TIDAK ramai mengetahui mengapa bekas Presiden Iraq Allahyarham
Saddam Hussein membunuh sebahagian rakyat di negaranya sendiri pada sekitar
tahun 80an dan 90an. Berjuta orang mengecam dan menyumpah Saddam dan
menyifatkannya sebagai pembunuh kejam.
Baru-baru ini, terbongkarlah rahsia bahawa orang-orang
yang dibunuh oleh Saddam adalah penganut mazhab Syiah. Selama lebih dari dua
dekad, hakikat itu disembunyikan oleh media Barat.
Sejak sekian lama Saddam sedar bahaya Syiah. Di zamannya
berbondong-bondong penganut Syiah dari Iran masuk ke Iraq. Jika hanya
sekadar tinggal, mungkin Saddam tidak akan begitu peduli. Namun para pengikut mazhab Syiah merosakkan semua tata cara
kehidupan sedia ada di bumi Iraq terutama dengan membawa konsep kahwin mut’ah – yang
memang tak ada bezanya dengan pelacuran.
Saddam juga curiga dengan penduduk Syiah Iraq yang cenderung
menyokong kerajaan Syiah Iran. Saddam yakin mereka tidak akan memperlihatkan
kesetiaan kepada Iraq kerana fahaman mazhab melebihi patriotisme kenegaraan.
Perang dengan Iran yang selalu Saddam sebut sebagai mewakili
dunia sunni dan arab di Timur Tengah menambahkan curiga Saddam kepada pengikut
Syiah. Di rantau Timur Tengah sendiri , satu – satunya negara yang
menyedari kehadiran Iran sebagai negara Syiah adalah Iraq . Saddam – memerintah
hampir bersamaan dengan Khomeini pada tahun 1979 dari awal sudah melihat
pengaruh besar Iran ke Iraq dan negara-negara Arab yang lain.
Sejarah menunjukkan bahawa Iran adalah antara negara
yang mendesak PBB memerangi Saddam. Beberapa ulama di Tanah Arab
mengambil kesimpulan bahawa Saddam mati dalam keadaan khusnul khatimah. (sebahagian
sumber Islam Pos)
Dalam konteks Malaysia, mengapa kita perlu
tolak ajaran dan fahaman Syiah? Sememangnya jika dilihat dari sudut luaran di Iran,
golongan Syiah agak ke hadapan daripada pelbagai sudut seperti ketenteraan,
disiplin, penampilan dan sebagainya.
Apatah lagi setelah berlakunya Revolusi Islam Iran pada
tahun 1979 yang menyerlahkan lagi kewibawaan Iran mendokong dan menyebar
fahaman Syiah, namun semua itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk terus
menerima pegangan dan aliran mereka.
Banyak golongan dan ajaran sesat yang berjaya menzahirkan
penampilan hebat, namun akhirnya apabila ditimbang dari sudut ilmu, amat
mengecewakan bahkan termasuk dalam ajaran yang menyeleweng.
Melalui kajian ilmu, didapati Syiah merupakan golongan yang
sesat lagi menyesatkan. Pegangan mereka juga dilihat bercanggah dengan al-Quran dan hadis Nabi
SAW.
Terdapat tiga kategori golongan Syiah iaitu: Syiah
mughaliyah (pelampau), Syiah Rafidah (Imamiyah) dan Syiah Mu'tadilah
(Zaidiyah). Daripada tiga golongan Syiah ini, Syiah Rafidah atau
Imamiyah merupakan golongan yang paling dominan dan berkembang dalam dunia pada
hari ini. Mereka merupakan majoriti Syiah yang mengatakan imamnya Ali adalah
dengan nas, Ali telah menaskan imamah anaknya Hassan manakala Hassan telah
menaskan imamah saudaranya Hussein.
Begitulah seterusnya imamah itu berpindah dengan nas kepada
anak-anak Hussein sehinggalah kepada Muhammad bin Hassan al-Askari yang pada
pendapat mereka dia ghaib semasa kecil dan akan muncul sebagai Imam Mahdi pada
akhir zaman dengan membawa kebenaran dan keadilan.
Mereka dikenali dengan Syiah Imamiyah kerana pegangan mereka
kepada 12 imam yang dianggap sebagai maksum (bebas daripada segala dosa dan
kesalahan). Mereka ini juga dinamakan golongan Rafidah kerana mereka
menolak imamah Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Uthman Affan dengan hujah bahawa
Nabi Muhammad SAW mewasiatkan kepada Ali sebagai khalifah selepasnya.
Namun wasiat ini pada dakwaan Syiah telah diketepikan oleh
kebanyakan sahabat selepas kewafatan Rasulullah SAW. Oleh yang demikian mereka
mengkafirkan para sahabat Nabi SAW termasuk sahabat-sahabat yang rapat dengan
Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan selainnya.
Jelasnya, Syiah bukanlah suatu ajaran yang boleh diikuti,
bahkan ia merupakan ajaran sesat yang diasaskan oleh seorang Yahudi dari Yemen
yang bernama Abdullah bin Saba'. Dia merupakan bangsa Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam.
Dia pandai mengada-adakan cerita palsu dan bijak menipu orang. Dia juga digelar
Ibnu Sauda'.
Setelah Abdullah bin Saba' memeluk Islam secara
berpura-pura, dialah orang yang mula-mula mengisytiharkan kewajipan melantik
Ali sebagai Imam dan menyatakan secara terbuka penentangannya terhadap
musuh-musuh Ali, bahkan mengkafirkan mereka.
Bermula dari sinilah, dapat dilihat dengan jelas bahawa
ajaran Syiah Rafidah terpengaruh dengan agama Yahudi. Syiah merupakan ajaran
sesat yang paling lama dapat bertahan sehingga ke hari ini. Mereka yang
terpedaya dengan ajaran Syiah telah terperangkap dengan tipu daya syaitan yang
sememangnya sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat Islam daripada persada
kebenaran.
Syiah dan al-Quran. Bahaya Syiah jelas apabila melihat
kepada pandangan mereka terhadap kitab suci al-Quran. Syiah tidak menganggap
kitab suci al-Quran adalah kitab yang terpelihara. Bahkan mereka beranggapan
telah berlaku penyelewengan pada ayat-ayat al-Quran.
Buktinya adalah nas yang dikemukakan oleh al-Kulaini iaitu
ulama hadis Syiah dalam kitab hadisnya al-Kafi dengan menyatakan bahawa:
"Daripada Hisham bin Salim, daripada Abi Abdillah, a.s berkata, al-Quran
yang didatangkan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW adalah sebanyak 17,000
ayat".
Pegangan golongan Syiah ini jelas menunjukkan bahawa mereka
beranggapan al-Quran yang ada pada umat Islam hari ini masih tidak sempurna
kerana ayat al-Quran yang ada hanya berjumlah 6,236 ayat sahaja, sedangkan
mereka beranggapan bahawa al-Quran sebenar iaitu yang dikenali sebagai mushaf
Fatimah mengandungi 17,000 ayat.
Ini bermakna dua pertiga ayat al-Quran sudah diselewengkan.
Pegangan Syiah ini jelas sesat kerana Allah SWT telah menjamin kesucian
al-Quran. Kitab suci itu terpelihara sehingga hari kiamat, tidak akan berlaku
penyelewengan terhadap al-Quran walau satu huruf sekalipun. Firman Allah SWT
dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan
al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
Allah juga berfirman dalam Surah Fussilat ayat 41-42 yang
bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap al-Quran ketika
sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang
al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab suci yang tidak dapat ditandingi,
yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya;
ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.
Syiah dan Hadis. Golongan Syiah menolak hadis-hadis yang
terdapat dalam sahih Bukhari, sahih Muslim, sunan al-Tirmidzi dan kitab-kitab
hadis ahli sunah yang lain. Mereka menolak mentah-mentah hadis-hadis yang
diriwayatkan oleh para sahabat Rasulullah SAW.
Bagi mereka, kitab hadis yang menjadi pegangan mereka ialah
al-Kafi tulisan al-Kulaini, yang diriwayatkan daripada Imam Maksum. Mereka juga menganggap para sahabat menjadi kufur dan murtad
setelah kewafatan Rasulullah SAW. Al-Kulaini yang dianggap oleh golongan Syiah
setaraf dengan Imam Bukhari meriwayatkan bahawa para sahabat telah murtad
sepeninggalan Rasulullah SAW kecuali tiga orang daripada mereka iaitu Miqdad
bin Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al-Farisi.
Ini jelas menunjukkan kebiadaban puak Syiah kerana perbuatan
mengkafirkan para sahabat Nabi Muhammad SAW sedangkan para sahabat mendapat
tarbiah secara langsung daripada baginda. Secara tidak langsungnya, puak Syiah
juga telah memperkecilkan serta menghina Rasulullah SAW.
Golongan Syiah juga sangat biadab terhadap para isteri
Rasulullah SAW dengan mengatakan bahawa Saidatina Aisyah dan Saidatina Hafsah
sebagai munafik dan kafir. Mereka mendatangkan riwayat palsu yang kononnya
muktabar tentang Aisyah dan Hafsahlah yang telah meracuni Rasulullah SAW
sehingga mengakibatkan kewafatan baginda.
Syiah dan Taqiyah. Sebenarnya konsep taqiyah itu ialah
konsep yang berasaskan kepada perbuatan berdusta, berbohong dan berpura-pura.
Namun, konsep ini telah dijadikan asas oleh golongan Syiah dalam memartabatkan
keimanan mereka kepada Allah SWT.
Disebabkan sikap taqiyah ini, para ulama tidak mahu menerima
riwayat yang dibawa oleh golongan Syiah ekoran pembohongan yang dilakukan oleh
mereka.
Ajaran Syiah itu sendiri sebenarnya ditegakkan di atas dasar
taqiyah. Al-Kulaini meriwayatkan dalam kitab beliau al-Kafi: "Sesungguhnya
kamu berada di atas agama yang sesiapa menyembunyikannya akan dimuliakan Allah
dan sesiapa menyebarkannya akan dihina oleh Allah". – sumber JAKIM