Tuesday, 18 February 2014

Bandar Melayu Bandar Cina bagaikan langit dan bumi

     
     
  1. UNGKAPAN "Bandar Melayu" dan "Bandar Cina" dalam situasi sosio-politik sekarang tidak bijaksana digunakan. Ada konotasi perkauman yang akan tambah merangsang suasana permusuhan.
  2. Sebaik-baik timbul berita pilihan raya kecil (PRK) Kajang, tersebarlah berapa jumlah pengundi Melayu dan berapa pengundi Cina. Maka tumpuan perhatian orang: Melayu lawan Cina. Bukan pilihan raya untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
  3. Ada pula yang mengatakan PRK ini jadi ujian sikap pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN). Mengapa tidak juga jadi ujian sikap pengundi Melayu?
  4. Dalam Utusan Malaysia 7 Februari, ada tulisan Dr. Ahmad Zaki Ismail bertajuk "Kajang kejang, tegang dan bengang". Katanya, dalam PRK Kajang nanti "semua isu dan cara akan dihalalkan walaupun bakal mengundang ketegangan antara kaum dan agama".
  5. Begitulah selalu. Setiap kali ada pilihan raya dan berlaku apa saja yang melibatkan kaum atau agama, cepat sekali jadi isu persaingan politik Melayu-Cina. Sebab itulah, ungkapan "Bandar Melayu-Bandar Cina" dan "usahawan Melayu-usahawan Cina" tidak wajar digunakan, kalau kita benar-benar komited kepada usaha perpaduan.
  6. Bagaimanapun, berita bertajuk besar "Mara bina 'bandar Melayu' di Subang" dan rencana pertama Azman Anuar dalam kolum barunya "Pedas-Pedas Kari" bertajuk "Pertahankan kedudukan Melayu di KL" (Mingguan Malaysia 2.02.2014) menguja saya menggunakan ungkapan "Bandar Melayu dan Bandar Cina".
  7. Membina "Bandar Melayu" adalah cerita baru. Setelah bertahun-tahun kita bercakap tentang pelbagai masalah bangsa Melayu, baru inilah pertama kali timbul ungkapan "Bandar Melayu". Saya rasa nadanya nostalgik dan romantis sekali, kerana kisah orang Melayu tersingkir dari bandar sudah berlaku secara berterusan ratusan tahun lamanya.
  8. Dari segi implilkasi politik - penyingkiran ini sekarang - sudah jadi tragedi yang parah. Namun tiada siapa pun yang bertanggungjawab, menanganinya secara serius. Tiada tindakan pembelaan yang jelas, terancang dan berterusan. Meskipun kuasa dan kemampuan ada. Kita terlalu terpengaruh dengan usaha mencari wang.
  9. Sekitar tahun 1940-an dan 50-an, di tengah-tengah pekan Alor Setar ada dua jalan selari yang popular, disebut Pekan Melayu dan Pekan Cina - tanpa rasa perkauman. Mungkin kerana di jalan Pekan Melayu itu dulunya ada beberapa kedai Melayu. Namun yang saya ingat ada sebuah saja kedai kain Melayu.
  10. Dan apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad membuka klinik, di sebelah kedai Melayu itulah Maha Klinik bermula. Sekarang tiada lagi kedai Melayu di Pekan Melayu ini. Sebaliknya di Pekan Cina, tetap dipenuhi kedai Cina.
  11. Sekitar tahun 1950-an ada bazar Pasar Yaakob di depan Pekan Rabu - tempat orang Melayu berniaga kecil-kecilan. Tetapi pasar ini pun akhirnya tiada lagi, berganti dengan kedai Cina. Yang masih kekal hanya Pekan Rabu, tempat peniaga kecil Melayu menjual pelbagai barangan untuk pembeli Melayu, termasuk kuih-muih, belacan dan ikan pekasam. Tak pernah nampak orang bukan Melayu membeli di sini. Tun Mahathir hampir setiap kali pulang, masih setia singgah dan berbelanja di pasar ini.
  12. Justeru di kawasan utara negeri Kedah yang tak kurang 80 peratus pribumi Melayu, tidak ada premis perniagaan milik Melayu yang bagus. Pekan Melayu tinggal nama. Pengajarannya: Orang Melayu tak boleh berniaga meskipun di daerah Melayu.
