Monday, 24 February 2014

Jom tolak Kassim Ahmad dan geng liberalnya

     
  1. MALAYSIA dikejutkan dengan kemunculan semula Kassim Ahmad setelah menyepi hampir 30 tahun lamanya. Pandangan murtadnya berkenaan hadis yang membawa kepada pengharaman bukunya pada tahun 1986 kembali disuarakan apabila beliau diberi ruang untuk bercakap pada hari Sabtu lepas, 15 Februari 2014 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Selepas itu beliau mula mendapat ruang lagi di dalam media-media dan kemungkinan akan terus mendapat ruang berita.
  2. Saya tidak berniat untuk mengulas tentang pandangan sang ‘idealis’ Kassim Ahmad itu kerana sudah ramai yang menyelar pandangannya. Penolakan terhadap hadis adalah penolakan terhadap al-Quran itu sendiri kerana arahan untuk berpegang dengan hadis datangnya dari al-Quran.  Di sudut lain, arahan untuk berpegang dengan al-Quran itu disuarakan oleh Nabi Muhammad SAW di atas lisannya kerana al-Quran itu dibunyikan kali pertama di atas lisan Nabi Muhammd SAW. Jika hadis ditolak kerana lisan Muhammad boleh tersilap periwayatannya, maka apa jaminan bahawa periwayatan al-Quran adalah betul? Idea idealis yang celaru.
  3. Akan tetapi persoalan sebenar yang patut ingin saya bincangkan, kenapa dengan mudah Kassim Ahmad sekarang mendapat pentas kembali?
  4. Pada pandangan saya, Kassim Ahmad hanya menjadi tamu di pentas yang memang sudah wujud untuk golongan liberal di Malaysia. Kemunculannya bukan mencipta pentas baru. Pentas itu sudah pun wujud lama. Ada pentas dicipta oleh golongan liberal juga. Malangnya ada juga pentas yang disediakan oleh golongan yang menanggap idea Islam Liberal.
  5. Pentas diberikan kepada Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar. Khalid ini pernah sedekah al-Fatihah kepada orang bukan Islam yang mati, pernah mengeluarkan pandangan bahawa Syiah perlu dipertahankan dan pelbagai lagi kelakuan peliknya. Apa bezanya dengan Kassim Ahmad?
  6. Pentas juga diberikan kepada Khalid Ismath yang pernah menyindir mengenai peristiwa Israk dan menyindir bahawa Ustaz Harun Taib adalah seorang nabi. Apa juga bezanya dengan Kassim Ahmad?
  7. Pentas juga masih diberikan kepada Ahmad Farouq Musa dan Fuad Rahmat dari IRF. Mereka secara halus mempromosikan penafsiran al-Quran secara hermenutika. Mereka menafsirkan secara salah pemikiran al-Maududi, Sayid Qutb dan ramai lagi ulama Islam demi menjual idea mereka.  Mereka menolak negara Islam dan mempromosikan negara sekular. Malangnya, buku Wacana Pemikiran Reformis mereka diberikan prakatanya oleh Dr Zulkifli Ahmad, Pas dan tidak habis-habis dipuji oleh Dr Mujahid, Pas. Apa beza mereka ini dengan Kassim Ahmad sebenarnya?
  8. Bagaimana pula dengan Zainah Anwar dari Sister in Islam? Beliau pernah menolak hudud secara terang-terangan. Pernah juga memberikan pandangan bahawa fatwa dan undang-undang adalah terpisah dengan ertikata jika Majlis Fatwa mana-mana negeri mengeluarkan fatwa umum ke atas satu-satu masalah, itu tidak akan terkena perlaksanaannya kepada semua orang. Apa beza kata-kata dan pandangannya terhadap Islam dengan Kassim Ahmad?
  9. Cuba lihat pula Marina Mahathir. Secara terang-terangan menyokong segala tuntutan Comango yang liberal, tetapi masih diberikan ruang istimewa dilantik menjadi Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional. Telitilah pemikirannya di dalam pelbagai isu dan nilai dengan neraca Islam. Jauh sangatkah bezanya dengan Kassim Ahmad?
  10. Satu lagi tokoh yang saya nak sebut di sini, mungkin sedikit tidak bersetuju, tetapi saya yakin majoriti umat Islam akan bersetuju. Apa pula pandangan kita terhadap Anwar Ibrahim? Bagaimana ucapannya berkenaan Religion and Pluralisme in a Divided World (Agama dan Pluralisme Dalam Dua Dunia), pada 18 Mac 2010, di London School of Economic (LSE)? Begitu juga ucapan-ucapannya selepas itu yang mengulangi konsep yang sama dengan lafaz yang berlainan? Tidakkah itu juga pandangan liberal yang bercanggah dengan Islam?
  11. Dan banyak lagi yang boleh dikongsikan di sini. Ada tokoh yang memang liberal. Ada tokoh yang membawa idea liberal tapi kerana dia membacakan sikit-sikit ayat al-Quran dan Hadis (tapi secara salah), masyarakat rasa idea mereka boleh diterima di sisi Islam.
  12. Penentangan terhadap tokoh-tokoh liberal ini mesti dilakukan secara menyeluruh. Golongan ini berbahaya dan idea yang mereka bawa jika meresap ke dalam masyarakat boleh meruntuhkan terus baki struktur Islam di dalam masyarakat. Mereka wujud di dalam pelbagai pertubuhan samada dalam BN atau PR atau badan-badan berjenama Islam yang lain.
  13. Saya memuji pihak yang mengecam Kassim Ahmad dan ideanya. Tetapi jangan lupa juga untuk mengecam sama idea dari tokoh-tokoh liberal yang lain termasuklah Anwar Ibrahim. Tanpa menuduh niat, saya juga mengingatkan agar kecaman terhadap Kassim Ahmad memang benar-benar kerana idea liberalnya dan bukan kerana ingin menjatuhkan blok politiknya semata-mata.
  14. Bagi yang mungkin menganggap penutup artikel ini sebagai bias, saya menegaskan bahawa Isma telah pun mengeluarkan kenyataan tentang Kassim Ahmad pada 17 Februari lepas. Tanpa mengira blok kepartiannya, kami menganggapnya idealis sesat dan menyokong fatwa 1986 yang menjatuhkan beliau sebagai murtad dan wajib dibunuh jika mengikut undang-undang Islam.-- Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni