Sunday, 22 December 2013

Ulul albab perlu diperhebat dalam sistem pendidikan


  • Ulul albab atau manusia yang memahami didukung oleh ilmu akli dan nakli yang membina tasawwur menjadi asas bagi pendidikan yang sifatnya integratif. Manusia memerlukan pandangan semesta yang lebih menyeluruh supaya wujud sinergi antara pemahaman terhadap yang nyata dengan perkara yang ghaib terjadi.
  • Strategi integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan yang sedang berjalan dalam sistem dan institusi mengukuhkan lagi maksud ulul albab yang ingin menghasilkan watak seimbang dan harmoni menepati matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
  • Falsafah ini perlu dirungkai dalam aplikasi supaya binaan kurikulum meraikan potensi pelajar, pendekatan pengajaran dan pembelajaran memberi asas kefahaman dan pemikiran tinggi, pengukuran terhadap kejayaan yang sifatnya holistik.
  • Justeru, ulul albab tidak saja membangunkan fikrah seseorang tetapi juga jiwa zikrullah yang tinggi. Fikir dan zikir adalah adunan yang baik bagaimana ilmu disantuni dan amal ditekuni supaya faktor ghaibiyyat menjadi pedoman memahami hikmah di sebalik kejadian dan penciptaan.
  • Ulul albab dalam pendekatan pendidikan menjadikan al-Quran sebagai sumber memahami fenomena. Alam dan kehidupan adalah sumber ilmu yang sangat kaya. Pemahaman terhadap al-Quran tidak harus sifatnya tekstual (harfiah) semata-mata tetapi menghubungkan alam dan kehidupan memerlukan pendekatan kontekstual.
  • Dualisme pendidikan. Pendekatan kontekstual menjadikan ilmu berkembang dalam disiplin yang pelbagai. Teras kepada ilmu itu ialah etika dan nilai. Tanpa etika dan nilai ilmu menjadi kosong dan lompang. Ilmu dan kemahiran hanya bersifat mekanistik, sedangkan ilmu memerlukan roh supaya sifatnya memberi cahaya dan penunjuk jalan ke arah kebenaran, kebaikan dan manfaat.
  • Dualisme dalam ilmu dan pendidikan sudah terbina sejak sekian lama. Pendekatan empiris yang berasaskan penjanaan minda, pemerhatian dan uji kaji semata-mata tidaklah segala-gala. Ada faktor dalaman diri manusia yang menjadi asas binaan akhlak dan watak yang memerlukan perhatian. Ulul albab adalah suatu kaedah terbaik bagaimana aspek diniah (agama) dijadikan landasan membangunkan aspek ketamadunan yang perlu bagi umat manusia.
  • Ulul albab adalah proses pengilmuan dan pendidikan yang mampu memberi tautan epistemologi (teori ilmu) yang tidak saja berkembang dalam batas kognitif atau akal fikir tetapi mampu diterjemahkan secara aplikatif dalam amal dan buat.
  • Pemikiran (fikrah) dalam tradisi Islam tidak memadai. Ia tidak menghasilkan contoh dan sumber ikutan. Fikrah yang diikuti dengan amal adalah suatu simbiosis memperlihatkan bahawa proses pengilmuan dan pendidikan mampu menghasilkan insan berfikir tahap tinggi untuk mencari kebijaksanaan.
  • Modal insan miliki sinergi. Kebijaksanaan adalah barangan yang hilang daripada insan. Ulul albab adalah landasan terbaik bagaimana pemahaman manusia terhadap sesuatu terhubung dengan Pencipta dan daripada-Nya terbina satu sikap diri mengenai kenapa kita dihidupkan dan apa peranan yang patut dilakukan bagi menyumbang ke arah kehidupan yang sejahtera.
  • Menjadikan pendekatan ulul albab sebagai suatu pendekatan di sekolah dan institusi pendidikan adalah suatu langkah bijaksana kerana tasawwur atau world-view yang baik tidak akan terbina tanpa terlebih dulu asas Qurani tidak terbangun.
