Thursday, 11 December 2014

NGO sesat cabar fatwa Selangor di mahkamah sivil

  • Wartawan dan editor bukan Islam di media pro pembangkang `tergedik-gedik' bangga untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa Sisters In Islam (SIS) yang disahkan NGO sesat boleh mencabar fatwa Selangor di Mahkamah Sivil.
  • Pada masa yang sama NGO itu juga gembira kerana mahkamah membenarkan semakan kehakiman dibuat terhadap fatwa Selangor yang mengiystihar SIS tersesat lagi menyesatkan.
  • Kegembiraan sebegitu mengesahkan kedegilan SIS untuk bersemuka dengan mufti Selangor atau Jawatankuasa Fatwa Selangor sebelum pekara itu dibawa ke mahkamah sivil, wal hal ruang dan peluang terbentang luas.
  • Demi perpaduan ummah wakil PAS berkunjung dan bertemu mufti untuk mendapatkan penjelasan mengenai SIS, tetapi akhirnya mengakui bahawa SIS tidak menggunakan peluang untuk berdepan dengan jawatankuasa fatwa atau mufti Selangor.
  • Jika SIS datang ke pejabat mufti untuk meminta penjelasan, pihak yang terlibat termasuk beberapa ulama bertauliah pasti memberi tarbiyah kepada NGO itu sebaik mungkin dan akan memujuk SIS supaya kembali ke pangkal jalan.
  • Malangnya SIS semakin `buta hati’ dan kedegilan itu sudah diduga akan mengheret ke mahkamah sivil kerana NGO sesat itu mahu mempertahankan diri tanpa dikekang peraturan dan perundangan syariah.
  • Dengan angkuh SIS mendakwa pihak tidak dijemput bagi mendengar penjelasan berkaitan fatwa itu, lantas memilih jalan untuk `bertarung’ dengan jawatankuasa fatwa Selangor di mahkamah sivil, bukannya mahkamh syariah.
  • Apa ertinya penubuhan sebuah pertubuhan Islam (merujuk kepada SIS) jika ia tidak mahu diadili oleh mahkamah syariah. Jika mereka tidak percaya keadilan mahkamah syariah Selangor atau Malaysia, mereka tetap menerima hukuman yang sama (diistiyhar sesat) jika diadili di mahkamah syariah negara lain yang berpegang kepada Sunnah wal jamaah.
  • Oleh kerana SIS tidak percaya kepada sistem perundangan syariah, mereka memfailkan affidavit untuk membuat semakan kehakiman di mahkamah sivil.  
  • Ternyata Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan SIS mencabar Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri.
  • Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad, ketika membenarkan semakan kehakiman berkata, permohonan itu tidak serius dan menolak bantahan Pejabat Peguam Negara untuk megenepikan permohonan SIS.
  • Sebelum itu, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mengemukakan terbitan fatwa melibatkan titah sultan yang menjamin hak pemerintah menjalankan tugasnya.
  • Katanya, menjadi hak multak kuasa raja-raja dan itu tidak boleh dimasukkan dalam semakan kehakiman. Mengenai fatwa itu sendiri, Shamsul berhujah ia merupakan pandangan undang-undang rasmi oleh pakar perundangan Islam syariah.
  • "Disebabkan itu untuk menentukan kesahihan fatwa, ia perlu dilakukan pakar undang-undang yang unggul dan bukan melalui mahkamah sivil...tetapi mahkamah syariah," katanya ketika memohon mahkamah menolak permohonan kebenaran.
  • Manakala peguam mewakili SIS, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, mengemukakan hujah kuasa mutlak sultan hanya tertakluk kepada memperakui fatwa yang disediakan oleh statut.
  • Beliau memberitahu mahkamah, ada keputusan daripada Mahkamah Persekutuan mengatakan jika fatwa bercanggah dengan had Perlembagaan Persekutuan, fatwa itu boleh dicabar.
  • Malik mendakwa fatwa melebihi bidang kuasa negeri apabila memutuskan sebarang unsur yang membawa kepada fahaman liberalisme dan pluralisme akan disekat.
  • "Kuasa ini hanya menteri dalam negeri mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dan di bawah Perlembagaan, yang terletak di bawah bidang kuasa pusat," katanya.
  • Malik mendakwa, fatwa mengenai SIS tidak boleh dilakukan kerana ia adalah badan pertubuhan, dan bukan membawa kepada mana-mana agama.
  • Sementara itu, Pengarah Eksekutif SIS Ratna Othman ketika ditemui selepas keputusan itu gembira kerana semakan kehakiman itu memberi peluang mendengar isu fatwa yang terlalu banyak membawa kesan.
  • "Kami akan mencari asas Perlembagaan tentang bagaimana fatwa boleh melebihi bidang kuasanya daripada kawalan hal ehwal agama negeri," katanya.
  • SIS menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Mais, dan kerajaan negeri sebagai responden ketika memfailkan semakan kehakiman pada 31 Oktober lalu.
  • SIS ketika memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi cuba membatalkan perintah itu dan juga mahu diisytiharkan sebagai pertubuhan yang dijamin di bawah Akta Syarikat 1965.
  • Ketetapan Selangor pada Julai mewartakan SIS, mana-mana individu, persatuan atau institusi yang menggalakkan liberalisme dan pluralisme sebagai terpesong daripada ajaran Islam.
  • Sebarang penerbitan yang menggalakkan pemikiran liberal dan plural akan diisytiharkan sebagai melanggar undang-undang dan boleh dirampas.
  • Ketetapan itu juga mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyekat mana-mana laman web yang menyalahi ajaran Islam. Undang-undang itu digazetkan mengikut Seksyen 111 Enakmen Pentadbiran Islam (Selangor) 2003.


Wednesday, 10 December 2014

MB Selangor `kempunan' gelaran Datuk Seri

  • Ramai tertanya-tanya mengapa Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali (PKR) tidak tersenarai sebagai penerima anugerah pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri.
  • Namun hampir semua blog pro Pakatan Rakyat menganggap jika istana menganugerahkan gelaran itu kepada Azmin dan beliau menerimanya, ia akan mengeruhkan hubungan PKR dengan istana.
  • Ini kerana istana Selangor telah menarik balik gelaran Datuk Seri daripada Anwar Ibrahim kerana biadap dan derhaka kepada institusi raja.
  • Bagaimanapun, dua pemimpin exco Selangor daripada PAS, Iskandar Abdul Samad yang (Adun Cempaka) dan Dr Ahmad Yunus Hairi (Adun Sijangkang) disenaraikan sebagai penerima pingat yang membawa gelaran 'Datuk' sempena Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.
  • Dua pemimpin PAS itu memegang jawatan exco negeri selama dua penggal sejak kepimpinan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selain mempunyai jawatan tertinggi parti peringkat negeri.
  • Sebelum ini heboh di media sosial mengatakan Azmin bakal menerima gelaran 'Datuk Seri' pada hari keputeraan Sultan Selangor esok, tidak lama selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan gelaran yang sama kerana dikatakan sering mempertikaikan integriti institusi diraja.
  • Sehubungan itu, wujud desakan menggesa Azmin menolak pemberian itu kerana jika menerimanya, ia akan menjatuhkan maruah Anwar dan PKR.
  • Pada masa sama, pemerhati menjangkakan jika menolak gelaran itu, ia akan mendatangkan murka dan mengeruhkan hubungan Azmin dengan istana.
  • Selain itu, lantikan Azmin sebagai menteri besar Selangor adalah berdasarkan pilihan Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun Pakatan Rakyat (PR) mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
  • Semasa PR membentuk kerajaan di Perak pada 2008, Mohammad Nizar Jamaluddin dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, sebulan selepas mengangkat sumpah jawatan menteri besar pada 17 Mac.
  • Begitu juga dengan bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak yang menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun sama selepas PR menawan Kedah pada 2008.
  • Difahamkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditawarkan anugerah 'Datuk Seri' tetapi menolaknya atas dasar prinsip DAP yang tidak mahu membawa sebarang gelaran semasa masih lagi berkhidmat dan memegang jawatan kerajaan pusat atau negeri.
  • Dr Wan Azizah pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pagi tadi ketika diminta mengulas spekulasi itu berkata, PKR bersikap terbuka jika Azmin menerimanya kerana pemberian anugerah merupakan hak mutlak Sultan Selangor.
  • "Parti tidak protes dalam hal itu sebab itu kuasa sultan. Pada saya itu tidak akan jejas polisi dan beri kesan kepada rakyat," katanya.
  • Azmin kebelakangan ini dilihat mengelak memberi sebarang komen mengenai isu ini malah tidak mahu mengulas lanjut tentang pelucutan gelaran Anwar.
  • "Tidak mahu komen. Terima kasih," katanya setiap kali wartawan mengajukan soalan sama. Ianya menyebabkan bekas timbalan presiden PKR yang juga ahli politik veteran, Dr Syed Husin Ali dalam Twitter membidas Azmin kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu mempertahankan Anwar.
  • "Dulu bila ditanya tentang gelaran Datuk Seri ditarik balik daripda anwar, Azmin kata no comment. Sekarang, ditanya lagi, dia kata terlalu sibuk. Tak kena!" Azmin kemudian dilihat membalas Twitter Syed Husin dan berkata: "@syedhusinali kalau nak ikut selera you, semua tak kena!".
  • Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam dilaporkan berkata, seramai 27 penerima daripada 680 pencalonan saja terpilih menerima darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-69 Sultan Selangor.
  • Daripada jumlah itu, dua individu menerima darjah dan bintang kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan seorang menerima Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran 'Datuk Setia'.
  • Selain itu, 24 menerima Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), kedua-duanya membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi perempuan, katanya seperti dilaporkan Bernama.
  • Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-15 pada 23 September lalu, mengakhiri kemelut jawatan itu yang berterusan sejak Januari lalu selepas PKR mendesak Khalid meletakkan jawatan. 


