- PAS mungkin dalam keadaan keliru. Apakah suatu hari nanti ia akan dipersalahkan oleh orang Melayu dan umat Islam Malaysia kerana terlalu “memberi muka” kepada desakan dan tuntutan Pakatan Rakyat hingga merugikan Islam dan Melayu?
- Mungkinkah kini ada dalam kalangan pemimpin PAS yang berasa bahawa Dokumen Buku Jingga yang ditandatangani bersama PKR dan DAP sebenarnya adalah antara sebab kemerosotan wibawa Melayu dan Islam?
- Yang nyata sejak akhir-akhir ini ialah sikap dan tindakan politik DAP yang kelihatan semakin kurang toleran dengan konsep perjuangan politik PAS mahu menjadikan Malaysia negara berbilang kaum dan agama di bawah payung Islam.
- Tidakkah ini mungkin mencetuskan dilema dalam pimpinan PAS bahawa sikap kritis Pakatan Rakyat terhadap dasar-dasar dan pendirian Umno-BN sebenarnya menyasarkan penghakisan kedudukan istimewa Islam menurut Perlembagaan Negara?
- Atau, dengan lain perkataan apakah tidak mungkin lebih lama PAS bersekongkol dalam Pakatan Rakyat lebih cepat proses melarutkan citra Islam di Malaysia akan berlaku?
- Sanggupkah PAS berhadapan dengan senario dikutuk oleh generasi Islam akan datang kerana menjadi talibarut gerakan yang bertanggungjawab melemahkan jatidiri umat Islam?
- Persoalan-persoalan ini memang seharusnya diwacanakan oleh pemimpin PAS kerana trend mutakhir ini menunjukkan bahawa kesan sikap yang agak lunak dengan PKR dan DAP ini menjadikan PAS seolah-olah kelihatan lebih “liberal” atau “terlalu terbuka”.
- Kepekaan PAS terhadap isu-isu yang lazimnya sensitif bagi umat seperti isu transgender, pakaian “jilboob” dan memegang dan membelai anjing nampaknya semakin tumpul.
- Mungkin ada di kalangan pemimpin PAS yang menganggap isu-isu berkenaan remeh. Namun dipandang dari perspektif lain, PAS nampaknya semakin lemah imannya untuk membetulkan imej negara dan umat Islam yang diidamkannya.
- Bukankah sejak mengambil alih pemerintahan Kelantan pada 1990 PAS sudah berusaha untuk melembagakan hukum syarak dalam undang-undang tubuh kerajaan bagi merintis jalan ke arah pemerintahan Islam?
- Sebab itu, soal pakaian, kelakuan di khalayak termasuk dalam akitiviti sukan, hiburan, bermuamalah dan malah kuliah agama dilakukan dengan peraturan yang dibentengi dengan undang-undang di Kelantan.
- DAP mula persoal mengenai Islam
- Justeru apabila DAP menunjukkan sikap yang agak curiga dan bengis terhadap impian PAS membina masyarakat Islam di Malaysia, PAS dibimbangi akan terperangkap dalam bidalan “yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran”.
- Melihat daripada strategi politik DAP khususnya, perkara asas dan gaya hidup umat Islam di negara ini nampaknya mula dipersoalkan.
- Contoh mutakhir sekali ialah cabaran yang dilontarkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang kepada dua mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Datuk Seri Najib Razak.
- Kit Siang mahu ketiga-tiga mereka menjelaskan bagaimana kepentingan umat Islam dan Melayu kini dikatakan terancam seperti yang sering didakwa oleh Umno dan NGO yang menyokongnya.
- Veteran DAP itu menganggap dakwaan Melayu dan Islam terancam ini adalah satu “penipuan besar” yang boleh menjadi racun kepada usaha untuk membangunkan bangsa Malaysia yang bersatu.