  • Tradisi hafazan umpamanya adalah baik sekiranya al-Quran diikuti dengan landasan tafsiran dan keupayaan mengolah petunjuk daripada Allah SWT ini dalam kreativiti kajian dan ketelitian supaya terhubung akliah insan dengan daya kompetensi tinggi memahami faktor yang nyata dengan faktor yang ghaib. Teknologi umpama selamanya alat dan bukannya matlamat. Ia mendukung matlamat sekiranya nilai guna yang berasaskan etika dan nilai dijadikan sandaran. Pencapaian teknologi tinggi semata-mata bukan ukuran mutlak terhadap kejayaan. Tetapi teknologi tinggi yang disantuni dengan sentuhan keinsanan menjadi ukuran terbaik terhadap aplikasi teknologi dalam kehidupan.
  • Oleh itu ulul albab dalam keilmuan dan pendidikan harus mampu mencetuskan upaya berfikir yang tinggi dalam kalangan pelajar supaya generasi muda mampu memiliki daya artikulatif (berfikir) yang baik di samping dikawal oleh etika dan nilai yang berkualiti.
  • Ia bakal menghasilkan modal insan yang memiliki sinergi antara faktor diniah dengan faktor ketamadunan, fikir dan zikir dan memiliki jiwa tadabbur (kaji selidik) yang tinggi supaya alam dan kehidupan ini dapat difahami secara seimbang. Inilah asas ulul albab yang patut diperkasa dalam sistem pendidikan yang sifatnya integratif dan Islamik. – Dr Sidek Baba

Titik penyatuan nasional belum ditemui

Perpaduan kaum, apakah selama ini mereka hanya berpura-pura?

  • Pada malam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengusulkan penyatupaduan nasional. Konsep itu dikemukakan ekoran kerisauan beliau sesudah melihat pola pengundian yang mengarah kepada polarisasi kaum. Polarisasi kaum tidak baik untuk Malaysia yang sekian lama bangga dengan hubungan etnik yang aman dan harmoni.
  • Ramuan terbaik perlu dicari bagi mengelakkan polarisasi kaum daripada memburuk dan memastikan perpaduan nasional terus dapat diperkukuhkan. Jawapan kepada semua itu ialah penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) baru-baru ini.
  • Kesepaduan sosial dan integrasi nasional amat penting bagi negara yang kompleks seperti Malaysia, lebih-lebih lagi kita bukan saja mempunyai sekian banyak etnik, tetapi juga dipisahkan oleh Laut China Selatan.
  • Dengan landskap sosiopolitik yang sudah berubah ekoran peningkatan kadar celik huruf dan politik, pendedahan kepada media baru, pertambahan golongan kelas menengah, serta kadar perbandaran yang meningkat memberi kesan kepada trend pengundian dalam pilihan raya. Perbincangan rakyat mengenai pelbagai isu yang dulu dianggap sensitif tidak lagi dapat dikawal, apatah lagi dengan adanya media baru.
  • Kenyataan sentuh isu sensitif. Rakyat Malaysia tidak segan memperkatakan sesuatu tanpa mengendahkan sama ada ia menghiris perasan etnik dan agama lain atau tidak. Akta Hasutan seolah-olah tidak memberi rasa gerun kepada golongan ini dengan terus menyentuh isu sensitif, emotif dan provokatif meskipun menyedari implikasi negatif kepada hubungan etnik.
  • Mereka bertikam lidah terutama di alam maya, tetapi sering bertindak ‘tikam batu sembunyi tangan.’ Keterbukaan dan kebebasan bersuara di alam maya bagai tidak disekat dan perselisihan pendapat ini sering menimbulkan salah tanggapan sesetengah orang, seolah-olah hubungan etnik di negara ini teruk walhal apa yang berlaku di alam maya tidak semestinya mencerminkan realiti sosial dalam hubungan seharian. Masyarakat pelbagai etnik masih lagi duduk semeja di kedai mamak, mengunjungi rakan dan kaum lain waktu perayaan atau majlis perkahwinan.
  • Isu membabitkan kepentingan kaum, bangsa, agama, budaya, perlembagaan dan ekonomi jika tidak dikawal boleh membakar hati dan negara kita. Perbincangan terbuka, jujur dan profesional dalam MKPN amat dituntut untuk mencari penyelesaian terbaik.
  • Hubungan etnik di negara ini mengalami keadaan turun naik, kecuali beberapa kejadian seperti 13 Mei 1969 dan dua tiga lagi kejadian lain, hubungan etnik di negara ini padanya aman dan harmoni. Kita sedang menuju kesepaduan dan perpaduan sosial.
  • Pendekatan pulih hubungan. Pelbagai langkah kerajaan sejak Majlis Gerakan Negara ditubuhkan membuahkan hasil, termasuk Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, penggunaan bahasa kebangsaan, dan seumpamanya. Meskipun demikian, ada pihak menganggap hubungan etnik di negara ini rapuh sifatnya bagai api dalam sekam, bila-bila masa saja boleh berlaku ketegangan dan konflik.
  • Kita sedar bahawa kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati pada hari ini berkat kestabilan sosial dan politik sejak kemerdekaan. Percakaran memang berlaku. Tetapi keharmonian hubungan etnik dan kesepaduan sosial memungkinkan kita mencapai kemajuan dari segi politik, ekonomi, sosial, pelancongan dan seumpamanya.
  • Kita perlu terus mempertahankan keadaan itu bagi menentukan survival Malaysia. Kita perlu mencari persamaan daripada perbezaan, kerana kita tidak dapat lari daripada realiti hidup dalam kesatuan dan kepelbagaian. Malaysia berada pada tangga ke-19 dalam Global Peace Index 2011 meskipun negara ini terdiri daripada pelbagai etnik. Negara lain yang mengatasi Malaysia pada amnya bersifat homogenus dari segi demografi. Kita perlu berbangga dengan pencapaian itu dan terus berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kita.
  • Membina masyarakat yang teguh dari segi kesepaduan sosial dan integrasi nasional memakan masa panjang. Masyarakat pelbagai etnik di Malaysia tidak mungkin hidup bagai sebuah pulau sebaliknya kita saling bergantung dalam setiap kegiatan dan perkara. Kesepaduan sosial boleh dicapai melalu akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amalgamasi dalam pergaulan seharian, kebudayaan, makanan dan perkahwinan.
  • Segala cabaran pada peringkat tempatan, nasional dan global bergantung kepada daya ketahanan kita yang ditentukan kestabilan sosiopolitik hasil kesepaduan sosial dan perpaduan nasional. Kesepaduan sosial prasyarat perpaduan nasional yang menjadi matlamat jangka panjang negara. -- Jeniri Amir, Universiti Malaysia Sarawak

Letrik, tol naik untuk rakyat juga

Kenaikan tarif elektrik tidak boleh dielak kerana ia untuk kepentingan rakyat juga.

  • ENAM bulan lalu Indonesia seperti terbakar. Berminggu-minggu dipanaskan dengan debat tentang cadangan kerajaan untuk menaikkan secara mendadak harga bahan api termasuk petrol. Rakyat marah. Berhari-hari pula pihak polis terpaksa mengawal demonstrasi yang cepat bertukar ganas di seluruh republik itu.
  • Tetapi sekarang selepas tarikh 22 Jun itu, rakyat Indonesia sudah terbiasa dengan harga baharu bahan api. Kenderaan malah semakin bertambah. Jalan raya di mana-manapun kota di Indonesia bertambah sesak. Harga bahan api yang disifatkan mahal sebelum keputusan dibuat 22 Jun itu kini tidak lagi menjadi isu walaupun program mengawal kesan kenaikan yang dijanjikan tidak berjalan dengan lancar kerana masalah birokrasi.
  • Parti politik pembangkang seperti akur dengan keputusan tegas kerajaan. Tiada lagi yang mengungkit-ungkit hal kenaikan itu yang merupakan satu keputusan berat, tidak dapat dielakkan dan tidak popular. Kumpulan penunjuk perasaan yang bertembung fizikal dengan pihak polis juga seperti sudah melupakan episod itu.
  • Situasinya seperti menang-menang. Yang membantah sudah melakukan tanggungjawab masing-masing, begitu juga pihak kerajaan. Situasi akhirnya menggambarkan rakyat perlu hidup dengan realiti. Pihak yang membangkang tahu had-had untuk membantah. Kerajaan pula sedar tentang tanggungjawabnya menjaga kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
  • Kenaikan harga di mana-mana negara akan menyebabkan bantahan rakyat. Siapa yang suka kenaikan kecuali yang mempunyai kepentingan. Yang membezakannya ialah bagaimana kenaikan itu diurus terutama mengawal kesan negatif kepada masyarakat terbanyak.
  • Situasi inilah yang sedang dihadapi negara sekarang. Ini bukanlah kali pertama kerajaan berdepan dengan situasi berat dan penuh dilema sebegini. Cuma kali ini pengumuman satu kenaikan disusuli dengan satu cadangan kenaikan lain, seperti berangkai.
  • Selepas kenaikan minyak dan kemudian tarif elektrik, dicadangkan pula kenaikan tol mulai tahun depan. Masing-masing tidak boleh membayangkan kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung akibat kenaikan berangkai itu.
  • Ramai yang mula mencongak-congak dan menganggar-anggar. Sudahnya mereka hanya menggeleng-gelengkan kepala. Sebab itu kali ini bantahan lebih meluas termasuk oleh badan bukan kerajaan dan kumpulan penyokong kerajaan sendiri.
  • Walaupun menggunakan pendekatan dan bahasa yang berbeza, intinya mereka menolak kenaikan tersebut. Pada masa sama mereka memahami bahawa kenaikan seperti tarif elektrik dan tol tidak dapat dielakkan.
  • Beban. Hal ini kerana selain kerajaan terikat dengan perjanjian konsesi, kenaikan itu telah beberapa kali ditangguhkan. Jalan keluarnya sama ada tarif dinaikkan yang bermaksud kos bakal ditanggung oleh pengguna. Atau beban kenaikan itu terus ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan yang akan mengakibatkan peruntukan untuk perkara lain tidak dapat dilakukan.
  • Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, mereka pantas memberikan respons terhadap bantahan dan suara rakyat itu. Dalam keadaan sukar itu, jalan terbaik perlu dicari untuk membendung kesan kenaikan tersebut.
  • Salah satu elemen penting yang sedang dalam perhatian kerajaan ialah mengurangkan beban kenaikan kepada rakyat. Segala cara dan jalan yang praktikal dipertimbangkan. Contohnya dalam isu tol, rebat yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini sangat membantu pengguna lazim lebuh raya. Rebat seperti ini wajar diperluaskan selain pemberian diskaun berkategori untuk pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya.
  • Walau bagaimanapun pada masa sama kerajaan tidak boleh dilihat lemah terhadap desakan syarikat pemegang konsesi terutama pemegang konsesi lebuh raya generasi awal yang perjanjiannya dinilai berat sebelah.
  • Semua orang faham pemegang konsesi perlu mendapatkan keuntungan setelah membuat pelaburan besar, tetapi bukanlah dalam jumlah yang melampau. Pertimbangkan beban pengguna, fikirkan perasaan mereka. Umum untung berbilion ringgit tapi masih nak tarif dinaikkan.
  • Begitu juga orang faham pemegang konsesi perlu melunaskan pinjaman dan membuat penyelenggaraan serta pelebaran lebuh raya yang memerlukan dana besar tetapi bukanlah dengan cara menaikkan tarif semata-mata. Ada cara lain mengaut keuntungan seperti mengembangkan papan iklan dan industri pelancongan di lebuh raya.
  • Mahu tidak mahu akhirnya kerajaan perlu membuat keputusan. Tarif elektrik telah diumumkan secara rasmi. Pengumuman kenaikan tol pula dengan mekanisme mengawal kesannya kepada rakyat dijangkakan dibuat pada awal tahun depan.
  • Kenaikan harga disusuli dengan kritikan, bantahan bahkan kecaman adalah lumrah. Hal seperti ini sukar dikawal. Yang penting, yang akan dinilai oleh rakyat kelak ialah sejauh mana kenaikan itu menjejaskan hidup mereka.
  • Jika ternyata kesannya masih boleh ditampung, kenaikan akan diterima sebagai satu realiti hidup. Jika ternyata kenaikan itu boleh diserap atau dikurangkan melalui mekanisme tertentu yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan, kemarahan yang tergambar pada hari ini akan pudar seperti angin lalu.
  • Tetapi jika tidak, kerajaan sekarang akan dihukum. Cuma jangan mudah terpancing dengan mainan politikus dan oportunis. Jangan mudah membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Memang dalam keadaan marah sekarang, banyak perkara buruk boleh dilakukan. Banyak pihak sedang menantikan peluang ini untuk menangguk di air keruh.
  • Bagi kerajaan pula apa juga keputusan yang bakal dibuat, lakukan dengan penuh keyakinan, kebijaksanaan dan keikhlasan. Yang akhirnya akan menentukan ialah waktu dan selama ini waktu tetap menyebelahi kerajaan yang ada sekarang. -- Oleh Zulkefli Hamzah

Nordin Kardi bercerita soal harapan dan kebimbangan rakyat Malaysia

Ada Chinatown di mana-mana di seluruh dunia, tanda kekayaan bangsa itu rebut peluang ekonomi dan menguasainya.

  • PADA umur 80 tahun Anjang Mat Jelas (bukan sebenar) masih kuat berbasikal ke pekan untuk membeli surat khabar setiap hari. Dia dikurniakan tenaga yang masih munasabah dan mata yang masih terang. Dia seorang sahaja di pekan kecil itu yang masih berbasikal, selain kumpulan remaja yang berbasikal hanya untuk tujuan riadah. Katanya dia kekal berbasikal kerana kira-kira 65 tahun yang lalu cita-citanya ialah memiliki basikal sendiri.
  • Cita-citanya tercapai semasa dia berumur 15 tahun, selepas tiga tahun bekerja sendiri, melakukan pelbagai pekerjaan di kampungnya. Sebaik saja dia berhenti sekolah pada usia 12 tahun, dia tidak lagi bergantung hidup kepada ayahnya walaupun mereka masih tinggal serumah. Anaknya pula telah bersara sebagai pegawai tinggi kerajaan dan sekarang berumur 60 tahun. Seperti dia, anaknya pada usia 18 tahun juga mengimpikan memiliki kenderaan sendiri. Namun kenderaan yang dimimpikan anaknya bukan sebuah basikal tetapi sebuah skuter.
  • Semasa anaknya berada di tingkatan lima sekolah menengah kebangsaan aliran Melayu, anaknya bertekad untuk mendapat pekerjaan dengan kerajaan. Dia sangat tahu dengan berkelulusan SPM dia boleh mendapat pendapatan RM230 sebulan. Pada hitungannya, dengan pendapatan sebanyak itu dia mampu membayar ansuran bulanan sebuah skuter. Itulah cita-citanya. Entah bagaimana pada tahun 1970, UKM ditubuhkan dan bersekali dengan Dasar Ekonomi Baru, tak semena-mena anak Anjang menjadi mahasiswa dan di situ dan ketika itulah cita-citanya memiliki skuter tercapai.
  • Anak Anjang tamat pengajian universiti dan tidak pernah merasa menganggur walau sehari pun kerana UKM mengamalkan sistem dua kali konvokesyen, iaitu ijazah Sarjana Muda Am selepas tahun ketiga dan Sarjana Muda Kepujian selepas tahun keempat. Anak Anjang mendapat pekerjaan dengan menggunakan Ijazah Sarjana Muda Am sementara dia menunggu konvokesyen ijazah kepujian. Cucu Anjang tidak seperti datuk dan ayahnya.
  • Dia tidak bercita-cita memiliki kenderaan. Sejurus berumur 17 tahun, dia sudah mempunyai lesen memandu. Dia bergerak sendiri dengan memandu salah sebuah daripada kenderaan bapa atau ibunya. Cita-citanya lain dan sukar difahami. Katanya dia mahu jadi dirinya sendiri. Dia akan marah-marah jika dia dibanding-banding dengan bapanya. Tidak seperti bapanya yang bercakap mengenai job security, bertukar dari satu pekerjaan kepada satu pekerjaan yang lain bukan suatu perkara besar kepadanya.
  • Bapanya setia dengan jabatan kerajaan sehingga khidmatnya tidak diperlukan lagi. Tidak juga seperti bapanya yang resah kalau terlalu lama tidak menjenguk kampung, cucu Anjang lebih selesa menghabiskan masa dengan kawan-kawan sebaya di bandar raya.
  • Demikian cerita tiga generasi yang melalui evolusi aspirasi hidup. Kesemua mereka hidup di bumi Malaysia namun mimpi mereka berubah dengan kelajuan yang kian pantas.