PAS bertemu mufti Selangor soal SIS

  • Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS) menulis: Sikap saya dalam menangani fatwa pengharaman Sisters In Islam Forum Malaysia (SIS) telah menimbulkan kontroversi yang tidak menemui titik noktahnya. Saya dan  Ahli Parlimen Shah Alam serta Sepang terpaksa menongkah arus bukan sahaja dalam lingkungan parti kami (PAS) tetapi juga kepada persepsi sebahagian masyarakat Islam yang menganggap kami mencabar keputusan Majlis Fatwa Selangor yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Selangor.
  • Saya telah menjelaskan sikap saya yang secara ringkasnya bukan mencabar fatwa tetapi cuba memohon penjelasan bagaimana proses fatwa dikenakan atas sesebuah organisasi atau individu dalam mencari ruang pihak yang tertuduh mendapat pembelaan, dan dalam konteks SIS Forum ia soal pemikiran yang menuntut muzakarah sehingga terbukti kesesatannya.
  • Semasa kenyataan kami daripada beberapa Ahli Parlimen PAS mendapat perhatian media, Juham atau Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia rupanya mempunyai pendirian yang sama dengan kami dan mereka turut berminat untuk mendapat penjelasan.
  • Saya juga dimaklumkan bahawa Presiden Abim iaitu Saudara Amidi Abdul Manan dan rombongannya telah bertemu dengan Tuan Mufti juga dalam tujuan yang sama. Kesemua mereka melahirkan kebimbangan tentang fatwa sesat yang digazetkan yang boleh membwa SIS Forum sebagai pertubuhan sesat dan haram.
  • Walaupun mereka sama sekali tidak bersetuju dalam pandangan SIS namun melabelkan dan memperkuatkuasakan fatwa ia sesat adalah satu tahap yang jauh daripada jangkauan kami.
  • Saya menelefon Presiden Abim yang kebetulan adalah kenalan saya untuk mendapat persefahaman adakah kebimbangan kami berasas. Dalam perbualan telefon yang panjang akhirnya kami bersetuju bahawa ia soal memohon penjelasan proses fatwa dan mencari nilai keadilan supaya institusi mulia tidak dituduh sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa.
  • Juham melalui Abang Kerdee Abang Masagus selaku setiausahanya juga berpendapat sedemikian. Oleh kerana Abim telahpun menemui Tuan Mufti maka saya menumpang sahaja temujanji Juham yang telahpun mendapat tarikh pertemuan dengan Pejabat Mufti Selangor.
  • Antara persoalan yang diajukan kepada saya ialah kenapa saya bertemu dengan SIS dulu dan tidak dengan Mufti Selangor terlebih dahulu. Malah dalam salah satu sesi perbahasan di sidang Parlimen tempoh hari Ahli Parlimen Tanjung Karang telah ambil kesempatan untuk menghentam saya dan dua sahabat saya lagi kerana gagal berjumpa dengan Tuan Mufti tetapi sebaliknya terus membela SIS.
  • Saya dengan segera memberi respon dengan mencelah dan menjelaskan bahawa saya akan bertemu dalam waktu yang terdekat dan Alhamdulillah pada minggu terakhir persidangan Parlimen iaitu pada 24 November hajat saya 'menumpang' temujanji Juham bertemu dengan Tuan Mufti tercapai.
  • Soal sama ada kenapa saya bertemu dengan SIS dulu dan tidak Tuan Mufti adalah umpama perbalahan 'telur ayam' iaitu sama ada ayam atau telur keluar dahulu atau sebaliknya. Kini semua itu terjawab dalam pertemuan yang cuba menyempurnakan sebahagian dari proses cuba bertemu dengan pihak yang berkepentingan dalam kes ini.
  • Kami disambut mesra oleh kakitangan Pejabat Mufti Selangor dan ditunjuk terus ke bilik pertemuan. Rombongan kami agak ramai terdiri dari tujuh atau enam peguam dari Juham dan lima atau enam orang daripada kepimpinan Dewan Pemuda PAS Selangor.
  • Selain Tuan Mufti, kami juga disambut oleh Setiausaha Pejabat Mufti dan beberapa anggota Majlis Fatwa Selangor serta beberapa pegawai penyelidik Majlis Fatwa Selangor. Setelah ucapan alu-aluan dibuat oleh Tuan Mufti, kami memulakan muzakarah dengan beberapa persoalan untuk dibincangkan bersama.
  • Saya menjelaskan bahawa bukan niat saya untuk mempertikaikan fatwa, cumanya saya sebagai ahli penggubal undang-undang di peringkat persekutuan amat prihatin kepada proses apatah lagi fatwa yang membawa kepada penguatkuasaan 'sesat' sesebuah organisasi atau individu.
  • Asas pemfatwaan ialah liberalisma dan pluralisma memerlukan perincian dan penjelasan dari pengamalnya sebelum membuat apa-apa rumusan. Saya memetik surah al-Maidah ayat 8 bagi mengukuhkan pengertian proses keadilan. Saudara Abdullah Karim dari Juham turut menegaskan perkara yang sama.
  • Tuan Mufti menjelaskan proses yang mereka jalankan dan menegaskan pertemuan pada 2012 dengan SIS sudah cukup untuk mereka merumuskan fatwa sesat terhadap SIS. Saya mencelah adakah beberapa asas yang dikatakan SIS sesat telah mendapat penjelasan dan penelitian dari 'tuan tubuh' supaya ia bukan rumusan sendiri tetapi hasil daripada perbincangan mendalam.
  • Tuan Mufti menjelaskan bahawa pertemuan 2012 di Pejabat Mufti Selangor tersebut tidak bertujuan untuk 'bergaduh' dan hanya mendengar sahaja dari pihak SIS. Saya terus menyoalkan bahawa jika pertemuan itu satu muzakarah maka ia perlu suasana 'bergaduh' supaya dapat dipastikan dengan penuh keyakinan rumusan yang dibuat kerana tanpa suasana itu (berhujah) bagaimana kita dapat membuat sesuatu keputusan dengan adil dan saksama.
  • Antara yang turut memberi penjelasan ialah Pengerusi Bahagian Akidah Majlis Fatwa Selangor yang berkeyakinan bahawa SIS Forum tidak syak lagi sesat atas beberapa asas, antaranya ialah mengatakan lelaki wanita adalah sama, menafikan bahagian lelaki dalam faraid (pembahagian harta), mendahulukan akal daripada wahyu dan beberapa isu lain yang melayakkan mereka difatwakan sesat. 
  • Tuan Mufti juga menafikan bahawa fatwa tidak dibuat secara terburu-buru, malah mereka mengambil masa lama untuk mendapat maklumat melalui dokumen, kenyataan-kenyataan dan seminar yang dianjurkan.
  • Saya juga menjelaskan bahawa semua yang dikatakan ke atas SIS itu masih belum dibentangkan kepada SIS untuk memberi penjelasan dan untuk dipertahankan oleh SIS adakah mereka mengimani semua perkara tersebut sebelum sesuatu keputusan dibuat.
  • Adakah hanya mendapat maklumat daripada sumber sekunder seperti dokumen tanpa bersemuka melengkapkan proses pembuatan fatwa supaya keadilan dapat dilaksanakan? Saya juga menyebut bahawa terdapat kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah terhadap institusi fatwa di Malaysia bahawa bukan semua orang menolak fatwa kerana tidak menghormati fatwa tetapi cara dan penjelasan tentang proses pembuatan fatwa dibuat yang menjadi pertikaian.
  • Tuan Mufti menegaskan bahawa SIS terlalu keras dalam pendiriannya dan tidak mungkin mengubahnya, dan pada saat ini Abdullah Karim seorang peguam menegaskan bahawa soal memberi keadilan dan pertahankan diri bukan sahaja untuk yang dituduh tetapi juga menggambarkan kepada persepsi awam bahawa proses keadilan berjalan apatah lagi tanggapan kepada institusi terhormat seperti Majlis Fatwa.
  • Perbincangan kami berjalan lebih daripada masa yang dijangkakan kerana perbincangan turut menjangkau tentang persoalan konflik perundangan kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dengan mengambil kes keputusan Mahkamah Sivil yang berpihak kepada tiga transgender yang mempertikaikan Enakmen 66 Agama Islam Negeri Sembilan yang dikenakan ke atas mereka.
  • Pihak Juham memberikan komitmen untuk mempertahankan hak Mahkamah Syariah kerana kes awalan ini tidak akan membantu memperkukuhkan Mahkamah Syariah malah ia boleh mengheret konflik perundangan yang sensitif sifatnya.
  • Saya turut mencadangkan supaya perbahasan lebih terperinci dibuat dalam melihat kes masa depan yang berpotensi untuk berlaku dan diselesaikan dalam rangka mengiktiraf kewibawaan Mahkamah Syariah yang terpaksa berkongsi secara selari kuasanya dengan Mahkamah Sivil dengan beberapa keterbatasan. Saya dan rakan Ahli Parlimen PAS yang lain bersedia untuk mencapai rumusan yang objektif dalam hal ini.
  • Masa tidak mengizinkan untuk kami meneruskan perbincangan dan kami kemudian menikmati hidangan petang yang disediakan sambil terus bermesra dengan pihak tuan rumah. Namun pertemuan singkat itu memabwa kita kepada pelbagai persoalan yang asasnya ialah untuk memperakui beberapa perkara.
  • Pertama - Proses pemfatwaan tidak menuntut sesuatu keputusan itu dirunding atau dimuzakarahkan dengan yang terlibat. Saya tidak menyalahkan pihak Majlis Fatwa dalam hal ini kerana mereka hanya berpegang kepada proses yang saya fahami daripada penjelasan yang dberikan bahawa tidak sesuatu fatwa yang dikeluarkan tidak memerlukan muzakarah ke atas yang dituduh.
  • Kedua - Fatwa ada keterbatasannya dan banyak mengambil kira faktor-faktor lain. Berkemungkinan besar fatwa yang digazet atau dikuatkuasakan tidak disenangi oleh pihak yang lebih berkuasa.
  • Ketiga - Majlis Fatwa tidak perlu bertemu dengan SIS kecuali SIS bertaubat dan ingin mempelajari jalan pulang serta mengakui bahawa mereka sesat. Ketika itu pihak Mufti dan Majlis Fatwa bersedia membimbing mereka ke jalan yang benar.
  • Keempat - Mahkamah Syariah berada pada tahap cabaran yang tinggi apabila keputusan Mahkamah Syariah boleh dipersoalkan dalam konteks kebebasan yang yang diberikan haknya dalam Perlembagaan Persekutuan.
  • Rumusan pertemuan saya dengan Dato' Seri Mufti Selangor dan Majlis Fatwa menuntut beberapa persoalan termasuk persepsi pentadbiran dan pengurusan Islam dalam negara ini.
  • Tanggungjawab pihak pentadbir hal ehwal agama Islam dilihat daripada sudut harapan Islam dilihat mulia dan bermaruah semakin besar untuk memenuhi harapan umat Islam di Malaysia.
  • Atas harapan besar ini, pihak pentadbir hal ehwal agama Islam perlu mempunyai jiwa besar dan memenuhi prinsip RAHMAT DALAM KEADILAN dan bagaimana ia menyerlahkan dirinya dalam konteks kerangka negara yang ada hari ini.
  • Hanya dengan cara ini Islam dilihat mengisi ruang negara yang ada hari ini dan jalannya tidak mudah, sukar dan berliku. – Harakahdaily


