- Rata-rata nelayan tak berani jual ikan kembung melebihi RM2 sekilo kepada peraih. Takut peraih tak nak beli. Biasanya mereka jual RM1 atau RM1.50 sekilo. Namun di pasaraya dan pasar basah harganya menjangkau RM10 sekilo manakala di kedai runcit melambung lagi ke paras RM14 sekilo.
- Itu harga hari biasa. Kalau musim perayaan atau tengkujuh atau air mati (istilah nelayan), ikan kembung melambung sampai RM16 di pasaraya. Jangan tanyalah harga di kedai runcit. Boleh pengsan dibuatnya.
- Rata-rata nelayan berkata, 'orang tengah menekan kami'. Kalau tak percaya, cuba turun ke pangkalan jeti Kuala Selangor atau mana-mana jeti ikan di seluruh Malaysia dan bertanyalah kepada nelayan.
- Keluhan mereka mesti sama. Masalah orang tengah (peraih) sudah lama berlaku. Bukan ikan kembung saja yang melambung. Lain-lain pun sama. Nelayan jual murah tapi peraih tekan harga cukup-cukup. "Siapa banyak mulut, tak payah beli ikan" kata peraih sombong.
- Ikan belukang (sesetengah orang panggil ikan bagok), ikan yang paling low class dalam spesis ikan laut. Nelayan jual kepada peraih pada harga RM1.50 sekilo, tetapi apabila sampai ke pasar harga melambung sehingga RM8 sekilo.
- Sebagai nelayan bot kecil mereka hanya menangkap beberapa jenis ikan sahaja seperti belukang, ikan sebelah, bawal, kembung dan udang.
- Sama juga dengan harga udang kelabu misalnya, nelayan jual pada orang tengah pada harga RM14 sekilo tetapi apabila di pasar harganya menjangkau RM31 sekilo.
- Begitu juga dengan harga ikan lain, udang mahupun sotong, juga tidak menentu kerana ia bergantung kepada musim, misalnya harga akan jauh lebih tinggi pada hujung minggu dan ketika air laut mati.
- Ketika permintaan ikan tinggi, harga ikan juga akan melambung selain daripada kekurangan jumlah nelayan yang turun ke laut.
- Harga di pasar tani murah sikit. Bagi memastikan bekalan ikan basah sentiasa mencukupi dan harganya rendah di semua pasar tani, Fama memberi sokongan dengan menyediakan ruang kepada persatuan nelayan dan nelayan individu untuk membuka gerai jualan di pasar tani.
- Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, tujuan pasar tani diwujudkan adalah untuk mengawal harga barang secara berterusan.
- "Setakat ini, terdapat 560 pasar tani seluruh negara dan sehingga kini, 156 penglibatan dari persatuan nelayan mendaftar sebagai peserta pasar tani. Untuk menjadi peserta pasar tani, peniaga memerlukan modal pusingan.
- "Peserta boleh memohon pinjaman tanpa faedah sebanyak RM5,000 daripada Nekmat," katanya. Beliau menambah, Fama turut menyediakan lot kosong di pasar tani yang diperuntukkan kepada nelayan, persatuan nelayan kawasan dan Nekmat yang boleh dipohon melalui Fama.
- "Nelayan boleh menyertai untuk menjual tangkapan mereka secara terus di pasar tani atau pun menerusi persatuan nelayan dengan keuntungan dimiliki terus oleh mereka," katanya.
- Itu masalah nelayan. Bagaimana pula dengan pengguna? Perlukah mereka turun ke sungai dan laut untuk mendapatkan keperluan protein dengan harga murah? Atau mengemis dengan Nekmat?
- Tempiasnya lebih terkena kepada rakyat berpendapatan rendah. Mereka bertanya tidak bolehkah harga ikan itu dikawal? Walhal ia merupakan sumber protein dan makanan laut yang paling diperlukan semua lapisan masyarakat.
- Menurut statistik, Malaysia berada di kedudukan kelima di dunia sebagai negara penggemar ikan dan tertinggi di Asia Tenggara.
- Malangnya, harga ikan di negara ini semakin lama semakin mahal dan membebankan pengguna apatah lagi ketika di musim perayaan dan tengkujuh.
- Mengapa begitu mahal? Saban tahun soalan sama diaju, saban tahun juga jawapan sama diterima.
- Mahal kerana musim tengkujuh, mahal disebabkan stok bekalan kurang dan macam-macam lagi alasan. Tetapi yang menanggung kosnya adalah rakyat.
- Terbaru, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan menghapuskan peranan orang tengah yang menjadi penyebab kepada kenaikan harga ikan.
- Bermula dari situ, kementerian itu dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melancarkan lapan inisiatif yang digelar 'jihad memerangi orang tengah' untuk membantu nelayan, sekali gus mengurangkan harga ikan di pasaran.
- Bagi memastikan pelaksanaannya, LKIM, Jabatan Perikanan, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bergabung tenaga.
- Boleh turun harga 30 peratus. Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, jika kegiatan orang tengah berjaya dibanteras, harga ikan akan dapat diturunkan sehingga 20 ke 30 peratus.
- “Orang tengah membeli ikan daripada nelayan dengan harga rendah, kemudian menjual semula kepada pengguna dengan menaikkan harga ikan 20 dan 30 peratus.
- “Situasi ini dilihat menindas nelayan yang berhempas pulas ke laut dan golongan pengguna yang membeli ikan dengan harga tinggi,” katanya.
- Menurutnya, inisiatif terbaru ini dibuat untuk memastikan orang tengah lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan dengan apa yang mereka ingin jual di pasaran.
- “Jika kita tidak mengambil berat masalah ini rakyat akan terus terbeban dengan sikap tidak bertanggungjawab orang tengah dan kenaikan harga yang melampau,” katanya.
- Nelayan jual terus ke Nekmat. Penjualan secara terus daripada nelayan kepada Nekmat yang bertindak sebagai orang tengah mampu mengurangkan harga ikan basah sehingga 30 peratus di pasaran.
- Irmohizam berkata, terdapat dua alternatif bagi mengawal harga ikan. Pertama, Nekmat bersama persatuan nelayan kawasan akan membeli terus hasil tangkapan nelayan dengan harga sama seperti orang tengah atau harga pasaran yang berpatutan.
- “Ikan yang diambil akan dijual terus kepada pengguna. Dalam erti kata lain tidak mengambil kesempatan demi mengaut keuntungan tinggi, sekali gus mengurangkan harga ikan jauh lebih rendah berbanding peniaga lain yang menjual bukan melalui Nekmat.
- “Kaedah kedua, nelayan sendiri bertindak sebagai penjual ikan di pasar tani. Secara langsung, harga ikan juga dapat dikawal,” katanya.
- Bagi mengelak bekalan ikan tidak mencukupi terutama ketika musim tengkujuh, iaitu sekitar November sehingga Februari setiap tahun, Nekmat bertanggungjawab memastikan bekalan ikan sentiasa ada dalam simpanan.
- “Setakat ini, terdapat 23 pusat pengumpulan dan pengedaran ikan basah di bawah seliaan LKIM dan sembilan lagi dikendalikan Nekmat. Bilangan ini akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memastikan stok bekalan ikan basah mencukupi.
- “Nekmat juga berusaha meningkatkan bekalan ikan basah daripada 50 juta tan setahun kepada lebih 100 juta tan setahun,” katanya.
- Bagaimanapun, sebagai permulaan, pelaksanaan akan dimulakan dengan penjualan ikan basah di pasar tani seluruh negara, secara berperingkat.
Monday, 17 March 2014
Alahai mahalnya harga ikan
Subscribe to:
Posts (Atom)