KETIKA parti ultra kiasu Selangor sibuk dengan mahu menarik
sokongan orang Melayu bagi menidakkan sokongan Melayu terhadap Umno, sepatutnya
Umno memikirkan bagaimana untuk menangkis strategi tersebut, agar orang Melayu
tidak terpengaruh dengan ultra kiasu.
Ini tidak, rakyat
pula diuar-uarkan dengan kenaikan harga tol tidak lama lagi oleh kerajaan yang
dipimpin Umno. Saya menjadi semakin keliru. Apakah makna tagline Gagasan
1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan? Apakah rakyat hanya
didahulukan ketika menjelang pilihan raya? Selepas itu, dikemudiankan.
Nasihat kerdil saya,
yang bukan pakar ekonomi kepada kerajaan, uruskan ekonomi negara ini dengan
baik dan telus. Carilah jalan apa sekalipun untuk meningkatkan ekonomi negara,
tetapi bukan dengan membebankan rakyat marhaen seperti kami. Bebankan orang
kaya yang bertambah kaya.
Dahulu, Melayu mudah
lupa, tetapi kini tidak lagi. Melayu sudah mula mengingati perkara yang telah
dilupai sebelum ini. Saya bimbang, PRU14 Umno akan berasa akibatnya, jika
langkah berjaga-jaga tidak diambil. Rakan-rakan saya yang dahulu pro-BN, sudah
mulai menyampah.
Ingatlah! Bila taraf
hidup tinggi, nilai wang makin kecil, kuasa membeli terbatas, macam-macam
perkara negatif boleh berlaku. Manusia sanggup membunuh, menjual diri, dan
berbagai perkara negatif lain, apabila perut kosong.
Jika dengan kenaikan
tol, lebuh raya menjadi semakin efisien, tidak berlaku kesesakan, tidak mengapa
juga. Ini tidak, lebuh raya semakin sesak. Peliknya, ketika tidak musim
perayaan pun sesak juga.
Apakah kerajaan sudah
buta dengan semua kenaikan ini? Bagaimana rakyat mahu menghadapi semua keadaan
ini? Boleh dikatakan semua harga barang telah naik selepas PRU13. Apakah benar
sinonim BN bermaksud Barang Naik? Cuba bandingkan dengan negara jiran kita
seperti Thailand dan Vietnam. Barang-barang di sana masih murah berbanding kita
di sini. Hari ini, nak makan tengah hari jika tidak ada RM10, tak makanlah
jawabnya.
Kerajaan sepatutnya
bertindak menyemak sekali lagi perjanjian antara syarikat konsesi jika benar
berlaku perjanjian berat sebelah.
Peliknya, kenapa kita
menandatangani perjanjian bodoh yang tidak menyebelahi rakyat? Sama seperti
perjanjian air dengan Singapura.
Apakah syarikat
konsesi tersebut tidak berhati perut langsung untuk melaksanakan CSR?
Berpada-padalah buat untung. Begitu juga ultra kiasu yang sudah menjadi
kaya-raya hasil bantuan kerajaan. Takkan terus menerus mengalirkan wang keluar
negara.
Syarikat konsesi
lebuh raya sudah semestinya membuat duit saban hari melalui perjanjian
tersebut. Ditambah pula dengan papan iklan sepanjang utara-selatan, barat dan
timur. Ini tidak termasuk dengan sewa gerai di kawasan rehat yang menawarkan
pelbagai barangan makanan dan sebagainya kepada pengguna lebuh raya.
Respons daripada
menteri bertanggungjawab begitu memualkan. Kita ingatkan bila ahli ekonomi
dilantik senator menjadi menteri, ditambah dengan pengalaman begitu luas,
beliau akan memerah otak, memberikan buah fikiran kepada kerajaan, cara terbaik
untuk menjaga kebajikan rakyat. Ini tidak, jawapannya begitu simplistik.
Katanya, pengguna
jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya
menganggap kenaikan tol terlalu tinggi. Ini bukan jawapan negarawan. Nasihat
saya, jangan pandirkan diri bila dah jadi menteri. Sepatutnya bila dilantik
jadi menteri, daya intelektual kita makin bertambah.
Dalam Islam, menurut
Imam al-Ghazali, menyediakan kemudahan asas, adalah tanggungjawab pemerintah.
Kemudahan asas ini tidak sepatutnya diniagakan kerana kesannya akan dirasai
oleh rakyat, bukan pak menteri. Pak menteri banyak menikmati keistimewaan lain
bila dilantik jadi menteri. Termasuk semua bil utiliti.
Banyak negara maju
(termasuk negara Islam lain) menyediakan kemudahan asas dengan kadar caj
rendah. Misalnya, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, air, elektrik dan sebagainya.
Ini adalah asas yang bersifat daruriyyat. Tanpanya manusia tidak boleh (sukar)
untuk hidup.
Logiknya, tol tidak
perlu naik, tetapi semakin turun harga. Maklumlah, pengguna semakin bertambah.
Jalan raya tidaklah dibaiki hari-hari. Sekali baiki boleh tahan setahun.
Ingatan saya kepada
Umno BN, jangan biarkan hati Melayu semakin terluka. Tidak mustahil Melayu akan
beralih kepada parti ultra kiasu.
Kempen mereka sedang
berjalan. Jika satu hari nanti ultra kiasu cenderung kepada Islam, saya bimbang
ketika itu, Umno sudah tidak relevan lagi, kerana mereka sudah ada Pas. Hari
ini Melayu masih bersama Umno kerana tawar hati dengan Pas bersama ultra kiasu,
penentang Islam. -- Dr Ridhuan Tee Abdullah
No comments:
Post a Comment