Ikhlaskah ucapan terimakasih Fahmi pada UM?

  • FAHMI Zainol pernah mencabar Universiti Malaya (UM) “..kalau berani pecatlah saya” tapi selepas dijatuhi hukuman yang jauh lebih ringan, dia menuduh universiti itu tidak bersimpati terhadapnya.
  • Selepas digantung pengajian dua semester dan denda RM600 oleh Universiti Malaya (UM), pemuda itu menyatakan rasa terkilan dan bertanya sama ada pihak universiti tidak mempunyai rasa simpati dan empati terhadapnya.
  • Malahan beliau berjanji, sekembalinya nanti beliau akan `bersilat' lagi di dalam UM walaupun tidak menyebutkan secara terus terang mahu meneruskan perjuangan Anwar Ibrahim dan parti sekongkolnya di universiti itu.
  • Menulis di akaun Facebooknya, bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) itu berkata, semangatnya bagaimanapun tidak luntur dan malah berterimakasih kerana diberikan ruang berjuang lebih lama sebagai seorang mahasiswa.
  • Katanya, tindakan penggantungan serta merta ke atasnya dan rakannya Safwan Shamsuddin, yang dikenakan satu semester, dianggap seolah-olah mereka tiada rasa belas kasihan dan simpati memandangkan peperiksaan bakal berlangsung dalam masa lebih kurang 3 minggu.
  • "Pernahkah pihak Naib Canselor dan universiti, menteri sekali pun, memikirkan bagaimana perasaan ibu dan ayah saya? Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi saya bakal bergraduasi.
  • "Pernahkah mereka terfikir betapa gembiranya ibu dan ayah saya sekiranya dapat melihat anaknya memegang segulung ijazah dalam beberapa bulan sahaja lagi?" katanya.
  • Fahmi mempersoalkan hukuman itu, dan bertanya samada pentadbiran UM mengambil kira kesusahan beliau belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarganya.
  • "Pernahkah mereka terfikir? Ataupun perasaan sebagai seorang manusia dilemparkan sejauh-jauhnya demi kepentingan masing-masing," tulisnya dalam kiriman Facebook.
  • Beliau mengakui menjangkakan hukuman itu, tetapi menyoal sama ada menjadi satu kesalahan sekiranya beliau ingin memperbetulkan keadaan.
  • "Adakah saya bersalah jika bersuara? Saya bukanlah pelajar yang tercicir, saya bukanlah pelajar yang tercorot dan saya bukanlah remaja yang jauh menyimpang dari jalan yang betul. Tetapi, perbuatan saya hanya semata-mata membetulkan apa yang tidak betul," katanya.
  • Di akhir tulisannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menghukum mereka "kerana memberi ruang dan peluang untuk kami berpencak lebih lama lagi dalam dunia mahasiswa".
  • UM semalam melalui prosiding tatatertib memutuskan menggantung pengajian dan mendenda Fahmi dan Safwan kerana penglibatan dalam program "40 Tahun Dari UM ke Penjara" yang menampilkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu.
  • Pemimpin pelajar lain di dalam kumpulan dikenali UM8 itu, Abraham Au, digugurkan pertuduhan, manakala Khairul Najib Hashim diberi amaran. Empat yang lain iaitu Haw Yu Hong, Khairul Anwar, Adam Fistival Wilfrid dan Syamimi Munira Mohamed masing-masing didenda RM150 berserta amaran. Safwan yang merupakan Pengerusi Pro Mahasiswa, didenda RM300.


UM kembali zaman batu, PAS ke zaman apa?

  • Kritikan liar sudah menjadi nyawa PAS dan parti sekongkolnya. Terbaru Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar `menyalak’ tindakan Universiti Malaya (UM) menggantung pengajian Fahmi Zainol selama dua semester dan menyifatkannya bertentangan dengan budaya ilmu. 
  • Malah Mahfuz mendakwa tindakan UM itu mengembalikan sektor pendidikan tinggi negara ke zaman batu. "UM melahirkan manusia yang berjiwa takut dan kerdil," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
  • Mahfuz berkata, institusi pengajian tinggi seharusnya melahirkan masyarakat Malaysia yang berjiwa besar dan berani, bukan penakut dan memendam perasaan.
  • "Para pelajar akhirnya simpan dalam hati. Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu lakukan reformasi bagi melahirkan rakyat Malaysia berjiwa besar, berjiwa berani. UM jangan bawa balik IPTA ini seperti zaman batu," kata ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.
  • Namun Mahfuz terlupa partinya sendiri sudah kembali ke zaman batu. Demi ukwah sesiapa saja yang berselisih pendapat dan mengkritik pucuk pimpinan pasti kena dibuang. Siapakah yang pernah kena buang selain daripada tokoh kontroversi seperti Datuk Dr Mohamad Hasan Ali. Cukup ramai dan mereka ini terbilang dan gemilang.
  • Bagi insan yang dipecat, PAS sudah menyediakan sebab khusus untuk mereka antaranya duri dalam daging, musuh dalam selimut, menguruharakan parti, perosak, pembelot dan apa juga istilah yang difikirkan sesuai dipakai.
  • PAS terlupa mereka yang dipecat itu merupakan tokoh yang berani mengemukakan pendapat. Lalu apakah PAS mahu melahirkan ahli yang sentiasa takut dan kerdil di dalam parti itu? Untuk itu tuduhan Mahfuz terhadap UM sebenarnya patut ditujukan kepada parti sendiri.
  • UM tidak mungkin kembali ke zaman batu tetapi pemikiran Mahfuz dan segelintir pemimpin PAS jauh lebih kuno berbanding zaman batu. PAS pasti akan berkata pandangan Mahfuz bukan pendirian parti. Namun itulah sifat pemimpin-pemimpin zaman batu yang hidup di zaman moden. - RORO


Sebar fitnah, Nik Nazmi disaman RM10 juta

  • Gara-gara nak jadi James Bond yang kononnya mempunyai rangkaian maklumat risikan global, Nik Nazmi Nik Ahmad akhirnya berdepan dengan saman RM10 juta yang dikemukakan oleh pengurusan tertinggi FELDA.
  • Malah dengan sombongnya wakil rakyat PKR itu enggan memohon maaf kepada pengarah besar Felda yang didakwa terbabit dengan seorang lelaki penjenayah yang dikehendaki polis antarabangsa.
  • Felda mengemukakan tuntutan saman terhadap Nik Nazmi Nik Ahmad kerana mengaitkan Datuk Faizoull Ahmad dengan lelaki yang dikehendaki polis antarabangsa dalam status Facebook, 11 September lalu.
  • Felda melalui peguam Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dalam surat tuntutan bertarikh 27 November lalu meminta ketua Pemuda PKR itu membayar gantirugi RM10 juta dan memohon maaf dalam tempoh 7 hari kerana membuat kenyataan yang tidak berasas dan tidak benar.
  • "Tuduhan itu terlalu serius sehingga boleh menyebabkan anak guam kami dihina dan dibenci orang ramai dan masyarakat awam. Reputasinya mungkin tercalar sehingga bertahun-tahun," katanya.
  • Felda juga menuntut Nik Nazmi memohon maaf mengikut kenyataan yang akan didrafkannya sendiri untuk disiarkan, selain menghalangnya daripada melakukan tindakan sama pada masa akan datang.
  • Namun, exco Selangor itu dalam surat balasnya melalui firma Daim & Gamany berkata, pihaknya tidak akan meminta maaf dan tidak akan berganjak dari dakwaannya sebelum ini.
  • "Anak guam kami (Nik Nazmi) sebagai seorang ahli Dewan Undangan Negeri, dan Ketua Pemuda PKR, bertanggungjawab membangkitkan hal yang menyentuh kepentingan rakyat.
  • "Kami diarahkan menyatakan yang anak guam kami bergantung kepada pertahanan justifikasi dan komen yang adil," kata peguamnya Latheefa Koya di dalam surat itu, sambil menambah pihaknya menolak tuntutan yang dibuat dalam surat saman Felda itu.
  • Felda menuntut Nik Nazmi mengemukakan permohonan maaf dan saman RM10 juta kerana menyebabkan reputasinya tercalar teruk.
  • Nik Nazmi dalam status akaun Facebooknya bertajuk "Pengarah Besar Felda melawat kelab bola sepak bersama lelaki dikehendaki polis" mengecam tindakan Faizoull kerana berurusan dengan Rafat Rivzi, lelaki yang dikatakan dikehendaki polis antarabangsa atas tuduhan rasuah, penipuan dan jenayah perbankan di Indonesia.
  • Katanya, Faizoull yang juga pengerusi Kelab Bola Sepak Liga Super Malaysia Felda United melawat kelab bola sepak Scotland, Glasgow Rangers bersama Rafat.
  • "Mengapakah beliau perlu melibatkan Rafat, seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis dalam urusan ini? Apatah lagi melantik Rafat sebagai penasihat beliau?
  • "Adakah Faizoull tidak sedar Rafat didapati bersalah atas kesalahan penipuan yang bernilai jutaan dolar oleh Mahkamah Jakarta kerana terlibat dalam skandal kejatuhan Bank Century Indonesia?," katanya dipetik kenyataan dalam Facebook.
  • Katanya, tindakan Faizoull sangat mencurigakan dan menimbulkan persoalan, tambahan wujud spekulasi beliau ingin membeli pasukan bola sepak Glasgow Rangers.
  • Kenyataan Nik Nazmi itu kemudian dijadikan berita dalam berita portal The Rakyat Post "Why involve a wanted man? PKR Youth demand explanation" pada 12 September lalu.


