- SEORANG pakar strategis dan think tank kepada pentadbiran kerajaan sebelum Datuk Seri Najib mendedahkan satu maklumat kepada sebuah akhbar berbahasa Melayu yang menurutnya perlu dibocorkan sebelum terlambat. Ia membabitkan soal kawasan pilihan raya. Walaupun isu ini bukan baharu atau luar biasa namun ia perlu dimaklumkan supaya nanti nasi tidak menjadi bubur.
- Pihak pembangkang sekarang bukan macam yang dulu-dulu. Mereka sudah ada duit. Mereka ada dua negeri yang amat kaya iaitu Pulau Pinang dan Selangor. Ditambah dengan semangat mahu menakluki negara Malaysia ini pada PRU akan datang, tindak-tanduk mereka cukup istiqamah.
- Konon ceritanya DAP dan pakatan pembangkang lain sedang menjalankan kerja-kerja sulit mereka mendaftarkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain secara agresif sekali. Mereka mengalihkan pengundi tegar mereka dari satu kawasan yang majoriti besar ke satu kawasan lain bagi membolehkan mereka menang di situ.
- Pengundi itu tidak semestinya akan berpindah secara fizikal. Hanya alamat sahaja yang berubah. Semasa pilihan raya nanti mereka akan mengundi di kawasan alamat baharu itu. Misalnya kita ambil contoh di Parlimen Seputeh yang majoriti DAP cukup besar melebihi 50,000 undi. Kempen dilakukan secara sistematik menukar pendaftaran pengundi dari situ, contohnya ke kawasan yang BN menang terlalu kecil, termasuk di bawah 1,000 undi.
- Menurut maklumat itu ia sedang dilakukan di mana-mana. Bagi menjaga sensitiviti maka tidak perlulah saya sebut di mana kempen-kempen penerangan dan proses itu dijalankan. Pernah dulu saya mendengar ramai pengundi dari kawasan Kedah bersempadan dengan Pulau Pinang kononnya dipindahkan ke Pulau Pinang bagi memastikan DAP terus memerintah negeri itu.
- Mereka cukup fokus dalam strategi ini. Tidak pasti apakah parti lawan daripada pembangkang itu sedar mengenai perkara ini? Tidak pasti apakah BN sendiri pun melakukan perkara yang sama?
- Apakah peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam hal ini? Apakah mereka sedar berlakunya lonjakan pengundi yang luar biasa dalam sesuatu kawasan. Jika berlaku apakah tindakan mereka? Ini semua ialah strategi untuk berperang. Siapa bijak dialah yang menang. Siapa lambat dialah yang kena pancung.
- Pada masa yang sama Jabatan Pendaftaran juga perlu semak pertukaran alamat seseorang individu itu mesti dilakukan secara fizikal bagi mengelakkan berlakunya komplot menipu pada musim pilihan raya umum.
- Mungkin sudah sampai masa bagi Jabatan Pendaftaran perlu mewajibkan seseorang yang mahu berpindah alamat menyertakan dokumen lebih lengkap termasuk gambar keluarga di kediaman baru dan siasatan perlu dilakukan mengenai status dan lokasi pemilik asal kediaman baru itu.
- Mungkin juga ramai tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana maklumat sebegitu boleh disifatkan menganggu privasi individu. Lagi pula perpindahan ke mana sekali pun dalam Malaysia tidak menyalahi mana-mana peraturan atau perundangan negara.
- Akhirnya keputusan pilihan raya di sesuatu kawasan tidak memberi gambar sebenar kerana ia dipengaruhi pengundi sah tetapi tidak wujud di kawasan itu. Fenomena ini bukan baru berlaku tetapi ia semakin menjadi-jadi.
Thursday, 4 December 2014
Komplot tawan Putrajaya kian agresif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment