Wednesday, 18 December 2013

Luahan hati Ustaz Kazim yang dizalimi…

Ustaz Kazim Elias dicemuh masyarakat Islam sendiri, begitulah dilema menjadi pendakwah
  • Sebagaimana yang dijangka, isu pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias, terus menjadi sebutan di kalangan para penyokong dan ahli PAS yang mungkin tidak mengenal erti dosa atau pahala. Meskipun beliau menolak secara baik jawatan politik yang ditawarkan padanya, masih ada lagi yang mengutuk dan mencerca beliau… Astaghfirullahil’azim…
  • Terbaru, mungkin kerana terlalu kecewa dan sedih dengan kejumudan pemikiran mereka-mereka yang tidak puas-puas memfitnah memaki hamun beliau, Ustaz Kazim terpaksa meluahkan rasa tersinggungnya di laman Facebook miliknya. Pun begitu, sekelumit pun beliau tidak membalas cercaan yang diterimanya dengan ayat-ayat nista…
  • Malah yang menariknya, beliau masih lagi dengan “skill” dakwahnya, cuba mengingatkan umat Islam yang tidak berakhlak itu dengan nasihat dan pengajaran yang tepat dan padat. Mungkin begitulah resmi pendakwah sebenar yang tegar mencara keredhaan Allah dan cuba mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam dunia dakwah…
  • Sebenarnya saya agak sedih dengan ujian yang terpaksa diharungi Ustaz Kazim. Mungkin beliau tidak mengenali saya, namun sebagai salah seorang umat Islam yang menghargai jasa dakwahnya, saya benar-benar rasa tersentuh apabila insan yang benar berjuang demi agama Allah itu diperlakukan secara zalim oleh pihak-pihak yang kononnya “lebih Islam” dari umat Islam yang lain…
  • Sebelum ini kita didedahkan dengan “gelaran” nista dari seorang Muslimat PAS yang dilemparkan pada Ustaz Kazim. Dalam masa yang sama, beliau juga mendedahkan pernah menerima ugutan, namanya diburukkan dengan fitnah syubhah serta caci cerca yang busuk baunya…
  • Sehingga sekarang, tidak ada seorang pun yang berani tampi memohon maaf pada “Mudir” Pusat Pendidikan Islam Al-Barakah itu. Biarpun didedahkan identiti dan dinasihati pelbagai pihak, namun masih tiada pun yang tampil secara terbuka meminta maaf atas dosa mereka terhadap Ustaz Kazim.
  • Terlalu keraskah hati puak-puak yang menghina Ustaz Kazim? Terlalu besar dan tinggi sangatkah ego puak-puak tersebut sehingga enggan menerima kesalahan yang mereka lakukan? Apakah nanti di Padang Mahsyar kelak barulah mereka akan sedar tentang kezaliman fitnah dan tohmahan yang mereka lemparkan itu?
  • Dimana perginya “tarbiyah” PAS? Ke mana hilangnya “tamrin” PAS? Apakah ini akhlak “mahmudah” yang PAS terapkan di dalam jiwa para penyokongnya? Astaghfirullahil’azim… apakah tiada langsung rasa rendah diri, zuhud dan tawaddhu di hati puak-puak yang kononnya “lebih Islam” dari umat Islam yang lain itu?
  • Terus terang saya katakan. Akhlak para penyokong PAS makin teruk sejak akhir-akhir ini. Sejak kepimpinan PAS makin ramai dikemudi oleh golongan bukan ulama, makin teruk akhlak mereka. Dari “mahmudah”, mereka bertukar pada “mazmumah”…
  • Bukan apa. Saya sebagai saudara seagama (meskipun tidak diakui saudara oleh ramai puak PAS), saya tetap sayangkan saudara-saudara saya meskipun kita berlainan fahaman politik. Saya tidak mahu mereka menghalalkan fitnah yang haram semata-mata untuk mengejar matlamat politik. Itu salah dari sudut pandangan Islam, bukan?
  • Apapun, saya akan terus doakan agar kita semua diberikan hidayah oleh Allah SWT. Hidayah itu sangat penting kerana tidak semua yang diberikan hidayahNya. Tapi jangan lupa minta maaf pada Ustaz Kazim. Bukan apa, takut nanti tiada pahala yang hendak dibayar pada beliau di akhirat, terpaksa pula puak-puak itu menanggung dosa-dosa beliau…kan? -- By dukeofmontecristo

Salji turun di bumi Mesir selepas 112 tahun, apakah ia petanda kiamat.

 
Piramid salji di Mesir menjadi tanda tanya umum

Fenomena salji di Mesir berlaku selepas 112 tahun
  • Fenomena ganjil berlaku di Kaherah, Mesir pada Jumaat 13 Disember 2013. Akibat ribut yang sering berlaku di Timur Tengah, bandar ini secara tiba-tiba diliputi salji. Cuaca aneh ini berlaku kerana suhu beku kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
  • Bandar ini sebenarnya pernah dilanda fenomena salji pada 112 tahun yang lalu. Pejabat pusat Meteorlogi Kaherah menyifatkan peristiwa itu sebagai luar biasa. "Salji berlaku lagi sejak 112 tahun yang lalu," jelas jurucakapnya dan dipetik dari Huffington Post.
  • Namun fenomena ganjil ini tidak disenangi masyarakat Mesir. Pelarian Syria harus berhadapan dengan udara yang sangat sejuk, dengan peralatan yang begitu minimum.
  • Hakikatnya kejadian pelik ini tidak hanya terjadi di Mesir. Ia pernah terjadi di Israel pada tahun 1953 ketika cuaca dan badai melampau menghentam Israel, negara ini dilanda salji. Tetapi ia bukan membawa kegembiraan sebaliknya menyebabkan warga Israel meninggalkan rumah mereka.
  • Sementara itu, ramai kalangan umat Islam meramalkan peristiwa Mesir dilanda salji sebagai petanda kecil berlakunya kiamat.
  • Hadis Abu Hurairah: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggakan tanah Arab menjadi subur dan dilimpahi dengan sungai-sungai.”
  • Ini bererti selepas salji cair, Mesir digenangi sungai dan tanah gersang Negara itu akan subur dan dilitupi pelbagai tumbuh-tumbuhan.
  • Namun petanda kecil kiamat itu disanggah oleh beberapa tokoh agama tempatan, antaranya Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menegaskan kejadian turun salji di Mesir bukanlah satu petanda kiamat.
  • Menurutnya, ada pihak mendakwa bahawa turunnya salji di Mesir sebagai satu tanda Kiamat berdasarkan hadis riwayat Muslim, Ibn Hibban dan lain-lain bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak berlaku kiamat sehingga Tanah Arab kembali menjadi bumi yang menghijau dan sungai-sungai".
  • “…sebenarnya perkataan 'Tanah Arab' itu lebih merujuk kepada Jazirah Arab (Hijaz) dan boleh merangkumi Iraq, Yaman, Sham (Jordan Palestin dan Syria). Adapun Mesir ia bumi Afrika.
  • “Kemudian salji memang saban tahun turun di Jordan, Palestin dan Syria sejak sekian lama, maka itu bukan tanda kiamat.
  • “Hadis itu sebut Tanah Arab kembali menjadi hijau dan sungai bererti dahulu telah pun demikian keadaannya. Apabila Jazirah Arab (Saudi), Iraq, Yemen, Syria, Jordan, Palestin dan sekitar menghijau dan banyak sungai maka itu itu tanda kiamat.. oleh itu  hati-hati dalam memberi maksud hadis,” katanya yang dipetik menerusi laman Facebooknya.

Halim Saad kembali ke dunia korporat....

Tan Sri Halim Saad kembali ke persada korporat
  • Diberitakan bahawa kemunculan semula seorang tokoh korporat Melayu yang suatu ketika dahulu senyap sepi selepas krisis kewangan tahun 1997/98 melanda negara. Ramai usahawan dan jutawan Melayu tersungkur ketika krisis kewangan tersebut.
  • Tokoh korporat yang dimaksudkan membuat kemunculan semula adalah Tan Sri Halim Saad. Siapa yang tidak kenal beliau, salah seorang tokoh korporat yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bumiputera tetapi juga antara tokoh korporat terhebat di era sebelum krisis ekonomi yang melanda Malaysia di penghujung 1990-an.
  • Kemunculan semula Halim menggambarkan bahawa beliau tidak pernah berputus asa dalam perniagaan. Beliau bercadang dan sedang melaksanakan strategi-strategi untuk menjadikan syarikat yang mana beliau merupakan pemegang saham utama iaitu, Sumatec sebagai sebuah syarikat yang berjaya.
  • Sifat keusahawanan beliau perlu dipelajari dan dijadikan contoh oleh usahawan-usahawan Melayu Islam yang lain.
  • Apabila berbicara mengenai kekuatan umat Islam, satu aspek yang perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh orang Melayu Islam ialah berkenaan dengan budaya keusahawanan, disiplin yang kuat serta menjadi seorang yang sentiasa mengejar ilmu pengetahuan.
  • Orang Melayu Islam tidak boleh sekadar berpuas hati apa yang mereka peroleh, tatkala dunia luar dan dalam Malaysia sendiri, perubahan berlaku dengan cepat sama sekali.
  • Ketika dunia luar berubah lebih jauh berbanding Malaysia dari segi pemikiran, pendidikan, ilmu pengetahuan dan cara bertingkah laku, umat Islam Malaysia pula masih dimomok-momokkan dengan pelbagai perkara negatif yang menjadi budaya mereka.
  • Tunjukkan perkara positif dalam kehidupan umat Islam. Yang negatif pula ditangani secara berhemah. Yang positif pula dibudayakan agar tingkah laku umat Islam dan Melayu Islam sentiasa ke hadapan atau sekurang-kurang berada di garisan sama dengan kaum lain.
  • Sebagai contoh, budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu wajib dipraktikkan supaya umat Islam tidak mudah ditipu oleh orang lain seperti skim cepat kaya, ajaran sesat dan pelbagai lagi penipuan yang berskala kecil sehinggalah besar.
  • Apabila fakta dan ilmu diperhebatkan, ia boleh merangsang seseorang itu berfikir di luar kotak. Malang sekali, sering kali berlaku dalam kalangan umat Islam yang mempercayai sesuatu membuta tuli dan akhirnya boleh membawa masalah kepada kekuatan umat Islam.
  • Perlu diingat, terdapat usaha berterusan sama ada secara kecil dan besaran-besaran untuk melaga-lagakan umat Islam Malaysia.
  • Banyak contoh yang boleh kita lihat sama ada tersirat atau tersurat tetapi masih ramai yang tidak sedar mengenai perkara ini.
  • Percayalah, usaha untuk melaga-lagakan sesama Islam tidak akan berkubur sehinggalah umat Islam di Malaysia ini benar-benar berpecah belah dan senang dicucuk oleh musuh Islam.
  • Lihatlah di negara-negara Islam di Timur Tengah, musuh-musuh Islam telah berjaya memecah belahkan kesatuan umat Islam. Adakah kita masih tidak nampak bahawa usaha ini sedang berlaku ke atas umat Islam Malaysia?
  • Atau kita terlalu lena dibuai kesenangan yang dinikmati oleh Malaysia sampaikan kita alpa untuk meningkatkan kekuatan umat Islam Malaysia?
  • Dibimbangi kita tidak dapat menikmati kesenangan ini apabila kita sendiri yang menyebabkan kesenangan ini dirampas oleh musuh-musuh Islam.
  • Mungkin perkara ini tidak berlaku kepada kita, tetapi kalau kita sayangkan generasi akan datang, anak cucu cicit kita, umat Islam tidak boleh memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam.
  • Persekitaran umat Islam perlu diperbaiki, sentiasa sokong-menyokong sesama sendiri, bersaing secara sihat, bekerja bersungguh-sungguh, berdisiplin dan bersatu padu hanya kerana Allah SWT.
  • Jangan buang masa terlalu berhibur atau bercakap mengenai orang lain. Buang jauh-jauh dilema Melayu lama mahupun Melayu moden. Pepatah Inggeris ada menyatakan, “Great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people".
  • Begitu juga, nenek moyang orang Melayu Islam mengatakan jangan jadi seperti katak bawah tempurung. Ini bermaksud berbincang idea dan digabungkan dengan ilmu pengetahuan yang luas akan berupaya untuk merealisasikan kekuatan umat Islam Malaysia.
  • Syaratnya umat Islam Malaysia perlu bersatu padu dalam apa jua perkara baik dan menentang perkara yang mungkar. Ia perlu dimulai oleh kepimpinan tertinggi umat Islam Malaysia dan disokong oleh media, pemimpin badan bukan kerajaan, cendekiawan, para guru, sistem pendidikan dan setiap individu Islam.
  • Kalau ini dapat direalisasikan, insya-Allah, musuh-musuh Islam tidak akan berani menyentuh sikit pun umat Islam Malaysia, malahan akan mengundang rasa hormat terhadap umat Islam Malaysia. -- Oleh: Rohami Shafie, Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.