Tuesday, 9 December 2014

Mimpi PAS lahirkan negara Islam bersama DAP

  • PAS mungkin dalam keadaan keliru. Apakah suatu hari nanti ia akan dipersalahkan oleh orang Melayu dan umat Islam Malaysia kerana terlalu “memberi muka” kepada desakan dan tuntutan Pakatan Rakyat hingga merugikan Islam dan Melayu?
  • Mungkinkah kini ada dalam kalangan pemimpin PAS yang berasa bahawa Dokumen Buku Jingga yang ditandatangani bersama PKR dan DAP sebenarnya  adalah antara sebab kemerosotan wibawa Melayu dan Islam?
  • Yang nyata sejak akhir-akhir ini ialah sikap dan tindakan politik DAP yang kelihatan semakin kurang toleran dengan konsep perjuangan politik PAS mahu menjadikan Malaysia negara berbilang kaum dan agama di bawah payung Islam.
  • Tidakkah ini mungkin mencetuskan dilema dalam pimpinan PAS bahawa sikap kritis Pakatan Rakyat terhadap dasar-dasar dan pendirian Umno-BN sebenarnya menyasarkan penghakisan kedudukan istimewa Islam menurut Perlembagaan Negara?
  • Atau, dengan lain perkataan apakah tidak mungkin lebih lama PAS bersekongkol dalam Pakatan Rakyat lebih cepat proses melarutkan citra Islam di Malaysia akan berlaku?
  • Sanggupkah PAS berhadapan dengan senario dikutuk oleh generasi Islam akan datang kerana menjadi talibarut gerakan yang bertanggungjawab melemahkan jatidiri umat Islam?
  • Persoalan-persoalan ini memang seharusnya diwacanakan oleh pemimpin PAS kerana trend mutakhir ini menunjukkan bahawa kesan sikap yang agak lunak dengan PKR dan DAP ini menjadikan PAS seolah-olah kelihatan lebih “liberal” atau “terlalu terbuka”.
  • Kepekaan PAS terhadap isu-isu yang lazimnya sensitif bagi umat seperti isu transgender, pakaian “jilboob” dan memegang dan membelai anjing nampaknya semakin tumpul.
  • Mungkin ada di kalangan pemimpin PAS yang menganggap isu-isu berkenaan remeh. Namun dipandang dari perspektif lain, PAS nampaknya semakin lemah imannya untuk membetulkan imej negara dan umat Islam yang diidamkannya.
  • Bukankah sejak mengambil alih pemerintahan Kelantan pada 1990 PAS sudah berusaha untuk melembagakan hukum syarak dalam undang-undang tubuh kerajaan bagi merintis jalan ke arah pemerintahan Islam?
  • Sebab itu, soal pakaian, kelakuan di khalayak termasuk dalam akitiviti sukan, hiburan, bermuamalah dan malah kuliah agama dilakukan dengan peraturan yang dibentengi dengan undang-undang di Kelantan.
  • DAP mula persoal mengenai Islam
  • Justeru apabila DAP menunjukkan sikap yang agak curiga dan bengis terhadap impian PAS membina masyarakat Islam di Malaysia, PAS dibimbangi akan terperangkap dalam bidalan “yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran”.
  • Melihat daripada strategi politik DAP khususnya, perkara asas dan gaya hidup umat Islam di negara ini nampaknya mula dipersoalkan.
  • Contoh mutakhir sekali ialah cabaran yang dilontarkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang kepada dua mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Datuk Seri Najib Razak.
  • Kit Siang mahu ketiga-tiga mereka menjelaskan bagaimana kepentingan umat Islam dan Melayu kini dikatakan terancam seperti yang sering didakwa oleh Umno dan NGO yang menyokongnya.
  • Veteran DAP itu menganggap dakwaan Melayu dan Islam terancam ini adalah satu “penipuan besar” yang boleh menjadi racun kepada usaha untuk membangunkan bangsa Malaysia yang bersatu.
  • Katanya, sebelum dan semasa Perhimpunan Agung Umno lalu, retorik dan politik menakut-nakuti, menyebarkan kebencian dan penipuan marak dengan kenyataan-kenyataan rasis, ekstremis, provokatif dan tidak berasas.
  • “Oleh itu saya cabar ketiga-tiga mereka – Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, untuk menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu, bagaimana kedudukan Melayu dan Islam boleh terancam setelah 57 tahun di bawah pimpinan kerajaan Umno,” tegasnya.
  • Diteropong dari satu sisi, sebenarnya kedudukan Islam dan Melayu di Malaysia sejak 1957 bergerak di landasan yang stabil dan rukun. Bagaimanapun kemunculan politik Pakatan Rakyat yang berhempas pulas mahu mencemar dan menjadikan jelek pencapaian Umno-BN, mulai 2008, adalah puncanya.
  • Di sinilah pendirian yang bening dan tuntas PAS perlu diketahui umum. Bersetujukah PAS dengan sergahan Kit Siang itu? Wajarkah, dalam penilaian PAS bahawa kedudukan Islam dan Melayu terancam disebabkan oleh pemerintahan Umno?
  • Tidak terfikirkah PAS bahawa ini hanya satu muslihat politik DAP dan PKR untuk melonggokkan tohmahan bahawa Umno menggunakan isu Islam dan Melayu terancam sebagai modal politik?
  • Tidakkah ada kemungkinan bahawa secara langusung atau tidak bahawa PAS yang menjadi biang kempen ini?
  • PKR, DAP mahu burukkan Umno
  • Menyedari bahawa ilusi PAS bahawa ia lebih Islami daripada Umno dan ramai juga pemimpinnya mabuk dengan ego bahawa mereka lebih faham Islam daripada Umno, PKR dan DAP menggunakan logik Kit Siang ini untuk memburukkan Umno.
  • Walhal dalam Islam nilai iman seseorang atau organisasi itu ialah pada soal penghayatan Islam dan mengamalkan tuntutan serta menjauhi larangan Islam bagi menjadi muslim sebenar.
  • Tidakkah pemimpin-pemimpin PAS berasa yang memarakkan persepsi atau realiti bahawa kedudukan Melayu-Islam kini terancam sebenarnya digalakkan oleh PAS sendiri yang didorong oleh rasa benci dan irihati terhadap Umno?
  • Bolehkah PAS nafikan bahawa sebelum ia berasa mendapat kekuatan baru untuk menumbangkan Umno dengan bekerjasama dengan PKR dan DAP, Umno telah lama menghidupkan tuntutan bernegara Islam di Malaysia dan menyemarakkan syiar Islam yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara?
  • Namun kebelakangan ini setelah merasakan nikmat berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor, PKR dan DAP menjadi semakin galak untuk mempersoalkan dan meremehkan kedudukan Islam dan Melayu di Malaysia.
  • Natijahnya, ada banyak golongan, NGO serta pergerakan Islam yang mula sangsi dan risau akan kerukunan dan masa depan Islam dan umat Islam di Malaysia. Kini Kit Siang dengan angkuhnya mahu Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib menjelaskan apakah punca “kerisauan dan rasa terancam ini”.
  • Soalnya PAS di mana? Jika bukan PAS yang menyokong dan mengabsahkan tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh pemimpin PKR dan DAP yang berpemikiran liberal yang mahu kedudukan istimewa Islam dan Melayu dikaji semula, siapa lagi?
  • Nampaknya PAS kini semakin keliru apa sebenarnya yang hendak dicapai dalam perjuangan politiknya. Jika ia mahu menjadikan Islam sebagai wahana pembangunan negara Islam di Malaysia bersama Pakatan Rakyat maka PAS perlu meneliti kemungkinan tidakkah dalam kesibukannya berpolitik PAS sebenarnya membeli saham projek meruntuhkan jatidiri Islam yang sudahpun tertegak di Malaysia? – Lokman Ramlee


Mampukah STAGG dirasuah taukeh judi, seks dan gangster?

