-
|
Umno dan Pas perlu bermuzakarah |
UMNO dan Pas perlu bermuzakarah adalah untuk mendapatkan
persefahaman tentang perlunya kesatuan pemikiran dan agenda umat Islam sebagai
umat yang komited dalam mengamalkan Islam dan membangunkan Islam dalam
perspektifnya yang betul di negara kita.
Untuk merealisasikan kesefahaman dan kesatuan umat Islam,
maka seluruh umat Islam yang ikhlas haruslah memahami Islam berdasarkan world
view yang sebenarnya tentang Islam dan umat Islam itu.
Memahami Islam berdasarkan ideologi politik sering
menimbulkan konflik di antara umat Islam seluruhnya, iaitu tentang kefahaman
istilah-istilah ilmu yang ditafsirkan dari sudut politik seperti sekularisme,
kebangsaan, fanatik, dan sebagainya.
Kefahaman istilah inilah yang sering dijadikan senjata untuk
melabelkan para pengikut parti politik yang tertentu ketika berusaha mencari
keuntungan politik kepartian, terutamanya kerana ingin mendapatkan sokongan
kepada partinya dan mendapatkan undi dalam pilihan raya.
Isu-isu ini melibatkan akidah dan akhlak Islamiah, iaitu
yang berlaku selama ini di antara UMNO dan Pas. Perjuangan dan agenda kerja
politik yang disebutkan sebagai sekular, kebangsaan dan sebagainya yang
ditakrifkan sebagai tidak Islamik, sering mengelirukan umat Islam sendiri
tentang pentafsiran istilah-istilah itu yang sebenarnya.
Malah istilah dan label ini sering menjadi persepsi umat
Islam sendiri, yang dianggapnya sebagai betul dari sudut pentafsiran akidah dan
syariah serta moralnya.
Akibat persepsi dan fatwa inilah maka timbul perpecahan dan prasangka sesama umat Islam
sendiri, khususnya antara ahli dan para penyokong dua parti Melayu Islam iaitu
Pas dan UMNO, dan lebih serius lagi ialah tanggapan yang telah ditanamkan dalam
akidah orang Islam, bahawa pengikut parti yang tertentu adalah kafir dan telah
tercemar akidahnya, satu keadaan yang amat serius yang sering mengakibatkan
perpecahan kalangan umat Islam seluruhnya.
Agenda pelaksanaan syariat Islamiah di negara ini juga
haruslah disepakati menurut perspektif yang betul dan benar-benar mengikut
kaedah fikah, falsafah hukum, maslahah umum, terutamanya dalam masalah pokok
dan dasar Islam itu sendiri, termasuk juga kesepaduan pembangunan Islam dalam
kepelbagaian dimensinya dari segi ekonomi, pendidikan, kewangan dan perbankan,
alam sekitar, akhlak dan etika serta dasar-dasar syariah pada umumnya.
Persefahaman dan pentafsiran yang luas dalam agenda Islam
yang besar ini dapat mengelakkan salah faham masyarakat Islam dan antarabangsa
yang selama ini memahami istilah menegakkan negara Islam dengan pandangan dan
perspektif yang sempit, iaitu yang hanya berlegar di sekitar hukum hudud
semata-mata apabila dikemukakan idea pemerintahan Islam bagi negara kita.
Maknanya, istilah Negara Islam itu sendiri haruslah difahami
dengan pengertian yang lebih global dan menyeluruh sebagai satu penjelmaan
konsep Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap atau istilah yang sering
digunakan bagi Islam sebagai Ad-deen.
Muzakarah yang sekiranya dapat difokuskan seperti isu-isu di
atas di samping isu-isu berkaitan yang lain, saya rasa akan dapat mendekatkan
world view atau tasawur Islami yang sebenar di antara dua parti Melayu Islam
yang terbesar di negara kita ini, dan yang selama ini menjadi duri dalam daging
bagi kedua-duanya yang amat jarang sekali dibangkitkan secara berterus terang
dalam arena ilmu dan dialog.
Isu-isu ini hanya lahir dalam konflik kepartian, dan sering
menjadi bahan permusuhan antara pemimpin dan pengikut parti yang lebih bersifat
partisan serta fanatik politik yang tegar.
Muzakarah ini haruslah diadakan dalam suasana berbaik sangka
dan ikhlas serta jujur untuk mencari kebaikan bersama, terutamanya dalam
suasana ketegangan sesama Islam yang dapat kita lihat dalam dunia Islam kini,
malah yang sering membawa kepada pertumpahan darah atas nama jihad dan perjuangan untuk menegakkan Islam, sedangkan perkembangan ini amat
mencemarkan imej dan nama suci Islam.
Muzakarah ini tidak seharusnya menjadi polemik politik untuk
tujuan politik umat Islam dalam persaingan politik di negara kita, terutamanya
yang dihubungkan dengan kebangkitan perkauman dan agama akhir-akhir ini.
Malah haruslah dielakkan sama sekali tujuan politik untuk
mendapatkan dua pertiga suara di dalam Parlimen umpamanya bagi meminda
Perlembagaan untuk tujuan-tujuan yang boleh menyentuh kaum dan penganut agama
lain di negara ini.
Kalau hal ini menjadi agendanya maka kaum dan penganut agama
lain juga akan mengambil tektik yang sama bagi kaum dan pengikut agama mereka.
Saya percaya sekiranya titik perbezaan dari segi ideologi
politik, kefahaman agama, kesatuan pemikiran dan agenda pembangunan Islam di
negara kita ini dapat di selesaikan, maka tindakan-tindakan yang berikutnya
dapatlah dilaksanakan dalam jangka pendek dan jangka panjangnya.— Oleh: Datuk Dr.
Ismail Ibrahim, Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Wilayah Persekutuan.