah dipilih sebagai pembida pilihan.
  • Kemudian, ada yang mengatakan 1MDB menerima layanan istimewa, dan bidaan bersama kami adalah tidak sebaik bidaan yang dihantar oleh pembida-pembida lain dalam proses tersebut. Sebarang penganugerahan adalah berdasarkan beberapa pertimbangan untuk memastikan bekalan tenaga yang terjamin dan menjimatkan kepada pengguna, sebagai contoh: standard teknikal bidaan tersebut, rekod prestasi syarikat, harga tawaran, keperluan untuk melaksanakan projek dengan segera dan jaminan tenaga serta kos keseluruhan sistem bidaan tersebut.
  • Seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataannya, Konsortium 1MDB-Mitsui telah memenangi proses bidaan “secara adil dan saksama dengan teknologi yang terbukti yang bakal meningkatkan jaminan bekalan tenaga seperti yang dijangkakan daripada stesen janakuasa arang batu berkapasiti 2000MW yang beroperasi di dalam sistem grid sebesar kita”.
  •  
  • Ia juga penting untuk dinyatakan bahawa 1MDB tidak berjaya dalam proses bidaan tender lain yang kami sertai, seperti loji gas Prai dan loji arang batu berkapasiti 1000MW. Kedua-dua projek ini dimenangi TNB, yang pada pandangan pihak berkuasa telah menawarkan pakej yang lebih baik, walaupun 1MDB menawarkan harga bidaan terendah untuk proses tender Prai.
  • Pembiayaan Untuk Projek 3B - 1MDB ingin menyatakan bahawa consortium kami membayar kurang daripada RM8 juta untuk menyediakan dan menghantar bidaan kami untuk Projek 3B. Ini adalah kira-kira separuh daripada jumlah yang dibelanjakan oleh pembida lain pada peringkat ini menurut dakwaan sebuah akhbar bisnes harian.
  • Sepanjang pengetahuan kami, tiada pembida lain yang tampil ke hadapan untuk mendedahkan maklumat ini kerana ianya adalah maklumat perniagaan yang sulit. Kami mendedahkan perkara ini kerana kami ingin menghentikan sindiran yang tidak berasas ini.
  • 1MDB tidak membelanjakan US$100 juta untuk mendapatkan Projek 3B. Sebaik sahaja mendapat projek tersebut, Konsortium 1MDB-Mitsui bergerak ke peringkat pembangunan seterusnya untuk membolehkan stesen janakuasa tersebut beroperasi, dijangkakan pada tahun 2018. Majoriti kos pembangunan adalah dibelanjakan dalam tempoh pembangunan ini.
  • Kos pembangunan atau fi pembangunan adalah apa yang dibayar kepada penaja projek untuk kerja pembangunan yang dilakukan oleh penaja projek untuk merealisasikan projek tersebut, daripada proses bidaan sehinggalah kepada operasi stesen janakuasa.  Ianya bukan merupakan kos  pembayaran balik.
  • Untuk pembiayaan projek industri tenaga, kos pembangunan biasanya terletak di antara 5% hingga 8%. Kos pembangunan kami – termasuk sebarang fi pembangunan yang ditanggung oleh kedua-dua rakan kongsi projek, 1MDB dan Mitsui – adalah 5.5% daripada kos projek, suatu kadar yang rendah.
  • 1MDB yakin dengan cara pembiayaan projek antarabangsa kami yang dijalankan dengan kerjasama erat rakan kongsi antarabangsa kami Mitsui, salah satu syarikat perdagangan am terbesar di Jepun. Pembiayaan projek sebegini di mana ekuiti disuntik kemudian (back-ended), merupakan yang pertama di Malaysia tetapi adalah amalan biasa untuk projek-projek antarabangsa yang besar.
  • Ia akan membantu memperbaiki pulangan ekuiti penaja projek, disebabkan oleh kesan nilai masa (time value) terhadap wang, kerana bayaran dibuat dahulu dan bukannya daripada aliran wang tunai operasi projek tersebut. Jumlahnya dibincangkan dan tertakluk kepada kelulusan pemberi pinjaman.
  • Selanjutnya, sebarang tuduhan bahawa pemegang bon 3B kami akan menanggung risiko tersembunyi adalah sama sekali tidak benar dan tidak bertanggungjawab. Bon kami didatangkan dengan jaminan bank yang memastikan komitmen promoter dalam suntikan ekuiti. Keselamatan aliran wang tunai dan pulangan kepada pemegang bon adalah terjamin.


Monday, 15 December 2014

DAP tolak hudud bukti parti Cina tidak demokratik

  • DAP dan PAS `berbalas pantun’ dalam hal perlaksanaan hudud di Kelantan. Atas nama demokrasi kerajaan PAS dan majoriti rakyat di negeri itu mahu perundangan Islam dibentangkan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk diluluskan dan dilaksanakan.
  • Malangnya DAP menolak demokrasi kerajaan dan rakyat Kelantan sebaliknya mahu PAS menerima demokrasi DAP yang sudah banyak berbelanja kepada PAS dan sekongkol yang lain dalam kempen beberapa PRU yang lalu.
  • Lalu PAS kembali membidas DAP sambil menyarankan parti itu keluar dari pakatan pembangkang sekiranya ia tidak selesa dengan perjuangan PAS untuk melaksanakan hudud.
  • Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, DAP dialu-alukan untuk keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya ia tidak yakin dapat memenangi pilihan raya umum ke-14 jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
  • "Kita (PAS) tak akan keluar dari pakatan pembangkang. Kalau dia (DAP) tak selesa dan rasa tak boleh menang dengan pakatan pembangkang, mereka boleh keluar bila-bila masa.
  • "Tak jadi masalah kepada kita dan kita tak akan tukar perjuangan kita (laksanakan hudud), kita tak akan korbankan perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya," katanya.
  • Mohd. Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang mahu pakatan pembangkang jelaskan pendirian bahawa mereka tidak akan melaksanakan hudud jika mahu menang pada pilihan raya umum ke-14.
  • Mohd Amar berkata DAP perlu menghormati perjuangan Pas yang selama ini ingin melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
  • "Resolusi yang dibuat itu untuk DAP dan bukan untuk Pas, kita ada perjuangan kita sendiri dan mereka tidak boleh paksa kita. Ia (resolusi) adalah untuk anggota dan pemimpin mereka, DAP perlu hormat rakyat Kelantan dan perjuangan Pas kerana isu hudud ini dah wujud sebelum pakatan pembangkang wujud," katanya.
  • Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata kerajaan Kelantan akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi membentangkan pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali sebagai Hukum Hudud pada 29 Disember ini.
  • Dalam perkembangan yang sama, PAS mendesak semua pihak terutama DAP menghormati sistem demokrasi yang ada di negara ini dalam semua pelaksanaan.
  • Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi semua pihak boleh bersuara dalam mengetengahkan pendapat.
  • "Saya tidak boleh meminta Pakatan Rakyat untuk ganggu negara demokrasi, begitu juga saya tidak boleh meminta DAP untuk ganggu konsep demokrasi.
  • "Begitu juga pelaksanaan hudud ia sekarang sedang melalui proses demokrasi dan biarlah ia melalui segala proses-proses tersebut sebelum keputusan akhir dibuat," katanya.
  • Beliau yang turut menyokong PAS melaksanakan hudud kerana perancangannya melalui proses demokrasi dan bukan paksaan.
  • "Kita tidak boleh nak halang Kelantan melaksanakan hudud, sebab di Kelantan itu sendiri kelulusan dilakukan di peringkat Dewan Undangan Negeri, ini demokrasi awal perjalanannya.
  • "Dan sekarang ia akan dicadangkan akan dibawa ke parlimen untuk proses demokrasi seterusnya, jadi setiap pihak perlu menghormatinya, di parlimen semua pihak boleh berbahas menentang atau menyokong," sambung beliau lagi.
  • Ahli Parlimen Pokok Sena turut berkata PAS akan menerima apa-apa keputusan yang akan diputuskan di peringkat parlimen terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan.
  • "Seperti juga pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan‎ (GST) kita menentang tetapi ia melalui proses demokrasi di parlimen melalui suara ramai.
  • "Inilah yang akan dilalui hudud melalui proses yang sama dan tidak pernah ada istilah ingin menggunakan jalan belakang.
  • "Atas sebab-sebab itu kita mesti menghormati demokrasi kerana itu menjadi pegangan utama kita dalam negara ini," sambung beliau lagi.
  • Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada lawatan beliau di pejabat akhbar Sin Chew Jit Poh sebelum ini meminta agar semua pihak perlu memberi platform untuk PAS memberi penerangan jelas tentang hudud.
  • Katanya, pelbagai andaian dan tanggapan ini timbul apabila ada pihak yang tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai hudud khususnya kaum Cina.‎
  • "Perlu ada platform khusus untuk kita (PAS) memberi penjelasan tentang hudud yang sebenarnya. Selagi tidak ada platform ini menyebab apa sebenarnya dan cara pelaksanaan hudud itu tidak diterangkan dan disampaikan khususnya masyarakat Cina dalam negara ini," kata beliau.
  • Dalam pada itu, Mahfuz turut menolak tidak pernah ada perselisihan faham PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
  • Katanya, setiap apa yang berlaku itu sebenarnya menguatkan jalinan kerjasama dalam mendapat sokongan rakyat.‎
  • DAP pada Konvensyen Nasional di Subang Jaya semalam memberi amaran kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya bertegas untuk tidak melaksanakan hukum hudud di negara ini jika gabungan parti pembangkang ingin merampas pentadbiran di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
  • Setiausana Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan kepimpinan Pakatan Rakyat agar menyatakan pendirian tegas dalam hal tersebut bagi memenuhi aspirasi pengundi khususnya dari Sabah dan Sarawak.
  • Pendirian DAP itu juga diperkukuhkan melalui satu resolusi menolak pelaksanaan hukum hudud sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan yang diluluskan sebulat suara oleh 938 perwakilan semasa Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Petaling Jaya.
  • Guan Eng berkata, penolakan hukum hudud perlu dimuktamadkan kerana itu adalah aspirasi pengundi dalam memberi sokongan kepada pembangkang untuk merampas Putrajaya.
  • “Untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14, kita mesti ada pendirian tegas, kedudukan jelas bahawa pakatan pembangkang yang memerintah di Putrajaya tidak akan melaksanakan undang-undang hudud.
  • “Itu mesti jelas sama sekali, kerana itulah aspirasi pengundi-pengundi sederhana bukan pengundi ekstrem,” katanya ketika ucapan perasmian di persidangan itu.
  • Yang turut hadir, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali. Bagaimanapun, Pas hanya diwakili Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Hatta Ramli.
  • Ketiadaan pemimpin kanan Pas dalam persidangan itu menimbulkan persoalan tentang hubungan kedua-dua parti yang semakin tegang dan telah berlarutan sejak enam bulan lalu berikutan krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor.
  • Baru-baru ini, pemimpin kedua-dua parti turut bertikam lidah apabila Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meluluskan resolusi bagi mendesak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang.
  • Sementara itu, dalam ucapannya, Guan Eng turut menyatakan kesetiaan DAP menunggu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan dengan hukuman penjara akibat kesalahan liwat.
  • “Di sini saya ingin memberi jaminan kepada Kak Wan (Wan Azizah), sekiranya Anwar masuk penjara, jangan bimbang kita akan tunggu sampai beliau keluar penjara,” katanya.
  • Sebelum ini, DAP telah menyatakan pendirian untuk menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum.
  • Selain Guan Eng, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dalam ucapannya turut mempersoalkan beberapa pihak yang cuba memperkenalkan undang-undang bersifat keagamaan di negara ini.
  • Beliau yang tidak menjelaskan perkara itu secara khusus berkata, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, justeru sebarang dasar yang cuba mencabulinya tidak boleh dibiarkan.
  • Dalam pada itu, perwakilan dari Perak, Wong Kah Woh semasa perbahasan meminta mana-mana pemimpin pakatan pembangkang yang tidak bersetuju dengan keputusan dibuat gabungan itu supaya segera berundur.
  • “Ini penting, pemimpin daripada parti yang ingkar untuk ikut keputusan tersebut atau mahu vetokan keputusan, beliau tidak layak jadi pemimpin dan harus undur diri,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana parti.


