KEADAAN cuaca tidak
menentu dan bencana alam semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dipercayai
mempunyai kaitan dengan perubahan kecondongan paksi bumi. Selain itu, pemanasan
global juga dikatakan turut mengubah lokasi geografi kutub bumi menurut kajian
Geophysical Research Letters.
Laporan penyelidik
Universiti Texas, Austin mendedahkan, pencairan bongkah ais semakin meningkat
di Greenland menyebabkan kedudukan Kutub Utara berubah beberapa sentimeter pada
setiap tahun sejak 2005.
Difahamkan, bermula
1982 hingga 2005, kutub tersebut berubah secara perlahan dari tenggara ke
bahagian utara Labrador, Kanada pada jarak kira-kira 2 milliarcsecond atau 6
sentimeter setahun. Sejak 2005, kutub
mula bertukar haluan dan bergerak ke arah timur Greenland pada jarak lebih 7
miliarsecond setahun.
Kumpulan saintis
telah sekian lama mengetahui bahawa lokasi kutub bumi tidak tetap dan ia juga
menjadi penyebab musim menjadi tidak menentu seperti yang berlaku pada ketika
ini. Selain itu, pencairan
ais juga menjadi punca utama paras air meningkat kepada lebih 90 peratus akibat
daripada anjakan kutub pada 2005.
Medan magnet bumi berganjak. Pada 2011, medan
magnet bumi dilaporkan berganjak pada jarak 64 kilometer setahun, dan saintis
menyifatkan ia sebagai fenomena normal yang berlaku sekali pada setiap 100,000
tahun.
Keadaan itu
menyebabkan arah kompas berubah dan berkemungkinan tidak lagi menghala ke arah
Kutub Utara berikutan kutub kini telah berganjak dari utara Kanada menghampiri
ke Rusia.
Susulan daripada
perubahan itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Tampa di pantai barat Florida
terpaksa melakukan pengubahsuaian terhadap tanda arah di tiga landasan
berdasarkan anjakan medan Kutub Utara.
Saintis menganggarkan
pada setiap lima hingga 10 tahun, arah kompas akan berubah akibat anjakan kutub
bumi.
Bagaimanapun,
pendedahan pada pertengahan tahun lalu yang turut dimuat naik ke dalam Youtube
menunjukkan Kutub Utara berganjak 260 kilometer dalam tempoh enam bulan. Perubahan itu
menyebabkan medan magnet bumi beralih dari Kanada ke Siberia dalam tempoh
kurang daripada 24 bulan. Apabila peralihan
tersebut berlaku, kutub akan berada pada
kedudukan 40 darjah merentasi hemisfera utara.
Menurut Conall Mac
Niocaill, seorang saintis di Universiti Oxford, medan magnet bumi semakin lemah
dan ia telah berganjak lebih 1,500 km sejak berabad lalu. “Kekuatan medan magnet Kutub Utara berkurangan 10 peratus
sejak 150 tahun lalu.
"Setiap 250,000
tahun sekali, medan magnet ini akan berubah arah ke selatan dan fenomena
tersebut dipercayai kali terakhir berlaku kira-kira 800,000 tahun lalu iaitu
sebelum kewujudan manusia,” katanya lagi. Sehingga kini,
saintis gagal menemui jawapan bagaimana fenomena penyongsangan medan magnet itu
terjadi.
Waktu lebih singkat. Ahli geofizik Nasa,
Richard Gross mendedahkan, kadar putaran bumi menjadi lebih cepat kira-kira
1.8 mikrosaat akibat gempa berkekuatan
9.0 skala Richter yang melanda Jepun pada 2011.
“Gempa kelima terkuat di dunia sejak 1900 itu juga
menyebabkan waktu sehari yang sepatutnya bersamaan 24 jam menjadi lebih singkat
tanpa disedari masyarakat,” katanya.
Difahamkan, gegaran
dahsyat tersebut mengakibatkan kepulauan Honshu berganjak sehingga 2.4 meter
dengan pembentukan rekahan di bawah dasar laut sepanjang ratusan kilometer
selain paksi bumi berubah pada jarak hampir 10 sm.
Ahli Geofizik Pusat
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), Kenneth Hudnut memaklumkan, peta dari
Lembaga Maklumat Geospatial (GSI) menunjukkan terdapat corak peralihan
melibatkan kawasan yang besar selepas gempa berlaku.
No comments:
Post a Comment