Tuesday, 21 April 2015

KWSP beri dua pilihan tapi caruman naik ikut cuaca ekonomi

CEO KWSP yang kontroversi
  1. Rakyat Malaysia berasa lega sedikit apabila KWSP memberi cadangan dua pilihan pengeluaran penuh pencarum iaitu pada usia 55 dan 60 tahun.
  2. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak lagi lantang berteriak seperti minggu lepas kerana khabar terkini mengatakan pencarum diberi pilihan tersebut.
  3. Namun institusi itu diingatkan supaya memikirkan inisiatif untuk memberi pulangan dividen yang lebih tinggi sejajar dengan pelaburan yang banyak di luar negara.
  4. KWSP hari ini mencadangkan dua pilihan pengeluaran wang caruman penuh ahli iaitu yang diselaraskan sepenuhnya pada usia 60 tahun menjelang 2031 serta pengeluaran seperti biasa pada usia 55 tahun.
  5. Dalam cadangan kedua-dua pilihan itu, tiada perubahan peraturan untuk pengeluaran prapersaraan seperti sedia ada iaitu pada usia 50 tahun.
  6. Pencarum yang terlibat bagi cadangan pengeluaran penuh wang caruman pada usia 60 tahun adalah bagi mereka yang kini berusia 43 tahun dan ke bawah.
  7. Bagi pilihan kedua iaitu pengeluaran pada usia 55 tahun, sekiranya pencarum masih bekerja sehingga umur 60 tahun, wang caruman baharu untuk tempoh lima tahun itu akan dikunci dan dibenarkan untuk dikeluarkan sepenuhnya selepas tempoh berkenaan.
  8. Realitinya walaupun cadangan caruman sehingga usia 60 tahun itu dijadikan pilihan, pencarum memilih untuk tamat berurusan dengan KWSP pada usia 55 tahun.
  9. Berdasarkan tinjauan media di beberapa negeri, kesemua pencarum mahu wang mereka pada 55 tahun kerana mereka sudah ada perancangan kewangan.
  10. Mereka juga berpendapat, usia 60 tahun sudah terlalu tua untuk menikmati wang caruman memandangkan dalam usia itu pelbagai penyakit sudah ‘hinggap’ di badan.
  11. Wang caruman yang dikeluarkan pada usia 55 tahun lazimnya digunakan untuk membiayai kos pendidikan anak-anak, penjagaan kesihatan dan menampung perbelanjaan harian.
  12. Lebih penting lagi, tidak semua pekerja swasta dibenarkan bekerja sehingga usia 60 tahun walaupun akta mengenainya sudah dikuatkuasakan.
  13. Apa yang berlaku di sektor swasta ialah pekerja ditukarkan statusnya kepada pekerja kontrak yang perlu diperbaharui setiap tahun.
  14. Bayangkan bayangkan bagaimana nasib mereka yang terus bekerja hingga usia 60 tahun tetapi di pertengahan jalan mereka ditamatkan kontrak atas faktor kesihatan.
  15. Bolehkah KWSP membenarkan mereka membuat pengeluaran penuh pada usia 57, 58 atau 59 tahun?
  16. Penjawat awam mungkin tidak ada masalah kerana jika pekerja itu ada masalah kesihatan, mereka akan dipindahkan ke jabatan atau bahagian yang lebih ringan tugas dan tekanan.
  17. Namun di sektor swasta, majikan sentiasa mementingkan keuntungan melalui produktiviti. Pekerja yang tidak kompeten akan ditamatkan kontrak tanpa sebarang kompromi. Sudah tentu KSWP tidak dapat menjaga kebajikan mereka kerana itu di luar skop tugas institusi itu.
  18. Mahu tak mahu pencarum mesti membuat pilihan bijak dan tepat untuk menggunakan wang caruman bagi meneruskan sisa-sisa kehidupan mereka selepas bergelar pesara.
  19. Bagaimanapun usaha KWSP untuk menaikkan kadar caruman akan menjejaskan gaji bersih yang digunakan pekerja untuk menampung kehidupan harian lantaran ia telah diselaraskan dengan gaji minimum pekerja.
  20. Peningkatan peratusan kadar caruman bagi syer pekerja dan majikan sememangnya dapat memberi impak berganda terhadap simpanan persaraan ahli.
  21. Bagaimanapun, KWSP juga perlu peka dan mengambil kira faktor-faktor lain seperti keadaan ekonomi semasa rakyat Malaysia yang terpaksa mengharungi peningkatan kos sara hidup. Wang simpanan KWSP adalah untuk tujuan persaraan ahli dan ia bergantung kepada beberapa faktor seperti kadar upah yang diterima, kadar caruman majikan dan pekerja, pemberian dividen tahunan serta sebarang pengeluaran yang dibuat sebelum mencapai umur 55 tahun.
  22. Kecukupan simpanan persaraan ahli juga bergantung kepada kesedaran mereka untuk menabung lebih awal bagi menyelaraskan simpanan dengan gaya hidup yang diingini selepas bersara. Ahli juga perlu mengambil kira keadaan kesihatan mereka semasa persaraan dengan menyediakan simpanan secukupnya memandangkan kos kesihatan yang semakin meningkat.

Mahukah Mat Maslan letak jawatan atas kemelut GST


  1. Hampir semua presiden, perdana menteri dan menteri di mana-mana negara sekalipun pasti pasti didesak supaya LETAK JAWATAN jika situasi tidak menyenangkan berlaku.
  2. Kalau suatu masa dahulu desakan seperti itu sering dilakukan oleh kumpulan sayap kiri namun kini gertak mengertak supaya letak jawatan kerap berlaku di kalangan kumpulan pro kerajaan juga.
  3. Dalam konteks Malaysia, pada masa ini dua manusia istimewa yang paling dikehendaki supaya meletakkan jawatan masing-masing dengan kadar segera ialah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Datuk Ahmad Maslan. 
  4. Ada ramai tokoh lagi yang diminta letak jawatan, antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamed Sabu, Mohamed Azmin Ali dan Lim Guan Eng juga mempunyai `rating' yang tinggi. Namun mereka tetap tidak sepopular Mohd Najib dan Mat Maslan.
  5. Ironinya Mat Maslan pula dilihat `tertonjol’ sebagai tokoh politik dan pentadbir yang paling popular dan berjaya mengatasi populariti Perdana Menteri. Beliau sangat dekat di hati rakyat kerana isu GST yang menggelisahkan semua.
  6. Dari pagi hingga ke subuh, rata-rata rakyat Malaysia dari selatan, utara, timur dan barat tidak putus-putus mencemuh Mat Maslan dan mendesak beliau segera meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri kewangan.
  7. Rakyat tanpa mengira parti, bangsa dan agama begitu terkesan dengan beban GST, namun Mat Maslan muncul selamba di kaca televisyen dengan pelbagai jawapan ringan dan melucukan yang membikin hati rakyat sakit tak terhingga.
  8. Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ketua Penerangan UMNO itu telah membuat banyak kenyataan yang sangat meninggalkan kesan mendalam di hati rakyat Malaysia.
  9. Namun, pasti kita semua tertanya-tanya bagaimana beliau mampu berada di kedudukan tertinggi dalam parti dan juga kerajaan persekutuan.
  10. Walaupun jawatan dalam kabinet ditentukan berdasarkan kualiti politik dari tahap kelayakan, namun Mat Maslan dikatakan tokoh paling teruk.
  11. Benar Mat Maslan memiliki kelulusan akademik tinggi, namun rakyat mempersoalkan EQ (emotional intelligence quotient) beliau.
  12. Dalam beberapa blog popular, ada pihak melontarkan pelbagai sebab mengapa Mat Maslan perlu segera berhenti mewakili kerajaan dalam isu GST. Beliau samada dipindah ke kementerian lain atau terus letak jawatan sebagai timbalan menteri.
  13. Tetapi belum ada menteri yang sanggup letak jawatan secara gentleman atas desakan orang ramai kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi.
  14. Dalam kes Mat Malsan, blogger menggariskan LIM sebab Mat Maslan perlu mengosongkan kerusi sebagai timbalan menteri.
  15. PERTAMA. Beliau dilihat bersikap keanak-anakan dan tidak realistik. Berada dalam kedudukan yang mempunyai kuasa datang dengan pelbagai cabaran antaranya ianya cukup mudah untuk seseorang itu tidak menjejakan kaki dalam dunia realiti seperti yang dialami seorang timbalan menteri.
  16. Memberitahu pelajar untuk memasak sendiri bagi menghadapi GST dan “menasihati” rakyat untuk mengelakkan dari membayar caj perkhidmatan restoran 10%, adalah beberapa petikan terkenal daripada beliau.
  17. Kita tertanya-tanya bilakah kali terakhir beliau terpaksa membayar untuk makan sendiri. YB juga, pasti selalu makan di luar daripada memasak di rumah. Tidak semua barangan runcit adalah kadar sifar atau dikecualikan daripada GST juga.