Mustapha Maarof kembali ke rahmatullah

  • Hero legenda filem Melayu era Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris, Datuk Mustapha Maarof meninggal dunia pada Isnin di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.
  • Allahyarham yang berusia 79 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.40 pagi akibat komplikasi masalah paru-paru.
  • Jenazah akan disempurnakan di Masjid Bandar Baru Sentul sekitar pukul 10.30 pagi dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang bersebelahan pusara isterinya, Roseyatimah.
  • Allahyarham sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan.
  • Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL)  pada 25 November lalu kerana mengalami kesukaran bernafas sebelum dipindahkan menjalani rawatan di Wangsa Maju.
  • Dilahirkan pada 1 Januari 1935, hero legenda ini cukup terkenal dengan lakonannya sebagai tunggak utama di dalam filem Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Naga Tasik Chini, Detik 12 Malam, Keris Sempena Riau, Sumpah Pontianak dan banyak lagi.
  • Allahyarham menjejakkan kaki ke Cathay Keris Film di Singapura sekitar tahun 1955 dan kerjaya seninya bermula dengan filem Pendekar Bujang Lapok.
  • Mustapha mula mencipta nama melalui filem Hang Tuah dan merupakan antara pelakon lelaki  kacak yang menjadi pujaan ramai ketika itu.
  • Antara yang terbaru, seniman lagenda ini telah membintangi filem 1957 Hati Malaya (2007) dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang pada tahun (2009).
  • Berasal dari di Kuala Lumpur, Allahyarham Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azahari Maarof pernah menerima Anugerah Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-10 dan Anugerah Tokoh Perfileman Finas 2010.
  • Isterinya, Allahyarham Roseyatimah telah terlebih dahulu pulang ke rahmatullah pada 14 Disember 1987. Seniman negara ini meninggalkan tiga anak, menantu dan tujuh cucu.

