- SEPERTI sambutan hari-hari lain yang dirai secara khusus, Hari Antirasuah Antarabangsa muncul dalam kalendar kita. Kali ini tahun ke-11 Hari Antirasuah Antarabangsa disambut di kebanyakan negara. Usia sambutan hari yang bermakna ini sesuatu yang masih ‘muda’ berbanding jenayah rasuah yang telah lama berakar umbi. Selain itu, berbanding hari-hari yang lain ia tidak begitu popular.
- Penasihat Antirasuah Rantau Asia Tenggara dan Pasifik UNODC, M. Shervin Majlessi semasa Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) baru-baru ini berkata; “Usaha memerangi rasuah masih baru, tetapi ia berada dalam landasan yang dinamik dengan pelbagai pihak sudah bersedia berkongsi pengalaman dan amalan-amalan baik. Ini termasuk Malaysia yang diiktiraf UNODC.”
- Pada 31 Oktober 2003, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Konvensyen PBB Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC). Perhimpunan Agung juga mengiktiraf 9 Disember setiap tahun sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran menjauhi rasuah dan juga peranan konvensyen tersebut dalam memerangi dan mencegah jenayah tersebut.
- Sambutan tahun ini bertemakan Mematahkan Rantaian Rasuah. Tema tahun lalu berbunyi Rasuah Sifar: Pembangunan 100%. Menghalusi tema tahun ini, usaha memerangi rasuah memerlukan sokongan semua. Jika kita bersatu, kita boleh melakukan perubahan iaitu mewujudkan persekitaran yang bebas jenayah rasuah. Bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
- Rasuah tidak boleh diatasi hanya dengan membawa pesalah ke muka pengadilan. Sebaliknya, usaha ini memerlukan kempen jangka panjang dan menyeluruh - mendidik dari peringkat awal lagi.
- Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang menjadi tunjang kepada perjalanan SPRM menetapkan matlamat berikut:
- Pertama, menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan suatu badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab; dan
- Kedua, mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran sektor awam dan swasta dan komuniti.
- Kedua-dua objektif utama ini menggambarkan SPRM mempunyai tanggungjawab khusus untuk membawa bersama anggota masyarakat - tidak kira status sosioekonomi untuk berganding bahu memerangi rasuah. Malah, objektif itu juga menunjukkan langkah itu dimulakan dengan memberi nasihat dan didikan kepada setiap anggota masyarakat negara ini.
- Kira-kira lima bulan selepas dilantik sebagai anggota Kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kwan mengumumkan SPRM akan membentuk pakatan antirasuah dengan sektor awam dan pelbagai pihak dalam usaha membendung rasuah dan ketirisan kewangan. Tegas beliau selaku mantan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), membanteras rasuah bukan semata-mata tanggungjawab SPRM atau kerajaan, tetapi perlu dipikul bersama semua pihak yang berkepentingan.
- Melalui gabungan antirasuah, kerajaan berharap dapat membawa semua pihak menzahirkan komitmen menegakkan urus tadbir yang baik dan pada masa sama menghindari jenayah rasuah. Jelasnya perlu ada satu gerakan integriti di setiap peringkat jika mahu menghapuskan jenayah rasuah.
- Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia pada 5 Oktober lalu, saya menyebut bahawa “dalam memastikan pencegahan rasuah berlaku, ia memerlukan satu tindakan dan kesepaduan daripada pelbagai pihak secara holistik. Tidak boleh secara silo dan bertindak bersendirian.”
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berpandangan bahawa sementara SPRM, yang ditubuhkan pada Januari 2009, mula memperlihatkan kejayaan dan keberkesanan dalam usaha mencegah rasuah, termasuk peningkatan kadar sabitan daripada 54 peratus pada 2009 kepada 84 peratus pada 2013, usaha melawan rasuah bukan tugas SPRM semata-mata. Dalam buku berjudul The Enhancement of Integrity and Anti-Corruption Measures, Abu Kassim menekankan bahawa rasuah harus diperangi dari semua sudut termasuk menerusi pendekatan moral, psikologi dan rohani.
- Memetik tulisan Datuk Ruhanie Ahmad; “Persekitaran takutkan rasuah akan wujud jika semua rakyat di sesebuah negara komited untuk membanteras rasuah.” Menurut beliau, jenayah rasuah boleh dihapuskan menerusi kebangkitan masyarakat sivil yang berani bersuara dan bertindak secara berwibawa dalam soal-soal antirasuah.
- Pejabat Program Pembangunan PBB (UNDP) antara agensi antarabangsa yang aktif dalam menggerakkan kempen pencegahan rasuah tahunan. Agensi ini berpandangan rasuah merupakan masalah global kerana jenayah ini wujud di negara yang kaya dan juga negara yang miskin. Ia menyumbang kepada ketidakstabilan dan kemiskinan, malah faktor penyebab sesebuah negara rapuh dan gagal diurus dengan baik.
- Perkara sama ditekankan dengan panjang lebar oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sambutan ulang tahun kelahiran SPRM (yang sebelum 1 Januari 2009 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) pada 1 Oktober lalu.
- Baginda menyenaraikan lebih 10 negara yang dihimpit rasuah di mana sebahagiannya adalah negara maju dan mengamalkan demokrasi. Baginda dalam titahnya juga menggariskan peranan pelbagai pihak dalam menangani masalah rasuah dengan tegas dan efektif. Antaranya tanggungjawab setiap pemimpin menunaikan janji yang dilafazkan semasa mengangkat sumpah jawatan iaitu menghapuskan rasuah habis-habisan dan tidak mengumpul kekayaan peribadi; peranan agensi-agensi yang ditubuhkan, undang-undang dan agensi penguat kuasa serta setiap warga kerja sama ada awam atau swasta dalam memerangi rasuah. Baginda turut mengingatkan rakyat agar membuang sifat tamak dan haloba.
- Titah baginda, usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek iaitu langkah punitif yang tegas dan tidak selektif dan langkah preventif untuk mengukuhkan integriti.
- Baginda juga menggariskan pemimpin perlu ada daya tahan daripada melakukan rasuah; hakim dan institusi penghakiman harus tegas dan adil tanpa memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa; insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu selanjutnya menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai jihad.
- Dalam hal ini, kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, media dan rakyat wajar bergabung tenaga untuk memerangi jenayah rasuah dan bebas daripadanya.
- Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) juga berada di barisan hadapan dalam usaha ini dengan memastikan UNCAC dipatuhi oleh negara-negara anggota penerima konvensyen itu.
- Kempen antarabangsa tahun lalu memberi tumpuan kepada isu pokok bagaimana rasuah menghalang pendekatan dan strategi yang dipersetujui di peringkat antarabangsa – rasuah melemahkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, membawa kepada pelanggaran hak asasi manusia, memesongkan pasaran, menghakis kualiti hidup dan membenarkan jenayah terancang dan ancaman lain terhadap keselamatan manusia.
- Justeru, UNDP berharap anggota masyarakat akan bersama-sama dengan UNDP dan UNODC untuk memerangi rasuah dengan: Menyelenggara aktiviti-aktiviti yang kreatif dalam komuniti sempena sambutan 9 Disember setiap tahun; Memanfaatkan program Call to Action Matrix; Menggunakan logo Pencegahan Rasuah pada penerbitan dan dalam program dan acara yang diadakan; Menghantar mesej membenci rasuah kepada rangkaian kenalan mengenai kempen UNDP ini dan; Tweeting tentang Hari Antirasuah Antarabangsa bagi membolehkan dunia tahu apa yang anda lakukan untuk mengatasi jenayah rasuah.
- Strategi yang diusahakan oleh UNDP dan UNODC adalah sebahagian usaha yang diambil untuk menawan hati masyarakat pelbagai peringkat dan menjana sokongan ke arah misi menghapuskan rasuah.
- Justeru, apa yang anda boleh lakukan? Ataupun apa yang kita boleh lakukan? Menjawab soalan ini orang sering berfikir bahawa rasuah “hanya satu cara hidup” tetapi setiap masyarakat, sektor dan individu akan mendapat manfaat daripada mengatakan “Tidak” kepada jenayah ini.
- Rasuah bukan isu di negara-negara membangun sahaja. Sebaliknya ia memberi kesan kepada setiap anggota masyarakat tanpa mengira status sosioekonomi. Justeru, siapa yang patut diamanahkan untuk melawan ‘malapetaka’ ini?
- Pertubuhan Sedunia Ahli-ahli Parlimen Bagi Menentang Rasuah menekankan bahawa perjuangan menentang rasuah tidak terhad kepada kerajaan sebaliknya, harus melibatkan semua lapisan masyarakat.
- Dalam nada sama, isu-isu antirasuah tidak harus menjadi hak prerogatif sebahagian kecil birokrat dan ahli politik. Sebaliknya patut menjadi renungan kritikal masyarakat. Penyertaan pihak berkepentingan terutama Parlimen, akan menyumbang secara positif kepada prestasi serta meningkatkan kredibiliti kepada masyarakat umum.
- SPRM yang dianggotai lebih 2,000 tenaga kerja mengambil pelbagai langkah dan usaha selaras dengan visi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas rasuah dan menjadikan agensi ini bertaraf dunia.
- Tahun ini, buat julung kali SPRM mengadakan Hari Terbuka di ibu negara. Selain itu, pejabat-pejabat negeri juga menganjurkan program masing-masing sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa.
- Dalam satu tinjauan kendalian SPRM menerusi portal rasminya mendapati 96 peratus responden menunjukkan kesediaan menjadi sukarelawan pencegahan rasuah jika diberi peluang.
- Sekiranya slogan ‘Anda Boleh Melakukan Perubahan’ menjadi amalan setiap rakyat, sudah pasti kita boleh menghapuskan sebahagian besar kes rasuah. Ini boleh menjadi kenyataan jika amalan tidak meminta dan tidak memberi rasuah dijadikan pegangan tegas dalam kehidupan.
- Memandangkan rasuah adalah barah bagi segala kerosakan, tugas memeranginya harus dijayakan tanpa henti. Untuk itu, ia harus bermula dari dalam diri kita sendiri - menghapuskan rantai jenayah rasuah. - SPRM.
Tuesday, 9 December 2014
Bukan mudah putuskan rantaian rasuah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment