- Seorang ilmuan Islam, Wan Ahmad Fayhsal menulis dalam blognya rausyanfikir.com mengutarakan pendapat bahawa isu 1MDB sudah melangkaui sempadan sentimen politik kepartian.
- UNtuk itu rawatan segera diperlukan bagi memulihkan 1MDB, jika tidak Malaysia terdedah kepada penjajahan semula Barat menerusi dalang-dalang yang berada di seluruh dunia.
- Saban hari pembangkang melondehkan krisis hutang 1MDB secara “politically charged”. Niat mereka hanya satu, jatuhkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, UMNO dan Barisan Nasional (BN). Full stop.
- Di sudut yang lain pula ada pihak yang menyokong 1MDB kerana ia adalah projek Perdana Menteri. Ini juga satu tindakan tidak cerdik kerana percubaan menutup `bangkai gajah’ dengan menggunakan permaidani mewah.
- Kedua-dua sifat melulu ini punya niat dan tujuan yang sama iaitu demi kelangsungan politik masing-masing. Full stop.
- Adakah pembangkang dan penyokong kerajaan tahu bahawa krisis 1MDB telah melangkaui sentimen politik kepartian masing-masing.
- Lebih penting, apakah semua pihak yang mengkritik dan menyokong ini merumuskan PENYELESAIAN kepada krisis 1MDB?
- 1MDB diumpama seperti seorang yang ditimpa kemalangan, harus diselamatkan. Sama seperti anak luar nikah, kita tidak boleh memaksa bayi itu merangkak masuk ke janin ibu atau dibiarkan mati dan dibunuh.
- Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan, parti politik kedua belah pihak ialah mencari penyelesaian yang mujarab.
- Samada mereka menentang atau menyokong, keputusan akhir ialah 1MDB akan GAGAL lalu boleh membuka Kotak Pandora sehingga berjangkit kepada kedaulatan tanah air.
- Episod salah menyalahkan boleh ditunda. Tujuan utama ialah menyelamatkan 1MDB sebagai sebuah syarikat pelaburan Negara.
- Dalam menangani krisis 1MDB kita terpaksa berdepan dengan keadaan “Catch-22” atau damn if you do, damn if you don’t atau peribahasa Melayu: `ditelan mati emak, diluah mati bapak'.
- Pendek kata apa jua keputusan yang dibuat, kesannya di hujung jalan macam mana sekalipun 1MBD akan jatuh dan gagal.
- Jika kita ikhlas menyelesaikan masalah, kita patut tukar `situational assessment’ samada mahu mengkritik habis-habisan demi laba politik; atau sokong habis-habisan sampai nampak sangat cuba menipu kepada; atau menggunakan kaedah `crisis and failure management’.
- Krisis 1MDB perlu diselesaikan. Suka atau tidak Dato’ Seri Najib akan terconteng arang di mukanya dan akan menggugat kedudukan beliau selaku Menteri Kewangan juga sebagai Perdana Menteri.
- Kita ketepikan dulu soal ini dan tumpu kepada masalah sebenar 1MDB: Hutang dan Aset yang tidak mampu menampung beban hutang.
- Apakah diagnosis yang tepat buat krisis 1MDB? Pertama. Masalah beban hutang yang tidak dapat diselenggara dengan baik sesuai dengan pelan pembiayaan yang telah dibuat dengan peminjam.
- Kedua. Ketiadaan sumber pendapatan (revenue stream) yang dapat menunjukkan syarikat tersebut masih “sihat” seterusnya mengisyaratkan kemampuannya untuk melunaskan hutang seperti yang telah dijadualkan.
- Dalam keadaan yang parah ini banyak pengkritik 1MDB mengatakan pihak pengurusan 1MDB sekadar “shuffling papers” yakni sekadar mempercantikkan nilai pada buku akaun dengan menilai semula (revaluation) nilai aset-aset yang dimiliki syarikat sesuai dengan perubahan kewangan dan ekonomi semasa.
- Sudah tentu dalam keadaan sebegini bilamana 1MDB tak berupaya mengurus hutangnya, paling teruk ialah akan terdedah kepada “insolvency” seterusnya kepada “fire sale” iaitu penjualan aset-aset syarikat yang dilanda masalah aliran tunai (cash flow) pada harga yang jauh lebih rendah daripada nilai sebenar untuk mengurus dan membayar hutang syarikat kepada pihak pemberi hutang.
- Beralih soal prognosis pula, kita ada dua pilihan penting berkenaan 1MBD: Pertama, selamatkan dengan memastikan beban hutangnya dapat dilangsaikan dalam satu tempoh, seterusnya aset-aset penting seperti tanah dan loji janakuasa masih berada di tangan kerajaan.
- Kedua. Biarnya gagal yakni dengan kegagalan membayar hutang (event of default) yang mana kehilangan aset-aset tersebut ke tangan pihak-pihak tertentu yang membahayakan kepada kedaulatan negara.
- Kita semua tahu ahli politik pembangkang seperti Tony Pua dan Rafizi Ramli sudah menyerang 1MDB habis-habisan. Dan pilihan mereka sudah pasti berkenaan pilihan kedua yang mana kesan berantainya ialah menjatuhkan Dato’ Seri Najib dan juga UMNO dan BN.
- Mereka hanya mahu “score political points” sahaja untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia menerusi perangkap terancang. Tindakan mereka itu jauh lebih berbahaya daripada apa yang dilakukan oleh 1MDB.
- Ingin dijelaskan bahawa prognosis untuk tidak menyelematkan 1MDB adalah jauh lebih BERBAHAYA berbanding menyelematkannya.
- Langkah Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan credit facility adalah satu langkah yang tepat untuk 1MDB bernafas. Ini adalah bagi mengelakkan 1MDB daripada berhadapan pengulangan situasi "default" dan kemungkinan "foreclosure" iaitu pengambil alihan dan penyitaan aset kerana tidak mampu melunaskan hutang.
- Kenapa kita tak mahu 1MDB berdepan dengan foreclosure? Ini kerana ia melibatkan ASET yang penting iaitu tanah Sungai Besi Tun Razak Exchange (TRX) dan loji janakuasa yang ada dalam Edra Energy, anak syarikat 1MDB yang dalam perancangan untuk diampungkan Tawaran Awam Awal (Initial Public Offering - IPO) dan disenaraikan dalam Bursa Saham.
- Ramai pengkritik tidak sedar, jika 1MDB dibiarkan berhadapan dengan foreclosure, ancaman yang sedang menunggu ke atas negara ialah ancaman “Dana Burung Bangkai” atau “Vulture Fund” (VF).
- VF adalah satu institusi dana yang mengambil kesempatan ke atas mana-mana pinjaman (securities) yang dalam keadaan tidak bermaya kerana peminjam tidak mampu mengurus dan membayar hutang.
- Ia dinisbahkan kepada “vulture” iaitu sejenis burung pemakan bangkai kerana sifat institusi dana ini yang menunggu masa mana-mana pelaburan dan hutangnya yang bakal menjadi “bangkai” untuk dibeli.
- VF membelinya berserta hutang-hutangnya dengan harga yang murah, kemudian menjadikan mereka sebagai peminjamg yang baru yang mengenakan semula ke atas pemilik asal kadar bayaran hutang dengan harga yang lebih tinggi berserta faedah.
- Ringkasnya VF ini mengambil alih tugas pemberi hutang asal dengan menjadi seperti "Ah Long". Sudahlah tak mampu bayar hutang asal, ditambah pula dengan kadar bunga yang semakin bertambah, bila hutang tersebut dilangsaikan oleh pihak lain yang mengenakan kadar bunga yang lebih tinggi.
- 1MDB dan Ancaman Geopolitik “Vulture Fund”. Adakah ancaman VF ini sesuatu yang dibuat-buat dan sekadar ingin menakut-nakutkan rakyat jelata yang mungkin keluh-kesah dan risau wang simpanan mereka bakal digunakan untuk membayar hutang 1MDB?
- Elok kita kaji apa yang berlaku ke atas Argentina. VF telah membeli hutang Argentina dengan jumlah berbilion US dollar pada saat negara itu dalam kegawatan ekonomi serta lumpuh politik. Argentina tiada pilihan lain kecuali untuk gagalkan saja hutangnya (default).
- Kebanyakan pemberi hutang kepada Argentina telah bersedia untuk menilai semula kadar beban hutang Argentina yang telah membantu memulihkan semula ekonominya akan tetapi para VF masih tidak berganjak dan memeras Argentina untuk membayar kesemua hutangnya itu dengan tambahan nilai bunga dan juga penalti kerana lambat melangsaikannya dalam tempoh yang dipersetujui.
- Tahun lalu mahkamah di New York melalui Hakimnya Thomas Griesa telah membuat keputusan yang memihak kepada VF yang berpengkalan di Amerika Syarikat dengan cara menghalang Argentina daripada melangsaikan hutang kepada pemberi hutang yang lain selagi mana hutang-hutang Argentina kepada VF tidak dilangsaikan.
- Gagalnya Argentina membuat demikian maka Argentina akan sekali lagi jatuh ke lembah kegagalan membayar hutang (default) yang akan beri kesan yang besar kepada ekonomi dan politik negaranya.
- Negara yang dilanda hutang negara (sovereign debt) juga boleh diperangkap melalui “Brady Bonds”. Melaluinya hutang bank-bank negara yang bermasalah ini – kebanyakannya daripada negara-negara Latin Amerika juga, telah ditukar (securitized) menjadi “bon” iaitu akujanji hutang berasaskan US Dollar dan mendapat cagaran daripada kerajaan Amerika Syarikat yang boleh “dijual” kepada pasaran.
- Sudah tentu dengan nilai US Dollar dan cagaran daripada Washington ianya amat menarik para pelabur yang sememangnya mahu melanggani bon yang stabil dan berisiko rendah – seperti yang kita maklum hampir semua negara dalam dunia melanggani bon yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat (US Treasury Bills atau dikenali sebagai ‘T-Bills’).
- Maka dengan adanya pembeli Brady Bonds yang berkualiti ini, maka negara-negara yang dilanda masalah hutang akan dapat melangsaikan hutangnya dengan lebih cepat hasil daripada jualan Brady Bonds.
- Tapi Awas! Ia bukan percuma (no free lunch!) untuk menerima pakej Brady Bonds. Ia diberikan syarat-syarat yang bersifat mengubah dasar ekonomi negara atau ‘Structural Adjustment Program’ (SAP) yang akan dikenakan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
- SAP ini selalunya dibuat untuk memudahkan syarikat multinasional gergasi mendapat akses pasaran dengan lebih mudah khususnya melibatkan sumber alam yang terdapat pada negara berhutang itu terutamanya minyak.
- Pendek kata negara atau entiti negara yang memikul hutang yang besar seperti 1MDB yang memiliki aset yang kritikal seperti tanah dan loji janakuasa akan terdedah kepada ancama ‘Penjajahan Ekonomi Bentuk Baru’ (Neo-Economic Imperialism) yang boleh hadir dalam bentuk VF atau program penstrukturan hutang yang lebih besar yang ditaja oleh institusi antarabangsa dan kerajaan Amerika seperti ‘Brady Bonds’.
- Ancaman VF itu lebih jelas dan boleh berlaku ke atas 1MDB kalau kita, seperti dijelaskan tadi memilih untuk TIDAK MENYELAMATKAN dan membiarkan 1MDB gagal.
- Mungkin ada yang bertanya, apa bukti akan berlaku campur tangan asing ke dalam hutang 1MDB?
- Ada EMPAT kejadian (events) yang anomaly (luar biasa) yang nampak tidak berkait tapi kemungkinan besar ada: (1) laporan media tersohor Amerika New York Times berkenaan Jho Low, (2) permainan Golf antara Presiden Obama dan Dato’ Seri Najib di Hawaii, sehari sebelum cuti Krismas 2014, (3) pembukaan pejabat kajian Bank Dunia (World Bank) di Malaysia dan (4) penerimaan Malaysia ke dalam Majlis Kesalamatan PBB (UN Security Council).
- Kalau anda masih ingat, tahun lalu tidak pernah selama ini akhbar tersohor The New York Times menulis satu pendedahan eksklusif berhubung Jho Low dan hubungannya dengan keluarga Dato’ Seri Najib. Malah paling pelik terdapat terjemahan makalah tersebut dalam bentuk rumusan ke dalam Bahasa Melayu!
- Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Pertama kali. Jelas pendedahan itu disasarkan kepada khalayak yang memahami Bahasa Melayu, tidak lain tidak bukan rakyat Malaysia.
- Apakah motif yang mungkin dapat kita kesan disebalik pendedahan ini? Mungkinkah kerajaan Amerika Syarikat hanya mengeluarkan sedikit amaran awal bahawa mereka sebenarnya tahu lebih banyak tentang Jho Low dan jejak-jejak wang (money trail) yang saban hari diperkatakan oleh media perniagaan The Edge?
- Begitu juga dengan kejadian unik di mana Presiden Amerika Syarikat bermain golf dengan Perdana Menteri kita. Adakah ianya bersifat “courtesy call” iaitu Presiden Obama menjemput Dato’ Seri Najib atau ianya bersifat “summon” iaitu dengan menyeru beliau hadir bagi membincangkan hal yang penting lagi mustahak?
- Kehadiran dan pembukaan pejabat kajian Bank Dunia di negara kita juga satu tanda tanya yang besar. Ianya boleh dianggap sesuatu yang agak bertentangan dengan dasar tegas yang dipegang oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berhubung institusi kewangan global seperti IMF dan World Bank. Lagipun di kawasan Asia Pasifik ini yang mengawal selia urusan pembangunan dan institusi kewangan rantau ialah Bank Pembangunan Asia (ADB) yang diketuai oleh Jepun yang mana ADB ini direka mirip dengan struktur dan peranan Bank Dunia.
- Penerimaan Malaysia ke dalam UN Security Council (UNSC) juga patut jadi tanda tanya. Kenapa dan siapa yang mengundi kita dikalangan negara-negara yang mengundi dalam PBB itu? Bagaimana kita dapat undian sebanyak 187 daripada 192 pengundian? Adakah terdapat "tangan-tangan ghaib" yang membuka laluan dan menyuruh negara-negara laing yang kita sendiri tidak tahu, untuk mengundi dan memenangkan Malaysia dalam UNSC? Apakah yang kita perlu berikan sebagai balasan?
- Ini kita tak ambil kira dua nahas misteri yang melibatkan kedaulatan udara kita iaitu kapal terbang MAS MH370 dan MH17 yang masih tidak diberikan jawapan yang memuaskan berkenaan hal sebenar kejadian.
- Walau apa pun jawapannya yang pasti Malaysia sudah berada dalam radar geopolitik kuasa besar dunia khususnya Amerika Syarikat. Ditambah lagi dengan petisyen yang meminta campur tangan White House ke atas kes mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas ketua pembangkang negara.
- Dalam keadaan sebegini, sedikit kesilapan yang boleh membuka retak pertahanan negara (chink in the armour) boleh mencetuskan krisis kedaulatan negara baik berbentuk ekonomi dan lebih bahaya politik yang mana 1MDB berpotensi untuk dijadikan retak yang menanti belah kepada sabotaj ekonomi seperti yang telah berlaku ke atas Argentina dan negara-negara Afrika.
- Persoalan dan senario ini hanya terpakai kalau mana kita sendiri mengizinkan 1MDB untuk DIGAGALKAN dengan menghalang hutangnya diselesaikan oleh kita sendiri iaitu kerajaan Malaysia dengan cara membuka ruang untuk musuh-musuh negara (enemies of the state) mengambil kesempatan ke atas peluang dan ruang yang kita sendiri buka dan gagal untuk kesan kerana EGO POLITIK KEPARTIAN.
- Lalu apakah jalan keluar dan cara menanganinya krisis 1MDB? Daripada penjelasan di atas kita sedar bahawa kritikan dan siri-siri pelondehan semata-mata belum cukup menjaminkan masalah ini betul-betul dapat ditangani dan diselesaikan.
- Kita juga harus jelas bahawa serangan bermotifkan politik kepartian semata-mata akan menghijab usaha dan misi paling mustahak dan terdesak iaitu menyelamatkan ASET 1MDB seterusnya menutup ruang-ruang yang boleh melemahkan kedaulatan negara.
- Dalam usaha menyelamatkan aset 1MDB, kita harus menerima hakikat bahawa dalam jangka masa pendek dan terdekat, sebarang usaha mengurus beban hutang 1MDB akan tetap membawa kepada kerugian nilai.
- Antara perancangan awal pihak pengurusan 1MDB untuk mengurus krisis aliran tunai 1MDB dan pengurusan hutang ialah dengan ‘mengapungkan’ (float) pegangan syarikat (shares) melalui pengluaran Tawaran Awam Awal atau lebih dikenali sebagai “Initial Public Offering” (IPO).
- Dengan adanya IPO, 1MDB akan dapat mengisi kantung perbendaharaanya dengan modal yang baru (fresh capital) seterusnya menjadikan 1MDB kurang terdedah kepada masalah aliran tunai.
- Tapi kita harus tahu bahawa IPO selalunya ditawarkan oleh syarikat yang benar-benar punya potensi untuk bergerak ke hadapan, bukan syarikat yang lemah dan sarat dengan beban hutang.
- IPO hanya boleh ditawarkan kalau mana syarikat tersebut terbukti ada kemampuan untuk menghasilkan pendapatan yang stabil (income generation). Kalau tidak mampu, apa guna IPO ini dilanggan kerana para pelabur inginkan pulangan yang setimpal atau lebih.
- Sepertinya Alibaba yang tawarkan IPO atau senaraikan (listing) di bursa saham New York Stock Exchange (NYSE) tahun lalu yang berjaya meraih US$ 21.8 bilion - IPO terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat.
- Kita semua tahu 1MDB dengan pendedahan-pendedahan yang dibuat saban hari ini, kalaupun seperti dirancang dari awal iaitu menawarkan IPO buat sayap perniaagan tenaganya iaitu Edra Energy, adalah agak sukar untuk 1MDB menarik minat pelabur dari dalam malah luar negara. Risikonya pulangannya tinggi dan dilihat tidak menarik.
- Malah bukan itu saja cabarannya, IPO tenaga 1MDB ini juga tidak menjamin akan kemampuan nilai yang diperolehi daripada IPO tersebut untuk mengurus semula beban hutang dan aliran tunai 1MDB.
- Kalaupun 1MDB dapat menyenaraikan Edra Energy, ianya belum tentu berjaya mendapat pelaburan yang munasabah dan cukup untuk membayar balik hutang dalam masa terdekat.
- Ada risiko yang amat besar berhubung dengan IPO. Bila kita senaraikan saja syarikat dengan tawaran IPO ke dalam Pasaran Saham, kita secara harfiahnya membuka seluas-luasnya syarikat itu kepada peluang dan sekaligus ancaman/risiko (opportunities and risk).
- Selalunya ada TIGA golongan yang akan melanggani IPO: Pertama. Institusi dana awam seperti Khazanah Nasional, Tabung Haji, EPF, KWAP, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan mana-mana badan yang punya dana yang besar.
- Kedua. Institusi dana antarabangsa seperti Temasek dari Singapura, kumpulan wang simpanan pekerja dari UK, US, "Vulture Fund", Hedge Fund, syarikat-syarikat insurans gergasi etc.
- Ketiga. Pelabur runcit (retail investors) atau orang kebanyakan (MITS - Men in The Streets)
- Kalau kita setuju dengan Rafizi (yang nak saman pengurusan KWAP yang telah melabur dalam anak syarikat 1MDB) dan momokan puak pembangkang yang hanya melihat dari satu sudut yang sempit dengan tidak mengizinkan IPO 1MDB dilanggan (baca: bailout) oleh institusi dana di Malaysia seperti EPF, KWAP, Tabung Haji, LTAT yang dikatakan "DUIT RAKYAT", maka bersiap sedialah 1MDB akan jatuh ke tangan pelabur jenis (2) dan (3) yang mana ANCAMAN dan RISIKO yang terdedah kepada golongan asing samada berbentuk institusi atau orang perseorangan yang mungkin terdiri daripada golongan pelabur jenis "Vulture Fund".
- Mereka boleh saja menyamar dengan membuka syarikat di Malaysia dan menggunakan orang tempatan untuk melabur bagi pihak mereka. Ada banyak cara untuk lakukannya!
- Puak mereka yang hanya tahu mengkritik dan tidak menawarkan penyelesaian kecuali usaha untuk menghalang Institusi Dana tempatan seperti Khazanah, Tabung Haji, LTAT, EPF dan KWAP daripada melanggani IPO 1MDB yang nazak atas alasan "duit rakyat", sejauh mana mereka bersedia untuk kita lepaskan penguasaan majoriti ke atas pengurusan Edra Energy dibawah 1MDB?
- IPO 1MDB melalui Edra Energy ini juga bakal berhadapan dengan beberapa peruntukan perundangan yang telah digariskan oleh Kementerian Kewangan dan Suruhanja Sekuriti Malaysia (Securities Commission) dan juga syarat yang diletakkan oleh panel pelabur yang melibatkan cara Institusi Dana tempatan.
- Antara halangannya ialah: Pertama. Had pelaburan ke atas sektor tertentu (sectoral limit). Badan-badan seperti LTAT, Tabung Haji sudah diberi garis panduan yang ketat dalam panel pelaburan (investment panel) masing-masing bahawa pelaburan yang ingin dibuat haruslah bersifat berserakan agar kadar pendedahan risiko pelaburan (investment risk exposure) dapat dikurangkan. Dalam erti kata lain, jangan letak semua telur dalam satu bakul (do not put all the eggs in one basket) untuk elak semuanya pecah kalau mana satu-satu sektor pelaburan itu dilanda masalah.
- Contoh: kalau mana KWAP sudah ada pelaburan dalam sektor tenaga, katakanlah pelaburan dalam syarikat janakuasa Malakoff, dan pelaburannya itu pula sudah mencapai hadnya, maka KWAP tidak boleh melabur atau melanggan mana-mana IPO yang dikeluarkan oleh syarikat tenaga yang lain.
- Kedua. Had pelaburan tunggal ke atas entitit tertentu (single investee limit). Institusi dana tempatan juga punya panduan yang ketat untuk tidak melabur ke dalam mana-mana entiti melampaui had yang diizinkan.
- Contoh: Katakanlah had pelaburan EPF ke atas syarikat minyak PETRONAS hanya RM200 juta, maka EPF tidak boleh melabur lebih daripada itu. Antara sebab syarat ini diletakkan ialah agar peluang untuk melabur dapat dilakukan dan dikongsi denga pelabur institusi dana yang lain.
- Di sini cabaran yang memerlukan badan-badan penguatkuasa (regulators) seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara termasuklah Kementerian Kewangan untuk bertindak bijak, waras dalam mengurus krisis ini.
- Kita harus ingat kemampuan untuk 1MDB membayar balik hutang -- baik asas dan juga bunganya -- agar ianya tidak jatuh muflis sehingga terpaksa kehilangan aset, ianya amat bergantung kepada sejauh mana IPO Edra Energy itu dapat meraih pelaburan dan langganan yang amat besar nilainya.
- Dan sekali lagi kita harus bertanya kepada kerajaan, pembangkan dan rakyat Malaysia: siapakah ancaman dan risiko terbesar yang akan kita hadapi melalui krisis 1MDB? Adakah kumpulan penyanggak hutang "Vulture Fund" yang sedang menangguk di air yang keruh atau kita rakyat Malaysia yang bersedia untuk "melaburkan" duit kita (baca: bailout) ke atas 1MDB demi menyelamatkan aset kita yang amat-amat penting itu?
- Kita juga, sekali lagi saya peringatkan harus jelas bahawa di saat ini episod salah-menyalahkan hendaklah kita letak ketepi dahulu dan harus jelas dan faham bahawa kita bukan ingin selamatkan mereka yang bersalah tetapi ASET dan NEGARA daripada dijadikan umpan untuk penjajahan bentuk baru.
- Kerajaan Malaysia yang berdaulat harus menjadi PENJAMIN kepada hutang 1MDB atau KITA RAKYAT MALAYSIA akan bukan saja hilang aset malah terdedah kepada campur tangan asing seperti di Argentina dan negara-negara yang sudah disambar Dana Burung Bangkai.
- Persoalan dan senario ini hanya terpakai kalau mana kita sendiri mengizinkan 1MDB untuk DIGAGALKAN dengan menghalang hutangnya diselesaikan oleh kita sendiri iaitu kerajaan Malaysia dengan cara membuka ruang untuk musuh-musuh negara (enemies of the state) mengambil kesempatan ke atas peluang dan ruang yang kita sendiri buka dan gagal untuk kesan kerana EGO POLITIK KEPARTIAN.
- Apportioning of blame must come later. We are not saving the people who are guilty. Saving 1MDB it's not a winning game. Both ways will still incur losses. Both ways require saving institutions to take part. It's a matter of the depth of the losses.
- Like saving the injured accident victim. He may lose his leg or arm (eventually replaced by prosthetics) to save his life! So too 1MDB, THERE WILL BE SOME PAIN! Lebih baik selamatkan 1MDB! Jadi bagaimana? Apa risikonya?
- Tahniah kerana anda berjaya tiba ke bahagian ini dengan penuh sabar. Saya harap anda berfikir sebagai seorang negarawan, bukan politikus yang sibuk mencari salah dan niat untuk "score brownie points" dan berperangai "schadenfreude" (seronok melihat kesengsaraan orang lain).
- Soalan penting yang kita semua perlu fikirkan: bagaimana kita hendak pastikan IPO Edra Energy itu benar-benar mempunyai potensi yang besar dalam menjana pendapatan yang lumayan untuk satu tempoh yang lama agar pelaburan rakyat Malaysia melalui institusi dana tidak mengalami kerugian?
- Cara #1: Di samping aset janakuasa tradisional, antara cara untuk meningkatkan nilai IPO Edra Energy dan juga menjana aliran tunai yang stabil ialah dengan membawa masuk projek nuklear sebagai janakuasa untuk Edra Energy.
- Tempoh kosensi nuklear jauh lebih lama daripada penjanakuasa bebas (IPP) yang biasa dan ianya tidak dipengaruhi dengan harga minyak dan gas dunia yang senantiasa berubah-ubah. Pendek kata, dengan adanya janakuasa nuklear kita dapat menjajikan nilai IPO Edra Energy dan 1MDB (IPO valuation) pada tahap yang tinggi seterusnya menarik pelaburan yang besar kerana "prospect" jangka panjang yang sangat baik buat para pelabur.
- Ada juga yang akan bertanya bagaimana pula kita nak biayai projek nuklear yang sememangnya amat mahal? Itu pun jangan risau kerana model pendanaan projek nuklear secara usahasama (partnership) sudah pun diamalkan oleh contohnya ROSATOM yang merupakan syarikat nuklear Rusia dengan model "build-own-operate" (BOO). Teka negara mana yang telah membuat usahama ini? Turki dengan projek nuklear pertama mereka di Akkuyu.
- Cara #2: 1MDB ialah sejenis syarikat pembangunan strategik negara (strategic development company) yang ada mirip dengan Khazanah Nasional. Maka tidaklah pelik kalau mana dalam keadaan tenat sebegini untuk 1MDB minta pertolongan daripada Khazanah.
- Lagipun kedua-dua entiti ini dipengerusikan dari atas oleh Perdana Menteri sendiri yang mana dalam 1MDB beliau ialah pengerusi kepada lembaga penasihat (chairman of board of advisors) manakalah dalam Khazanah pula, Dato' Seri Najib ialah pengerusi lembaga pengarah (chairman of board of directors) dan kedua-dua entiti ini mendapat jaminan daripada MOF Inc. yang juga dipimpin oleh Dato' Seri Najib selaku Menteri Kewangan.
- Apa yang boleh dibuat oleh Khazanah? Khazanah sebagai anchor untuk ambil alih aset 1MDB. Kemudian lancarkan bon dengan matlamat yang digariskan sebagai "usaha untuk menyelamatkan aset yang tenat tetapi mempunyai potensi peningkatan sangat besar" (securing distress assets with lot of upside potential). Untuk 1MDB sudah tentu asetnya berpotensi besar iaitu tanah Tun Razak Exchange dan juga loji janakuasa.
- Kedua-dua cara di atas hendaklah dibuat dengan SYARAT YANG JELAS iaitu: "Penyenaraian 1MDB melalui tawaran IPO dibuat untuk menyelamatkan aset-aset yang tenat BUKAN untuk menyelamatkan kapal karam 1MDB semata-mata, BUKAN untuk cari duit dan buat untung atas angin dan paling penting untuk MENDAPATKAN SEMULA ASET-ASET tersebut daripada berhadapan dengan sitaan (foreclosure). Sebarang keuntungan yang diperolehi daripada usaha ini akan dikongsi secara telus kepada semua pelanggan (subscriber) yang terdiri daripada MAJORITI institusi dana tempatan khususnya dan pelanggan awam lain amnya."
- Harus diingat juga bahawa kadar kenaikan hutang 1MDB haruslah tidak melebihi kadar penjanaan pendapatannya kerana ianya akan menyukarkan pengurusan hutang. Maka IPO Edra Energy ini benar-benar perlu jana pulangan dengan banyak dalam jangka masa yang cepat pada masa yang sama punya tempoh operasi yang panjang.
- Sebaik sahaja ianya dapat - Insha-Allah - diselesaikan dengan melangsaikan hutang-hutang tertunggak 1MDB, penyenaraian ini juga perlu merancang "exit strategy" (strategi untuk keluar daripada penyenaraian) yang mana pelaburan-pelaburan awal tadi dipulangkan semula kepada para pelabur dan pelanggan.
- Ringkasnya, selepas kita selamatkan 1MDB daripada jatuh muflis, kita terus tutup (wind down) dan pulangkan balik duit rakyat dan kerajaan kepada tabung dan institusi dana masing-masing dan kalau ada rezeki tambahan, dapat keuntungan daripadanya.
- Betul ke boleh buat? Insha-Allah, boleh buat walaupun politikus seperti Rafizi dan Tony Pua tak percaya. Kenapa? Sebab ianya pernah dilakukan oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini!
- Silalah lihat kembali bagaimana kes Tabung Haji pada tahun2002 yang mengalami krisis dalam pelaburan kelapa sawit di Riau. Ianya telah pun berjaya diselamatkan malah dapat juga menjana keuntungan melalui penyenaraian TH Plantations di Bursa Malaysia. Kerugian di atas kertas (paper loss) akibat "asset shuffling" akhirnya berjaya juga ditukar menjadi keuntungan yang sebenar (real profit) yang mana kemudiannya Tabung Haji dapat menjual ladang kelapa sawit dan mendapat semua nilai pelaburan yang rugi.
- Sama juga dengan 1MDB. Selesai semua hutang, aset dah bertukar tangan kepada entiti yang lebih layak memegangnya seperti Khazanah maka ianya perlu dijual semula untuk dapatkan semula pelaburan awal yang digunakan untuk elak 1MDB daripada default hutang dan foreclosure.
- Ini belum kita lihat bagaimana Tun Dr Mahathir melalui penasihat khas ekonominya ketika itu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bersama pasukannya yang banyak membantu menyelesaikan krisis mata wang dan juga cabaran menaikkan semula ekonomi negara.
- Banyak daripada kerja-kerja penstrukturam semula hutang dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang rugi (GLC) dibuat melalui wahana tugas khas (special purpose vehicle [SPV]) seperti Pengurusan Danaharta Nasional Bhd (Danaharta) dan juga Danamodal Nasional Bhd (Danamodal).
- Akta dibuat. Kerajaan masukkan duit (pump money) bila dah perkemas, susun dan cantikkan syarikat-syarikat bermasalah (contoh macam rangkaian media seperti Renong, Time Engineering, Perwaja, Crest Petroleum, juga TV3, NSTP yang telah disusun-rangkum menjadi konglomerat Media Prima) dijual semula dan kerajaan dapat balik duit pinjaman berserta keuntungan.
- Kesemua usaha ini tidak melibatkan LANGSUNG bantuan dan campur tangan kuasa asing yang sememangnya mahu membantu dengan ulterior motive seperti Vulture Fund. Walaupun dikatakan bailout, tiada satu syarikat syarikat strategic negara jatuh ditangan luar! We must understand that a bailout is a consequence of any action of saving!
- Alhamdulillah Malaysia dapat bangun semula daripada kemelut krisis kewangan dan ekonomi pada masa yang sama melindungi kedaulatan negara kita daripada cengkaman IMF dan Bank Dunia berserta proksi-proksi mereka yang lain yang malangnya telah berjaya mencengkam Indonesia melalui "Structural Adjustment Program" (SAP) itu.
- Kesimpulan. 1MDB boleh dan wajib diselamatkan demi melindungi kedaulatan negara dalam apa jua bentuk dan ancaman khususnya ancama berupa geopolitik. Selesai saja hal ini maka kita boleh fikir bagaimana untuk menghukum pihak yang bersalah.
- Yang pasti bak kata dalam Bahasa Inggeris: some heads will roll. Just like the accident scenario at the beginning of this article, the blameworthy will receive punishments in the form of criminal and/or civil judgments.
Thursday, 14 May 2015
Rausyanfikir cetus idea rawat 1MDB
Kasihan dan terimalah pelarian Islam Rohingya
- Sebuah bot membawa kira-kira 500 pelarian Rohingya ditemui di perairan barat Pulau Pinang. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkannya.
- Khabarnya bot itu pernah menuju ke Indonesia untuk `meminta nyawa’, malangnya dihalau ke arah Selat Melaka oleh pihak berkuasa Indonesia.
- Alhamdulillah pihak berkuasa Indonesia membekalkan makanan, air dan ubat kepada 500 pelarian itu sebelum menghalau mereka ke Selat Melaka dan menuju ke Malaysia.
- Ya Allah. Kau bukalah hati pemimpin Islam di negara ini supaya menerima pelarian Islam Rohingya yang malang ini biarpun ramai mencemuh penyelamatan ini.
- Duhai pemimpin Islam Malaysia. Terimalah dan lindungilah seberapa ramai umat Islam Rohingya yang datang ke negara ini untuk merayu perlindungan kerana itu adalah sebahagian daripada jihad.
- Janganlah kau halau umat Islam Rohingya itu kembali ke laut lepas semata-mata kerana tidak mahu melihat kebanjiran lebih ramai umat Islam miskin, kebuluran dan teraniaya datang ke negara Malaysia yang aman dan makmur atas kurniaan Allah.
- Memang benar, ramai rakyat Malaysia sendiri mengkritik tindakan kerajaan yang tidak tegas dalam soal menangani masalah pendatang asing tanpa izin.
- Sebaliknya mereka memuji kerajaan Thailand dan Indonesia yang kononnya bijak mengurus masalah pendatang iaitu menghalau mereka keluar, bukannya memberi perlindungan.
- Bercakap dengan hati yang buta dan gelap, mereka mengatakan Malaysia akan jadi huru-hara nanti jika menerima kebanjiran Rohingya. Dengan lambakan rakyat Indonesia, Kemboja, Myanmar, Siam, Afrika, Vietnam, Filipina, semuanya dibenarkan masuk, nanti rakyat Malaysia sendiri yang kena halau.
- Benar, menolong insan lemah adalah satu perbuatan mulia. Tetapi jika rakyat sendiri menderita di tempat tanahair sendiri, tiada gunanya hendak membantu rakyat negara lain, begitulah keluhan masyarakat Malaysia yang gelap hati.
- Pembunuhan umat Islam Rohingya bukan pekara baru. Ketika isu itu sedang hangat dibicarakan, kitalah (Malaysia) yang paling lantang sekali bersuara.
- Ketika semua orang bising dan menuntut agar tindakan yang segera diambil, kita juga turut terjun ke dalam gerabak keretapi yang sama. Nah, sekarang ke mana semua itu?
- Oleh itu, marilah kita kembali melihat nasib umat Islam Rohingya yang diperlakukan dengan begitu jijik sekali oleh etnik Rakhine yang rata-ratanya beragama Buddha.
- Semoga perkongsian ini akan menjadi pencetus untuk kita lebih cakna dengan isu ummah di masa-masa hadapan dan tidaklah berbasa-basi dan acuh tak acuh sahaja. Semoga selepas ini kita lebih konsisten dan persisten dalam memperjuangkan nasib saudara-saudara seaqidah kita.
- Secara ringkasnya, etnik Rohingya sudah lama teraniaya dan hidup dalam penderitaan. Tragedi kemanusiaan yang dialami oleh umat Islam Rohingya berlaku sejak 1938 apabila dilaporkan seramai 30,000 orang Muslim telah dibunuh pada 26 Julai 1938. Tragedi yang sama juga berulang pada tahun 1942, 1968, 1992, 2012 dan seterusnya hingga ke hari ini.
- Ribuan umat Islam Rohingya telah disembelih oleh puak Rakhine, polis, tentera dan golongan Buddha. Mereka menembak penduduk kampung dengan begitu bersahaja tanpa rasa bersalah. Wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka dirogol dan sebagainya. Bukan itu sahaja, masyarakat Islam di sana turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi.
- Ada apa dengan Rohingya? Sejarahnya panjang tetapi ceritanya bertebaran di dalam internet untuk tatapan umum.
- Apa yang jelas, menurut PBB, etnik Islam Rohingya adalah salah puak atau bangsa minoriti yang teraniaya sekali di dunia ini. Mereka tidak ada negara dan tiada negara yang mahukan mereka.
- Malah di Myanmar sendiri, mereka perlu meminta izin setiap kali mahu berkahwin atau keluar daripada kampung halaman mereka! Kehidupan mereka sehari-hari amat sinonim dengan kedhaifan, penderitaan dan kesengsaraan.
- Apabila sesuatu tragedi melibatkan umat Islam, pasti reaksi masyarakat antarabangsa lembab dan berkelajuan kura-kura.
- Paling jauh, pemimpin Islam mengeluarkan kutukan, kecaman dan amaran. Itu saja. Bagaimana dengan penyelamatan?
- Bangladesh sendiri selaku jiran terdekat telah menolak Rohingya yang mahu menyelamatkan diri mereka dan berlindung di negara mereka.
- Malah mereka tidak mengaku etnik Rohingya ada pertalian dengan mereka. Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh ketika diwawancara oleh Al-Jazeera berkaitan isu pelarian Rohingya ini dengan bersahaja menyatakan bahawa membantu krisis Rohingya bukan tanggungjawabnya.
- Apa alasan yang mahu kita beri nanti kepada Allah ketika menghadap-Nya di mahkamah agung Mahsyar nanti?
- Aung San Suu Kyii pula yang selama ini dilihat sebagai jaguh demokrasi dan pencinta keamanan turut diam membisu dalam isu ini.
- Apabila diasak tentang isu Rohingya dan ditanya apakah wajar mereka ini diberi taraf kerakyatan, hanya mampu untuk menyatakan, “Saya tidak bertanggungjawab.”
- Di sebalik reaksi dunia Islam yang amat mengaibkan, tiba-tiba muncul Turki menyediakan pelan perlindungan umat Islam Rohingya. Selain itu ramai pemimpin tertinggi Turki mengadakan lawatan ke Myanmar, bersama-sama dengan bantuan kemanusiaan dan kebajikan untuk menyelamatkan umat Islam Rohingya.
- Ya, negara-negara lain seperti Arab Saudi, Indonesia malah Malaysia sendiri telah menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu Rohingya. Pelbagai jenis tabung kemanusiaan juga dilancarkan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kebajikan.
- Dalam konteks Malaysia, ramai orang Islam etnik Rohingya yang sudah menetap dan bekerja di Malaysia. Sekiranya anda berpeluang berjumpa dengan mereka, santunilah mereka.
- Berborak mesra dengan mereka dan tunjukkan kepada mereka, sebagai saudara seaqidah sedarah agama dengan mereka ini, anda sebenarnya cakna dan peduli dengan nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang menderita.
- Berdoa. Jangan sombong dan malas untuk kirim doa bukan sahaja untuk umat Islam Rohingya, tetapi juga saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Somalia, Sudan, Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Libya, Bahrain dan seluruh dunia. Doa adalah senjata orang-orang Mukmin. Yakinlah padaNya, Insha-Allah suatu hari nanti pasti nasib umat Islam seantero dunia akan terbela juga.
Subscribe to:
Posts (Atom)