  18. KEDUA. Mat Maslan ternyata tidak memahami dasar sendiri. Satu realiti yang amat nyata iaitu pada kebanyakan kenyataan yang dibuat, beliau tidak memahami sepenuhnya dasar-dasar sendiri. Dan ia seolah-olah tidak dapat memahami rintangan dan kelemahan dalam pelaksanaan itu. Dalam kes ini, ialah pelaksanaan GST.
  19. Daripada memberitahu orang mengabaikan caj perkhidmatan 10%, mengapa tidak dia memberi amaran setiap hari kepada pemilik restoran-restoran yang mengambil kesempatan daripada GST?
  20. Mat Maslan juga berkata bahawa GST hanya mempengaruhi yang kaya kerana ia adalah cukai berasaskan penggunaan. Tapi pasti semua tahu, mereka yang miskin juga membeli barangan runcit.
  21. Dalam kes GST, Mat Maslan sepatutnya menerima kritikan dan memberi tumpuan memperbaiki masalah, bukannya memesongkan isu atau memberikan jawapan `sacarstic’ atau liar.
  22. KETIGA. Mat Maslan dilihat tidak mahu mendengar permintaan rakyat. Kuasa seorang pemimpin di negara ini datang daripada rakyat. Apabila rakyat tidak puas hati, pemimpin perlu mengambil tindakan dan bukan mengabaikan mereka.
  23. Mat Maslan asyik mengulangi fakta teori yang disebut sebelum pelaksanaan GST, walaupun selepas menerima beribu-ribu aduan mengenainya.
  24. Hakikatnya, kos sara hidup telah meningkat, beberapa harga tidak turun seperti yang diharapkan. Hakikatnya, kerajaan masih mempunyai isu dengan peruncit yang mengambil kesempatan daripada GST.
  25. KEEMPAT. Mat Maslan dilihat kurang kemahiran dalam berkomunikasi walhal beliau adalah Ketua Penerangan Umno. Rakyat melihat beliau seolah-olah hanya berminat dengan komunikasi sehala, di mana dia memberitahu rakyat apa yang mereka harus dengar.
  26. Beliau juga pernah berkata bahawa sangat okay untuk BN berkempen di sekolah kerana dari segi teknikalnya ianya adalah aset kerajaan. Ianya seperti kenyataan menyombong. Mungkin Mat Maslan terlalu yakin dengan kemahiran `komunikasi bermonolog’.
  27. KELIMA. Mat Maslan membuat rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan. Ditambah pula dengan kerajaan sedang berdepan isu 1MDB, kenyataan Mat Maslan menambah lagi sakit hati rakyat Malaysia.
  28. Rata-rata rakyat berkata Timbalan Menteri ini (Mat Maslan) telah membuatkan Perdana Menteri Malaysia kelihatan seperti orang bodoh. Beliau telah mengkhianati amanah yang diamanahkan kepadanya.
  29. GST bukanlah kontroversi pertama yang dicetuskan oleh Mat Maslan. Sebelum itu, ketika harga petrol melonjak naik pada tahun 2013, beliau mencadangkan setiap individu hanya mengunakan kenderaan untuk pergi bekerja di tempat yang dekat dengan rumah.
  30. Berkenaan BR1M pula, bantuan RM100 sekolah dan subsidi petrol (yang kini sudah dibatalkan) dia berkata tiga bulan hidup rakyat telah pun di ‘sponsor’ kerajaan. Sifat angkuh dan bongkak itu adalah satu pencemaran dalam pentadbiran negara.
  31. Mengapa beliau masih kekal sebagai timbalan menteri sememangnya menjadi persoalan besar rakyat. Najib sepatutnya mengambil langkah lebih tegas dan memberhentikan timbalan menteri ini yang telah melakukan lebih keburukan dari kebaikan.
  32. Rakyat percaya negara ini masih punyai individu yang layak untuk menggalas jawatan timbalan menteri kewangan dengan penuh saksama. Namun rakyat tak mampu menurunkan Mat Maslan dari jawatannya.
  33. Najib juga mungkin tidak ada masa untuk mencari timbalan menteri kewangan yang baru kerana jawatannya sendiri sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia kini tercabar dan didesak oleh orang ramai supaya berhenti.

Fatwa GST ikut sedap mulut ulama atau pengkritik

  1. Semakin ramai manusia tidak berilmu tampil di laman sesawang untuk mencemuh dan menghina `ikut sedap mulut' terhadap golongan ulama kerana tiada siapa mampu menghalang nafsu mereka daripada melemparkan kritikan.
  2. Kritik di media sosial tidak memerlukan asas pendidikan tertentu kecuali mereka yang mahu berhati-hati bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. Selebihnya orang ramai dilihat `gila' mencaci, menghina, menyindir sesiapa saja yang mereka suka atas nama kritikan tanpa perlu disokong dengan cadangan membina.