Thursday, 11 December 2014

NGO sesat cabar fatwa Selangor di mahkamah sivil

  • Wartawan dan editor bukan Islam di media pro pembangkang `tergedik-gedik' bangga untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa Sisters In Islam (SIS) yang disahkan NGO sesat boleh mencabar fatwa Selangor di Mahkamah Sivil.
  • Pada masa yang sama NGO itu juga gembira kerana mahkamah membenarkan semakan kehakiman dibuat terhadap fatwa Selangor yang mengiystihar SIS tersesat lagi menyesatkan.
  • Kegembiraan sebegitu mengesahkan kedegilan SIS untuk bersemuka dengan mufti Selangor atau Jawatankuasa Fatwa Selangor sebelum pekara itu dibawa ke mahkamah sivil, wal hal ruang dan peluang terbentang luas.
  • Demi perpaduan ummah wakil PAS berkunjung dan bertemu mufti untuk mendapatkan penjelasan mengenai SIS, tetapi akhirnya mengakui bahawa SIS tidak menggunakan peluang untuk berdepan dengan jawatankuasa fatwa atau mufti Selangor.
  • Jika SIS datang ke pejabat mufti untuk meminta penjelasan, pihak yang terlibat termasuk beberapa ulama bertauliah pasti memberi tarbiyah kepada NGO itu sebaik mungkin dan akan memujuk SIS supaya kembali ke pangkal jalan.
  • Malangnya SIS semakin `buta hati’ dan kedegilan itu sudah diduga akan mengheret ke mahkamah sivil kerana NGO sesat itu mahu mempertahankan diri tanpa dikekang peraturan dan perundangan syariah.
  • Dengan angkuh SIS mendakwa pihak tidak dijemput bagi mendengar penjelasan berkaitan fatwa itu, lantas memilih jalan untuk `bertarung’ dengan jawatankuasa fatwa Selangor di mahkamah sivil, bukannya mahkamh syariah.
  • Apa ertinya penubuhan sebuah pertubuhan Islam (merujuk kepada SIS) jika ia tidak mahu diadili oleh mahkamah syariah. Jika mereka tidak percaya keadilan mahkamah syariah Selangor atau Malaysia, mereka tetap menerima hukuman yang sama (diistiyhar sesat) jika diadili di mahkamah syariah negara lain yang berpegang kepada Sunnah wal jamaah.
  • Oleh kerana SIS tidak percaya kepada sistem perundangan syariah, mereka memfailkan affidavit untuk membuat semakan kehakiman di mahkamah sivil.  
  • Ternyata Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan SIS mencabar Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri.
  • Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad, ketika membenarkan semakan kehakiman berkata, permohonan itu tidak serius dan menolak bantahan Pejabat Peguam Negara untuk megenepikan permohonan SIS.
  • Sebelum itu, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mengemukakan terbitan fatwa melibatkan titah sultan yang menjamin hak pemerintah menjalankan tugasnya.
  • Katanya, menjadi hak multak kuasa raja-raja dan itu tidak boleh dimasukkan dalam semakan kehakiman. Mengenai fatwa itu sendiri, Shamsul berhujah ia merupakan pandangan undang-undang rasmi oleh pakar perundangan Islam syariah.
  • "Disebabkan itu untuk menentukan kesahihan fatwa, ia perlu dilakukan pakar undang-undang yang unggul dan bukan melalui mahkamah sivil...tetapi mahkamah syariah," katanya ketika memohon mahkamah menolak permohonan kebenaran.
  • Manakala peguam mewakili SIS, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, mengemukakan hujah kuasa mutlak sultan hanya tertakluk kepada memperakui fatwa yang disediakan oleh statut.
  • Beliau memberitahu mahkamah, ada keputusan daripada Mahkamah Persekutuan mengatakan jika fatwa bercanggah dengan had Perlembagaan Persekutuan, fatwa itu boleh dicabar.
  • Malik mendakwa fatwa melebihi bidang kuasa negeri apabila memutuskan sebarang unsur yang membawa kepada fahaman liberalisme dan pluralisme akan disekat.
  • "Kuasa ini hanya menteri dalam negeri mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dan di bawah Perlembagaan, yang terletak di bawah bidang kuasa pusat," katanya.
  • Malik mendakwa, fatwa mengenai SIS tidak boleh dilakukan kerana ia adalah badan pertubuhan, dan bukan membawa kepada mana-mana agama.
  • Sementara itu, Pengarah Eksekutif SIS Ratna Othman ketika ditemui selepas keputusan itu gembira kerana semakan kehakiman itu memberi peluang mendengar isu fatwa yang terlalu banyak membawa kesan.
  • "Kami akan mencari asas Perlembagaan tentang bagaimana fatwa boleh melebihi bidang kuasanya daripada kawalan hal ehwal agama negeri," katanya.
  • SIS menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Mais, dan kerajaan negeri sebagai responden ketika memfailkan semakan kehakiman pada 31 Oktober lalu.
  • SIS ketika memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi cuba membatalkan perintah itu dan juga mahu diisytiharkan sebagai pertubuhan yang dijamin di bawah Akta Syarikat 1965.
  • Ketetapan Selangor pada Julai mewartakan SIS, mana-mana individu, persatuan atau institusi yang menggalakkan liberalisme dan pluralisme sebagai terpesong daripada ajaran Islam.
  • Sebarang penerbitan yang menggalakkan pemikiran liberal dan plural akan diisytiharkan sebagai melanggar undang-undang dan boleh dirampas.
  • Ketetapan itu juga mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyekat mana-mana laman web yang menyalahi ajaran Islam. Undang-undang itu digazetkan mengikut Seksyen 111 Enakmen Pentadbiran Islam (Selangor) 2003.