  • PELANCARAN Pasukan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin memenuhi janji Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memerangi ketiga-tiga jenayah itu habis-habisan.
  • Melalui penubuhan pasukan itu juga, beliau sudah memberi jaminan polis akan memburu dalang atau jerung di sebalik kegiatan perjudian, maksiat dan gengsterisme tersebut.
  • Inilah yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai setelah sekian lama mereka menyaksikan dalam operasi yang dijalankan oleh polis hanya pengunjung atau pendatang asing tanpa izin (PATI) sahaja ditahan.
  • Memburu ‘jerung’ yang mendalangi ketiga-tiga kegiatan jenayah itu seharusnya menjadi salah satu matlamat utama STAGG bagi mengelakkan serbuan demi serbuan yang dilakukan oleh PDRM dianggap hanya satu sandiwara sahaja.
  • Hal ini memandangkan sehingga ke hari ini, belum ada seorang pun ‘dalang’ atau ‘taiko’ ditahan. Malah penulis difahamkan faktor utama kelompok itu tidak dapat diberkas kerana mereka menjalankan operasi menggunakan khidmat runner malah runner itu sendiri kononnya tidak mengetahui siapa yang mengupahnya.
  • Dari satu sudut, hebat sungguh sindiket kerana berjaya memperdayakan agensi penguat kuasa termasuklah PDRM sehinggakan dalang utama masih belum dapat diberkas biarpun hampir 10,000 serbuan dilakukan. Dengan adanya STAGG, adalah diharapkan ‘jerung-jerung’ itu akan dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
  • Kini PDRM tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada Cawa­ngan D7 untuk menyerbu premis-premis yang menjadi pusat perjudian haram dan maksiat. Bagaimanapun apa yang perlu dipastikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah mereka yang menganggotai STAGG haruslah benar-benar mempunyai integriti yang tinggi.
  • Tidak kira sama ada ia pegawai mahupun anggota polis, orang awam atau sesiapa sahaja, kemasukan mereka ke dalam STAGG harus diiringi dengan keyakinan bahawa mereka mempunyai integriti yang dihormati dan bukannya ibarat “pi mai pi mai tang tu jugak”.
  • Apa yang perlu difahami tubuhlah sebanyak mana pun pasukan khas bagi menghapuskan sesuatu jenayah tetapi ia tidak akan bermakna kalau mereka yang diberikan amanah tersebut tidak bersungguh-sungguh menjalankan amanah berkenaan.
  • STAGG mempunyai tanggungjawab berat untuk memenuhi impian rakyat yang mahu menyaksikan bukan hanya `bilis’ sahaja yang disumbatkan ke dalam trak-trak apabila serbuan dilakukan tetapi juga ‘jerung-jerung’ yang selama ini sering terlepas atau dilepaskan.
  • Ini memandangkan sebarang operasi pembanterasan apa juga jenayah termasuk mesin judi haram tidak akan ke mana selagi ‘jerung-jerung’ ini masih bebas. Sesuatu kegiatan haram itu bergantung kepada sumber kewangan, selagi ‘talian hayat’ ini tidak diputuskan, selagi itulah ia akan kembali beroperasi.
  • Sebab itulah, walaupun dari satu segi pujian harus diberikan atas kegigihan PDRM membanteras mesin judi haram berikutan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tetapi pada masa sama kita terpaksa mengakui tiada apa yang harus dibanggakan kalau mahu bergantung kepada statistik serbuan dan jumlah komputer yang dirampas mahupun warga asing yang ditahan.
  • Hal ini kerana akar kepada permasalahan yang memungkinkan sesuatu jenayah itu kembali beroperasi tidak dihapuskan. Oleh itu STAGG janganlah sekadar me­numpu perhatian terhadap serbuan sahaja sebaliknya mengikut jejak Pasukan Khas Taktikal Dan Risikan Narkotik (STING) yang cukup berjaya melumpuhkan sindiket dadah apabila memastikan ‘si jerung’ turut ditangkap.
  • Tetapi dalam kes mesin judi haram dan maksiat ia mungkin agak rumit apabila ‘jerung-jerung’ ini mempunyai ‘perkongsian bijak’ dengan sesetengah anggota agensi penguat kuasa bagi melindungi kegiatan mereka.
  • Bagaimanapun dengan adanya STAGG diharapkan virus rasuah yang menjadi penghalang membanteras kegiatan mesin judi haram dan maksiat akan dapat dihapuskan. Pada masa yang sama PDRM juga harus bertindak tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral tersebut.
  • Malah pengurusan PDRM perlu mempunyai keberanian untuk me­nukar atau mengambil tindakan tegas ke atas pegawai kanan pasukan itu yang dipercayai terlibat atau bersekongkol dengan sindiket.
  • Penubuhan STAGG memenuhi janji Ahmad Zahid sebelum ini bahawa pasukan itu akan menjadi barisan paling ke hadapan membanteras mesin judi haram dan maksiat serta gengsterisme.
  • Apa yang paling penting, rakyat mahu melihat berapa ramaikah ‘jerung-jerung’ yang akan berjaya dijaring oleh PDRM melalui STAGG, berapa ramai ‘taiko-taiko’ diberkas serta berapa nilai akaun mereka dibekukan. - ZULKIFLEE BAKAR


Akta Hasutan banteras pelampau internet

  • MALAYSIA sebagai sebuah negara majmuk memerlukan pendekatan agar persefahaman antara kaum dapat dipelihara, persamaan yang ada disuburkan dan perbezaan yang wujud disantuni dengan toleransi.
  • Pendekatan ini penting dipelihara bagi mengelakkan konflik dan salah faham terjadi. Perbezaan dalam agama dan budaya mempunyai sensitiviti sekiranya tidak dikendalikan secara berhemah dan bijaksana.
  • Kecenderungan ke arah ektremisme dan pelampau tetap ada dalam kalangan setiap bangsa. Ia kini ditambah dengan kebebasan menggunakan internet dan alat komunikasi dan telekomunikasi yang pelbagai untuk menaikkan sentimen perkauman dan agama tanpa pertimbangan mengenai akibat buruk yang boleh terjadi.
  • Mengambil pendekatan atas nama hak asasi manusia untuk menampilkan sikap pelampau boleh menjejas hubungan antara kaum dan agama. Kebebasan pada hakikatnya tidak mutlak. Dalam masyarakat majmuk perlu ada batas kebebasan supaya keamanan dapat dijaga dan persefahaman boleh terjadi.
  • Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kalau terjadi konflik perkauman akibat sensitiviti agama kesannya adalah parah dan membangunkan semula persefahaman tidaklah mudah.
  • Justeru pengekalan Akta Hasutan 1948 dengan pindaan adalah sesuatu yang perlu bagi Malaysia kerana terdapat banyak percubaan akhir-akhir ini oleh segelintir pihak menyalahgunakan kebebasan media elektronik dan maya untuk menyinggung dan menghina orang lain tanpa pertimbangan yang ia boleh merosakkan hubungan antara kaum dan agama.
  • Mengikut Islam faktor pencegahan dalam bentuk hukuman dilihat penting di samping faktor pendidikan. Maqasid syariah memberi asas supaya faktor agama, nyawa dan keturunan, akal dan harta wajib dipelihara supaya ianya membawa kesejahteraan dalam kehidupan bernegara.
  • Islam sebagai agama damai dan sejahtera tidak meng­izinkan pendekatan ekstrem dan melampau kerana ia mudah mencetuskan perbalahan. Risalah Islam mendidik pemeluknya supaya menampilkan watak sederhana dan bijaksana dan menghormati agama-agama lain.
  • Tanpa Akta Hasutan, seseorang individu, kumpulan malah parti politik bebas membuat tuduhan yang bersifat menghasut dan menghina sehingga menyebabkan konflik terjadi dan jika berlaku, usaha membendung menjadi terlalu payah.
  • Apabila Perdana Menteri menegaskan Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dengan pindaan, ada yang menentang terutama pembangkang. Di Malaysia, pembangkang tidak dinafikan kebebasan menyuarakan sesuatu pandangan dan kritik baik di dalam mahupun di luar Parlimen. Tabloid pembangkang seperti Roket, Suara Keadilan dan Harakah bebas melakukan kritikan dalam pelbagai isu.
  • Tetapi negara ini seperti negara lain juga mempunyai undang-undang. Fakta harus betul, analisis harus tepat. Pendekatan sensasi untuk menaikkan emosi dan sensiti­viti rakyat bukan caranya untuk mengekalkan kerukunan hubungan. Pembangkang selalunya cenderung membina persepsi buruk supaya jiwa kepembangkangan dapat dikekalkan dalam kalangan pengikutnya. Tetapi kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan memelihara persefahaman.
  • Bermain dengan isu perkauman dan sensitiviti agama ibarat bermain dengan api yang boleh membakar. Di Malaysia, ia mesti dihindarkan dengan tegas kerana bila nyalaan api terjadi, memadamkannya tidak mudah. Ia boleh memusnahkan masyarakat dan negara.
  • Peristiwa 13 Mei 1969 terlalu pahit untuk dikenang. Ia terjadi kerana ada pihak yang ghairah dengan kuasa politik melakukan penghinaan kepada pihak lain sehingga hilang kawalan dan menyebabkan ketegangan dan konflik.
  • Akta Hasutan 1948 dengan pindaan diharapkan dapat mengawal keadaan kerana Malaysia harus tegas dengan usaha adu domba yang bertujuan mewujudkan konflik kerana harga keamanan dan ke­sejahteraan adalah terlalu mahal untuk digadaikan begitu saja. – Jendela Tok Ki


