Tuesday, 28 April 2015

Amaran tsunami Melayu sudah berberbunyi


  1. PRU14 mungkin masih jauh lagi namun amaran `tsunami Melayu’ sudah dibunyikan dengan lantang oleh Tun Dr Mahathir Mohamed. Perdana Menteri yang kini terpalit dengan pelbagai isu mega perlu segera diganti atau tampuk kuasa negara akan berpindah ke tangan golongan berhaluan kiri pada pusingan seterusnya.
  2. Blog Apa Yang Tersirat telah mengingatkan kita bagaimana konsisten `tsunami Cina’ pada PRU12 dan PRU13 yang telah menggugat dan melemahkan Umno dan BN.
  3. Kini `tsunami Melayu’ dikatakan akan melanda negara pada PRU14 akibat kecuaian Perdana Menteri dan isterinya yang mendedahkan diri dengan pelbagai isu mega.
  4. Satu pengalaman pahit Umno-BN, pada PRU-12, dengan mengambil mudah perasaan rakyat, hanya kerana menang besar pada PRU-11, di mana UBN bukan sahaja mendapat kuasa 2/3 di dewan rakyat akan tetapi kuasa 3/4.
  5. Pada PRU tersebut, hampir sahaja parti-parti pembangkang tidak mendapat kerusi, malah PKR hanya tinggal Parlimen Permatang Pauh, itupun Wan Azizah hanya menang 560 undi.
  6. Akibat keputusan hebat itu, Perdana Menteri masa itu Dato Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun), sangat merasa yakin, bahawa beliau mendapat sokongan luar biasa daripada rakyat, atas sebab itu berani menaikkan harga minyak, yang menyebabkan semua harga barangan naik berlipat ganda, dan tidak pernah turun-turun lagi sehingga kini.
  7. Malah dalam satu pejumpaan Umno di PWTC, di mana kebetulan ada demonstrasi Hindraf, PM dengan suara lantang dan mencabar, dengan kenyataan "SAYA PANTANG DICABAR" dan kalau mahu mencabar "GUNAKAN PETI UNDI" bukan demostrasi jalanan.
  8. Oleh kerana banyak perancangan sebelum Pak Lah mengambil alih jawatan dibatalkan, lantas mantan Perdana Menteri, turun padang membantah dan mengkritik Perdana Menteri. Malangnya Tun Dr Mahathir dipulau, termasuk kekalahan memalukan pada pertandingan perwakilan di Bahagian Kubang Pasu, di mana Tun Dr Mahathir menjadi Ketua Bahagian bermula tahun 1974.
  9. Pak Lah menganggap enteng kritikan Tun Dr Mahathir, sehingga pada PRU-12, Pak Lah tidak mengeluarkan manifesto kepada rakyat. Kita tahu, bahawa keputusan PRU-12 tersebut, Umno BN kehilangan kuasa 2/3 di dewan rakyat, julung kalinya pada era Malaysia moden.
  10. Akibat kehilangan kuasa itu, desakan dibuat agar Pak Lah meletak jawatan, dan akhirnya pada 2/4/2009, Pak Lah turun dari kerusi Perdana Menteri.
  11. Najib sebagai pengganti, mengubah pendekatan, dengan menjenamakan dirinya sebagai `maskot’ kepada Umno BN kerana menganggap bahawa Umno, bukan lagi sebagai bahtera yang boleh diharap sangat untuk menentukan kemenangan.
  12. Sebelum PRU-13, para penyokong Najib lebih menononjolkan jenama Najib, termasuk `AJIBGhor’, slogan `I Lov PM’ dan lagu `IM4U’.
  13. Benar juga, Umno menambah kerusi di Parlimen daripada 79 kepada 88, kerana semua kawasan majoriti Melayu yang ditandingi komponen BN, diambil alih oleh Umno. Dan jangan lupa sebahagian kerusi itu disumbangkan oleh Umno Sabah yang menang 100 peratus.
  14. Kini, apa yang berlaku terhadap Pak Lah berlaku lagi. Tun Dr Mahathir mengkritik kepimpinan Najib kerana isu 1MDB, sebuah syarikat yang dicetuskan Najib yang kini berdepan dengan berbagai masalah termasuk hutang RM42 bilion.
  15. Tun Mahathir, bukan mempertikaikan jumlah hutang, akan tetapi "kehilangan" wang yang sukar dijawab. Beliau juga mempersoal kewujudan 1MDB, negara mengalami kerugian kerana tanah kerajaan dijual kepada syarikat itu dengan harga yang sangat rendah.
  16. Tanah TRX dijual pada harga RM60 sekaki persegi (skp), berbanding harga pasaran RM7,000 skp, Tanah bekas lapangan terbang Sungai Besi, dijual pada harga RM90 skp berbanding harga pasaran RM5,000 skp.
  17. Walaupun Umno BN hanya menang 133 kerusi Parlimen, lebih buruk daripada kemenangan yang dicapai Pak Lah 140, namun Najib membuat keputusan selari dengan perjuangan pembangkang, menghapus Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kediaman Terhad. Selain itu, beliau mencetuskan percukaian baru GST, yang dianggap mencabar rakyat.
  18. Pengurangan subsidi berbagai barangan termasuk petrolium, telah mendorong kenaikan barangan keperluan rakyat, namun diimbangi dengan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), kononnya untuk mengimbangi kenaikan harga barangan yang dihadapi golongan sasar.
  19. Namun, BR1M, tidakpun berimpak positif kepada UBN, malah kehilangan undi popular, kalaulah sistem pemilihan negara seperti di Indonesia, sudah tentu UBN sudah kehilangan kuasa.
  20. Najib tidak mengambil iktibar pada keadaan itu, malah semakin membuat tindakan yang mencabar emosi rakyat, termasuk bermain golf semasa negara dilanda bencana banjir luar biasa penghujung tahun lalu.
  21. Memang benar, sejak tahun 2009, defisit negara berkurang daripada 6.7 peratus ke 3.2 Tahun 2015 (jangkaan), namun itu bukan persoalannya. Persoalan kini, adalah RAKYAT kehilangan keyakinan terhadap kerajaan.
  22. Sebagai contoh, semasa harga minyak turun, rakyat beralih ke RON 97 yang lebih mahal. Masih ramai rakyat berkunjung ke restoran-restoran, pasar-pasar raya, melawat luar negara, ertinya rakyat mempunyai wang untuk dibelanjakan, tetapi mengapa bantahan luar biasa kepada GST yang hanya 6 peratus?
  23. Apapun ceritanya, bayangan kepada tsunami Melayu itu bakal dilihat pada dua PRK Permatang Pauh dan Rompin.
  24. Kesimpulannya, langkah menggantikan Najib adalah kaedah terbaik setakat ini untuk BN berdepan dengan cabaran PR pada PRU14. Pahit buat Najib menerimanya tetapi itulah pilihan terbaik buat rakyat.
  25. Cuma persoalannya apakah Najib sanggup melepaskan jawatan itu demi kepentingan Umno dan BN? Jika beliau enggan mendengar nasihat Tun Mahathir, maka akan berlakulah TEORI RAHMAN yang mana Najib merupakan Perdana Menteri terakhir dari Umno.