Wednesday, 10 December 2014

MB Selangor `kempunan' gelaran Datuk Seri

  • Ramai tertanya-tanya mengapa Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali (PKR) tidak tersenarai sebagai penerima anugerah pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri.
  • Namun hampir semua blog pro Pakatan Rakyat menganggap jika istana menganugerahkan gelaran itu kepada Azmin dan beliau menerimanya, ia akan mengeruhkan hubungan PKR dengan istana.
  • Ini kerana istana Selangor telah menarik balik gelaran Datuk Seri daripada Anwar Ibrahim kerana biadap dan derhaka kepada institusi raja.
  • Bagaimanapun, dua pemimpin exco Selangor daripada PAS, Iskandar Abdul Samad yang (Adun Cempaka) dan Dr Ahmad Yunus Hairi (Adun Sijangkang) disenaraikan sebagai penerima pingat yang membawa gelaran 'Datuk' sempena Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.
  • Dua pemimpin PAS itu memegang jawatan exco negeri selama dua penggal sejak kepimpinan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selain mempunyai jawatan tertinggi parti peringkat negeri.
  • Sebelum ini heboh di media sosial mengatakan Azmin bakal menerima gelaran 'Datuk Seri' pada hari keputeraan Sultan Selangor esok, tidak lama selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan gelaran yang sama kerana dikatakan sering mempertikaikan integriti institusi diraja.
  • Sehubungan itu, wujud desakan menggesa Azmin menolak pemberian itu kerana jika menerimanya, ia akan menjatuhkan maruah Anwar dan PKR.
  • Pada masa sama, pemerhati menjangkakan jika menolak gelaran itu, ia akan mendatangkan murka dan mengeruhkan hubungan Azmin dengan istana.
  • Selain itu, lantikan Azmin sebagai menteri besar Selangor adalah berdasarkan pilihan Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun Pakatan Rakyat (PR) mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
  • Semasa PR membentuk kerajaan di Perak pada 2008, Mohammad Nizar Jamaluddin dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, sebulan selepas mengangkat sumpah jawatan menteri besar pada 17 Mac.
  • Begitu juga dengan bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak yang menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun sama selepas PR menawan Kedah pada 2008.
  • Difahamkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditawarkan anugerah 'Datuk Seri' tetapi menolaknya atas dasar prinsip DAP yang tidak mahu membawa sebarang gelaran semasa masih lagi berkhidmat dan memegang jawatan kerajaan pusat atau negeri.
  • Dr Wan Azizah pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pagi tadi ketika diminta mengulas spekulasi itu berkata, PKR bersikap terbuka jika Azmin menerimanya kerana pemberian anugerah merupakan hak mutlak Sultan Selangor.
  • "Parti tidak protes dalam hal itu sebab itu kuasa sultan. Pada saya itu tidak akan jejas polisi dan beri kesan kepada rakyat," katanya.
  • Azmin kebelakangan ini dilihat mengelak memberi sebarang komen mengenai isu ini malah tidak mahu mengulas lanjut tentang pelucutan gelaran Anwar.
  • "Tidak mahu komen. Terima kasih," katanya setiap kali wartawan mengajukan soalan sama. Ianya menyebabkan bekas timbalan presiden PKR yang juga ahli politik veteran, Dr Syed Husin Ali dalam Twitter membidas Azmin kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu mempertahankan Anwar.
  • "Dulu bila ditanya tentang gelaran Datuk Seri ditarik balik daripda anwar, Azmin kata no comment. Sekarang, ditanya lagi, dia kata terlalu sibuk. Tak kena!" Azmin kemudian dilihat membalas Twitter Syed Husin dan berkata: "@syedhusinali kalau nak ikut selera you, semua tak kena!".
  • Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam dilaporkan berkata, seramai 27 penerima daripada 680 pencalonan saja terpilih menerima darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-69 Sultan Selangor.
  • Daripada jumlah itu, dua individu menerima darjah dan bintang kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan seorang menerima Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran 'Datuk Setia'.
  • Selain itu, 24 menerima Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), kedua-duanya membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi perempuan, katanya seperti dilaporkan Bernama.
  • Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-15 pada 23 September lalu, mengakhiri kemelut jawatan itu yang berterusan sejak Januari lalu selepas PKR mendesak Khalid meletakkan jawatan.