- Tidak bolehkah rakyat pelbagai keturunan dan agama di negara ini mencapai kata sepakat seperti dalam isu rokok di mana faktor kesihatan dan ketenteraman keluarga serta masyarakat dijadikan alasan untuk mengawal aktiviti minum arak?
- Jika manusia bertamadun seantero seluruh dunia boleh berkempen dan mengekang nafsu merokok demi kepentingan manusia dan kemanusiaan sendiri, mengapa pendirian yang sama tidak boleh diambil untuk arak?
- Di sisi sains dan keharmonian sosial, rokok dan arak sama-sama tertonjol kemudaratannya kepada manusia. Namun mengapa di Malaysia yang masih di tahap awal proses pembentukan jatidirinya, tidak mampu mengambil jalan pintas dan melarang aktiviti yang memudaratkan ini?
- Sebaliknya, tiba-tiba muncul gerakan untuk “menghalalkan” pesta minum arak sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang mengiktiraf hak asasi manusia yang amat dahagakan sokongan politik.
- DAP sengaja gunakan isu 'Oktoberfest' laung hak asasi manusia? PKR dan DAP dengan sengaja, sedar dan berhemah mengambil tempat di saf hadapan isu ini demi melaungkan pendirian dan kebersatuan mereka mereka dalam isu Oktoberfest ini.
- Pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang. Teresa Kok dan beberapa pemimpin muda parti itu serta Elizabeth Wong dari PKR kelihatan bersama lebih 5,000 pengunjung pesta di Bandar Utama malam Jumaat lalu.
- Turut meraikan majlis itu Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Sivarasa Rasiah, ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin.
- Kehadiran mereka bolehlah dirumuskan sebagai satu langkah politik. Berbeza dengan Langkah Kajang yang dianjurkan oleh PKR untuk membenci dan menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kehadiran pemimpin politik DAP dan PKR ini mungkin mahu menyatakan bahawa arak juga boleh menjadi unsur penyatu rakyat bukan Islam di Malaysia.
- Maka tinggallah PAS keseorangan diri merengus betapa pesta sebegitu adalah mencabar sensitiviti umat Islam. Soalnya mana betul, arak itu bawa lebih banyak mudarat atau satu unsur yang boleh mengukuhkan perpaduan, sekurang-kurangnya dalam Pakatan Rakyat?
- Sebaliknya, pemimpin Melayu-Islam dalam PKR, termasuk Menteri Besar baru Selangor, Azmin Ali, kelihatan tidak berselera menganggap isu itu sebagai sesuatu yang mencalar imej Islam di negara ini.
- Kenapa Oktoberfest 2014 jadi pertikaian? Namun anehnya sambutan Oktoberfest bukanlah satu perayaan baru yang disambut di negara ini. Mengapa baru tahun ini tiba-tiba ia menjadi kontroversi?
- Hakikatnya, baru tahun ini Oktoberfest dianjurkan di kawasan terbuka. Baru tahun ini juga sambutannya dilakukan secara besar-besaran melalui paparan papan iklan di tempat terbuka.
- Tahun ini juga Oktoberfest “diangkat” oleh pemimpin pembangkang sebagai perayaan “rasmi” kerana ia melambangkan sebahagian hak asasi rakyat Malaysia.
- Soalnya mengapa DAP dan PKR seolah-olah tidak melihat sambutan Oktoberfest ini memudaratkan perpaduan masyarakat Malaysia? Mungkinkah ini kerana ia adalah pelaburan politik yang menguntungkan?
- Jika diamati pragmatisme politik DAP dan PKR tidak jauh berbeza. Jika disekat aktiviti arak di negara ini tentu akan memarakkan kebencian sebahagian rakyat yang semakin rimas dengan penekanan kerajaan yang dilihat “menganaktirikan” mereka.
- Oktoberfest adalah acara kemasyarakatan bagi mereka. Mengapa ia perlu dibendung? Kini kerajaan semakin condong dan berpaut pada sokongan Melayu-Islam semakin galak menganjurkan program-program agama yang mempamerkan kehebatan perpaduan Islam; begitu juga Oktoberfest untuk bukan muslim!
- Oktoberfest adalah buah catur politik. Gurisan kebencian inilah yang hendak dimanfaatkan oleh DAP dan PKR. Ia akan meningkatkan suhu kebencian dan kerimasan terhadap kerajaan Barisan Nasional. Rumusannya Oktoberfest adalah satu strategi politik.
- Mungkin kefahaman PAS terhadap konsep tahaluf siyasi yang dijalin dengan PKR dan DAP yang kerap dibanggakannya di khalayak ramai, belum mampu menggarap realiti sebenar apabila ia diamalkan demi kemenangan politik.
- PKR dan DAP parti sekular. Bagi kedua-duanya soal kerugian jangka pendek dengan menanamkan sedikit “kebencian” sesama rakyat adalah cagaran politik yang perlu demi merebut kuasa. Dengan kuasa, barulah perubahan luhur boleh dilaksanakan (?)
- Namun PAS nampaknya mulai belajar. Dewan Syura Ulama, penggubal dasar tertingginya, sudah berani membuat teguran terhadap betapa mudaratnya Oktoberfest. Lantas PAS pun mengemukakan protes kepada kerajaan negeri Selangor.
- Harapan PAS ialah, segala sumpah taat setia dan azam untuk mempertahankan Islam agar tidak diperlekeh di bumi Darul Ehsan akan mendorong, Azmin Ali mengambil tindakan tegas ke atas penganjur Oktoberfest.
- Bagaimanapun sebagai orang baru, Azmin mengambil sikap berhati-hati. Iktibar yang boleh diambil daripada nasib politik Khalid Ibrahim ialah jangan sekali-kali mengingkari pucuk pimpinan PKR. Jika tidak yang diperjudikan ialah jawatan menteri besar.
- Pimpinan PKR, terutama Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedikitpun tidak berbunyi membuat komentar terhadap isu Oktoberfest yang dilihat PAS boleh mencalar maruah Islam.
- Mungkin Anwar masih menimbang-nimbang apakah kenyataan yang harus dibuat kepada umum sebagai reaksi teguran jujur Sultan Selangor bahawa skim politik Langkah Kajang PKRlah yang menjadi punca kemelut politik Selangor.
- Baginda Sultan Selangor juga menegur gerak politik kurang murni PKR yang telah mentohmah nama baik mantan menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim, walaupun dalam bulan Ramadan yang suci.
- Sementara itu, Lim Kit Siang akan terus menyusun strategi bagaimana mahu menrincingkan lagi kebencian rakyat bukan Islam terhadap kerajaan Barisan Nasional tanpa curiga dan khuatir PKR akan membantah.
- Benar kata pujangga, sesuatu makanan mungkin enak bagi seseorang tetapi ia boleh menjadi racun kepada PAS. Pada Oktoberfest, DAP hilang hormat dan tidak sensitif dengan pantang larang agama PAS tetapi pada masa yang sama ia adalah pengikat kesatuan di kalangan pihak yang tidak gemar PAS serta pegangannya. -- Abdul Rahman Malik
Wednesday, 15 October 2014
DAP dan perpaduan Oktoberfest
Subscribe to:
Posts (Atom)