Bukan mudah putuskan rantaian rasuah

  • SEPERTI sambutan hari-hari lain yang dirai secara khusus, Hari Antirasuah Antarabangsa muncul dalam kalendar kita. Kali ini tahun ke-11 Hari Antirasuah Antarabangsa disambut di kebanyakan negara. Usia sambutan hari yang bermakna ini sesuatu yang masih ‘muda’ berbanding jenayah rasuah yang telah lama berakar umbi. Selain itu, berbanding hari-hari yang lain ia tidak begitu popular.
  • Penasihat Antirasuah Rantau Asia Tenggara dan Pasifik UNODC, M. Shervin Majlessi semasa Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) baru-baru ini berkata; “Usaha meme­rangi rasuah masih baru, tetapi ia berada dalam landasan yang dinamik de­ngan pelbagai pihak sudah bersedia berkongsi pengalaman dan amalan-amalan baik. Ini termasuk Malaysia yang diiktiraf UNODC.”
  • Pada 31 Oktober 2003, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Konvensyen PBB Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC). Perhimpunan Agung juga mengiktiraf 9 Disember setiap tahun sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran menjauhi rasuah dan juga peranan konvensyen tersebut dalam memerangi dan mencegah jenayah tersebut.
  • Sambutan tahun ini bertemakan Mematahkan Rantaian Rasuah. Tema tahun lalu berbunyi Rasuah Sifar: Pembangunan 100%. Meng­halusi tema tahun ini, usaha me­merangi rasuah memerlukan sokongan semua. Jika kita bersatu, kita boleh melakukan perubahan iaitu mewujudkan persekitaran yang bebas jenayah rasuah. Bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
  • Rasuah tidak boleh diatasi hanya dengan membawa pesalah ke muka pengadilan. Sebaliknya, usaha ini memerlukan kempen jangka panjang dan menyeluruh - mendidik dari peringkat awal lagi.
  • Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang menjadi tunjang kepada perjalanan SPRM menetapkan matlamat berikut:
  • Pertama, menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbir­an sektor awam dan swasta de­ngan menubuhkan suatu badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab; dan
  • Kedua, mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran sektor awam dan swasta dan komuniti.
  • Kedua-dua objektif utama ini menggambarkan SPRM mempunyai tanggungjawab khusus untuk membawa bersama anggota masyarakat - tidak kira status sosioekonomi untuk berganding bahu memerangi rasuah. Malah, objektif itu juga menunjukkan langkah itu dimulakan dengan memberi nasihat dan didikan kepada setiap anggota masyarakat negara ini.
  • Kira-kira lima bulan selepas dilantik sebagai anggota Kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kwan mengumumkan SPRM akan membentuk pakatan antirasuah dengan sektor awam dan pelbagai pihak dalam usaha membendung rasuah dan ketirisan kewangan. Tegas beliau selaku mantan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), membanteras rasuah bukan semata-mata tanggungjawab SPRM atau kerajaan, tetapi perlu dipikul bersama semua pihak yang berkepentingan.
  • Melalui gabungan antirasuah, kerajaan berharap dapat membawa semua pihak menzahirkan komitmen menegakkan urus tadbir yang baik dan pada masa sama menghindari jenayah rasuah. Jelasnya perlu ada satu gerakan integriti di setiap peringkat jika mahu menghapuskan jenayah rasuah.
  • Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia pada 5 Oktober lalu, saya menyebut bahawa “dalam memastikan pencegahan rasuah berlaku, ia memerlukan satu tindakan dan kesepaduan daripada pelbagai pihak secara holistik. Tidak boleh secara silo dan bertindak bersendirian.”
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berpandangan bahawa sementara SPRM, yang ditubuhkan pada Januari 2009, mula memperlihatkan kejayaan dan keberkesanan dalam usaha mencegah rasuah, termasuk peningkatan kadar sabitan daripada 54 peratus pada 2009 kepada 84 peratus pada 2013, usaha melawan rasuah bukan tugas SPRM semata-mata. Dalam buku berjudul The Enhancement of Integrity and Anti-Corruption Measures, Abu Kassim menekankan bahawa rasuah harus diperangi dari semua sudut terma­suk menerusi pendekatan moral, psikologi dan rohani.
  • Memetik tulisan Datuk Ruhanie Ahmad; “Persekitaran takutkan rasuah akan wujud jika semua rakyat di sesebuah negara komited untuk membanteras rasuah.” Me­nurut beliau, jenayah rasuah boleh dihapuskan menerusi kebangkitan masyarakat sivil yang berani bersuara dan bertindak secara berwibawa dalam soal-soal antirasuah.
  • Pejabat Program Pembangunan PBB (UNDP) antara agensi antarabangsa yang aktif dalam mengge­rakkan kempen pencegahan rasuah tahunan. Agensi ini berpandangan rasuah merupakan masalah global kerana jenayah ini wujud di negara yang kaya dan juga negara yang miskin. Ia menyumbang kepada ketidakstabilan dan kemiskinan, malah faktor penyebab sesebuah negara rapuh dan gagal diurus dengan baik.
  • Perkara sama ditekankan dengan panjang lebar oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sambutan ulang tahun kelahiran SPRM (yang sebelum 1 Januari 2009 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) pada 1 Oktober lalu.
  • Baginda menyenaraikan lebih 10 negara yang dihimpit rasuah di mana sebahagiannya adalah negara maju dan mengamalkan demokrasi. Baginda dalam titah­nya juga menggariskan peranan pelbagai pihak dalam menangani masalah rasuah dengan tegas dan efektif. Antaranya tanggungjawab setiap pemimpin menunaikan janji yang dilafazkan semasa mengangkat sumpah jawatan iaitu menghapuskan rasuah habis-habisan dan tidak mengumpul kekayaan peribadi; peranan agensi-agensi yang ditubuhkan, undang-undang dan agensi penguat kuasa serta setiap warga kerja sama ada awam atau swasta dalam memerangi rasuah. Baginda turut mengingatkan rakyat agar membuang sifat ta­mak dan haloba.
  • Titah baginda, usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek iaitu langkah punitif yang tegas dan tidak selektif dan langkah preventif untuk mengukuh­kan integriti.
  • Baginda juga menggariskan pemimpin perlu ada daya tahan daripada melakukan rasuah; hakim dan institusi penghakiman harus tegas dan adil tanpa memberi sebarang keistimewaan atau penge­cualian kepada sesiapa; insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu selanjutnya menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai jihad.
  • Dalam hal ini, kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, media dan rakyat wajar bergabung tenaga untuk meme­rangi jenayah rasuah dan bebas daripadanya.
  • Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) juga berada di barisan hadapan dalam usaha ini dengan memastikan UNCAC dipatuhi oleh negara-negara anggota penerima konvensyen itu.
  •  
  • Kempen antarabangsa tahun lalu memberi tumpuan kepada isu pokok bagaimana rasu­ah menghalang pendekatan dan strategi yang dipersetujui di pering­kat antarabangsa – rasuah melemahkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, membawa kepada pelanggaran hak asasi manusia, memesongkan pasaran, menghakis kualiti hidup dan membenarkan jenayah terancang dan ancaman lain terhadap keselamatan manusia.
  • Justeru, UNDP berharap anggota masyarakat akan bersama-sama dengan UNDP dan UNODC untuk memerangi rasuah dengan: Menyelenggara aktiviti-aktiviti yang kreatif dalam komuniti sempena sambutan 9 Disember setiap tahun; Memanfaatkan program Call to Action Matrix; Menggunakan logo Pencegahan Rasuah pada penerbitan dan dalam program dan acara yang diadakan; Menghantar mesej membenci rasuah kepada rangkaian kenalan mengenai kempen UNDP ini dan; Tweeting tentang Hari Antirasuah Antarabangsa bagi membolehkan dunia tahu apa yang anda lakukan untuk mengatasi jenayah rasuah.
  • Strategi yang diusahakan oleh UNDP dan UNODC adalah sebahagian usaha yang diambil untuk menawan hati masyarakat pelbagai peringkat dan menjana sokongan ke arah misi menghapuskan rasuah.
  • Justeru, apa yang anda boleh lakukan? Ataupun apa yang kita boleh lakukan? Menjawab soalan ini orang sering berfikir bahawa ra­suah “hanya satu cara hidup” tetapi setiap masyarakat, sektor dan individu akan mendapat manfaat daripada mengatakan “Tidak” kepada jenayah ini.
  • Rasuah bukan isu di negara-negara membangun sahaja. Sebalik­nya ia memberi kesan kepada setiap anggota masyarakat tanpa mengira status sosioekonomi. Justeru, siapa yang patut diamanahkan untuk melawan ‘malapetaka’ ini?
  • Pertubuhan Sedunia Ahli-ahli Parlimen Bagi Menentang Rasuah menekankan bahawa perjuangan menentang rasuah tidak terhad kepada kerajaan sebaliknya, harus melibatkan semua lapisan masyarakat.
  • Dalam nada sama, isu-isu antirasuah tidak harus menjadi hak prerogatif sebahagian kecil birokrat dan ahli politik. Sebaliknya patut menjadi renungan kritikal masyarakat. Penyertaan pihak berkepentingan terutama Parlimen, akan menyumbang secara positif kepada prestasi serta meningkatkan kredibiliti kepada masyarakat umum.
  • SPRM yang dianggotai lebih 2,000 tenaga kerja mengambil pelbagai langkah dan usaha selaras dengan visi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas rasuah dan menjadikan agensi ini bertaraf dunia.
  • Tahun ini, buat julung kali SPRM mengadakan Hari Terbuka di ibu negara. Selain itu, pejabat-pejabat negeri juga menganjurkan program masing-masing sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa.
  • Dalam satu tinjauan kendalian SPRM menerusi portal rasminya mendapati 96 peratus responden menunjukkan kesediaan menjadi sukarelawan pencegahan rasuah jika diberi peluang.
  • Sekiranya slogan ‘Anda Boleh Melakukan Perubahan’ menjadi amalan setiap rakyat, sudah pasti kita boleh menghapuskan sebahagian besar kes rasuah. Ini boleh menjadi kenyataan jika amalan tidak meminta dan tidak memberi rasuah dijadikan pegangan tegas dalam kehidupan.
  • Memandangkan rasuah adalah barah bagi segala kerosakan, tugas memeranginya harus dijayakan tanpa henti. Untuk itu, ia harus bermula dari dalam diri kita sendiri - menghapuskan rantai jenayah rasuah. - SPRM.


