Tuesday, 9 December 2014

Akta Hasutan banteras pelampau internet

  • MALAYSIA sebagai sebuah negara majmuk memerlukan pendekatan agar persefahaman antara kaum dapat dipelihara, persamaan yang ada disuburkan dan perbezaan yang wujud disantuni dengan toleransi.
  • Pendekatan ini penting dipelihara bagi mengelakkan konflik dan salah faham terjadi. Perbezaan dalam agama dan budaya mempunyai sensitiviti sekiranya tidak dikendalikan secara berhemah dan bijaksana.
  • Kecenderungan ke arah ektremisme dan pelampau tetap ada dalam kalangan setiap bangsa. Ia kini ditambah dengan kebebasan menggunakan internet dan alat komunikasi dan telekomunikasi yang pelbagai untuk menaikkan sentimen perkauman dan agama tanpa pertimbangan mengenai akibat buruk yang boleh terjadi.
  • Mengambil pendekatan atas nama hak asasi manusia untuk menampilkan sikap pelampau boleh menjejas hubungan antara kaum dan agama. Kebebasan pada hakikatnya tidak mutlak. Dalam masyarakat majmuk perlu ada batas kebebasan supaya keamanan dapat dijaga dan persefahaman boleh terjadi.
  • Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kalau terjadi konflik perkauman akibat sensitiviti agama kesannya adalah parah dan membangunkan semula persefahaman tidaklah mudah.
  • Justeru pengekalan Akta Hasutan 1948 dengan pindaan adalah sesuatu yang perlu bagi Malaysia kerana terdapat banyak percubaan akhir-akhir ini oleh segelintir pihak menyalahgunakan kebebasan media elektronik dan maya untuk menyinggung dan menghina orang lain tanpa pertimbangan yang ia boleh merosakkan hubungan antara kaum dan agama.
  • Mengikut Islam faktor pencegahan dalam bentuk hukuman dilihat penting di samping faktor pendidikan. Maqasid syariah memberi asas supaya faktor agama, nyawa dan keturunan, akal dan harta wajib dipelihara supaya ianya membawa kesejahteraan dalam kehidupan bernegara.
  • Islam sebagai agama damai dan sejahtera tidak meng­izinkan pendekatan ekstrem dan melampau kerana ia mudah mencetuskan perbalahan. Risalah Islam mendidik pemeluknya supaya menampilkan watak sederhana dan bijaksana dan menghormati agama-agama lain.
  • Tanpa Akta Hasutan, seseorang individu, kumpulan malah parti politik bebas membuat tuduhan yang bersifat menghasut dan menghina sehingga menyebabkan konflik terjadi dan jika berlaku, usaha membendung menjadi terlalu payah.
  • Apabila Perdana Menteri menegaskan Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dengan pindaan, ada yang menentang terutama pembangkang. Di Malaysia, pembangkang tidak dinafikan kebebasan menyuarakan sesuatu pandangan dan kritik baik di dalam mahupun di luar Parlimen. Tabloid pembangkang seperti Roket, Suara Keadilan dan Harakah bebas melakukan kritikan dalam pelbagai isu.
  • Tetapi negara ini seperti negara lain juga mempunyai undang-undang. Fakta harus betul, analisis harus tepat. Pendekatan sensasi untuk menaikkan emosi dan sensiti­viti rakyat bukan caranya untuk mengekalkan kerukunan hubungan. Pembangkang selalunya cenderung membina persepsi buruk supaya jiwa kepembangkangan dapat dikekalkan dalam kalangan pengikutnya. Tetapi kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan memelihara persefahaman.
  • Bermain dengan isu perkauman dan sensitiviti agama ibarat bermain dengan api yang boleh membakar. Di Malaysia, ia mesti dihindarkan dengan tegas kerana bila nyalaan api terjadi, memadamkannya tidak mudah. Ia boleh memusnahkan masyarakat dan negara.
  • Peristiwa 13 Mei 1969 terlalu pahit untuk dikenang. Ia terjadi kerana ada pihak yang ghairah dengan kuasa politik melakukan penghinaan kepada pihak lain sehingga hilang kawalan dan menyebabkan ketegangan dan konflik.
  • Akta Hasutan 1948 dengan pindaan diharapkan dapat mengawal keadaan kerana Malaysia harus tegas dengan usaha adu domba yang bertujuan mewujudkan konflik kerana harga keamanan dan ke­sejahteraan adalah terlalu mahal untuk digadaikan begitu saja. – Jendela Tok Ki


No comments:

Post a Comment