- TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA sekali menjadi kontroversi di kalangan umat Islam berikutan kenyataannya mengenai isu bughah, halal darah. Namun kebanyakan media tidak dapat melaporkan kenyataan penuhnya, mengakibatkan berlakunya salah faham, salah tafsir, salah tamsil dan salah pengertian.
- Rentetan itu pelbagai reaksi diketengahkan dalam media sehingga ada yang mahu ke balai polis kerana bimbang dengan kenyataan Mufti Perak itu. Bagi menyelesaikan polemik agama, kenyataan penuh Tan Sri Harusani perlu disiarkan bagi mengelak salah faham yang tak berkesudahan. Berikut adalah KENYATAAN PENUH Mufti Perak berkaitan isu tersebut.
- TAN SRI HARUSSANI: Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka “Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai “bughah” iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil.
- Sementara di halaman 10 akhbar Berita Harian ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak dihalalkan golongan bughah”.
- Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu “bughah” dan demonstrasi. Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan menjadi polemik dan kecelaruan kepada masyarakat.
- Pada dasarnya, ianya adalah kenyataan daripada saya apabila ditemubual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah difokuskan hanya kepada isu demonstrasi “ Turun” sahaja. Sedangkan terdapat isu lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru “ditiadakan” sebagai bahan berita.
- Diizinkan ALLAH saya dapat menatap isu dan berita perihal demonstrasi setiap kali ianya dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia. Setiap kali penganjuran demonstrasi dilaksanakan, maka saya akan dihubungi untuk memberi ulasan terhadapnya.
- Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga Muslim.
- Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh.
- Nasihat dan peringatan. Oleh yang demikian, selagi diberi amanah saya tidak akan berputus asa untuk menegur dan mendamaikan kedua-dua kumpulan yang merupakan saudara-saudara saya. Sudah tentu ayat al Quran surah Al Hujurat ayat 9 menjadi panduan yang bermaksud:
- “…Dan jika dua puak dari orang-orang beriman berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya bersifat melampau (zalim), maka lawanlah puak yang melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika ia kembali patuh maka damaikanlah diantara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil…” .
- Sebab penurunan ayat ini dengan satu riwayat daripadanya ialah perbalahan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Ubai yang menyemarakkan perbalahan dengan mengatakan bahawa kencing himar Rasulullah ketika Baginda SAW menziarahi Sa’ad bin Ubadah telah menyakiti beliau. Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu berlaku sesama golongan ansar.( tafsir Ibn Juza)
- Saya berpandangan bahawa syarat “syaukah” yang sering dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan seperti yang terkandung dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab nihayatul Muhtaj.
- Dalam kes Abu Bakar al Siddiq memerangi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata namun ia didokong oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan munasabah mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.
- Pembentukan negara kita berasaskan sistem demokrasi berparlimen. Rakyat diberi hak untuk menentukan pemimpin yang mereka kehendaki berdasarkan sistem pilihanraya. Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut untuk mencari mekanisme yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati kerana negara ini mempunyai instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat rakyat seperti Parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun mahkamah.
- Tanpa menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dilaungkan namun, rantaian demonstrasi yang telah berlaku mencatatkan sebaliknya. Telah timbul kebimbangan kepada rakyat di sekitarnya kerana kemudaratan lebih terhasil daripada manfaat.
- Larangan memberontak. Saya menekuni hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
- “Sesungguhnya akan timbul selepas aku sifat pentingkan diri ( daripada pemimpin-pemimpin kamu) dan perkara-perkara yang kamu ingkar ”. Sahabat bertanya , “ Wahai Rasulullah! Apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab Baginda SAW “ Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan ke atas kamu dan mintalah hak kamu daripada ALLAH ”.
- Imam Al Nawawi menyatakan bahawa terdapat dorongan di dalam hadis ini untuk dengar dan taat sekalipun pemerintah adalah zalim.
- Sebagai rakyat, seseorang itu perlu memberikan hak pemimpin iaitu ketaatan dan tidak memberontak, bahkan dia perlu merendahkan diri kepada ALLAH dalam usaha menghapuskan kemudaratan pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk membaikinya. Ini bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara teguran terbaik adalah secara bersemuka. “Seafdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Daud)
- Antara adab penting yang wajib diambil kira dalam menasihati pemimpin ialah member nasihat secara sembunyi, bukan secara terang-terangan berdasarkan hadith: “Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah berkenaanh sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara terang-terangan tetapi hendaklah meminpin tangannya ke tempat yang sunyi sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah tercapai tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya orang yang memberi nasihat telahpun melaksanakan tugasnya.”(HR Imam Ahmad)
- Imam Ibnu Hajar Al Asqolani merakamkan dalam kitab Fathul Bari bahawa “ para Fuqaha telah sepakat atas kewajiban untuk mentaati pemimpin yang berkuasa dan untuk berjihad bersamanya. Ketaatan kepadanya lebih baik daripada memberontak kerana dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan darah dan memberi ketenangan kepada orang ramai ”.
- Belum pun ditinjau dari sudut istilah syara’, perkataan bagha dari sudut bahasa sudah pun membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad dan kezaliman. (Maqayis lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab).
- Laporan Berita Harian hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya tentang kesan bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal tahun.
- Jika dikatakan demonstrasi adalah cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai, maka saya fikir itu bukanlah cara yang bersesuaian kerana saya tidak rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.
- Apa yang merisaukan saya adalah sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku.
- Seperti dimaklumi, mekanisme menurunkan kerajaan secara aman telah disediakan secara terhormat dan demokratik serta telah terbukti mampu dibuat secara aman damai. Buktinya ialah terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
- Kerisauan saya ini saya zahirkan dengan mengulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan bughat ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah. Semoga tanah air kita terselamat dari golongan ini dan menyelamatkan kita semua.
- Saya menyeru semua umat Islam berhati-hati dari terjebak menjadi ‘ayam laga’ kepada pihak-pihak yang berkepentingan melalui perkakas-perkakas media dan sebagainya kerana mereka sangat irihati jika umat Islam bersatu dan bersepakat. Ingatlah pesanan dan ancaman Rasulullah SAW :
- Jika datang kepada kamu sekumpulan manusia dengan seorang pemimpin yang bertujuan untuk merobek kekuatan kamu dan memecahbelahkan Jemaah kamu maka bunuhlah ia. (Hadith Riwayat Muslim)
- Hadith ini sebagai peringatan serius Nabi SAW agar dikekalkan penyatuan ummah dan segala usaha memecahbelah umat patut ditangani secara tegas dan tuntas.
- Kesimpulannya, sekiranya berlaku percanggahan pandangan terhadap isu ini , ianya merupakan pemahaman dan penilitian saya terhadap isu dan kaitannya dengan realiti semasa di negara ini. Saya tiada niat lain kecuali mencari redha ALLAH dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.
- Mufti Kelantan pertahan Harussani
- KOTA BHARU – Kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bukan bermaksud menuduh tetapi bersifat memberi contoh dengan situasi yang berlaku di Himpunan Turun pada malam ambang tahun baharu minggu lalu.
- Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, situasi di himpunan itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkataan bughah dalam istilah fiqah namun ia boleh digunakan bagi tujuan memberi tauladan dan contoh.
- “Pada pendapat saya, ia hanya contoh, bukan menuduh, tugas kita sebagai mufti adalah untuk memberitahu tentang apa yang terkandung dalam ajaran Islam, tentang fatwa, nasihat dan penjelasan mengenai perkara-perkara yang boleh mendatangkan salah faham.
- “Kalau mereka (peserta) tidak tergolong dalam contoh yang dinyatakan, maka mereka tidak perlu marah atau terasa hati dengan kenyataan itu, kalau keluar beramai-ramai tanpa mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, itu tidak menjadi masalah, kenyataan tersebut sebenarnya dipolemikkan golongan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
- Beliau diminta mengulas tindakan beberapa pihak yang tampil membuat laporan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak tersebut.
- Menurutnya, Harussani memberikan contoh itu supaya masyarakat Islam yang menyertai himpunan itu sedar tentang apa yang dilakukan itu boleh mendatangkan pelbagai masalah.
- Beliau berkata, sebagai contohnya di negara-negara bergolak lain mengharamkan himpunan dan demonstrasi yang boleh mengakibatkan kemudaratan kerana ia akhirnya melibatkan kematian.
- “Tetapi realiti yang berlaku baru-baru ini tidak seteruk negara luar, sebagaimana dalam Fiqah, tetapi, guling dalam istilah syarak adalah dilarang, yang mana boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai.
- “Kalau tunjuk perasaan secara aman, tidak menjadi masalah, tetapi kini apa yang dapat dilihat, masyarakat kurang kefahaman dan kurang kepercayaan kepada institusi fatwa dan ulama, sehingga perkara-perkara seperti ini boleh timbul dan pelbagai pertikaian dari pihak-pihak tertentu, inilah salah satu cabaran yang perlu kita hadapi sekarang,”katanya.
Pemuda Pas buat laporan polis
- KUALA LUMPUR - Pemuda Pas menyatakan akan membuat laporan polis terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut.
- Timbalan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti itu boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan nyawa warganegara.
- Justeru katanya, Dewan Pemuda Pas di seluruh negara perlu mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap kenyataan yang dikeluarkan Harussani, sambil menggesa Mufti Perak itu menarik balik kenyataannya.
- keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.’
Nasruddin: Hukum bughah perlu penelitian
- TEMERLOH – Menghukum sesuatu kumpulan atau kelompok sebagai bughah memerlukan penelitian dan kajian terperinci kerana boleh mencalarkan imej mufti sekali gus memperlihatkan sudut kurang baik terhadap agama Islam.
- Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat Nasrudin Hassan berkata, mufti berperanan mengeluarkan fatwa merungkai kekusutan ummah dalam permasalahan agama juga bertanggungjawab membantu menyatukan ummah, mendidik dan membimbing ke arah Islam.
- “Sementara suara mufti adalah fatwa yang didengari masyarakat umat Islam, mufti selayaknya bijak dan tepat mengeluarkan fatwa tersebut. Tentu rujukannya al-Quran dan Sunnah, lampiran bukti dan maklumat lengkap dan tepat. Bukan merujuk kepada blogger atau media terbuka yang tiada wibawa dan komitmen taqwa tinggi,” katanya.
- Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, definisi bughah (penderhaka/pemberontak) pula mengikut istilah syarak ialah golongan umat Islam yang menentang dan menderhaka Ulil Amri, iaitu pemerintah atau kerajaan adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam.
- “Ustaz Dr Mustafa Dib Bugha menjelaskan, bughah merujuk sekumpulan umat Islam keluar dari ketaatan pemimpin benar dan adil, yang dipilih umat Islam. Golongan itu enggan menunaikan kewajipan yang sepatutnya, memerangi umat Islam lain disebabkan ta’wil berbeza dan mendakwa kebenaran di pihak mereka,” katanya.
- Beliau berkata, sebelum mufti berfatwa mengenai bughah, terlebih dahulu mesti ada fatwa dari mufti mengenai kedudukan sebuah kerajaan yang enggan melaksanakan syariat sebagai dasar, peraturan dan undang-undang negara.
- Katanya, mufti tidak boleh memejamkan sebelah mata kanannya terhadap kedegilan kerajaan untuk patuh pada syariat dan menjegil sebelah mata kirinya terhadap rakyat yang bangkit secara aman menolak kerajaan yang menindas.