Tan Sri Rozali bersama Sekretariat Permuafakatan Siswa-Siswi FELDA (PERSADA) Universiti Malaya. |
- KUALA LUMPUR 19 Jan. - Masalah kekurangan bekalan air di Lembah Klang, Putrajaya dan Selangor tidak akan selesai selagi loji baharu tidak dibina serta projek- projek meningkatkan kapasiti air di loji sedia ada tidak dilakukan.
- Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail berkata, krisis air di Lembah Klang baru-baru ini boleh menjadi lebih buruk sekiranya tiada tindakan segera diambil.
- Katanya, krisis air itu juga boleh berulang selagi loji baharu tidak dibina dan loji-loji air sedia ada di sekitar Selangor tidak dinaik taraf.
- "Perkara ini yang sering kami maklumkan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan. Banyak projek bagi mengatasi masalah ini belum dilaksanakan terutamanya projek besar seperti pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) yang sepatutnya boleh siap dengan cepat tetapi masih belum dibina.
- "Maknanya kita akan sentiasa menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah. Kalau tidak bina loji baharu, besarkan loji sedia ada, masalah ini akan berterusan dan makin besar, ini yang kita perlu hadapi," katanya.
- Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sederap Selangkah ke Universiti 2013 anjuran Sekretariat Permuafakatan Siswa-Siswi Felda (Persada) Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Generasi Felda Malaysia (Perkesan) di sini hari ini.
- Rozali yang merupakan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda memberitahu, pihaknya tidak boleh melaksanakan banyak projek yang dirancang untuk membaik pulih sistem agihan memandangkan kerajaan negeri Selangor memberi arahan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) untuk tidak melaksanakannya.
- Ekoran itu katanya, kerja-kerja membaik pulih, menaik taraf dan menambah sistem bekalan air ke loji-loji air tidak dapat dilaksanakan sekali gus menyusahkan pengguna.
- "Berikutan masalah kekurangan bekalan air mentah juga, ada projek-projek perumahan di kawasan baharu tidak dapat diberikan kelulusan oleh Syabas kerana bimbang tidak mempunyai simpanan air yang mencukupi untuk disalurkan," jelasnya.
- Dalam pada itu, Rozali bersyukur kerana krisis air di Lembah Klang dapat diatasi, namun mengingatkan penduduk di kawasan berkenaan menggunakan air secara berhemah kerana Syabas masih mengalami masalah kekurangan bekalan air mentah.
- "Walaupun krisis air sudah berakhir tetapi kita masih mengalami gangguan bekalan berskala kecil dan tekanan air rendah di beberapa kawasan kerana kekurangan bekalan air mentah dalam sistem.
- "Selain itu, loji sedia ada juga telah beroperasi lebih daripada kapasiti sepatutnya," ujarnya.