Pengguna lebuh raya, khususnya di Lembah Klang boleh menarik
nafas lega, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu, apabila kerajaan memberi
jaminan bahawa kenaikan tol yang menimbulkan kekecohan sejak dua minggu lalu,
masih pada peringkat kajian sebelum dilaksanakan tahun depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, kelmarin
menegaskan, kerajaan belum mengeluarkan arahan kepada mana-mana syarikat
konsesi berhubung kenaikan kadar tol lebuh raya.
Dalam kenyataan terbaharunya, beliau berkata kerajaan masih
lagi mempertimbang langkah terbaik untuk mengurangkan kesan kenaikan kadar tol
kepada rakyat dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak. Ia termasuk
mengadakan makmal yang dikendali Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan
(PEMANDU) untuk mengkaji implikasi kenaikan kadar tol pada 2014.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula, melalui laman
Facebooknya, berkata beliau mendengar keluh-kesah rakyat, terutama mengenai
kenaikan kos sara hidup. Justeru, makmal PEMANDU itu akan mengkaji serta merangka
langkah susulan untuk meringankan beban rakyat dalam mengharungi masalah
kenaikan kos sara hidup.
Akhbar New Straits Times kelmarin melaporkan, hanya sembilan
daripada 15 syarikat konsesi yang menghantar cadangan menaikkan kadar tol,
mungkin dibenarkan berbuat demikian, bergantung kepada aliran tunai dan data
trafik di lebuh raya masing-masing.
Berdasarkan perkembangan terbaharu ini, kita yakin kenaikan
tol tidak berlaku serentak dengan kenaikan tarif elektrik pada 1 Januari ini.
Sekurang-kurangnya ia melegakan puluhan ribu keluarga terutama di Lembah Klang
ketika mereka terpaksa berbelanja untuk tahun baru persekolahan anak nanti.
Jejas belanja bulanan. Keresahan rakyat, khususnya di Lembah Klang yang mempunyai
24 lebuh raya bertol, jika kadarnya dinaikkan, tidak sukar untuk difahami. Bagi
mereka tol sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan setiap isi rumah
membelanjakan antara RM100 hingga RM500 sebulan untuk bayaran tol.
Dengan kenaikan kos hidup di bandar yang semakin meningkat
sekarang, kenaikan tol walaupun serendah 50 sen, pastinya menjejaskan belanja
bulanan mereka terutama yang berpendapatan rendah. Apa lagi jika ia membabitkan
kenaikan sehingga RM1 atau RM2. Separuh daripada pendapatan bulanan mereka
terpaksa dibelanjakan untuk kereta, minyak, tol dan tempat meletak kereta.
Lebih membengangkan mereka ialah membayar tol pada kadar
tinggi pun tidak mempercepatkan perjalanan ke tempat kerja atau mengurangkan
penggunaan petrol kerana kesesakan pada waktu puncak sudah menjadi ciri utama
lebuh raya di Lembah Klang.
Justeru, kajian yang bakal dilaksanakan nanti tidak
seharusnya menjurus kepada kesan kenaikan sara hidup termasuk kenaikan kadar
tol semata-mata tetapi perlu mencari jalan bagaimana memberikan nilai kepada
pengguna yang terpaksa membayar lebih.
Sementara kenaikan kadar tol seperti termaktub dalam
perjanjian konsesi tidak dapat dielakkan, pemegang konsesi juga harus lebih
bertanggungjawab dalam memastikan matlamat murni pembinaan lebuh raya itu
tercapai iaitu memendekkan tempoh perjalanan dan memberi keselesaan kepada pengguna.
Atasi kesesakan. Kecuali beberapa lebuh raya yang dilihat berbuat sesuatu
untuk membantu mengatasi kesesakan waktu puncak dan berkomunikasi dengan
pengguna, kebanyakan lebuh raya lain seolah-olah melepas tangan terutama sebaik
melepasi tol konsesi mereka.
Pada peringkat kerajaan pula, galakan/insentif harus
diberikan kepada majikan, terutama dalam industri bersesuaian, untuk
memperkenalkan waktu kerja anjal atau membenarkan kakitangan masing-masing
menyiapkan tugas secara dalam talian dari rumah. Ini membolehkan kakitangan
mereka datang ke pejabat di luar waktu puncak, menggunakan jalan alternatif.
Akhir sekali makmal itu juga perlu mengkaji bagaimana untuk
berkomunikasi dengan rakyat secara berkesan sebelum mengumumkan sesuatu perkara
yang secara langsung mempengaruhi kehidupan mereka. Aspek ini penting kerana
kegagalan berkomunikasi bukan saja menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan,
malah meningkatkan kemarahan rakyat. Menyuruh pengguna menggunakan jalan
alternatif jika enggan membayar tol mahal, bukanlah contoh komunikasi berkesan. -- Dato Manja Ismail
No comments:
Post a Comment