Thursday, 4 December 2014

Komplot tawan Putrajaya kian agresif

  • SEORANG pakar strategis dan think tank kepada pentadbiran kerajaan sebelum Datuk Seri Najib mendedahkan satu maklumat kepada sebuah akhbar berbahasa Melayu yang menurutnya perlu dibocorkan sebelum terlambat. Ia membabitkan soal kawasan pilihan raya. Walaupun isu ini bukan baharu atau luar biasa namun ia perlu dimaklumkan supaya nanti nasi tidak menjadi bubur.
  • Pihak pembangkang sekarang bukan macam yang dulu-dulu. Mereka sudah ada duit. Mereka ada dua negeri yang amat kaya iaitu Pulau Pinang dan Selangor. Ditambah dengan semangat mahu menakluki negara Malaysia ini pada PRU akan datang, tindak-tanduk mereka cukup istiqamah.
  • Konon ceritanya DAP dan pakatan pembangkang lain sedang menjalankan kerja-kerja sulit mereka mendaftarkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain secara agresif sekali. Mereka mengalihkan pengundi tegar mereka dari satu kawasan yang majoriti besar ke satu kawasan lain bagi membolehkan mereka menang di situ.
  • Pengundi itu tidak semestinya akan berpindah secara fizikal. Hanya alamat sahaja yang berubah. Semasa pilihan raya nanti mereka akan mengundi di kawasan alamat baharu itu. Misalnya kita ambil contoh di Parlimen Seputeh yang majoriti DAP cukup besar melebihi 50,000 undi. Kempen dilakukan secara sistematik menukar pendaftaran pengundi dari situ, contohnya ke kawasan yang BN menang terlalu kecil, termasuk di bawah 1,000 undi.
  • Menurut maklumat itu ia sedang dilakukan di mana-mana. Bagi menjaga sensitiviti maka tidak perlulah saya sebut di mana kempen-kempen penerangan dan proses itu dijalankan. Pernah dulu saya mendengar ramai pengundi dari kawasan Kedah bersempadan dengan Pulau Pinang kononnya dipindahkan ke Pulau Pinang bagi memastikan DAP terus memerintah negeri itu.
  • Mereka cukup fokus dalam strategi ini. Tidak pasti apakah parti lawan daripada pembangkang itu sedar mengenai perkara ini? Tidak pasti apakah BN sendiri pun melakukan perkara yang sama?
  • Apakah peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam hal ini? Apakah mereka sedar berlakunya lonjakan pengundi yang luar biasa dalam sesuatu kawasan. Jika berlaku apakah tindakan mereka? Ini semua ialah strategi untuk berperang. Siapa bijak dialah yang menang. Siapa lambat dialah yang kena pancung.
  • Pada masa yang sama Jabatan Pendaftaran juga perlu semak pertukaran alamat seseorang individu itu mesti dilakukan secara fizikal bagi mengelakkan berlakunya komplot menipu pada musim pilihan raya umum.
  • Mungkin sudah sampai masa bagi Jabatan Pendaftaran perlu mewajibkan seseorang yang mahu berpindah alamat menyertakan dokumen lebih lengkap termasuk gambar keluarga di kediaman baru dan siasatan perlu dilakukan mengenai status dan lokasi pemilik asal kediaman baru itu.
  • Mungkin juga ramai tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana maklumat sebegitu boleh disifatkan menganggu privasi individu. Lagi pula perpindahan ke mana sekali pun dalam Malaysia tidak menyalahi mana-mana peraturan atau perundangan negara.
  • Akhirnya keputusan pilihan raya di sesuatu kawasan tidak memberi gambar sebenar kerana ia dipengaruhi pengundi sah tetapi tidak wujud di kawasan itu. Fenomena ini bukan baru berlaku tetapi ia semakin menjadi-jadi.

Anwar ada tiga lagi gelaran Datuk Seri

  • Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kebiadapannya mempersoalkan kewibawaan institusi istana sejak penghujung 2013.
  • Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Selangor hari ini, penarikan Darjah Kebesaran Seri - Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.SA) yang dikurniakan kepada ketua umum PKR sejak 1992 itu berkuatkuasa pada 3 November.
  • "Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selepas berunding dengan Dewan Diraja Selangor memutuskan Darjah Kebesaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ditarik balik berkuatkuasa 3 November 2014, selaras dengan kuasa baginda sebagai sumber bagi segala penghormatan dan kebesaran dalam Selangor serta kuasa untuk menurunkan Darjah Kebesaran sepertimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959," kata kenyataan itu.
  • Menurut kenyataan itu, keputusan untuk membatalkan gelaran Anwar itu berikutan beliau "berulang kali mempersoalkan integriti Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan institusi Raja dalam krisis menteri besar baru-baru ini".
  • Menurut kenyataan itu, Sultan Selangor membuat keputusan itu selepas berunding dengan Majlis Diraja Selangor, selaras dengan kuasa Sultan untuk memberikan gelaran itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negeri.
  • Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya berkata tindakan dan tingkah laku penasihat PKR itu menunjukkan Anwar tidak layak lagi memegang apa-apa anugerah.
  • Walaupun ditarik oleh Selangor, Anwar mempunyai sekurang-kurangnya 3 lagi anugerah yang membawa gelaran 'Datuk Seri' yang diterimanya pada 1999.
  • Antaranya Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S.) dari Negeri Sembilan, Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) dari Pulau Pinang (membawa gelaran Datuk Seri Utama ) dan Sabah - Darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) (membawa gelaran Datuk Seri Panglima).
  • "Penarikan darjah kebesaran itu adalah berasaskan tindakan dan perlakuan beliau sejak akhir 2013 ini yang mempersoalkan kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor dan institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan menteri besar Selangor pada tahun ini dan hal berkaitan isu agama Islam di mana dimaklumi umum Sultan mempunyai kuasa eksekutif dan sebagai ketua agama seperti mana termaktub mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
  • "Tindakan dan perlakuan beliau ini adalah tidak lagi seorang yang sesuai untuk memegang darjah kebesaran ini lagi," kata kenyataan itu.
  • Kemelut menteri besar di Selangor bermula apabila PKR memulakan Langkah Kajang, yang menyaksikan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kemudiannya disusuli pilihan raya kecil dan dimenangi isteri Anwar, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
  • Susulan keputusan itu, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) bersetuju untuk menggantikan Dr Wan Azizah dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
  • PAS bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan itu sekali gus menyaksikan berlaku pergeseran antara parti komponen PR itu sehingga kini.
  • Keengganan Khalid untuk melepaskan jawatan menyaksikan beliau dipecat PKR sekali gus menjadikan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tunggal daripada blok Bebas.
  • Sultan Selangor kemudiannya berkenan melantik Adun Bukit Antarabangsa, yang juga timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar, selepas menolak pencalonan daripada DAP dan PKR yang hanya menghantar nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal menggantikan Khalid.
  • Ekoran penarikan semula gelaran itu, beberapa penganalisis politik menyifatkannya sebagai bonus kepada Anwar kerana beliau dan juak-juaknya boleh menjaja cerita di seluruh dunia bahawa dia sekali lagi menjadi mangsa politik Umno yang selama ini mempengaruhi dan mengawal institusi istana.
  • Isu simpati mungkin menjadikan dia semakin popular walaupun terpaksa meringkuk di penjara tidak lama lagi gara-gara kes meliwat. Bukan saja beliau kian popular malah PKR dan Pakatan Rakyat juga turut tumpang semangkuk.
  • Khabarnya Pakatan Rakyat mengambil kesempatan itu untuk menghasut rakyat supaya terus membenci kerajaan dan institusi istana. Lebih parah lagi puak Pakatan sudah menjaring pengaruh di Sabah dan Sarawak supaya menentang BN. 

Wednesday, 3 December 2014

Perlukah seorang lagi Natrah untuk satukan Melayu

  • Umat Islam di Malaysia hari ini perlu mengambil iktibar dalam kes rusuhan berkaitan kes gadis Belanda, Natrah pada Disember 1950 dalam memperjuang dan mempertahan kesucian Islam yang menjadi sasaran kebencian pada masa kini.
  • Penulis buku "Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata", Datin Seri Fatini Yaacob berkata, rusuhan yang berlaku di Singapura sebelum negara mencapai kemerdekaan itu bukanlah kerana gadis bernama Natrah atau Maria Hertogh semata-mata tetapi kerana maruah Islam dihina.
  • "Ramai yang sesat mengenai Natrah. Soalan paling banyak saya terima kenapa Natrah berkhawin dengan Mansor Adabi di Singapura. Apa khabar beliau sekarang? Kesimpulan saya, persoalan yang ditanya oleh kebanyakan orang kepada saya tidak penting. Apa yang penting bahawa isu Natrah adalah isu maruah orang Melayu-Islam bukan mengenai Natrah," kata Fatini.
  • Fatini berkata demikian dalam dalam 'Wacana Natrah' anjuran bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan Akedemi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
  • Dalam pembentangan bertajuk "Rusuhan Natrah: Impak Terhadap Kebangkitan dan Perpaduan Ummah di Malaysia", Fatini menegaskan, umat Islam tidak tewas dalam peristiwa berkenaan kerana mereka bangkit bersatu mempertahanlan maruah Islam.
  • "Penjajah sama sekali tidak sangka orang Islam bangkit menentang. Kini golongan liberal berusaha dengan agenda untuk melemahkan umat Islam.
  • "Kita sendiri tidak ada agenda. Ini perjuangan untuk kita semua. Perjuangan kita terhadap kumpulan liberal lebih berat dari dulu. Mereka menyelinap dalam fakulti undang-undang dan pengajian Islam. Mereka secara halus dan melunturkan kasih sayang kepada Rasullulah dan Islam," tegas Fatini.
  • Turut menjadi ahli panel pada wacana tersebut adalah Presiden Alumni Pengajian Islam UM, Prof. Madya Dr. Mohamad Azam Adli.
  • Beliau yang melakukan pembentangan bertajuk "Kedudukan Agama Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan: Refeksi Isu Natrah" bersetuju dengan kerajaan untuk mengekalkan Akta Hasutan.
  • "Akta Hasutan adalah senjata. UMNO belajar daripada kesilapan dengan memansuhkan ISA. UMNO terikut rentak dengan politik sana.
  • "Saya sokong penuh ISA. Begitu juga Akta Hasutan. Ia akta baik untuk selamatkan keadaan," kata Dr. Mohamad Azam.
  • Tegas beliau, umat Islam yang kini berpecah belah dan tidak bersatu perlu kembali merapatkan saf dan mempertahankan akidah serta maruah Islam seperti yang ditunjukan dalam kes Natrah.
  • “Melayu tidak bersatu. Mengenai kalimah Allah, ulama berpecah belah. Ada yang kata boleh dan tidak. Saya tidak faham kenapa ada ulama yang bersetuju dengan tuntutan kalimah Allah. Saya tak puas hati dengan keputusan 4 hakim menyokong dan 3 tidak. Patutnya 5:2. Kerana lima hakim terlibat adalah Islam.
  • “Di Selangor, MAIS terpaksa mengalah dan memberi semula bible terjemahan kepada orang Kristian. Ini kekalahan kepada orang Islam. Perlaksanaan undang-undang Islam juga melihatkam umat Islam bertelingkahan,” katanya.
  • Tambah beliau lagi, hudud di Brunei merupakan batu loncatan untuk pelaksanaan undang-undang Islam. UMNO dan Pas kini bersetuju untuk melaksanakan beberapa perkara. Untuk itu, katanya UMNO dan Pas mesti bersatu dalam menjaga kepentingan Islam. Perlukah kita tunggu munculnya seorang lagi korban Natrah untuk menyatukan bangsa Melayu dan umat Islam?. 


