Thursday, 2 April 2015

Terkejut Dr M ramal UMNO tumbang PRU14

  • Ketika negara kelam kabut dengan karenah peniaga memperolok-olok GST, rakyat dikejutkan pula dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang meramalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal tumbang pada PRU14.
  • Sebelum ini ramalan seumpama itu pernah dilontarkan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang kehidupannya tidak pernah lekang dari bergelumang dengan pelbagai isu kontroversi sejak 30 tahun lalu.
  • Manakala puak pembangkang pula percaya UMNO dan BN akan tersungkur seawal PRU12 lagi walaupun ia sekadar khayalan. Dan menjelang PRU13 yang lalu mereka tetap yakin dapat menawan Putrajaya.
  • Malahan ramai penaja bertaraf bilionair muncul di khalayak ramai untuk menyatakan sokongan kerana terlampau yakin gerombongan pakatan itu akan memenangi pilihan raya umum yang mereka sifatkan paling berprestij.
  • Malangnya sokongan dollar mereka tidak mampu mengatasi kehendak Allah yang meletakkan kemenangan tipis kepada UMNO dan BN pada 2013.
  • Rentetan itu, blok Pakatan Rakyat meraung seperti orang gila. Merayau ke seluruh Malaysia merai kekalahan mereka menerusi apa disebut `kemenangan undi popular’ (purata 51 peratus PR dan 49 peratus BN). Wal hal sejak merdeka, kemudi pentadbiran negara ditentukan melalui majoriti kerusi Parlimen.
  • Kini gelombang baru PRU14 sudah mula muncul dengan analogi yang sama iaitu UMNO dan BN akan tumbang di tangan Pakatan Rakyat. Banyak isu telah diketengahkan bagi melemahkan UMNO dan BN termasuk menyerang Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.
  • Tapi kali ini gelombang itu agak berbeza sedikit. Ia dimulakan dengan serangan dari dalam kemah UMNO sendiri. Paling menyedihkan ialah serangan itu datang dari bekas Perdana Menteri yang sebelum ini mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengganti selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi diberi peluang semusim.
  • Serangan Tun Mahathir pada kali ini agak luar biasa dan menyeramkan. Dalam blog muktahir, beliau menjelaskan kepada umum bahawa beliau tidak nyanyuk ketika menu;is sebegitu rupa. Berikut adalah kenyataannya.
  • Ramalan oleh masyarakat sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah PRU14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya. Ia bermula dengan kes pembunuhan Altantuya, wanita Mongolia yang terlibat dengan skandal pembelian kapal selam.
  • Dua orang anggota polis dituduh menembak mati wanita berkenaan, dibicara, didapati bersalah, kemudian didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Kemudian dibicara semula dan dikena hukum bunuh.
  • Seorang daripada mereka berada dalam tahanan tetapi Sirul seorang lagi berada di Australia. Dia membuat kenyataan bahawa dia diarah untuk membunuh.
  • Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Dato Sri Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.
  • Kemudian kes 1MDB. Tuduhan penyelewengan dalam urusan wang berbillion Ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini tidak dijawab selain dari berkata ia adalah pembohongan.
  • Kononnya aset 1MDB berjumlah 52 billion sedangkan hutang hanya 42 billion. Aset tidak jadi keuntungan sebelum dijual (dicairkan). Kenapa untuk membayar faedah sebanyak 2 billion pun terpaksa hutang dari Ananda Krishnan. Kalau 1MDB tidak rugi kenapa terpaksa hutang. Kenapa wang Kerajaan sebanyak 1 billion diberi kepada 1MDB setelah hutang dibayar?
  • Kononnya wang yang disimpan di Cayman Island sudah dibawa balik. Tetapi separuh disimpan dalam bank Swiss (BSI) di Singapura. Di mana pergi separuh lagi dari 6 billion? Kenapa wang ini tidak diguna untuk bayar faedah 2 billion.
  • Kononnya disimpan di Singapura kerana Bank Negara akan menyoal simpanan lebih dari 50 juta. Jikalau duit itu duit kita yang hanya disimpan di Cayman, apa masalahnya menjelaskan kepada Bank Negara punca wang itu. Lagi pun duit ini dimiliki oleh 1MDB yang dikuasai penuh oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
  • Soalan-soalan lain berkenaan 1MDB tidak dijawab selain daripada berkata asetnya besar. Soal harga tanah Kerajaan yang dibeli oleh 1MDB tidak dijelas. Sudah tentu jika dibeli dengan harga yang murah dan dinaik nilai berkali ganda, aset ini menjadi besar. Tetapi Kerajaan rugi banyak dengan tanah miliknya dijual dengan harga yang tidak mencermin harga pasaran.
  • US$700 juta dibayar kepada Petro Saudi untuk apa? Sudahkah ditentukan Petro Saudi memiliki konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina dan Turkmenistan sebelum membayar wang yang begitu banyak.
  • Jho Low dilapor dalam New York Times, London Times dan Sarawak Report terlibat dalam pengurusan berbillion Ringgit duit 1MDB. Siapa dianya Jho Low yang begitu dipercayai oleh Dato Sri Najib. Pegawai Malaysia yang dilantik mengurus dana 1MDB mengaku mereka diarah oleh Jho Low yang mendakwa ia mendapat kepercayaan penuh dan arahan dari Dato Sri Najib.
  • Gambar-gambar Jho Low dan kelakuannya, umurnya yang amat muda serta cara hidupnya tidak menggambarkan peribadi yang menyakinkan orang ramai. Tetapi dia dilapur membeli rumah di New York dan Hollywood beratus juta Ringgit. Kemudian rumah-rumah ini dijual kepada anak tiri Najib dengan harga ratusan juta Ringgit bagi setiap satu kerana kononnya Jho Low telah jumpa rumah yang lebih indah di Hollywood yang harganya lebih tinggi.
  • Dari mana datangnya duit beratus juta kepada Riza Aziz tidak dapat dijelas. Keluarga Tun Razak termasuk Najib menafikan duit ini adalah dari keluarga. Pelaburan ratusan juta dalam filem “Wolf of Wall Street” oleh Riza datang dari mana?
  • Dan banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuh oleh Dato Sri Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat yang tidak dijelas dan dijawab selain dari menafi dan mendakwa semuanya bohong belaka. Laporan-laporan dalam akhbar di New York dan London amat memalukan negara.
  • Sementara itu, walaupun Kerajaan menghadapi kekurangan wang yang besar dan terpaksa hutang, Dato Sri Najib sebagai Perdana Menteri membeli sebuah lagi pesawat mewah. Umum mengetahui pesawat ACJ319 yang sedia ada diguna bukan sahaja untuk tugas rasmi tetapi sebagai kenderaan peribadi untuk Dato Sri dan Datin Sri.
  • Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai Ringgit yang menurun teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat dilanda banjir dan kehilangan ratusan juta Ringgit, Kerajaan membazirkan wang ratusan juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada pesawat-pesawat milik Kerajaan.
  • Cara pembelian tidak dapat menyembunyi bahawa akhirnya Kerajaan terpaksa menanggung beban pembelian ini. Jika syarikat bukan Kerajaan yang secara rasmi membeli, bayaran melalui lease (sewa) lebih tinggi daripada belian secara langsung kerana terpaksa memberi keuntungan kepada pemilik dan faedah yang dimasukkan.
  • Selain daripada ini dasar-dasar pemerintahan Dato Sri Najib terhad kepada pemberian wang percuma, menimbul kemarahan orang Melayu dengan mengenepikan Dasar Ekonomi Baru kerana ingin mendapat sokongan orang Cina. Namun penolakan BN dalam PRU 13 membuktikan orang Cina tolak pemerintahan Najib.
  • Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Dato Sri Najib. Ahli UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan dengan itu BN akan kalah jika Dato Sri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14. Apabila UMNO kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali UMNO kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula.
  • Ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan Negara saya terpaksa dedah semua ini.
  • Saya belum nyanyok walaupun umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyok sebenarnya menipu diri. Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri.
  • Sesungguhnya kenyataan blog Tun Mahathir itu sememangnya menggerunkan ramai umat Melayu di negara ini. Ramai kebingungan dan terfikir apakah Mahathir begitu kejam sehingga tergamak `membelasah' Najib sebegitu rupa.
  • Lemah sangatkah Najib di mata Mahathir? Mengapa tak dibimbing jika mendapati Perdana Menteri itu tersasar dari landasan?  Benarkah Najib tutup pintu untuk berbincang dengan Mahathir? Miskin sangatkah Malaysia di bawah pemerintahan kabinet Najib?
  • Seribu pertanyaan berlegar dalam kotak pemikiran rakyat, semuanya tertumpu kepada Najib yang semakin hari semakin diam seribu bahasa. Apakah diamnya Najib seperti resmi padi yang `semakin tunduk semakin berisi'?


GST jadi `satey' puak haluan kiri

  • Perlaksanaan GST pada peringkat awal dilihat sedikit kelam kabut ramai peniaga mengenakan GST kepada pengguna bagi barangan yang dikecualikan cukai dengan alasan tidak faham dengan sistem itu.
  • Rangkaian kedai runcit 7 Eleven sudah minta maaf atas kesilapan sistem mesin jualan yang mengenakan GST kepada beberapa barangan termasuk nilai tambah (topup) prabayar dan surat khabar.
  • Bagi Mydin pula, walaupun ada tertulis GST di atas resit pembayaran, kadarnya sudah diserap dalam diskaun barangan. GST tidak boleh dipadam daripada resit kerana ia merupakan Standard Operating Prosedur (SOP) syarikat yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
  • Lain-lain peniaga mengatakan mereka masih tidak faham GST. Ada juga peniaga yang tidak berdaftar tetapi mengenakan GST sesuka hati kepada pengguna. Kes sebegini cukup lucu, mereka beri alasan satu masa nanti kedai mereka akan dikenakan cukai, jadi mereka perlu kutip GST dahulu untuk buat modal bayar cukai kerajaan.
  • Walaupun KPDNKK hanya menerima 419 aduan pada hari pertama, ia tidak bermakna jumlah itu sedikit. Ia merupakan `tips of iceberg' situasi yang berlaku di semua rangkaian kedai, mini market, pasaraya dan hypermarket di seluruh Malaysia.
  • Malahan ia berlaku di kedai runcit, pasar basah dan pasar borong membabitkan pelbagai jenis barangan antaranya sotong, ikan, air mineral dan gula. Di pasaraya dan stesen petrol dilihat GST dikenakan ke atas kad nilai prabayar dan surat khabar.
  • Daripada jumlah itu, sebanyak 118 aduan dilihat mempunyai elemen menunjukkan peniaga cuba mengambil keuntungan berlebihan yang boleh disabitkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
  • Sementara itu, di portal dan media sosial pula, aktivis dan tokoh politik haluan kiri tidak kenal penat menuduh kerajaan cuai kerana melaksanakan GST sehingga menyusahkan peniaga dan pengguna.
  • Lebih lucu lagi mereka mendakwa insiden kelam kabut yang berlaku pada hari pertama perlaksanaan GST adalah disebabkan sistem pentadbiran kerajaan tidak betul, malah dikatakan mengenakan cukai itu kerana kerajaan sudah bengkrap.
  • Lalu kisah jet peribadi Perdana Menteri dan projek mega 1MDB muncul dan diikat selonggok bersama-sama GST untuk memastikan semua rakyat percaya dengan cerita mereka. Sudah tentu penghujungnya mereka meminta rakyat menumbangkan kerajaan sedia ada dan memilih parti mereka sebagai pentadbir yang kononnya jauh lebih baik.
  • Wal hal dalam kes GST, beberapa kesilapan dilakukan oleh peniaga itu sendiri yang cuai dalam melaksanakan sistem itu samada secara sengaja atau ada masalah teknikal. Ia tidak ada kena mengena dengan projek 1MDB dan jet peribadi.
  • Tak cukup dengan itu isu GST menjadi `satey’ yang dibakar politik apabila dipertikai halal haramnya. Video klip bertaburan di laman sosial mendakwa GST merupakan satu bentuk percukaian haram di sisi Islam.  
  • Lalu Perdana Menteri terpaksa muncul untuk menangkis tohmahan itu dengan berkata perlaksanaan GST di negara ini adalah halal, mengikut fatwa dan dibuat berdasarkan kajian menyeluruh lebih 35 tahun.
  • Kata Perdana Menteri, GST Malaysia berbeza dengan negara lain, di sini kerajaan mengecualikan cukai bagi banyak barangan dan perkhidmatan seperti air dan barangan asas makanan, semuanya ada dalam senarai.
  • Kepada mereka yang bencikan kerajaan dan GSTnya, silalah semak antara 40 negara di dunia yang tidak mengenakan GST, kemungkinan boleh berpindah ke sana pada masa depan. Untuk penjelasan lanjut sila tanya blogger tersohor Rocky Bru (Dato Ahiruddin Atan)
  • Bagi yang rajin, cuba semak 160 negara yang berjaya melaksanakan GST dalam struktur baru percukaian. Jika sistem itu tidak baik atau gagal, mengapa lebih 80 peratus negara di dunia melaksanakan GST?
  • Persoalan ini perlu difikirkan secara matang oleh rakyat dengan melihat sejauhmana fakta GST yang dibawa oleh puak penentang kerajaan.
  • Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan dapat menjatuhkan kerajaan walaupun terpaksa menghasut dan menipu rakyat.
  • Penulis suka memetik blog Rocky Bru yang menjelaskan, “dalam apa keadaan pun jika anda memilih untuk mempercayai ahli politik pembangkang, ini adalah berita baik untuk anda. Ada 40 negara lagi yang belum melaksanakan GST.
  • “Di Asia Tenggara hanya tinggal Brunei dan Myanmar. Lebih jauh sedikit ialah Korea Utara. Banyak negara Afrika belum lagi melaksanakan GST, Angola, Eritrea, Somalia dan sebagainya, mungkin membuatkan anda sukar memilih.
  • “Jadi, jika anda benar-benar yakin bahawa GST merupakan pengakhiran bagi semua kebaikkan dan kesenangan hidup anda di Malaysia, semak negara yang tidak mengenakan GST kemungkinan anda boleh berpindah ke sana pada masa depan.”
  • Penulis membuat kesimpulan di sini bahawa rakyat perlu bijak bertindak bagi menangani kegiatan penipuan yang dilakukan oleh segelinir peniaga berkaitan perlaksanaan GST.
  • Jika ada peniaga menipu, segera laporkan kepada pihak berkaitan atau sekurang-kurangnya jangan beli barangan di situ. Waktu inilah kita perlu menggunakan kuasa beli pengguna secara bijak.
  • Selagi banyak alasan kita untuk tidak memboikot mereka, selagi itulah mereka (peniaga tidak beretika) akan terus menipu kita. `Jangan kerana nyamuk, kelambu dibakar’. Jangan manjakan diri dengan menyalahkan kerajaan sedangkan peniaga sudah terang-terang menipu kita samada dalam keadaan sedar (perasan) atau sebaliknya.