  3. Hampir 100 peratus kritikan yang dilemparkan di laman sosial dilihat mengikut nafsu tanpa mengira mangsa, tempat dan masa. Golongan ulama Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kritikan awam termasuk budak-budak nakal.
  4. Kebelakangan ini golongan ulama telah dipersenda kerana merumus fatwa yang mengharuskan GST. Pada awalnya kritikan itu datang dari sekelumit cendikiawan Islam yang membuat penilaian berdasarkan pengamatan mata dan perasaan lalu menggunakan al Quran untuk mengesahkan GST itu haram. Tanpa segan silu mereka berceramah dan mengkritik Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang disifatkan membuat fatwa secara sambil lewa dan main ikut sedap.
  5. Lalu orang awam yang mendengar ceramah itu pun merakamkannya menerusi telefon bimbit dan menyebarkan di laman sosial. Dalam tempoh beberapa jam saja ia menjadi viral dan digilai umat Islam yang kurang ilmu.
  6. Apabila Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat penjelasan panjang lebar mengenai hukum GST melalui laman rasmi kerajaan, kelompok umat Islam yang cetek ilmu ini malas nak membacanya dan terus bersandar kepada ilmu video klip pendek yang diviralkan oleh orang yang tidak berilmu juga.
  7. Paling tidak mereka akan berkata: “Jika persepsi aku salah mengenai GST, maka sudah tentu ustaz yang menyampaikan ceramah dalam video itu yang patut dipersalahkan dan wajib tanggung dosa.”
  8. Semudah itu umat Islam membuat tanggapan mengenai hukum tanpa mahu merujuk kepada institusi yang menggubal perundangan.
  9. Atas rasa sedih dengan tanggapan buruk di kalangan majoriti umat Islam di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah tampil untuk memberitahu bahawa keputusan mereka untuk memutuskan hukum GST sebagai harus adalah berdasarkan kajian dan penyelidikan.
  10. Fatwa itu bukannya dibuat 'ikut sedap' dan 'sambil lewa' sepertimana kritikan segelintir pihak yang mungkin cetek ilmu.
  11. Pengerusi jawatankuasa itu Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, keputusan menjatuhkan hukum GST sebagai ‎harus telah dilakukan secara terperinci dan telah mengambil kira semua pandangan ulamak muktabar.
  12. "Sebelum keputusan harus ini dibuat, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengarahkan satu kajian terperinci dijalankan dan kajian telah  dilaksanakan secara insentif oleh kumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terdiri daripada pakar-pakar syariah dan ekonomi.
  13. "Oleh itu hasil kajian kami mendapati kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum pentadbiran negara dan rakyat. Sehubungan itu, adalah tidak tepat sekiranya dakwaan yang mengatakan bahawa keputusan yang telah dibuat oleh muzakarah terhadap isu GST ini adalah berdasarkan hujah yang longgar dan tidak menepati kaedah hukum syarak kerana bersandarkan kepada maslahah.
  14. “Istilah maslahah dalam konteks keharusan GST ini perlu difahami dalam konteks yang luas dalam hukum fiqh iaitu maslahah dharuriyat dan hajiyat.
  15. "Muzakarah juga ingin menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa keputusan yang diputuskan oleh muzakarah bercanggah dengan Islam kerana berdasarkan kepada maslahah dan tidak membezakan golongan kaya dan miskin adalah amat tidak tepat," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Jakim, Putrajaya.
  16. Jelasnya, sekiranya mereka meneliti keputusan Muzakarah tersebut secara positif dan dengan hati terbuka, maka akan jelas difahami bahawa keputusan Muzakarah mengharuskan GST telah diikat dengan syarat parameter syarak.
  17. Mengulas lanjut, katanya  hukum harus  itu juga diputuskan berdasarkan keadaan semasa yang berlaku sekarang.
  18. "Muzakarah dalam membuat keputusan mengharuskan GST dengan diikat dengan beberapa syarat, telah meneliti secara mendalam semua pandangan dan  penghujahan yang dibawa oleh semua ulama dan pakar-pakar ekonomi Islam dan konvensional.
  19. "Rumusan yang dibuat adalah berdasarkan suasana ekonomi negara ini dan juga dunia selaras dengan kaedah fiqh "Perbuatan Pemerintah Terhadap Rakyatnya  Adalah Bergantung Kepada Maslahat".
  20. “GST adalah sebahagian ijtihad ekonomi pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran negara dan rakyat.
  21. "Oleh itu pertimbangan hukum yang telah dibuat ini tidak dilakukan secara sembrono dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik,‎" jelasnya.