  • Perubahan tiba-tiba menjadi pantas semenjak tahun 1970. Masyarakat Malaysia, terutamanya Melayu pernah digerakkan oleh seruan kepentingan negara, bangsa dan agama. Masyarakat diseru supaya sanggup bersakit-sakit mencapai cita-cita negara dengan alasan apabila negara makmur, maka setiap warganegaranya akan turut makmur.
  • Tiba-tiba kini seruan itu sudah tidak diterima lagi. Pemerintah negara komunis seperti China dan Vietnam (apa lagi Kesatuan Soviet yang sudah lama berkecai) sendiri mengakui bahawa setiap individu hanya akan sanggup bekerja mati-matian sekiranya dia melihat ada keuntungan untuk dirinya.
  • Negara China misalnya sudah mula melakukan reformasi tanah dengan membenarkan pemilikan tanah individu berbanding dahulu - tanah adalah milik negara. Dengan adanya pemilikan individu baharulah individu dikatakan sanggup bekerja siang dan malam memajukan tanah masing-masing. Generasi baru mahu melihat kehendak mereka tertunai dahulu sebelum melihat kepada kehendak-kehendak lain. Kehendak-kehendak peribadi itu pula amat pelbagai dan banyak di antaranya tidak pernah terlintas di benak generasi terdahulu.
  • Realiti semasa. Setiap orang mahu merealisasikan potensi diri masing-masing yang dianggap unik dan tugas negara ialah memastikan segala-galanya ada bagi menyokong ideal baru itu. Ideal itu amat indah sekiranya dunia ini benar-benar tiada sempadan. Setiap individu boleh memilih untuk senang, kebuluran atau mati di mana-mana sahaja. Realiti semasa menunjukkan ideal individu masih dikekang oleh sempadan kenegaraan politik. Di luar sempadan negara politik yang memberi individu itu suatu pengenalan atau identiti tiada sempadan lain yang peduli akan tuntutan-tuntutan merealisasikan potensinya.
  • Hanya ada dua pasport yang membolehkan individu itu dialu-alu di luar sempadan negaranya iaitu pertama, modal wang dan kedua, modal profesional. Wang boleh membersihkan noda termasuk noda menindas manusia. Sebagai perumpamaan, elok diperhatikan apa yang termeterai antara China dengan Israel dan antara China dengan Palestin semasa lawatan Menteri Luar Republik Rakyat China, Wang Yi ke Timur Tengah baru-baru ini.
  • Semasa berjumpa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Wang Yi hanya bersetuju meminta Israel meneruskan rundingan damai, tiada isu lain. Semasa dia berjumpa rakan sejawatnya di Israel, Avigdor Lieberman, dia menandatangani persetujuan membantu Israel menyediakan tapak dan suasana selesa untuk Israel melabur di wilayah Asia dan sebagai balasan, Israel akan memudahkan pemindahan teknologi kepada China. Untuk membolehkan itu terjadi, kedua-dua pihak bersetuju memansuhkan keperluan visa bagi pasport diplomat dan perkhidmatan bagi warganegara dua negara itu.
  • Kedua-dua negara juga menandatangani persetujuan kerjasama guna tenaga dan setuju memperbanyakkan penerbangan terus antara kedua-dua negara. Itulah perbezaan 'alu-aluan' kuasa besar China kepada Palestin dan Israel meskipun dunia melihat bagaimana Palestin menjadi golongan 'mustadafin' di negaranya sendiri angkara Israel.
  • Apakah anak-anak muda Malaysia, terutamanya Melayu, sudah memiliki kedua-dua pasport yang dinyatakan sehingga dia akan dialu-alukan di mana saja di dunia ini? Tentu akan ada yang menjawab 'peduli apa' sama ada dialu-alu atau tidak di tempat lain. Soalnya, kian hari negara ini kian dibanjiri oleh orang dari luar dan dengan pantas pula mereka merebut segala peluang mencipta emas dan kehidupan di sini atau dibawa pulang. Pergerakan besar setakat ini seperti sehala.
  • Dalam konteks ini, hasrat yang dibina semenjak lebih daripada 20 tahun yang lalu untuk warganegara Malaysia berbangga dengan identiti dari negara maju sepenuhnya menjadi amat kritikal dalam tempoh lima atau enam tahun ke hadapan menjelang 1 Januari 2014 ini. Laporan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) mengenai Malaysia amat tidak memberangsangkan dalam perjalanan menuju identiti itu. Laporan itu mengatakan tenaga pekerja di Malaysia jauh lagi di belakang berbanding negara maju berpendapatan tinggi.
  • Malaysia kekurangan pekerja mahir, pertumbuhan produktivitinya lemah dan daya kreativiti serta inovasinya sangat rendah. Malaysia (terutamanya majikan yang hanya memikirkan keuntungan jangka cepat) bergantung sepenuhnya kepada buruh asing yang digaji murah. Laporan itu juga menyebut bahawa 73.8 peratus tenaga kerja Malaysia adalah buruh tidak mahir yang 47 peratus daripadanya buruh asing yang hanya memiliki pendidikan sekolah rendah.
  • Kedudukan ini jauh berbanding jiran-jiran Asia seperti Singapura, Taipei dan Korea. Akibatnya pertumbuhan IKS yang sangat penting sebagai jentera pertumbuhan negara maju berpendapatan tinggi terpaksa berjalan seperti kura-kura. Bank Dunia (2010) melaporkan daripada syarikat-syarikat industri di Malaysia yang dikaji, 40 peratus melaporkan mereka terpaksa mengambil masa empat minggu sebelum dapat mengisi kekosongan jawatan berkemahiran, suatu tempoh yang dianggap industri sebagai terlalu panjang mengikut piawai negara maju berpendapatan tinggi.
  • Demikian pengharapan untuk warganegara Malaysia berbangga dengan identiti warganegara negara maju dengan kebimbangan persiapan menghadapinya bagai dua mempelai yang tidak sekufu. Untuk yang tidak sekufu itu ditransformasikan menjadi suatu tenaga luar biasa, suatu tekanan kreatif diperlukan oleh Malaysia. Adakah mungkin cabaran kenaikan harga pelbagai perkara berkaitan kehidupan yang kelihatan bermula tahun 2014 merupakan suatu latihan dan persediaan untuk mendesak setiap warga Malaysia bekerja kuat meningkatkan pendapatan diri dan keluarga supaya seiring dengan pengharapan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, yang bukan semata-mata impian dan angan-angan pemerintah.
  • Pemerintah pula bukan hanya ingin melihat lonjakan pertumbuhan KDNK sebaliknya bersusah-payah memahami aspirasi setiap warganegaranya. Slogan 'individu hendaklah tunduk kepada kehendak ramai' dan 'kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua orang' sudah menjadi slogan masa silam. Susah? Ya memang susah, rumit dan tegang tetapi itulah yang dinamakan 'ketegangan kreatif' yang perlu diurus. Jika tidak sanggup bersusah mengasah otak mengurus ketegangan itu, tidak usah tampil menawar diri untuk memimpin. Pemimpin yang hanya pandai tersenyum-senyum menghulur salam hendaklah diganti dengan pemimpin tajam akal lagi bijaksana.
  • Dalam keadaan itu, pemimpin yang baik dari sekarang dan ke hadapan ialah pemimpin yang berkongsi, menyahut dan menunaikan pengharapan warga Malaysia, bukan yang menghabiskan banyak masa melayan kebimbangan dan rungutan.
  • Warganegara yang baik pula ialah warganegara yang dengan bijaksana menjadikan pengharapan itu suatu ideal kehidupan, bukan dia yang meronta-ronta meratapi hari semalam dan bukan juga mereka yang cepat meminta ganjaran syurga dari masa silamnya, sedangkan perjalanan kehidupan masih panjang dan jauh dari selesai. Selamat menyambut kedatangan tahun baru 2014! -- Oleh Tan Sri Nordin Kardi

Kadir Jasin said suspending newspapers may not be the answer


  • THE weekly newspaper, The Heat was unknown to most Malaysians until its was suspended indefinitely by the Home Ministry on Dec 19.
  • Its offence was unclear. According to media reports, the ministry did not say and the newspaper appeared reluctant to talk about it.
  • Media reports suggest that it was being punished for a front-page story alleging big spending by the Prime Minister.
  • I have also been advised (and warned) by some delegates to the Kedai Kopi Assembly (KKA) and commentators of this blog to be more careful and circumspect when commenting on the government.
  • They advised me to go easy on the Prime Minister and lay off his wife. I told them that since we are the rakyat then there must be a government. The rakyat elected the government and pay the taxes. So it is our right and privileges to let the government know what we feel. In any case, it was the PM who once said that the era of the governing knowing all was over.
  • Banning Not the Answer. Banning or suspending newspapers and other forms of publication is not new in Malaysia. And not every newspaper banned or suspended in the past disappeared. Some made a comeback with a vengeance. They might not come back as a crusader or an irritation that they formally were. But a few like The Star and Sin Chew Daily went on to become a huge commercial success.
  • The two papers had their publishing permits suspended in the aftermath of the Operasi Lalang in1987. But the smaller and financially weak Malay weekly, Watan that was also suspended went out publication. Attempts to revive it failed.
  • Today, The Star is the largest paid English newspaper and the Sin Chew is the largest Chinese language newspaper. They are beaten only by the sensational Malay tabloids, Harian Metro and Kosmo.
  • For The Star and the Sin Chew, the 1987 suspension raised their profile and improved their sales when they resumed publication although they became more pliant towards the government. In the post May 5 general elections, when its controlling shareholder – the MCA – did badly, The Star appears to be more open and impartial.
  • So suspending a newspaper is not always a productive thing to do, more so when strong reasons are not given or worse still when the reasons for such a tough action are frivolous.
  • PM’s Pledges Contradicted. In ordering the suspension of The Heat, the Home Ministry might have forgotten (or not known) that the PM had made a strong pledge to support freedom and liberty.This is what he said in his official 1Malaysia website.
  • "Since I took office back in 2009 I have been clear in my vision for Malaysia as a modern, progressive and forward-looking democracy in which the people’s fundamental rights and freedoms are protected.
  • To that end, I have implemented the most far-reaching package of political reforms since Malaysia’s independence: the State of Emergency ordinance has been ended; the colonial-era Internal Security Act, which permitted indefinite detention without trial, has been repealed; restrictions on newspaper publishing licenses have been scrapped; the ban on students joining political parties has been lifted and I have pledged to review the Sedition Act. I have also introduced the Government Transformation Programme to make Malaysia’s public services more efficient and responsive to people’s needs, as well as clamping down on corruption.
  • These are truly far-reaching reforms that will benefit the Malaysian people, will see our country take its place among the world’s high income nations and will secure our reputation as a rising Asian powerhouse where political liberties flourish alongside economic growth.” 
  • Politicians and their officials appear to have not learned a lesson from their mishandling of the blogs under a decade ago. It was that mistake that promoted and propelled the success of the otherwise little known medium.
  • Ministers called bloggers “goblok’ (Javanese for a stupid person) and “penembak curi” (sniper) while Khairy Jamaluddin, then an Abdullah aide, called them monkeys. Their attacks against bloggers were widely reported by the mainstream media. This had resulted in making the public curiosity about the blogs and they soon started to surf the internet to find what the commotion was all about. Many went on to become ardent followers of blogs.
  • Repeating Same Old Mistake. They are doing it all over again and even this blog is not spared. Several debaters, delegates to the KKA and people I met along the byway, had eluded to the complicity of senior Umno politicians like Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim and Tan Sri Sanusi Junid in our debate on the governmentlately. I should be honoured if that’s the case. Unfortunately, it was not.
  • Why should Dr Mahathir want to use this blog when he has an even bigger blog to his name. And Tun Daim? Why should he wants to get his hand dirty here when he is known to have written nasty letters directly to past and present Prime Ministers?
  • Those accusing this blog of being the mouthpiece of Daim should ask the Prime Minister how many letters of advice he had received from Daim.
  • I believed people like Dr Mahathir, Daim and Sanusi had said as much or more directly to the Prime Minister than we dare say in this blog. People who are alleging Dr Mahathir’s, Daim’s and Sanusi’s involvement in this blog should perhaps direct their energy to respond to this blog in defence of the PM and the government.
  • To my understanding, the PMO has many individuals and groups monitoring the media for him, including the high-powered Communication Action Group (CAG). Instead of pointing fingers at past leaders, these people and groups should take on this blog head on. Kalau anak jantan apa nak takut? -- A Kadir Jasin