Seminar Pemikiran Kassim
Ahmad - Full text
1. Pendahuluan
Hari ini hari istimewa
bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi hati saya tanpa sekatan, insya
Allah. Hari ini saya akan mempertanggungjawabkan kehidupan saya di dunia. Saya
ada satu dua kerja yang ingin saya lakukan, tetapi selepas hari ini, saya reda
kalau dipanggil Tuhanku untuk diadili.
Saya tidak mendakwa saya
seorang yang baik. Saya melakukan banyak kesilapan dalam kehidupan saya. Saya
jangka saya bukan berseorangan. Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan
yang sempurna. Tetapi saya boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai
seorang yang patriot bagi bangsa saya dan bagi bangsa manusia.
Ketika saya seorang muda,
saya bersumpah untuk berkata-berkata dengan bebas. Saya bersumpah saya akan
mendedahkan segala kepalsuan. Semua orang tahu saya
bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri berjuang untuk rakyat marhaen
menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO, yang pada waktu itu saya anggap
reaksioner, walaupun akhirnya saya pulang ke akar keMelayuan saya dan memasuki
UMNO.
Pada 9 September tahun
lalu, saya menjengkau 80 tahun tanpa apa-apa perayaan. Hanya sahabat-sahabat
saya di Kuala Lumpur, antara lain Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan Negara Dato’
Baha Zain dan Nik Aziz Hassan, telah bermuafakat untuk meraikan harijadi itu
dengan satu majlis penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini
dijadualkan pada 15 Februari, 2014. Dalam pada itu, saya telah merancang untuk
bercakap dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang halatuju negara kita
untuk tiga puluh tahun akan datang. Ucapan ini dijadualkan pada hari berikutnya,
iaitu 16 Februari, 2014.
2. Keadaan Dunia Sekarang
Negara kita Malaysia
sedang melalu satu zaman yang penuh pancaroba. System komunisme sudah runtuh
pada akhir abad ke-20. System liberalisme yang kita anuti sekarang juga sedang
runtuh di depan mata kita—di Eropah dan Amerika Syarikat.
Keruntuhan system
komunisme kerana system ini menafikan hak kebebasan individu. Ia melebihkan hak
kolektif, yang dipergunakan oleh kepimpinan untuk melaksanakan sistem diktator!
Sistem liberalisme melebihkan hak kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.
Kedua-dua sistem ini
melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa yang disalah-ertikan sebagai “hukum
hudud”. Konsep ini langsung tidak ada kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk
kepada suatu undang-undang universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia
tidak boleh melampaui batasan undang-undang alamiah. [4] Umpamanya, dalam hal
makan: mudarat kalau tidak makan, tetapi kalau kita makan terlalu banyak pun
mudarat juga. Demikianlah bagi tiap-tiap perbuatan wujud suatu sempadan yang
tidak boleh kita lampaui.
3. Masa Depan
Apa akan berlaku dalam
masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem ganti yang harus kita pilih sekarang?
Mengikut kitap suci yang terakhir kepada manusia iaitu Quran, satu-satunya
kitab suci yang dijamin oleh Tuhan sendiri, dan yang mengesahkan dan mengatasi
semua kitab suci lain, hanya ada satu jalan yang lurus yang Dia restui di
antara jalan-jalan yang menyeleweng. Jalan-jalan yang menyeleweng itu disebut
jalan-jalan mereka yang Dia murkai, dan jalan-jalan mereka yang sesat.
Apakah jalan yang Dia
murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan manusia yang memberontak
terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu kaum marxis komunis yang
menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang menafikan Dia. Dengan perkataan
lain, dalam kehidupan mereka, mereka menafikan dimensi-dimensi moral dan
spiritual. Oleh kerana ini, cara hidup ini berlawanan dengan undang-undang
alamiah, dan pasti musnah. Sistem komunisme sudah pun musnah.
Satu lagi jalan
menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni kepimpinan satu kasta paderi
melantik diri mereka sendiri serta mendakwa mentadbirkan negara atas nama
Tuhan. Contohnya dari zaman pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam dunia moden,
Eropah sudah menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia Islam, negara
Iran dan Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.
Nyatalah sistem ini gagal
menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi menghasilkan pekerjaan dan makanan
untuk rakyatnya dan dengan itu gagal menyelesaikan masalah-masalah lain dalam masyarakat.
4. Negara Malaysia
Negara kita Malaysia,
walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme.
Mengikut kata-kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran
sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun kemudian, Malaysia boleh dikatakan
tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah caranya
untuk menyelesaikan perkara ini secara muktamad?
Jalan yang lurus yang
dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah jalan itu? Tadi telah kita
nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng : sistem marxis komunis, sistem
teokrasi dan sistem liberalisme. Seperti yang telah kita nyatakan, ketiga-tiga
sistem ini telah atau sedang menuju kehancuran. Maka semestinyalah masyarakat
manusia dalam abad-abad ke-21 dan mendatang mencari sistem jalan yang lurus
ini. Dengan perkataan ini, inilah sistem hidup yang dirujuk dalam Quran dalam
surah 3 ayat 19, yang berbunyi, “Sesungguhnya agama yang Tuhan reda itu Islam”.
5. Keadaan Orang Islam
Sekarang
Orang Islam berjumlah 2.1
bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan mereka semuanya mengikut cara
hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada
pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah.
Sejarah mencatat dalam zaman pertengahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam
ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat, orang Arab yang tidak terkenal itu
melonjak naik menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi
dan sebahagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu.
Tetapi umat Islam
sekarang duduk di bawah daripada Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia,
China dan India, semuanya negara bukan Islam.
6. Gerakan Pembaharuan
Islam
Gerakan pembaharuan Islam
moden, dikira dari Sheikh Muhammad Abduh (m. 1903) dan Jamaluddin Al-Afghani
(m. 1897) yang diharapkan untuk membersihkan Islam dari kepercayaan-kepercayaan
khurafat dan membangkitkan semula Islam sudah berusia lebih 100 tahun, sedangkan
umat Islam masih di tahap di belakang negara-negara yang kita sebut tadi.
Dengan sendirinya, ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia tidak
mengikut sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh semua nabi dan
disempurnakan oleh Nabi Muhammad, penyudah segala nabi.
7. Kesilapan Umat Islam
Di manakah
kesilapan-kesilapan besar mereka? Saya akan senaraikan beberapa kesilapan besar
itu di sini.
1. Umat Islam pada hari
ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan
yang besar yang telah mereka lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang
dipanggil Ulama, seperti penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu. Kasta
paderi ini tidak wuhud dalam zaman Nabi dan empat khalifah rasyidun. Mereka
muncul kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri mereka sendiri sebagai
pentafsir ugama kepada umat Islam.
2. Khususnya,
kesilapan-kesilapan itu boleh saya senaraikan seperti berikut:
a. Mereka mendewa-dewakan
pemimpin-pemimpin ugama mereka yang mereka anggap maksum dan yang telah
memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka - apa yang dikatakan ‘penutupan
pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal-jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal
pasti, iaitu : Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali
(780-855) dan Imanm Maliki (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam
mereka pula. Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah
Tuhan melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah,
berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.
b. Mereka mendewa-dewakan
Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga dikebanyakan rumah
orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ ditulis sama besar dan
sama paras. Apabila disebut Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’
(SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut
‘alihissalam’. Pada hal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin juga
dalam Quran. [9] Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan
‘sokong’, bukan selawat, seperti yang dibuat sekarang.
c. Perhatikan satu
perubahan baru dalam ‘aurat wanita’. Perkataan ‘aurat’ berasal dari bahasa
Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun dulu, wanita-wanita Islam tidak
memakai tudung. Mereka memakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di
bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut, kerana rambut bukan
‘aurat wanita’. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak
dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan,
ia tidak sihat. Anehnya, wanita-wanita yang tidak bertudung menganggap diri
mereka lebih suci!
Sebab-sebabnya nyata
mengapa umat Islam jatuh. Mereka telah mengabaikan ajaran-ajaran Tuhan yang
sebenar serta mengikut ajaran-ajaran kasta paderi.
Tiap-tiap generasi
diperintah oleh Tuhan mengkaji semula ajaran-ajaran pemimpin mereka yang
terdahulu; yang betul diterima dan diteruskan, yang salah ditolak. Inilah yang
seharusnya dilakukan oleh generasi-generasi Islam kemudian. Malangnya,
penilaian semula ini tidak dapat mereka lakukan persis kerana pendewaan tadi.
Maka itu apabila saya menulis buku Hadis – Satu Penilaian Semula pada tahun
1986, langit Malaysia runtuh menimpanya! Selama dua bulan, perbincangan berlaku
dalam televisyen, radio, akhbar dan majalah tentang buku ini. Sesetengah
menyokong saya dan sesetengah membantah. Selepas dua bulan, buku ini diharamkan
oleh pihak berkuasa atas hasutan pihak yang berkepentingan.
Siapakah yang mewajibkan
hadis sebagai satu sumber undang-undang sama seperti Quran dalam masyarakat
Islam? Jawabnya, Imam Shafi’e (767-820). Beliaulah yang bertanggungjawab
membuat doktrin baru menyatakan hadis satu sumber hukum sama seperti Quran.
[11] Sebelum beliau, apa yang dikatakan hadis sudah muncul, tetapi bilanganya sedikit
sekali dan tidak mewajibkan diikut oleh umat Islam. Sejarah mencatat
khalifah-khalifah Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi
Talib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis perkataan-perkataan dan
perbuatan-perbuatan Nabi. Catitan-catitan ini tidak banyak dan hanya menjadi
ikutan, jika sesuai, tetapi tidak diwajibkan.
Setelah doctrin baru oleh
Imam Shafi’e ini diterima oleh masyarakat Islam, timbulllah pengumpul pengumpul
hadis seperti Imam Bukhari (m, 870).
Imam Muslim (m.875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan telah
mengumpul 600,000 hadis dan beliau menapis hadis-hadis ini sehingga akhirnya
tinggal 7,275 hadis yang beliau isytiharkan sebagai hadis sahih [12].
ABIM (Angkatan Belia
Islam Malaysia) melalui setiausaha agungnya pada waktu itu, Encik (sekarang
Dr.) Sidek Baba, telah datang ke rumah saya dan meminta satu dialog tentang
buku saya. Saya memberi persetujuan
dengan syarat keputusan tidak diambil dalam dialong itu. Saya meletakkan syarat itu kerana pegangan
imat Islam kepada hadis sangat kuat dan tidak boleh dihapuskan dalam masa
sehari. Pihak ABIM bersetuju dengan
syarat itu. Malangnya, apabila dialog
itu diadakan di Universiti Islam Antarabangsa pada 28 Jun, 1986, saya terlupa
untuk menyatakan kepada majlis dialog itu tentang syarat yang saya
kenakan. Apabila dialog itu selesai,
pihak ABIM telah mengeluarkan sehelai kertas dari saku ketua mereka yang
mencatat bahawa buku saya menyeleweng dari ajaran Islam dan saya juga dianggap
menyeleweng dari ajaran Islam sebenar!
Akibat dari dialog ini
buku saya diharamkan oleh Kerajaan.
Nyatalah pengharaman buku ini satu muslihat yang sudah diatur oleh pihak
yang berkepentingan.
Kembali kepada soal Islam
agama Persekutuan Malaysia atau Islam sebagai agama rasmi, ingin saya
menyatakan bahawa pernyataan ini dalam Perlembagaan Malaysia menyalahi ajaran
Quran dan menyalahi Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri. Dari segi logika, sesebuah negara-bangsa
tidak ada ugama. Ugama dianut oleh
penduduknya, sama ada Islam, Buddhist, Hindu atau Kristian. Ajaran Quran mengisytiharkan dengan jelas tidak
ada paksaan dalam agama. Ini bermakna
warganegara Malaysia boleh menganut apa juga agama yang mereka suka tanpa
halangan undang-undang.
Dalam Piagam Madinah,
agama itu urusan penganut-penganutnya secara autonomi. [14] Ini bermakna orang
Muslim mentadbirkan urusan-urusan
agamanya secara autonomi.
Demikian juga orang Buddhist, orang Hindu dan orang Kristian, dan
lain-lain. Dengan ini, tidak akan
berlaku konflik atau ketegangan antara agama dan kaum. Dengan ini perpaduan dan harmoni antara kaum
di Malaysia akan menjadi lebih mantap dan stabil.
Kembali kepada soal jalan
yang lurus dipilih oleh rakyat Malaysia untuk dijadikan sistem hidup mereka,
perkara utama tidak lain dan tidak bukan pemerintahan yang adil yang ditubuhkan
melalui perundingan. [15] Sistem dwi-parti yang kita import dari Eropah tidak
sesuai, pada dasarnya, dengan ajaran Islam.
Kita diberikan Tuhan dua tangan: mengapa kita gunakan satu tangan untuk
merosakkan kerja satu tangan lain? Tidak bolehkah kedua-dua tangan bekerjasama
untuk melakukan kebaikan bagi masyarakat kita? Jelaslah teori sekat dan imbang
(Ing: check and balance) ini satu teori yang tidak ada kebenarannya.
Sebuah pemerintahan
mestilah diwujudkan di Malaysia melalui
kaedah muafakat dan mentadbirkan negara-bangsa Malaysia dengan adil. Inilah perintah Tuhan dan keperluan yang
utama bagi rakyat Malaysia. Dengan
demikian, walaupun Malaysia dari segi sejarah, lahir dari Kesultanan Melayu
Melaka dalam abad ke-15, hari ini sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
(Malaya) pada tahun 1957, ia telah menjadi sebuah negara berbilang kaum dan
agama dengan semua kaum mempunyai hak yang sama.
Tadi telah saya nyataan
penyelewengan khusus yang telah dilakukan oleh umat Islam itu memecahkan
masyarakat kepada sistem agama dan sistem sekular. Ini bersalahan dengan ajaran Nabi Muhammad
dalam Quran yang menggabungkan kedua-dua sistem ini secara harmonis. [16] Namum
demikian, ajaran Quran juga menasihatkan umat Islam mengutamakan kediaman
akhirat tanpa mengabaikan hak-hak mereka yang sah di dunia. [17] Perkara yang
akhir ini menunjukkan perbezaan antara dunia dan akhirat. Alam akhirat itu tidak lain dari alam dunia
ini di peringkat yang lebih tinggi, yakni dari segi moral dan spiritual. Nyatalah satu kasta paderi telah bertindak
sebagai diktator kepada masyarakat Islam tanpa membenarkan perbezaan
fikiran. Perbuatan ini melanggar
perintah Tuhan yang terang yang berbunyi “Dengar semua pendapat dan ikut yang
paling baik”.
Harus diingat bahawa
Islam yang datang ke dunia Melayu pada abat ke 15 dan 16, pasca kejatuhan Baghdad, yakni Islam yang
telah kalah. Walaupun ini fakta sejarah,
telah dicatat oleh seorang sejarawan Melayu bahawa kota pelabuhan Melaka dalam
abat ke 15 sebuah kota pelabuhan yang termasyhur di dunia, sama dengan Venice. Malah
telah dinyatakan oleh penulis Portugis, Tome Peres, bahawa Melaka pada zaman
itu begitu penting dan kaya ia tiada lawannya di dunia. [20] Dinyatakan oleh
sejarawan Melayu tadi, 84 bahasa dpertuturkan di pelabuhan Melaka dan bahasa
Melayu menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca. Fakta ini menyalahi anggapan kita yang
pertama tadi. Kemungkinan besar ada dua
aliran Islam yang sampai ke Melaka dalam abad ke 14 dan 15.
Di awal tadi, telah kita
petik sebuah ayat suci yang berbunyi, “Rasul akan berkata: ‘Tuanku, umatku
telah membelakangkan Quran ini. Kami
juga telah mewujudkan musuh-musuh bagi rasul-rasul
kami dari kalangan mereka yang berdosa.
Tuan kamu cukup sebagai pembimbing dan penolong”. [21] Amaran yang
dahsyat ini telah wujud dalam Quran selama 1400 tahun lebih. Saya tidak pernah bertemu dengan huraian yang
panjang lebar atau sederhana panjang lebar tentang makna ayat-ayat yang
menakutkan ini.
Apabila ayat-ayat Quran
dibaca, kerap kali kaum agamawan Islam melagukan mereka dengan tajwid-majwidnya
yang sungguh enak didengar. Saya
teringat zaman remaja saya apabila saya sendiri terpengaruh dengan lagu-lagu
Quran dibacakan. Saya telah mensifatkan
perbuatan ini sebagai kaedah yang paling bijak untuk menyembunyikan Quran
kepada umat Islam, yakni lagu mengatasi makna. [22]
Hari ini saya telah
menjangkau umur 80 tahun. Saya berfikir
inilah masanya saya mahu bercakap secara langsung kepada kepimpinan politik dan
intelektual rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia tentang
penyelewengan-penyelewengan yang telah mereka lakukan serta membetulkan
kesilapan-kesilapan kita supaya 30 tahun yang akan datang dan seterusnya kita
boleh mencapai jalan yang lurus yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada
kita.
Harus diingat bahawa
pertama sekali Quran itu bimbingan untuk orang-orang yang bertakwa. [23]
Bimbingan ini hanya diberi oleh Tuhan sahaja kepada pencari-pencari yang
jujur. Jadi, rakyat Malaysia yang
beragama Islam dan umat Islam di seluruh dunia mestilah bertekad untuk mencari
bimbingan ini dengan jujur. Kedua, Quran
itu bukan untuk dilagukan dengan tajwid-majwidnya berdengung-dengung. Quran itu perutusan Tuhan yang terakhir kepada
dunia. Ia bimbingan kepada seluruh
manusia. Kita mesti ada satu kaedah yang
saintifik untuk mentafsirkan ayat-ayat Quran itu supaya ia benar-benar menjadi
bimbingan kepada umat Islam dan seluruh dunia.
Kaedah saintifik ini pada dasarnya bermakna Quran itu menjelaskan
dirinya sendiri, yakni ayat mentafsirkan
ayat, bukan seperti kaedah tradisional yang mendakwa Hadis mentafsirkan Quran.
Ketiga, kediktatoran
kasta paderi [baca: ulama) harus disingkirkan.
Kaedah saintifik dan demokratik, yakni perdebatan yang rasional dan
bijaksana, mestilah diutamakan.
Keempat, Quran itu mesti
ditafsirkan semula oleh generasi yang mendatang, mewarisi tafsiran yang betul
dan menolak tafsiran yang silap daripada generasi yang terdahulu.
Kelima, mengikut ajaran
Tuhan Sendiri, Quran itu diwariskan kepada mereka yang Tuhan pilih daripada
pelbagai kalangan, bersalahan dengan pegangan tradisional bahawa pewaris Quran
itu para ulama. [25]
Keenam, nyatalah sistem
hidup yang dianjurkan oleh Quran itu bersifat republican dan demokratik. Ini
nyata daripada asal-usul Nabi Muhammad dan empat khalifah ar-rasyidun (Abu
Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Talib). Apabila Muawiyah merampas kerajaan Islam dari
tangan kaum republikan dan demokratik ini, bermulalah zaman feudalisme dalam
sejarah islam awal membawa kepada abad ke 20.
Umat Islam perlu kembali kepada zaman republikan dan demokratik yang
telah kita sebutkan. Hanya dengan
demikian, Islam yang sebenar akan kembali semula ke dalam dunia serta memimpin
umat Islam dan seluruh dunia kepada alam kejayaan dan kebahagiaan, seperti yang
dijanjikan oleh Tuhan kepada umat Islam. [26]
8. Langkah-Langkah Yang Perlu
Diambil
UMNO, parti nasionalis,
yang menjadi tulang belakang pemerintahan di Malaysia sekarang berasal sebagai
sebuah gerakan massa pada 1946. Namun tiap benda yang hidup akan merosot.
Demikianlah UMNO telah merosot. Hanya anggota UMNO dan rakyat Malaysia
seluruhnya melalui Perhimpunan Agung UMNO boleh membaiki UMNO, melalui apa yang
diperintahkan oleh Tuhan “menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan”.
Perhimpunan Agung UMNO tahunan mestilah menjadi sekat dan imbang atau penjaga
kepada sistem pemerintahan di Malaysia. Rasuah, pembaziran dan kejahatan lain
mestilah dikoreksi dari dalam oleh kita yang sedar sendiri.
Inilah yang harus
dilakukan oleh rakyat Malaysia. Inilah juga yang harus dilakukan oleh umat
Islam seluruh dunia. Tiada seorang Imam Mahdi atau Nabi Isa turun kali kedua
boleh tolong mereka. Manusia tiada penolong dan pembantu kecuali diri mereka
sendiri. Dengan izin Allah !
Saya telah menyatakan
pada awal tadi bahawa saya akan meluahkan isi hatinya tanpa sekatan. Saya ingin
menyatakan dengan rendah hati bahawa saya memohon kepada Tuhan Azza-Wajalla
memberi taufik dan hidayah kepada saya dan menjauhkan saya daripada kesombongan
dan kebanggaan. Saya ingin menyatakan terima kasih yang tidak terhingga banyaknya kepada
sahabat-sahabat saya dalam Jawatankuasa Penaja yang dipimpin oleh Sdr Nik Aziz
Hassan dan juga dari pelbagai bangsa dan agama yang telah mera’ikan hari jadi
saya yang ke-80 dengan seminar penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Saya
mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sudi
merasmikan upacara ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak dewan yang
membenarkan kami menggunakan dewan yang permai ini.
Ucapan ini tidak
kena-mengena dengan peringatan harijadi saya yang ke-80. Saya fikir sudah
sampai masanya kita, rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia, berdepan
dengan realiti kita secara realistic dan bijaksana untuk menentukan masa depan
kita semua, bukan sahaja untuk 30 tahun akan datang, tetapi untuk
selama-lamanya.
Saya bercakap ini
langsung kepada elit kepimpinan politik dan intelektual dan kepada massa
rakyat. Saya harap mereka ambil peduli. Terima kasih -- KASSIM AHMAD