  13. Kiranya "Bandar Melayu" di Subang - di pinggir Kuala Lumpur - boleh hidup bagai dirancang, pastilah satu kejayaan yang luar biasa. Tidakkah bunyinya romantis sekali! Siapakah pula yang akan jadi 'pemaju' dan 'kontraktor' bandar baharu untuk Melayu dan bumiputera ini?
  14. Yang Tinggal Hanya Nama. Tidak pernah ada pengumuman pembangunan "Bandar untuk usahawan dan komuniti Cina". Tetapi di mana saja tumbuh bandar dan kawasan perumahan dan perindustrian baru, jadilah pusat perniagaan dan pemastautin orang Cina. Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak - asalnya milik Melayu - tinggal namanya saja "Melayu", penduduk dan peniaganya Cina. Adalah 'Rumah UMNO' lama yang agak usang di sana.
  15. Bukit Bintang jadi milik YTL dan Vincent Tan! Pudu memang dah lama milik Cina. Siapa pemaju tanah Keretapi Tanah Melayu di Sentul? Bekas Penjara Pudu akan jadi milik siapa? Tragedi seperti ini, sedang berlaku juga di bandar-bandar lain seperti di Pulau Pinang, Ipoh, Seremban dan Johor Baharu yang kita merasa bangga kerana pesat membangun.
  16. Betullah kesimpulan Azman; "Orang Melayu yang berada sedikit - untuk memiliki rumah yang lebih selesa - terpaksa berpindah jauh dari bandar. Yang tinggal di bandar hanya orang miskin di rumah pangsa yang dibina oleh kerajaan."
  17. Bagaimana nanti enam tahun saja lagi (2020) apabila negara kita mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi? Akan jadikah kita seperti gurindam Emak Si Rendang dalam kisah dongeng Melayu? Mampukah bangsa Melayu menyelesaikan tragedi ini?
  18. Banyaklah sudah diumumkan projek 'perumahan rakyat' besar-besaran di kawasan bandar, tetapi pribumi semakin membawa diri. Sementara masih ada sedikit masa lagi, berhentilah bermusuhan merebut kuasa dan kekayaan. Kembalikan bangsa Melayu ke dalam bandar - bersama rakyat keturunan Cina.
  19. Sebenarnya perkembangan geografi penduduk seperti ini, tidak saja membawa bencana kepada penduduk pribumi, tetapi akhirnya kepada bangsa Malaysia seluruhnya. Inilah salah satu daripada matlamat serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang gagal kita capai dan kita sudah lupa. Sedangkan bencana sudah pun tiba!
  20. Membina rumah untuk rakyat yang dikategorikan kerajaan sebagai "golongan miskin" di bandar mahupun di desa adalah kewajipan kerajaan yang dipilih rakyat. Di kawasan bandar semakin kritikal kerana rumah untuk golongan miskin tak bertambah.
  21. Kerajaan sedar dan prihatin, jadi pelbagai rancangan perumahan diumumkan. Tetapi tidak nampak lagi dibina rumah untuk rakyat miskin seperti 'rumah pangsa' di Cheras, Bangsar, Sentul dan Kampung Kerinchi. Walaupun rumah ini sangat kecil, sekurang-kurang dapatlah rakyat miskin dan bekas setinggan tumpang menetap di bandar. Tidak pasti apakah rancangan kerajaan membina 'kondo rakyat' dua atau tiga bilik, sudah bermula atau tidak.
  22. Kawasan Flat Jalan Pekeliling yang berpuluh tahun dihuni rakyat miskin sudah lama dirobohkan dan akan mengalami keadaan yang sama. Penduduk asalnya, majoriti Melayu, hilang entah ke mana.
  23. Di Pulau Pinang, orang Melayu semakin pupus. Yang tinggal, majoriti pegawai kerajaan. Di Bagan, Seberang Perai, pun setelah pesat membangun, jadi bandar Cina. Pembeli Cina dari Pulau Pinang sudah sampai ke Kulim dan Sungai Petani.
  24. Saya teringat sebuah pantun lama orang Tanjung (Penang): Pulau Pinang bandar baharu / Captain Light menjadi raja / Kalau dikenang masa dulu / Jatuh mengalir si air mata.
  25. Pantun biasanya menceritakan hubungan kasih sayang dan percintaan teruna-dara. Ada lagi senikata lagu Melayu asli yang berbunyi: Kain yang buruk berikan kami / Buat menyapu si air mata."
  26. Bagaimanapun sekarang, orang bercinta tidak lagi menggunakan pantun. Tetapi pantun seperti ini sesuai untuk menggambarkan rintihan pribumi yang tersingkir dari kawasan bandar di tanah air sendiri. Namun saya tidak menyarankan agar kita terus merintih dan berpantun.
  27. Perangai suka sangat menganugerah tanah kepada pemaju swasta seperti di Kampung Kerinchi (yang sudah pun hilang namanya) perlulah diberhentikan segera.
  28. Datuk Harun Idris dan Peneroka Bandar. Kampung Kerinchi ini asalnya, adalah antara tempat setinggan Melayu yang bertawakal mengadu nasib di ibu kota. Mereka datang dari daerah yang miskin. Jadi buruh kilang dan bekerja apa saja. Mereka adalah 'peneroka bandar' generasi kedua yang berani dan berdikari. (Bukan macam peneroka Felda yang sentiasa dapat durian runtuh.) Peneroka Kuala Lumpur generasi pertama tidak ada lagi dan tanah milik mereka pun sudah jadi milik orang.
  29. Peneroka baru ini bergotong-royong mendirikan 'rumah kilat' di mana ada tanah kosong - siap dibina dalam tempoh satu malam dan disapu cat hitam-kelabu. Kalau rumah nampak baru, pasti akan dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Mereka cekal bersatu menghadapi penguat kuasa DBKL (Melayu). Maka untuk bertahan, mereka segera menubuhkan cawangan UMNO.
  30. Penduduk 'rumah kilat dan rumah haram' dan keturunan mereka inilah yang menambah bilangan penduduk Melayu di KL dan di Lembah Klang.
  31. Pada zaman Datuk Harun Idris jadi Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO, ramailah orang dari luar Selangor diberi kemudahan , malah digalakkan berhijrah ke Lembah Klang. Salah satu tugas penting UMNO di KL waktu itu ialah mempertahankan "rumah kilat dan rumah haram".
  32. Itulah sebabnya ramai orang kampung dari Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak di Selayang, Batu Cave, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Kerinchi dan di Jalan Klang Lama (sekarang Taman Medan). Sekarang, ketika orang Melayu terhalau dari KL ( kota raya kebanggaan, world class city) di mana pemimpin dan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan?
  33. Saya terkenangkan Cikgu Wahab Idris (yang menubuhkan UMNO Bahagian Batu), Zakaria Yahaya, Othman Mawan, Bakhtiar, Saidin Tambi, Hamzah Alang dan Rosden Yaakob dan ramai lagi yang sudah lupa namanya. Bagi yang sudah kembali, Al-Fatihah untuk mereka pembela "rumah kilat dan rumah haram".
  34. Pada Hari Wilayah Persekutuan, kita lupa jasa besar Datuk Harun Idris. Generasi lama tak laku lagi. Meskipun semangat tak pernah mati.  Datuk Noor Azam
  35.  

Perebutan kerusi MB Selangor - Episode 4

     
     
  1. PEREBUTAN jawatan Menteri Besar Selangor semakin panas, apabila penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan menolak menandatangani surat peletakan jawatan yang disediakan oleh kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  2. Surat itu dilihat 'cukup penting' bagi merealisasikan impian Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki kerusi tersebut bersandarkan 'ramalan pak nujum politik pembangkang', Penasihat PKR itu dijangka menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.
  3. Malah agak melucukan kalau benar surat peletakan jawatan tersebut bertarikh 23 Mac iaitu pada hari yang sama PRK DUN Kajang dijalankan, seolah-olah pada hari itu ketika Anwar meraikan kemenangan, Abdul Khalid pula harus melangkah keluar dari Pejabat Menteri Besar.
  4. Walaubagaimanapun hakikatnya bukanlah satu kejutan jika Abdul Khalid 'memberontak' atau membantah sebarang usaha menyingkirkan beliau daripada kerusi Menteri Besar kerana beliau amat memahami apa yang berlaku termasuk di DUN Kajang hanyalah bermotiflah politik dan bukannya kegagalan menunaikan amanah menerajui Selangor.
  5. Abdul Khalid terjerumus dalam pertarungan mempertahankan kedudukannya berikutan perbalahan politik beliau dengan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, sebab itulah PRK DUN Kajang diadakan.
  6. PKR mengambil jalan pintas dengan mengheret rakyat Kajang bagi menyelesaikan masalah dalaman mereka.
  7. Melalui percaturan politik dangkal itu, Anwar dikatakan akan 'ditabalkan' sebagai Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid dan sekali gus diharapkan akan menamatkan perbalahan politik Abdul Khalid dan Azmin.
  8. Ada pula sumber dalaman pembangkang Selangor memberitahu penulis, wujudnya spekulasi bahawa Anwar hanya mahu memastikan Abdul Khalid meletakkan jawatan sahaja, apabila itu berlaku ia memudahkan perancangan untuk melantik Azmin menduduki jawatan itu, biar pun Anwar memenangi kerusi DUN Kajang.
  9. ''Masih ada keraguan bahawa DUN Kajang bukanlah 'batu loncatan' untuk Anwar hendak menjadi Menteri Besar Selangor tetapi sekadar membuka jalan kepada Azmin selepas Abdul Khalid bersetuju meletakkan jawatan.
  10. ''Mungkin Abdul Khalid menyedari 'permainan ini' sebab itulah beliau tidak mahu menandatangani surat peletakan jawatan dan meneruskan tugasnya seperti biasa," kata sumber tersebut.
  11. Sememangnya Abdul Khalid tidak mahu menyerah kalah dengan begitu mudah, apatah lagi jika benar PKR mahu menamatkan perbalahan politik antara beliau dengan Azmin, mesti ada penyelesaian berdasarkan situasi 'menang-menang', ertinya jika Abdul Khalid 'dikorbankan', Azmin juga perlu dikenakan syarat ketat untuk memastikan beliau tidak menjadi Menteri Besar. Bagaimana caranya PKR pasti boleh melakukannya kerana dalam PKR 'tiada apa yang mustahil' atau 'aneh'.
  12. Persoalannya, apakah strategi Abdul Khalid atau 'Sahak' (nama timbangan di kampung) yang akan dilaksanakan bagi memastikan beliau tidak tersingkir dari kerusi Menteri Besar. Ini kerana jika benar beliau menolak menandatangani surat peletakan jawatan yang dibuat kepimpinan PKR ia secara langsung bermaksud beliau menentang kehendak Anwar yang dilihat sudah tidak sabar-sabar lagi hendak menduduki kerusi Menteri Besar Selangor.
  13. Setakat ini, jika sejarah politik PKR dikaji, tiada siapa pun yang berani menentang Anwar selagi mereka berada dalam parti tersebut. Apa sahaja kehendak beliau akan diikuti. Dan Abdul Khalid juga dilihat tidak terlepas daripada peraturan tersebut.
  14. Bagaimanapun sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid memahami sejauh mana kekuatan atau kelebihan yang ada pada beliau untuk mempertahankan kedudukannya, ini termasuklah melakukan langkah drastik dengan meminta perkenan Sultan Selangor bagi membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
  15. Satu lagi kelebihan yang ada pada Abdul Khalid ialah beliau dikatakan disokong oleh ADUN-ADUN Pas memandangkan rekod cemerlangnya sepanjang menjadi Menteri Besar. Pas sememangnya sudah membayangkan mereka tidak bersetuju jika Abdul Khalid digantikan.
  16. Kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Pas membuktikan mereka tidak merestui PKR bertindak mahu menyingkirkan Abdul Khalid, apatah lagi perancangan politik ke arah itu tidak dibincangkan dengan PKR biar pun Pas dan DAP mempunyai lebih banyak kerusi di DUN.
  17. Ketika mengulas isu ini dalam blognya kelmarin, seorang penyokong tegar Pas dan pernah menjadi orang kanan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengimbas kembali kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 berhubung pelantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
  18. Ketika itu Saifudin menyatakan, Pas dan DAP, menerusi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
  19. Itulah kenyataan Saifuddin yang sekali gus menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Pas kenapakah tidak sampai setahun memegang jawatan itu untuk penggal kedua Abdul Khalid mahu disingkirkan.
  20. Penyokong Pas itu juga menghamburkan pujian dengan menegaskan - '' Di bawah beliau Selangor terus bangkit gagah, maju dan perkasa menjadi sesuatu yang dikagumi rakyat dan malah musuh-musuh politik sekali."
  21. Berdasarkan pujian seumpama itu sudah tentulah Pas tidak boleh menerima hakikat Abdul Khalid perlu digantikan hanya semata-mata kerana masalah dalaman PKR.
  22. Penulis diberitahu oleh seorang pemimpin muda Pas bahawa parti itu akan tetap mempertahankan Abdul Khalid dan usaha ke arah itu akan diperkukuhkan apabila selesai PRK DUN Kajang.
  23. ''Saya tidak pasti sama ada surat peletakan jawatan tersebut benar atau tidak, tetapi apa yang boleh saya katakan, pendirian Pas sebelum ini tidak berubah iaitu isu kedudukan Menteri Besar Selangor tidak berbangkit sama sekali," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
  24. Pemimpin muda Pas itu juga yakin, pendirian tegas parti tersebut memberikan semangat kepada 'Sahak' untuk mempertahankan kedudukan beliau dan tidak terus hanyut dengan agenda politik PKR yang sejak dulu, kini dan selamanya, hanya bercakap soal kuasa dan kedudukan sehingga sanggup mempermainkan mandat rakyat. – Zulkiflee Bakar

Hakikat perjuangan politik Melayu

     
     
  1. POLITIK dan kerajaan tidak boleh dipisahkan. Sekian lama gelombang politik di Malaysia diwarnai hitam putih perbalahan politik Melayu. Realitinya wujud perbezaan persepsi dan perspektif Melayu dalam banyak perkara. Salah satu isu yang besar adalah tanggapan tentang Islam dan nasionalisme.
  2. Di tanah air kita, makna kebangsaan yang merujuk kepada kewatanan dan kenegaraan itu dilihat bagaikan terpisah daripada Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Falsafah nasionalisme dilihat dalam erti kebangsaan yang sempit bukannya kenegaraan atau kewatanan dan peranan Islam dalam pengukuhannya.
  3. Politik Melayu di Malaysia adalah antara UMNO dengan Pas. Sekarang muncul Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau parti-parti lain yang tidak semestinya seratus peratus Melayu. Ada campuran. Kalau ditanyakan benarkah Parti Islam Se-Malaysia (Pas) memperjuangkan Islam? Ya, betul. Betulkah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) membangun dan menegakkan Islam? Ya, betul. Jadi kenapakah kedua-dua parti umat Islam pimpinan Melayu yang seiman dan sedarah ini tidak boleh duduk semeja berunding mengenai persoalan hal ehwal kemajuan Islam?
  4. Orang Melayu perlu menilai, gunakan rasionalisme dan fikiran terbuka. Manakah parti yang berjaya menegak dan mempertahankan Islam di Malaysia? Parti yang mana mengotakan kata? Yang mana pula lebih banyak omongan kosong? Kadang-kadang orang lebih terpukau dengan lidah pemimpin yang pidatonya berapi-api.
  5. Benar, Melayu mudah lupa dan tidak mahu mengingati sejarah bangsa mereka sendiri. Benar, rasionalisme dan intelektualisme Melayu itu kian hilang. Apabila bersekongkol dengan parti politik kaum lain, Melayu tidak belajar akan sikap dan tabiat politik orang lain itu. Hatta lebih mempercayai orang lain yang terang-terangan menolak gagasan negara Islam, tidak menerima hudud dan hukum-hakam Islam yang diperjuangkan. Parti ini tetap menagih simpati dan menaruh keyakinan. Cita-cita bersama pakatan pembangkang asalkan dapat menumbangkan kerajaan.
  6. Bukti-bukti daripada senario mutakhir menunjukkan realiti politik Melayu sudah dinodai kebencian sesama sendiri. Pada PRU-12 (2008) dan PRU-13 (2013), undi Melayu kepada pembangkang kian membesar. Melayu merelakan diri menyebelahi pembangkang yang didukung parti perkauman dan anti-Islam. Hal begitu terjadi disebabkan nafsu kerakusan kuasa kian merasuk. Cetusan sikap berpautkan keganasan seperti cara Arab Springs atau seperti terjadi di beberapa negara lain mula dijadikan anutan baharu.
  7. Melayu bukan tidak tahu, cara itu bukannya cara Melayu, jauh daripada prinsip demokrasi. Ada rancangan yang boleh menyebabkan huru-hara terjadi, keselamatan tidak terjamin. Siapakah yang mengancam keamanan dan keselamatan negara? Apa tidaknya, demonstrasi jalanan, kempen-kempen fitnah, hasutan, lontaran idea jahat, hentaman dan kenyataan bohong di laman sosial tidak pun pernah terhenti. Apa jua dasar dan program kerajaan diperlekehkan.
  8. Apakah mungkin kuman psikologi penolakan sedang membiak di jiwa Melayu. Kalau Melayu tidak mahu atau gagal bermuhasabah, kembali ke pangkal jalan, maka kuman itu boleh merebak menjadi barah kepada semangat pemberontakan. Sikap dan tabiat psikologi penolakan itu amat dirasakan semasa PRU-13. Di Kelantan beberapa hari sebelum hari pembuangan undi 5 Mei 2013, tersebar satu sakla atau pekeliling yang terang-terang menolak, menuduh, memfitnah. Sakla itu membuat segala macam tuduhan kepada kepimpinan, kerajaan dan ulama UMNO. Apakah itu gambaran realiti baharu politik bangsa Melayu.
  9. Sakla itu lebih menuding jari bahawa faktor-faktor yang menjadikan seseorang Muslim itu sesat, antaranya terlalu patuh kepada pemimpin yang menolak ajaran Rasulullah SAW; kemegahan, sombong, takbur, berlagak bijak dalam agama; merampas hak rakyat, menolak kebenaran memilih jalan kebatilan; mereka cipta, membuat fitnah tanpa rasa bersalah; dan beranggapan taat kepada agama tidak akan membawa kemajuan. Kesemua tohmahan itu ditujukan kepada UMNO. Sakla itu juga menyebut bahawa ulama UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO telah membawa orang Melayu dan umat Islam ke jalan kesesatan dunia dan akhirat.
  10. Apakah penulis sakla itu tidak pernah membuka mata melihat daya usaha kerajaan dalam membangun dan menegakkan syiar Islam? Kalau kalimah Allah pun boleh dibiarkan mereka, maka mereka tidak akan mampu lagi menghormati usaha-usaha pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), penyelarasan hukum, peranan Mahkamah Syariah, pembinaan masjid-masjid, pengurusan Baitulmal, program Islam di media elektronik, sistem perbankan Islam, ar-Rahn dan sebagainya yang dikagumi kejayaannya oleh negara-negara Islam yang lain.
  11. Kaedah kempen parti Melayu pembangkang melalui pelbagai strategi lain oleh mereka agak menggerunkan. Strategi kebencian sesama sendiri diatur rapi. Itulah realiti politik Melayu. Orang Melayu bukan tidak tahu akan adanya gerakan politik yang terus merasuk sifat-sifat perkauman, anti Islam dan anti kepemimpinan Melayu. Mereka bercakap lain, berbuat lain. Mereka menuntut hak kebebasan asasi di luar batas fitrah kejadian manusia. Ada janji berbeza apabila berdepan dengan satu-satu kaum yang berlainan. Apakah mereka yang menabur fitnah itu sedar bahawa mereka sedang menepuk air di dulang sendiri atau mengata dulang paku serpih.
  12. Realiti politik Melayu hari ini ialah mereka sudah berpecah tiga. Perpecahan Melayu itu menjadikan mereka bersifat minoriti dan sangat merugikan Malaysia. Tanda-tanda Melayu kehilangan kuasa sudah terjadi di bandar-bandar yang selama ini dibangunkan kerajaan, lengkap dengan infrastruktur, kemudahan kesihatan, pendidikan, kesejahteraan sosial dan gaya hidup moden.
  13. Aura kerajaan yang memuncak sebelum PRU-13 dengan sambutan luar biasa rakyat dan orang Melayu kepada pucuk pimpinan sendiri bagaikan gurauan yang tidak menentukan hala tuju pengukuhan kuasa Melayu. Apakah maknanya realiti tanpa perubahan baharu sedemikian itu?
  14. Melayu juga telah lupa akan pesan nenek moyang mereka sendiri, jangan jadi Pak Kaduk atau Lebai Malang. Rupa-rupanya strategi udang di sebalik batu ciptaan pembangkang berjaya menyalakan api semangat orang Melayu agar benci-membenci sesama bangsa sendiri, bangga mengusung slogan mari tumbangkan BN dan rampas Putrajaya. Apakah Melayu sendiri mahu biarkan Melayu dan bumiputera berpecah belah?
  15. Apakah Melayu mahu melihat Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Ya, Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi belum tentu Melayu tidak akan hilang kuasa. -- Datuk A Aziz Deraman.
  16.  

Perebutan kerusi MB Selangor - Episode 3

     
  1. Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ada plot politik lengkap hingga akhir 2014 untuk memastikan rakyat akan terus mengingati beliau dan sentiasa berdebar ketika mengikuti episode kemahirannya berpolitik.
  2. Jika ada komplikasi berkaitan kes ulang bicara di mahkamah yang kini dihadapinya, sudah tentu kes itu ditenggelamkan oleh Pilihan Raya Kecil Kajang.
  3. Jika berlaku pula keputusan tidak diingininya seperti kemerosotan majoriti dalam pilihanraya Kajang dan kebarangkalian tewas sama sekali, skrip politiknya pun sudah siap.
  4. Anwar akan mengalihkan pandangan rakyat dengan kegamatan pemilihan dalam PKR bermula akhir Mac.
  5. Sebaliknya jika beliau menang selesa di Kajang dan menghadapi penentangan hebat sekutunya seperti PAS untuk menjadi Menteri Besar, pemilihan PKR sekali lagi boleh menjadi “tudung saji” menyorokkan masalah yang dihadapinya.
  6. Jika halangan itu dapat diatasi tetapi beliau dibatasi oleh perkenan pihak istana untuk menjadi ketua eksekutif Selangor Darul Ehsan, peluang akan terbuka baginya bagi menjadikan negeri itu pentas untuk mencetuskan krisis perlembagaan pula.
  7. Krisis sebegini memang kemahiran Anwar. Beliau yakin pidatonya dapat menggerakkan rakyat bangkit untuk memenuhi matlamat politiknya.
  8. Jika demikian pilihan yang tinggal, sudah tentu ia akan mengalihkan fokus seluruh negara kepada kepakaran dan kecekapannya mengendalikan krisis. Sekaligus ia akan mengkerdilkan saingannya, terutama Umno dan musuh ketatnya, Tun Dr Mahathir Mohamed.
  9. Kesimpulannya, kalendar politik Anwar untuk sepanjang tahun ini sudah penuh. Beliau akan terus jadi pemain politik utama dan akan mampu mempengaruhi aliran politik negara.
  10. Isu peribadi pasti akan dikesampingkan rakyat yang pasti teruja dengan arus politik yang dikocaknya.
  11. Anwar mahu segerakan PRU14? Lantas hadiah paling besar daripada “Gerak Kajang” yang dicetuskan partinya ialah menghamparkan keadaan politik kurang nyaman bagi rakyat hingga memaksa mereka bangkit mendesak pilihan raya umum ke-14 dilaksanakan segera.
  12. Meskipun mandat Barisan Nasional hanya luput pada 2018 tetapi mengambil kira faktor usia dan serangan-serangan baru yang bakal diatur oleh pihak saingan terhadapnya, Anwar percaya kesemua itu akan dapat dihindarinya jika rasa teruja rakyat terus dipanaskan oleh PRU baru.
  13. Gerak Kajang adalah kempen terancang Anwar untuk memaksa PRU ke-14 diadakan secepat mungkin. Ini bagi memenuhi beberapa keperluan politik peribadi Anwar.
  14. Jika PRU diadakan dalam jangka masa terdekat, Anwar boleh memanfaatkan momentum politik sedia ada untuk berkempen memburukkan pemerintah dan akhirnya menumbangkan kerajaan.
  15. Pengalaman PRU 13 menunjukkan jika diberi masa yang cukup Najib dan BN akan berkesempatan untuk mencergaskan dan menggilap semula imej dan integriti kerajaan pimpinannya.
  16. Maka jika diizinkan Najib masa yang panjang hingga 2018, sudah tentu Pakatan Rakyat yang dipimpinnya pula yang akan lelah.
  17. Justeru Anwar perlu melengkapkan kalendar politik untuk memenuhi agenda menekan kerajaan BN supaya memulangkan kembali mandat kepada rakyat. Jika ini berlaku Anwar mencongak bahawa peluang untuk menawan Putrajaya akan lebih besar.
  18. Justeru dengan plot politik yang berlapis-lapis ini Anwar bersedia membuka seberapa banyak kancah dan gelora politik baik dalam Pakatan Rakyat mahu partinya sendiri untuk memastikan kehadiran beliau dalam politik Malaysia sentiasa relevan.
  19. Pilihan raya kecil Kajang permainan politik Anwar. Plot Anwar ini memang amat menggiurkan rakyat yang diperkira mudah untuk diuja naluri politik mereka. Maknanya, kemelut yang berlaku dalam partinya, PKR, bukanlah didorong oleh dua tokoh sahaja iaitu Khalid Ibrahim dan Azmin Ali.
  20. Sebenarnya yang menghangatkan keadaan ialah Anwar sendiri. Masalah Khalid, di mata penyokong Azmin bukan baharu. Anwar sekadar melengah-lengahkan penyelesaian supaya dapat menudung gelagat politik peribadi beliau.
  21. Selagi ada persengketaan di kalangan pelbagai kepentingan dalam parti, selagi itu campurtangan dan sokongan Anwar diperlukan pelbagai sektor dalam parti. Bila keadaan ini wujud, penyokong parti tidak akan sedar bahawa parti itu sendiri sedang dipermainkan mengikut skrip Anwar.
  22. Begitu juga dengan Pakatan Rakyat. Anwar sedar bahawa PAS amat tidak berpuas hati dalam pembahagian dan pemilihan calon dalam PRU lalu. Ada golongan dalam PAS masih belum yakin sepenuhnya akan wibawa dan integriti Anwar sebagai pemimpin.
  23. Justeru “Gerak Kajang” yang dicetuskan Anwar seolah-olah akan memberi kata dua kepada PAS supaya memikirkan mahu menyokong untuk menobatkan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor atau tidak.
  24. Ini kerana Anwar sudah dapat merasakan kegelisahan beberapa peringkat pimpinan PAS yang sudah agak bosan dengan sikap pimpinan parti Islam itu yang tidak konsisten dalam perjuangan.
  25. Pada ketika tertentu ia mahu berpegang kepada hukum syarie yang ketat tetapi ada kalanya mahu menunjukkan sikap pragmatik dalam berpolitik.
  26. PAS cuba halang rancangan. Anwar Ibrahim sudah dapat membuktikan bahawa dalam tempoh yang singkat pembebasannya dari penjara beliau berhasil menggerakkan PAS, DAP dan PKR menjadi entiti politik yang boleh “menggugat BN”. Bagaimanapun sikap teragak-agak PAS nampaknya menjadi penghalang kejayaan lebih besar.
  27. Jika PAS tidak terus turut “jalan politik yang ditunjuki Anwar” ada pemimpin PAS yang khuatir akan berlaku perpecahan dalam parti itu. Selagi tiada keselarasan pemikiran politik di kalangan PAS, Anwar tahu masih ada kalangan pemimpin PAS yang mahu merujuk kepada pimpinannya.
  28. DAP pula adalah parti pragmatik. Sejak 2008 Anwar telah banyak membantunya mengetuk dan membuka pintu kesedaran pengundi bukan Melayu betapa pentingnya undi mereka dipersatukan agar citra politik Melayu-Islam yang mendominasi BN dapat ditumbangkan.
  29. Awal-awal lagi DAP sudah menyatakan sokongan kepada pelan dan kalendar politik Anwar Ibrahim. Justeru pemimpin BN, khususnya Umno, tidak seharusnya gopoh dan masuk jerangkap Anwar supaya memilih pilihan raya umum sebagai jalan keluar memastikan Putrajaya terus ditadbir BN. Itu yang Anwar mahu. – Abdul Rahman Malik.
  30.