- Katanya, sebelum dan semasa Perhimpunan Agung Umno lalu, retorik dan politik menakut-nakuti, menyebarkan kebencian dan penipuan marak dengan kenyataan-kenyataan rasis, ekstremis, provokatif dan tidak berasas.
- “Oleh itu saya cabar ketiga-tiga mereka – Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, untuk menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu, bagaimana kedudukan Melayu dan Islam boleh terancam setelah 57 tahun di bawah pimpinan kerajaan Umno,” tegasnya.
- Diteropong dari satu sisi, sebenarnya kedudukan Islam dan Melayu di Malaysia sejak 1957 bergerak di landasan yang stabil dan rukun. Bagaimanapun kemunculan politik Pakatan Rakyat yang berhempas pulas mahu mencemar dan menjadikan jelek pencapaian Umno-BN, mulai 2008, adalah puncanya.
- Di sinilah pendirian yang bening dan tuntas PAS perlu diketahui umum. Bersetujukah PAS dengan sergahan Kit Siang itu? Wajarkah, dalam penilaian PAS bahawa kedudukan Islam dan Melayu terancam disebabkan oleh pemerintahan Umno?
- Tidak terfikirkah PAS bahawa ini hanya satu muslihat politik DAP dan PKR untuk melonggokkan tohmahan bahawa Umno menggunakan isu Islam dan Melayu terancam sebagai modal politik?
- Tidakkah ada kemungkinan bahawa secara langusung atau tidak bahawa PAS yang menjadi biang kempen ini?
- PKR, DAP mahu burukkan Umno
- Menyedari bahawa ilusi PAS bahawa ia lebih Islami daripada Umno dan ramai juga pemimpinnya mabuk dengan ego bahawa mereka lebih faham Islam daripada Umno, PKR dan DAP menggunakan logik Kit Siang ini untuk memburukkan Umno.
- Walhal dalam Islam nilai iman seseorang atau organisasi itu ialah pada soal penghayatan Islam dan mengamalkan tuntutan serta menjauhi larangan Islam bagi menjadi muslim sebenar.
- Tidakkah pemimpin-pemimpin PAS berasa yang memarakkan persepsi atau realiti bahawa kedudukan Melayu-Islam kini terancam sebenarnya digalakkan oleh PAS sendiri yang didorong oleh rasa benci dan irihati terhadap Umno?
- Bolehkah PAS nafikan bahawa sebelum ia berasa mendapat kekuatan baru untuk menumbangkan Umno dengan bekerjasama dengan PKR dan DAP, Umno telah lama menghidupkan tuntutan bernegara Islam di Malaysia dan menyemarakkan syiar Islam yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara?
- Namun kebelakangan ini setelah merasakan nikmat berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor, PKR dan DAP menjadi semakin galak untuk mempersoalkan dan meremehkan kedudukan Islam dan Melayu di Malaysia.
- Natijahnya, ada banyak golongan, NGO serta pergerakan Islam yang mula sangsi dan risau akan kerukunan dan masa depan Islam dan umat Islam di Malaysia. Kini Kit Siang dengan angkuhnya mahu Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib menjelaskan apakah punca “kerisauan dan rasa terancam ini”.
- Soalnya PAS di mana? Jika bukan PAS yang menyokong dan mengabsahkan tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh pemimpin PKR dan DAP yang berpemikiran liberal yang mahu kedudukan istimewa Islam dan Melayu dikaji semula, siapa lagi?
- Nampaknya PAS kini semakin keliru apa sebenarnya yang hendak dicapai dalam perjuangan politiknya. Jika ia mahu menjadikan Islam sebagai wahana pembangunan negara Islam di Malaysia bersama Pakatan Rakyat maka PAS perlu meneliti kemungkinan tidakkah dalam kesibukannya berpolitik PAS sebenarnya membeli saham projek meruntuhkan jatidiri Islam yang sudahpun tertegak di Malaysia? – Lokman Ramlee
Tuesday, 9 December 2014
Mimpi PAS lahirkan negara Islam bersama DAP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment