Wednesday, 24 December 2014

Malaysia gesa INTERPOL kemuka bukti jenayah al Qardawi

  • Polis Antarabangsa (Interpol) digesa mengemukakan bukti terlebih dahulu bahawa ulama terkenal Mesir, Dr Yusuf al Qaradawi terlibat dengan aktiviti menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa seperti mana yang didakwa.
  • Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, sekiranya pihak terbabit gagal mengemukakan bukti tersebut adalah perlu waran tangkap itu ditarik balik.
  • “Situasi yang sangat sedih apabila seorang tokoh Islam yang berpengaruh dan memberi pandangan yang baik diperlakukan begitu. Saya berharap Interpol kemuka bukti terlebih dahulu terhadap penglibatan beliau yang dikatakan berbahaya itu dan umumkan kepada dunia,” katanya.
  • Dalam pada itu ABIM naik angin apabila Interpol menuduh al Qardawi menggalakkan rakyat Mesir melakukan pembunuhan dan vendalisme itu merupakan satu fitnah yang tidak berasas.
  • Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, waran tangkap itu dipercayai atas permintaan regim Al-Sisi yang penuh dengan dendam.
  • "Kita nampak waran Interpol yang diminta oleh regim Al-Sisi adalah satu permintaan yang penuh dengan fitnah tidak berasas. Al Qardawi sendiri memang minta supaya orang muda menunjukkan contoh dengan membersihkan Dataran Rabiah selepas tunjuk perasaan itu," katanya.
  • Baru-baru ini, Interpol mengeluarkan notis merah terhadap Al Qardawi yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan. Waran tangkap itu dikeluarkan selepas ulama itu dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan Mesir.
  • Menurut laman webnya, notis merah terhadap al Qardawi, 88, dikeluarkan selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.
  • Antara tuduhan terhadapnya ialah menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara serta aktviti vendalisme dan kecurian.
  • Dalam pada itu, Abim membantah tindakan itu sambil menyifatkan permintaan kerajaan Mesir itu mempunyai dendam dan mengamalkan sikap double standard.
  • "Regim Al-Sisi telah membebaskan Husni Mubarak daripada semua tuduhan tetapi cuba mensabitkan al Qaradawi dengan tuduhan yang tidak berasas. Sedang masyarakat mengetahui penindasan yang dilakukan oleh Husni Mubarak terhadap pejuang agama Islam (ulama) di Mesir," ujarnya.
  • Sehubungan itu, Abim juga mengesa kerajaan Malaysia supaya menyatakan pendirian tegas terhadap tindakan Interpol itu.
  • "Malaysia telah mengiktiraf ketokohan al Qaradawi, sudah tentu Malaysia sendiri ada asas untuk menyatakan sikap berubah iaitu membantah pengeluaran waran tangkap Interpol itu," katanya lagi.
  • Manakala Pertubuhan Usahawan Halal Muslim Malaysia menyeru supaya NGO Islam lain bersatu mendesak kerajaan membantah tindakan Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap al Qardawi yang dibuat berdasarkan permintaan Kerajaan Mesir.
  • Naib Pengerusinya, Kamal Ariffin Abdul Rahman berkata, al-Qaradawi merupakan ulama yang mempraktikkan kesederhanaan seperti yang dituntut Islam dalam menyebarkan dakwah dan bukannya individu yang menyokong keganasan seperti yang didakwa.
  • “NGO Islam sepatutnya menyokong kerajaan untuk membantu al-Qaradawi. Ini adalah satu bentuk ketidakadilan terhadap seorang tokoh ulama Islam yang telah banyak menyumbang kepada dunia. Atas alasan apa al-Qaradawi perlu ditahan? Tiada sebab sebenarnya ulama itu ditahan. Bukannya teori keganasan telah disebarnya,” katanya.
  • Sementara itu, Pengerusi Khidmat Masyarakat  Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Ir Dr Faizul Amri Adnan berkata, jelas sekali  itu adalah tindakan songsang yang dilakukan ke atas al- Qaradawi yang telah memberi begitu banyak sumbangan kepada dunia Islam.
  • “Setelah begitu banyak sumbangan beliau berikan, ini balasan terhadapnya? Jelas sekali, sangat pelik tindakan mereka. Saya fikir waran tangkap itu tidak boleh diterima akal," katanya.
  • Apapun, kata Faizul Amri,  kita tidak seharusnya emosi dan perlu tenang menghadapinya meskipun umat Islam di Malaysia kini ramai yang bersimpati kepada al-Qaradawi. Saya percaya seluruh umat Islam dunia tahu isu ini,” katanya.
  • Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia turut mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Interpol menarik balik notis tersebut dan menolak sebarang tekanan terhadap agensi tersebut demi menyelamatkan reputasi, integriti dan sifat berkecualinya.
  • Dalam perkembangan yang sama  Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) memandang serius dan mengutuk tindakan kerajaan Mesir meminta Interpol mengeluarkan waran tangkap ke atas Al-Qaradawi.
  • Timbalan Presidennya, Hasanuddin Mohd Yunus mendakwa tindakan itu berpunca daripada bantahan berterusan beliau terhadap rampasan kuasa yang dilakukan oleh Jeneral Abdul Fattah As-Sisi terhadap Presiden Mesir yang sah, Dr Mohamed Morsi pada awal Julai 2013.
  • "Ikram berpendapat bahawa tindakan ini adalah suatu tindakan yang tidak wajar kerana beliau adalah seorang ulama kontemporari yang moderat serta sangat konsisten dalam mempertahankan keadilan dan hak asasi manusia.
  • "Kami meminta agar Interpol menarik balik waran tangkap ke atas Al Qardawi kerana pertuduhan ke atas beliau adalah tidak munasabah sama sekali," katanya dalam satu kenyataan.
  • Sehubungan itu, Hasanuddin menggesa kerajaan agar bersikap tegas dan mengambil tindakan segera terhadap tindakan Interpol itu.
  • "Malaysia digesa menggunakan kedudukannya selaku ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pengaruh dalam Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) supaya mendesak kerajaan Mesir untuk menarik balik dakwaan terhadap tokoh dunia Islam itu. Ikram juga merayu kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk bermunajat mendoakan keselamatan dan kesihatan tokoh ulama besar tersebut," katanya lagi.