Thursday, 3 September 2015

Sanusi bercerita soal Bersih 4


  • Ramai bertanya kenapa Tun Dr Mahathir Mohamed melibatkan diri dalam perhimpunan Bersih 4 dan seterusnya tidak hadir  pada sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini.
  • Saya (Sanusi) berada bersama Mahathir di waktu beliau di Dewan Pasir Gudang, Johor pada 29 Ogos, 2015.
  • Setelah Mahathir berucap ada pihak bertanya mengenai Bersih 4. Beliau menjawab, walaupun tidak setuju dengan Bersih 1, 2 dan 3 tetapi ada perbezaan dengan Bersih 4 yang menyebabkan ia patut disokong.
  • Matlamat utama Bersih 4 ialah untuk menuntut supaya Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak meletak jawatan. Tun Dr. Mahathir bersetuju dengan matlamat ini.
  • Malahan orang yang pertama meminta Dato' Seri Najib meletak jawatan ialah Tun Dr. Mahathir. Sebelum Tun Dr. Mahathir meminta Dato' Seri Najib meletak jawatan, ATAU merobah dasar dan caranya, tidak ada seorang pun yang berani berbuat demikian.
  • Boleh dikatakan, dengan menuntut Dato' Seri Najib meletak jawatan, Bersih 4 ini telah MEMINJAM temanya dari Tun Dr. Mahathir.
  • Tanpa karenah Dato' Seri Najib, Bersih 4 tidak mungkin diadakan. Oleh itu Dato' Seri Najib bertanggungjawab atas wujudnya program BERSIH 4 yang temanya dipinjam dari Tun Dr. Mahathir.
  • Sejak Tun Dr. Mahathir meminta Dato' Seri Najib meletak jawatan isu skandal 1MDB sudah menjadi lebih tersebar dan bersemarak ke seluruh dunia.
  • Tersebarnya kisah skandal 1MDB ini bermula apabila Menteri Luar Negeri menulis surat bantahan kepada New York Times atas berita mengenai 1MDB, sedangkan siaran akhbar luar negara sebelumnya, mengenai Malaysia sebagai sebuah negara yang amalan rasuahnya terhebat di dunia, tidak dipandang berat oleh Menteri Luar Negeri.
  • Inilah yang memberi gambaran skandal 1MDB lebih serius dari masalah RASUAH yang melanda negara.
  • Berikutan itu Malaysia juga menjadi bertambah terkenal di seluruh dunia apabila kita meminta INTERPOL untuk menangkap Clare Brown sebagai editor Sarawak Report, sebuah penerbitan yang beribu pejabat di United Kingdom.
  • Dosa Clare Brown ialah kerana membuat laporan mengenai penyelewengan dalam 1MDB. Permintaan kerajaan Malaysia telah ditolak oleh INTERPOL dan telah dihebahkan kepada 190 Negara anggota.
  • Apa yang patut dilakukan ialah menyaman Clare Brown atas penulisannya yang dikatakan tidak betul dan mencemar nama negara. Kenapakah kita tidak berani membawa Clare Brown ke Mahkamah?
  • Sekaligus dengan itu Timbalan Presiden UMNO, yang dipilih secara demokratik di dalam Perhimpunan Agong UMNO telah dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana BERTANYA mengenai 1MDB di dalam satu majlis UMNO Bahagian Cheras.
  • Walaupun Timbalan Presiden UMNO yang dipilih secara demokratik telah dipecat dari jawatannya rakyat Malaysia pula tidak dibenarkan mengkritik, dengan niat menjatuhkan Perdana Menteri atas sebab beliau dipilih dengan cara demokratik.
  • Berertilah tafsiran demokrasi itu bergantung kepada nafsu pentafsir. Di satu pihak yang dipilih secara demokratik oleh UMNO boleh dipecat tetapi yang dipilih dalam pilihanraya, walaupun dengan undi popular yang minority tidak boleh dikritik langsung. Siapakah yang akan akur kepada pandangan sedemikian?
  • Setakat yang kita tahu kegawatan 1MDB di peringkat ini melibatkan hanya Dato' Seri Najib, Jho Low, Arul Kanda, Deepak dan dua orang Arab sahabat karib Jho Low.
  • Dunia mengetahui mengenai kewujudan PASUKAN PETUGAS KHAS untuk mengkaji kedudukan 1MDB sebenarnya. Antara anggota pasukan petugas ini ialah Peguam Negara sebagai Pengerusi, Ketua Pengarah SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia), Gabenor Bank Negara dan Ketua Polis Negara.
  • Harapan rakyat Malaysia yang menunggu, dengan sabar dan gelisah, terhadap hasil penyiasatan pasukan petugas ini begitu besar dan rakyat tidak sabar untuk menunggu hasil penyiasatan yang memakan masa begitu lama.
  • Jangka waktu penyiasatan dijalankan sudah tentu selama masa yang diperlukan untuk pihak pengurusan 1MDB dengan gopoh gapah mencari cara untuk menimbus segala bangkai yang hendak ditanam, menutup segala lobang yang luas yang telah tergali, akibat penyelewengan yang telah berlaku.
  • Di kalangan ahli politik pula mereka menaruh harapan besar kepada Jawatankuasa Kewangan Negara (PAC) yang terdiri dari wakil parti kerajaan dan pihak pembangkang dari berbilang parti, membuat penyelidikan yang diharapkan.
  • Setelah beberapa waktu pihak Bank Negara telah mengeluarkan perintah untuk menangkap dua orang untuk membantu penyelidikan sementara pihak SPRM pula telah mengeluarkan waran tangkap untuk dua eksekutif kanan yang terlibat dalam kes 1MDB.
  • Malangnya waran tangkap itu keluar setelah keempat orang tersangka itu telah terlebih dahulu selamat berangkat ke destinasi yang tidak diketahui di luar negara.
  • Timbul tanda-tanya bagaimanakah mereka mengetahui terlebih dahulu bahawa mereka akan ditangkap sehingga mereka sempat keluar negara sebelum waran tangkap dikeluarkan.
  • Pihak PAC pula telah meminta supaya Jho Low dan Arul Kanda untuk tampil ke hadapan untuk disoal-siasat mengenai 1MDB.
  • Jho Low dan Arul Kanda enggan hadir pada tarikh yang ditetapkan sedangkan panggilan PAC sebagai sebuah jawatankuasa terpenting dalam Parlimen tidak pernah dipandang ringan oleh pihak kerajaan.
  • Dalam suasana tegang beginilah tindakan berikut berlaku:
  1. Pemecatan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
  2. Pemecatan Naib Presiden UMNO Dato' Shafie Afdal, yang berasal dari Sabah, dari jawatan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.
  3. Pemecatan (dinamakan pemberhentian kerana kesihatan) Peguam Negara Tan Sri Abd. Ghani Patail dari jawatannya merangkap pengerusi PASUKAN PETUGA KHAS.
  4. Ketua SB Dato' Seri Akil Bulat telah dipercepatkan persaraannya.
  5. Timbalan Ketua SB Datuk Abdul Hamid Bador telah ditukar ke Jabatan Perdana Menteri. (SB ialah Special Branch = Unit Khas yang menjalankan penyelidikan ke atas yang dicurigai bersalah)
  6. Ketua Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Abu Kassim bin Mohamad) telah diarah untuk bercuti.
  7. Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM (Datuk Bahari Mohammad Zin) telah dipindah ke Jabatan Perdana Menteri. Setelah diprotes beliau dipindah balik ke SPRM.
  8. Pengarah Stratejik Komunikasi SPRM (Datuk Rohaizad Yaakob) telah dipindah ke Jabatan Perdana Menteri. Setelah diprotes dipindah balik ke SPRM.
  9. Pengerusi dan 3 ahli jawatankuasa PAC (Nur Jazlan Mohamed (Timbalan Menteri), Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri), Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri) dan Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri) telah dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri dan Menteri dan dengan itu terhentilah penyelidikan sehingga beberapa bulan lagi untuk melantik ahli baru sebagai pengganti anggota PAC yang telah dinaikkan pangkat.
  • Sedang suhu politik di dalam Negara menjadi bertambah panas, beban GST dideritai rakyat, nilai ringgit terus menurun, bursa saham juga menjunam turun nilai sahamnya, pelabur asing berangkat pergi, rakyat yang kaya memindahkan wang mereka ke mata wang asing, pekerja banyak dihentikan, beliawan dan beliawanis sukar mendapat kerja, tiba-tiba berita RM2.6 bilion telah dimasukkan dalam akaun peribadi Dato' Seri Najib.
  • Kononnya wang ini untuk UMNO menghadapi PRU ke 13 yang didermakan oleh kerabat di raja Arab Saudi dan orang kaya di sana. Berita sumbangan ini dibocorkan oleh seorang Ketua UMNO Bahagian yang hadir dalam banyak perjumpaan tertutup.
  • Katanya 'derma' ini  ialah kerana amalan Islam yang baik di Malaysia dan kejayaan Malaysia menentang gerakan IS.
  • Perlu diketahui bahawa Pengerusi Aabar Investment, Khadem al Qubaisi telah ditamatkan khidmatnya pada bulan April, 2015 oleh pemegang saham kerana terlibat dalam skandal 1MDB.
  • Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aaabar Investment Mohamed Badawi al Husseiny juga telah ditamatkan khidmatnya pada 24 Ogos, 2015.
  • Dari lapuran akhbar the Gulf Times di Timur Tengah, saya difahamkan adanya tajuk tajuk berita 'The Saudis Are Not Amused With their involvement with 1MDB.'
  • Dalam PERJUMPAAN TERTUTUP begini jugalah diberitahu bahawa 'derma' dari Arab ini ialah untuk membantu UMNO melawan DAP yang didukung oleh pihak Yahudi.
  • Adalah jelas bahawa dalam siri PERJUMPAAN TERTUTUP beginilah segala pembohongan dapat disampaikan dengan penuh keghairahan.
  • Adakah mungkin Yahudi menyokong DAP untuk menjatuhkan UMNO sedangkan pemimpin UMNO sekarang adalah sahabat baik Yahudi sehingga mendapat kesempatan bank milik Yahudi Goldman Sachs dapat komisyen 10% atau RM4.2 ribu juta atau billion, kerana menguruskan pinjaman RM42 ribu juta dengan faedah 6.6%.
  • Jika pinjaman begini diuruskan oleh Bank Negara Malaysia maka tidak perlulah bayar kepada rakan Yahudi begitu banyak wang dan jika pinjaman biasa dengan jaminan kerajaan faedah yang pernah dikenakan ialah serendah di bawah 1%. 
  • Dari dokumen yang diketahui wang yang dikatakan 'derma' dari Arab sejumlah RM2.6 bilion ini berpunca dari 1MDB.
  • Derma sebanyak itu susah untuk dipercayai kecuali oleh mereka yang taksub dan telah banyak terhutang budi. Derma Arab kepada Palestin, yang sebangsa dan seugama dengan mereka tidak sebesar itu.
  • Indonesia, Mesir dan Pakistan mempunyai lebih ramai umat Islam, malahan berlipat kali ganda, dari penduduk Islam di Malaysia. Ekonomi Malaysia juga tidak memerlukan 'derma' begitu banyak dari pihak mana jua.
  • Apakah habuan yang diperolehi oleh yang menderma? Dermakah namanya jika dapat habuan sebelum memberi derma?
  • Undang-undang Negara kita juga tidak membolehkan 'derma' atau apa jua sumbangan dari luar negara yang ingin mempengaruhi politik kita.
  • Kita telah membuat peratuan ini supaya parti pembangkang di Malaysia tidak dibiayai oleh negara luar seperti pihak-pihak dari Singapura, Taiwan dan China atau Negara mana juga. Inikan pula kita yang menerima 'derma?'
  • Adanya pengakuan Menteri dan juga Ketua Bahagian atas penerimaan peruntukan yang tertinggi dalam PRU ke 13 ialah RM2 juta ringgit. Jika semua 180 UMNO Bahagian menerima RM2 juta bagi setiap bahagian maka jumlah wang yang telah diberi ialah lebih kurang RM360 juta. Kemana perginya sisa RM2.240 bilion lagi.
  • Katanya dipindahkan ke akaun peribadi Dato' Seri Najib di Singapura. Kenapa begitu? Kenapa wang untuk UMNO diperlakukan demikian. Bagaimana dengan IS yang telah kita kalahkan pada tahun 2013, waktu Dato' Seri Najib menerima 'derma' sedangkan pada waktu itu IS BELUM WUJUD untuk kita perangi?
  • Tiba-tiba terdengar Ce' Anina Saaduddin, seorang pemimpin Wanita UMNO dari Langkawi telah menggunakan bahasa yang dikatakan 'kasar' oleh pihak atasan. Anina bangga dengan bahasanya kerana dengan cara itu beliau nampak ada perhatian.
  • Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sopan bahasanya boleh dipecat apa perlunya Anina bersopan jika suaranya tidak mungkin dipedulikan. Begitu penjelasan Anina. Yang jelas ialah Pemimpin Utama UMNO sudah terhakis rasa hormat rakyat terhadapnya. Lojikkah undang-undang yang menghukum seseorang ahli yang memperjuangkan hak UMNO?
  • Dalam keadaan sekarang adalah mustahil 3 juta ahli UMNO menyokong pemimpin UMNO. Dengan penglibatan Tun Dr. Mahathir dalam BERSIH 4 Menteri Pertahanan merasakan 'Tun M has crossed the line' dan peluang untuk mereka popular dengan menghentam Tun M akan membara semula.
  • Harapan ini adalah palsu belaka kerana ramai pemimpin UMNO sudah 'cross the line' begitu lama dengan mengenepikan undang-undang, tata-cara dan adat memerintah negara dengan adil dan saksama. Tun Mahathir mengambil tindakan yang 'unconventional' untuk membetulkan sikap pemimpin negara.
  • Kini Anina sudah bergerak setapak lagi dengan mengambil dayausaha untuk mendapatkan kembali, melalui mahkamah, baki wang yang dikatakan derma untuk UMNO itu dikembalikan kepada UMNO dan tidak disimpan di Singapura dalam akaun peribadi Dato' Seri Najib.
  • Anina berbuat demikian kerana tokoh UMNO, yang segak dan tampan, tidak berani walaupun untuk bertanya kerana telah melihat apa yang berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  • Sudah tentu Anina akan dipecat kerana ada peruntukan di dalam perlembagaan UMNO di mana keahlian gugur jika seseorang ahli membawa UMNO ke pengadilan. Tetapi apa pilihan Anina jika yang diadu mengambil wang UMNO itu dikatakan pemimpin UMNO sendiri. Sudah tentu undang-undang UMNO tidak bertujuan untuk melindungi mereka yang merampas hak UMNO.
  • Setelah itu kita dengar pula Dato' Paduka Khairuddin Abu Hassan melaporkan kepada pihak polis di London, Paris, Bern, Singapura dan Hong Kong mengenai kes 1MDB. Apakah salah Dato' Paduka berbuat demikian jika hanya untuk menyelamatkan wang pinjaman 1MDB yang dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan yang didukung oleh cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia, seperti cukai GST.
  • Dato' Paduka Khairuddin telah diselidik dan dihukum apabila beliau membuat lapuran mengenai 1MDB di dalam negara. Tidak salahlah jika beliau mencari jalan lain di luar negara kerana dosa 'money laundering' adalah lebih besar dan jelas di dunia antarabangsa.
  • Dengan membuat laporan di luar negara terselamatlah pegawai polis tempatan dari dipaksa bercuti, ditukar tempat kerja ataupun dihentikan kerana membuat penyelidikan.
  • Kerana kasihan kepada pegawai polis tempatan maka Dato' Khairudin mencari jalan lain di luar negara. Usaha Datuk Paduka Khairuddin menunjukkan bahawa beliau tidak percaya lagi kepada institusi tempatan, yang pernah dihormati dunia di satu masa dulu.
  • Agak mudah bagi manusia berakal di luar negara untuk membezakan antara 'derma' dan 'rasuah' jika ianya dibuat secara sulit, melibatkan wang begitu banyak.
  • Kita juga terkesan dengan tindakan kakitangan SPRM yang mengerjakan solat hajat untuk mendo'akan bagi pegawai mereka yang dianggap telah teraniaya dalam menjalankan tugas yang dianggap oleh mereka sebagai ibadat atau 'jihad'.
  • Berertilah mereka sudah menaruh harapan hanya kepada Allah swt. apabila kepercayaan kepada pemimpin untuk melakukan keadilan sudah terhakis.
  • Baru-baru ini Tuanku Sultan Johor pula telah menitahkan supaya solat hajat dilakukan di seluruh negeri Johor pada setiap minggu.
  • Mudah-mudahan solat hajat ini akan dikerjakan di seluruh negara supaya pemimpin kita pulih dari rasa takut dan hasutan iblis dan syaitan, menyandarkan keyakinan kepada janji bomoh, dukun, kiai dan sami, dalam mengendalikan urusan negara.
  • Kini Tun Dr. Mahathir sendiri sudah turun padang dengan menyeru kepada ribuan penyokong parti pembangkang supaya menyokong Barisan Nasional untuk terus memerintah apabila Dato' Seri Najib sudah diamankan, yang menyalahgunakan wang 1MDB mengembalikan wang kepada yang berhak dan segala kecurangan yang telah berlaku diadili dengan seadil-adilnya.
  • Tidak mungkin ada peluang lain kepada Tun Dr. Mahathir untuk meminta penyokong pembangkang untuk turut menyokong UMNO dan Barisan Nasional.
  • Dengan berhentinya Dato' Seri Najib, sebagai punca segala masalah ekonomi negara maka UMNO dan Barisan Nasional dapat terus memerintah dan menyiapkan diri untuk berdepan dan memenangi PRU ke 14.
  • Tun Dr. Mahathir tidak menyokong PRU ke 13 diisytiharkan haram kerana ada penggunakan wang 'derma' yang tidak keruan dan bertentangan dengan undang-undang.
  • Tun Dr. Mahathir menyertai BERSIH 4 kerana mereka MEMINJAM TEMA yang beliau perkenalkan, supaya 'NAJIB SEGERA DITURUNKAN'.
  • Sebagai seorang doktor perubatan Tun Dr Mahathir ingin mengeluarkan tumor untuk menyelamatkan nyawa manusia. - Sanusi Junid

Benarkah YB UMNO hanya untuk orang berduit


  1. Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin parti berhenti meneruskan budaya menabur kemewahan kepada pengikut.
  2. Beliau menyifatkan budaya tersebut yang dibawa oleh "kepala perang" (warlord) dalam Umno tersebut menyebabkan kos politik terlalu mahal.
  3. "Kita perlu buktikan ‘warlord’ bukan sebahagian daripada budaya Umno. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut.
  4. "Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam Umno. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal," kata Muhyiddin.
  5. Muhyiddin mengakui terdapat ramai 'warlord' dalam Umno yang beranggapan mereka berkuasa dan mampu mengugut pemimpin atasan parti dalam pilihan raya.
  6. "Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka.
  7. "Dengan sokongan pengikut, 'warlord' akan menggugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya," katanya.
  8. Sekiranya budaya tersebut tidak dihalang, Muhyiddin bimbang Umno kelak dipenuhi pemimpin tidak berbolehan dan berkelulusan tetapi mereka yang memiliki wang sahaja.
  9. "Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang.
  10. "Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata 'money is everything in politics'. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya," katanya.
  11. Muhyiddin juga berkata perkara itu sebagai punca barah politik wang dalam Umno akan semakin membesar.
  12. "Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Apabila berlaku keadaan begitu, Umno akan hilang kepercayaan daripada rakyat dan akhirnya menolak parti.
  13. "Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap Umno.
  14. "Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hiraki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita," katanya.
  15. Dalam ucapannya lagi, Muhyiddin menggesa supaya budaya itu dihentikan segera sekiranya mahu melihat kelompok anak muda berminat untuk bersama Umno, jika tidak mereka bakal berdepan kehilangan sokongan hampir 60% pengundi yang terdiri daripada Gen Y itu.
  16. "Untuk itu, kita perlu mempersiapkan Umno untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik nasional," katanya.
  17. Muhyiddin berkata, penghalang antara Umno dan rakyat perlu dikurangkan dan dipecah melalui kerja sukarela, yang akan membawa mereka lebih dekat dengan akar umbi.
  18. Komen YBN: Budaya sebegini sudah menyelinap dalan Umno cukup lama dan amat sukar bagi parti itu mengubahnya melainkan ada kesungguhan daripada pucuk pimpinan itu sendiri.
  19. Muhyiddin sendiri sudah begitu lama dalam Umno dan sepatutnya masak dengan budaya sebegini. Menyeru Umno supaya menghentikan budaya itu boleh dikatakan sudah `hampir terlambat’ kerana beliau tidak memiliki apa-apa lagi di dalam kerajaan.
  20. Dan besar kemungkian beliau akan dipecat daripada Umno sedikit masa lagi kerana dikatakan tidak sehaluan dengan Presiden Umno.
  21. Blogger-blogger politik sudah mula meramalkan hari-hari terahir beliau dalam Umno pada sekitar September ini juga bersama beberapa pemimpin lain yang disingkirkan daripada kabinet baru-baru ini.
  22. Beberapa Menteri Besar juga dijangka terlibat dalam rombakan parti dan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri yang berketurunan bugis Sulawesi.
  23. Pada masa yang sama pengikut Muhyiddin juga meramalkan Presiden parti itu sendiri akan tersingkir selewat-lewatnya tahun depan apabila Sultan Johor menjadi Yang Dipertuan Agong bagi mengisi giliran.
  24. Penyudahnya rakyat Malaysia terus pening kepala dengan pertelingkahan dalan kerajaan dan parti UMNO.
  25. Semua pemimpin dan juak-juak menyatakan kebenaran masing-masing sehingga rakyat terkeliru pemimpin mana yang mempertahankan kebenaran dan pemimpin mana yang dizalimi.
  26. Hanya kuasa rakyat bakal menentukan segalanya dan itu hanya berlaku pada pilihan raya umum, bukannya di jalan raya.
  27. PRU14 menjadi pertaruhan paling berisiko pada UMNO kerana ia bakal menentukan samada parti itu masih mampu bertahan atau jatuh tersembam ke buminya sendiri.
  28. Persoalannya, ramai yang tidak sanggup menunggu kekalahan UMNO pada PRU14 sementelahan dengan pelbagai skandal yang membabitkan Perdana Menteri dan isteri.
  29. Tanpa UMNO, Melayu akan menjadi bangsat kata Perdana Menteri. Namun tanpa Perdana Menteri yang ada sekarang, Melayu dijamin tidak akan menjadi bangsat, kata bekas Perdana Menteri. Pening. Pening.