Agenda Cina memuliakan perjuangan Chin Peng

  • Parti Komunis Malaya (PKM) kini muncul semula dan secara terbuka mendedahkan identiti kepada orang ramai menerusi majlis makan malam anjuran kaum Cina pro-DAP di Dewan Orang Ramai Chai Leng Park di Perai.
  • Hanya DAP dan parti sekongkolnya saja menyifatkan PKM sebagai perajurit kemerdekaan sedangkan seluruh masyarakat Malaysia menolaknya. Betapa sedihnya pejuang menentang komunis apabila melihat masih ada generasi hari ini menyokong PKM.
  • Petualang negara seperti Lim Kit Siang pernah menempuh zaman dharurat tetapi beliau mungkin menyokong PKM. Jika tidak, beliau pasti menolak PKM dahulu dan hari ini, serta menghalang kebangkitan semula PKM.
  • Mengimbau sejarah PKM, ia ditubuhkan pada 1930 oleh Mokhtaruddin Lasso, seorang komunis Indonesia yang tidak pernah berhajat mahu membebaskan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak daripada penjajahan Inggeris dan Jepun, sebaliknya bercita-cita menjadikan Malaysia sebagai sebahagian daripada Empayar Komunis Mao Tze Tung.
  • Cita-cita pelebaran Empayar Komunis Mao Tze Tung terbatal pada tahun 1974 menerusi hubungan diplomatik dan lawatan pertama yang dibuat oleh Allahyarham Tun Abdul Razak ke negara China. Mao Tze Tung kemudiannya mengikrarkan bahawa Parti Komunis Malaya tidak lagi dilindungi oleh Parti Komunis China dan Kerajaan Malaysia bebas untuk mengambil sebarang tindakan perlu bagi melindungi Malaysia dan rakyatnya daripada kekacauan yang ditimbulkan oleh pengganas-pengganas PKM.
  • Selepas itu, PKM terumbang-ambing dan terpaksa bertindak sebagai kumpulan perompak dan penjarah setelah sumber kewangan, senjata, taktikal dan teknikal mereka diputuskan oleh Republik Rakyat China.
  • Komunis Malaya dan Kalimantan akhirnya tersepit dan terhimpit. Sebahagian besar daripada pemimpin utamanya telah melarikan diri ke China tetapi kemudian dihalau keluar dari negara itu termasuklah Chin Peng. Sebahagian yang lain pula menyerah diri kepada Kerajaan Malaysia dan Thailand. Manakala sebahagian yang lain, mengambil keputusan untuk menetap di sempadan Malaysia-Thailand.
  • Saki-baki komunis masih lagi berusaha mewujudkan persepsi bahawa mereka adalah pejuang negara. Dibantu oleh DAP dan Pakatan Rakyat, kini Kerajaan Malaysia didesak agar mengiktiraf PKM dan Chin Peng pula perlu diiktiraf sebagai pejuang negara.
  • Pada 29 November lalu, PKM dan bekas-bekas anggotanya telah mengadakan satu majlis makan malam di Dewan Orang Ramai Chai Leng Park, Perai. Majlis makan malam tersebut turut menghimpunkan bekas anggota, penyokong dan ahli keluarga bekas anggota-anggota pengganas PKM.
  • Sebanyak 24 laporan polis telah dibuat berhubung majlis makan malam tersebut. Bagaimanapun, di sebalik laporan yang dibuat, majlis makan tersebut tetap diadakan. Malah walaupun Ahli Jawatankuasa Dewan Orang Ramai Chai Leng Park cuba menafikan kewujudan majlis makan membabitkan PKM di dewan berkenaan, ia bukanlah rahsia lagi kerana seramai hampir 900 orang bekas anggota, penyokong dan ahli keluarga bekas anggota pengganas PKM muncul.
  • Menariknya, majlis makan malam tersebut berakhir dengan resolusi yang mendesak dan meminta Kerajaan Malaysia membenarkan kemasukan abu mayat Chin Peng untuk disemadikan di negara yang pernah diperanginya. Majlis makan malam itu telah dianjurkan oleh Persatuan Setiakawan Malaysia Abad Ke-21.
  • Bagi yang sering membaca pelbagai sumber tentang sejarah PKM, majlis makan malam seperti itu bukanlah taktik baru untuk mengembangkan pengaruh dan kekuatan untuk PKM sebelum mereka melakukan taktik perang gerila untuk menimbulkan ketakutan dan ancaman sekaligus tidak memberi pilihan kepada rakyat kecuali menyokong mereka.
  • PKM sepatutnya sudah lama berkubur namun disebabkan kebanyakan anggotanya pada zaman moden tidak lagi berada atau berselindung di dalam hutan serta menggalas senjata dan memerangi pasukan keselamatan Malaysia secara terbuka, mereka telah menggunakan kekuatan ekonomi yang dibina oleh kelompok mereka selain penguasaan ke atas politik untuk merealisasikan perjuangan mereka dari tahun 1930.
  • Ditambah pula dengan kebencian sebilangan Melayu kepada kerajaan yang memerintah dan akan menyokong sesiapa atau apa-apa sahaja yang akan menentang kerajaan, PKM kembali mendapatkan kekuatannya yang telah lama hilang.
  • Justeru, keputusan Polis Pulau Pinang untuk menyiasat majlis makan malam tersebut, disambut baik. Walaupun sudah terlewat dan dilihat lebih kepada retorik, tetapi yang pastinya masih ada harapan bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang mencintai keamanan untuk tidak mengambil pusing tentang Parti Komunis Malaya yang disokong kuat oleh DAP dan Pakatan Rakyat. – MyKMU.net


Di mana silap Melayu

  • UMNO telah selesai bersidang. Semua sudah pulang ke lubuk masing-masing. Tahun hadapan, insya-Allah bertemu semula.
  • Agenda akan berulang. Berulang dan berulang. Jika ada pemilihan pucuk kepemimpinan, maka suasana akan berbeza. Lebih panas, mendebarkan dan cah keting. Sekarang pun ada yang berkata bunga-bunga pemilihan sudah berputik.
  • Namun semalam saya menerima satu WhatsApp yang membuatkan saya berhenti sejenak untuk berfikir, merenung bagai Mat Jenin dan menginsafi diri sebagai Melayu. Di mana silapnya bangsa aku ini?
  • Begini bunyinya. Ia ditulis dalam bahasa Inggeris. Datang dari seorang bernama Melayu Islam, yang tidak perlulah saya siarkan namanya.
  • Katanya. UMNO telah memerintah Malaysia selama 57 tahun dan masih menangisi bagi mempertahankan (safeguard) hak keistimewaan Melayu, Melayu masih terancam, Melayu hidup di bawah kemiskinan dan lain-lain dan lain-lain.
  • Beliau bertanya: Selama 57 tahun UMNO memerintah negara ini, Islam ialah agama rasmi, apa yang telah UMNO lakukan sekiranya Malaysia dan Islam berada di bawah ancaman?
  • Beliau berkata faktanya ialah:
  1. Malaysia ada sembilan Sultan dan Raja. Mereka semua Melayu.
  2. PM dan TPM, memegang jawatan paling berkuasa di Malaysia adalah Melayu.
  3. Sejak 1974, Menteri Kewangan adalah Melayu.
  4. Selain Pulau Pinang, semua KM dan MB adalah Melayu.
  5. Majoriti Menteri Persekutuan ada­lah Melayu dan Kementerian-kementerian berpengaruh dan penting dikuasai Melayu.
  6. Daripada 222 Ahli Parlimen, le­bih daripada 50 peratus adalah Melayu.
  7. Lebih daripada 93 peratus Jabatan-jabatan Kerajaan, dari bawah ke jawatan tertinggi adalah Melayu.
  8. DEB dirangka untuk orang Melayu.
  9. Sebanyak 80 peratus kuota universiti diperuntukkan kepada Melayu.
  10. Diskaun istimewa untuk pembelian rumah dan saham-saham untuk orang Melayu.
  11. Pangkat tertinggi dalam polis dan tentera kepada orang Melayu.
  12. GLC atau syarikat-syarikat milik kerajaan dikuasai Melayu.
  • Beliau berkata, bagaimana Melayu yang menguasai sepenuhnya sedang diancam dan berkedudukan di bawah daripada kaum-kaum minoriti? Adakah ia satu strategi untuk pemerintah terus berkuasa dengan menjadikan orang lain sebagai kambing hitam? Apa sebenarnya berlaku. Adakah orang Melayu ini terlalu “bangang” sehingga mereka terus menerus perlu merayu, menagih, meminta untuk terus hidup di bumi bertuah ini.
  • Adakah kita ini semua masih menjadi bahan ujikaji sosio-politik? Di mana silapnya? Apa lagi kita mahu? – Zaini Hassan